Pemimpin ada di mana-mana. Begitu juga wanita. Kedua-duanya ada di mana-mana; bak arus dengan alur. Arus memerlukan alur untuk mengalir. Alur yang liuk-lintuk berlubuk sana berlubuk sini, bersemak samun di pinggir-pinggir tebing dan berlurah-lurah untuk memberi kenikmatan pada arus yang mengalir. Dan kalau arus mengalir dengan baik dan sah serta menjaga alur, hikmahnya dan barakahnya memeng banyak sekali kerana disitu akan lahirlah ketenangan, ketenteraman, kebijaksanaan dan mudah menuju wawasan yang dicita-citakan.
Tetapi kalau arus hanya galak menojah tebing alur dan hanya mementingkan diri arus, maka tersualah kesongsangan, bertemulah gelombang dan kadang-kadang badai taufan pun kerap menjengah. Ketika itu wawasan entah ke mana, alur entah ke mana. Segala-galanya lintang pukang.
Demikian sejarah dunia berkaitan dengan pemimpin dan wanita. Ada pemimpin memperlihatkan kewibawaannya apabila bersama wanita yang luhur yang sering berada disampingnya sebagai isteri. Arus kepimpinan begitu indah, mengalir memberi khidmat kepada rakyat dan diri pemimpin itu sendiri terbukti kewibawaannya sebagai seorang pemimpin yang dihormati dan disegani rakyat.
Bersama mereka mengalir menuju wawasan, merempuh ranjau dan gelombang. Bersama mereka bersorak kegembiraan. Bersama mereka menangis kepiluan. Bersama dan berganding bahu mereka apabila bersama-sama rakyat di mana-mana saja. Dan akhirnya aliran kepimpinan tiba pada tahap kerana kesepaduan antara pemimpin dan wanita yang disayangi. Negara menjadi aman dan rakyat senang lenang kerana pemimpin utama mereka benar-benar memperlihatkan kepimpinan yang selaras dengan tuntuan kebenaran.
Tetapi dunia tidak banyak memperlihatkan sejarah yang indah sedemikian rupa. Apabila pemimpin begitu cepat melonjak naik menjadi begitu besar dengan kuasa di tangan, besar dengan harta dalam simpanan dan besar dengan gelaran yang berjela-jela, maka pemimpin cepat lupa daratan, lupa asal-usul, lupa falsafah perjuangan. Pemimpin tidak lagi mengenal alur, malah tidak lagi mengenal dirinya.
Yang dia tahu hanya membiarkan nafsu kuasanya, nafsu hartanya, nafsu gelarannya dan nafsu jantinanya menembusi setiap lubuk dan lurah tanpa lagi memikirkan halal haramnya. Dengan kuasa, harta, nama dan nafsu dia melupakan dirinya selain untuk memenuhi jeritan nafsunya yang pelbagai yang semangnya tidak pernah puas itu.
Dia bukan sahaja meminggirkan wanita yang sah berada disampingnya selama ini tetapi dia sudah berani mengorak langkah mendekati diri yang bernafsu besar itu dengan mana-mana sahaja wanita yang disukainya, tak kira siapa; malah kalau tak puas juga dengan wanita-wanita begitu, dia alihkan nafsunya kearah lurah-lurah dan jenis-jenis gaya lain yang sememangnya terkutuk. Dia dengan feelnya begitu sebenarnya telah mengotori dirinya dengan najis-najis yang melimpah ruah.
Dia bukan sahaja tidak mampu lagi menjadi pemimpin untuk kesejahteraan rakyat tetapi untuk memimpin dirinya sendiripun dia sebenarnya tidak mampu. Dia sudah berada dijurang kehancuran. Dan kalau masih menjadi pemimpin, bersama rakyat seluruhnya dia akan hancur lebur.
Dan menariknya babak-babak dalam kepimpinan seumpama ini ialah feel-feel yang terkutuk seumpama itu mudah pula dilakukan oleh pemimpin yang kotor itu sehingga rakyat tidak langsung menyangka diri pemimpin itu kotor tetapi masih bersih, kacak dan jambu. Lakonan dan drama diperlihatkan kepada rakyat melalui pelbagai wadah dan gaya yang kadang-kadang begitu ekstravaganza sifatnya sehingga meluat pula melihatnya.
Lakonan dan drama itu sering pula diiringi dengan irama-irama yang serba indah, kadang-kadang bobot dengan sulaman-sulaman ayat suci agama yang nampak serba luhur serba kudus, dengan senyuman yang serba menarik, dengan gaya huluran tangan yang serba lunak dan dengan kata-kata yang sentiasa menunjukkan lakonan yang berketerampilan luar biasa. Pemimpin itu benar-benar pandai berlakon dan rakyat pula yang sememangnya amat gemar pada lakonan dan drama, sedia menerima lakonan pemimpin itu.
Sudah banyak pemimpin dunia yang pintar berlakon seperti itu akhirnya tumbang, tersungkur, terkeok menyebah bumi dan diludahi rakyat dengan jijiknya kerana pemimpin jenis begini bukan lagi pemimpin yang dikehendaki rakyat. Matlamatnya hanya untuk merenggut kuasa, merampas harta, menyenaraikan nama dan menyemarakkan nafsu jantinanya tanpa memperhitungkan kesejahteraan dan kesepaduan rakyat, tanpa mengira apa akan terjadi kepada bangsa dan negara asal saja dirinya dan kaum keluarganya boleh pegang tampuk kuasa, terus kaya raya sampai melimpah tebing, terus bernama dengan pelbagai jolokan dan terus memaharajalelakan nafsu jantinanya yang tidak pernah tunduk kepada sesiapa selain iblis dan dajal.
Tidak ada faktor yang baik untuk menjadi pemimpin yang sebenar selain ia perlu beriman; beriman dalam erti kata berucap dengan lidah, berhayat dengan hati dan melaksanakannya dengan anggota. Tidak ada gunanya pemimpin berpidato berapi-api melalui tv dan di tengah-tengah ribuan rakyat dengan menggunakan gaya penyampaian yang serba canggih sedangkan hatinya berkarat dengan kekotoran yang sudah tidak dapat dikikis lagi dan tindkannya banyak yang tidak pernah kesampaian.
Sebagai rakyat dan pemerhati yang tajam terhadap kepimpinan sekarang ini, kita benar-benar susah hati dan bersedih kerana terlalu banyak penyimpanagan berlaku dalam kepimpinan. Segala-galanya terarah kepada pembolotan kuasa dan harta yang tidak terkawal lagi. Dari bolotan harta dan kuasa itu akan merebaklah kepada wabak-wabak dan episod-episod yang langsung berhubungan dengan wanita, wanita sebagai objek, wanita sebagai perkakas.
Pemimpin seumpama ini sesungguhnya tidak lagi menghormati wanita; malah menganggap wanita itu hanya sebagai objek yang terdedah untuk menggiur dan memuaskan hawa nafsu sahaja. Wanita dijadikan perkakas murahan, sebagai alat yang mudah diperolehi melaui kuasa dan harta, yang boleh dibeli dengan kuasa dan harta.
Rakyat yang prihatin hendaklah menolak pemimpin-pemimpin yang sebegini rupa, pemimpin-pemimpin yang hanya bertujuan merebut kuasa, membolot harta, mencari nama dan gelaran yang pelbagai rupa walau dengan apa cara sekalipun demi untuk memuaskan hawa nafsunya. Pemimpin-pemimpin seumpama ini tidak layak menjadi pemimpin dan perlu ditolak.
Sebaliknya rakyat hendaklah bijak memilih dan akhirnya menerima pemimpin yang sering beriringan dengan wanita luhur sebagai isteri pemimpin itu kerana wanita yang sah yang sering berada di sebelah pemimpin itu akan banyak memperteguhkan perjuangan pemimpin, banyak memberi ilham dalam perjuangan pemimpin dan banyak yang mententeramkan pemimpin di kala menghadapi krisis demi krisis.
Rasionalnya: Apakah benar Shanon mempunyai tafsiran tersendiri mengenai perilaku Anwar yang menjelekkan itu? Adakah persepsi Shahnon ini tidak bercanggah dengan karya Agung yang amat menjijikkan iaitu "Shit" yang bermati-matian membela Anwar?
Sedutan tulisan Shahnon bertajuk :-Nafsu Syahwat Pemimpin Sukar Dibendung Dalam Buku Karya Ahmad Lutfi Othman : Skandal Seks atau Konspirasi Politik. (September 1998)
Suara Politik
Taminsari
1 ulasan:
Salam, seorang penulis jika sudah terlalu tua untuk menulis, maka berlakulah kenyanyukkannya..... yang benar diterbalikan macam ulamat tua juga......
Catat Ulasan