Rabu, Jun 03, 2009

Husam Musa Mula Pasang Angan- Angan…Masa Tun Abdullah Memerintah!


























Pas bersiap sedia untuk menggantikan peranan UMNO dalam memastikan kedudukan kepimpinan Melayu tidak terjejas di negara ini sekiranya proses perubahan politik terus berlaku dalam waktu terdekat. Tingginya angan-angan Naib Presiden Pas ini. Husam Musa berkata, persediaan perlu dilakukan jika usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diterima dan membawa kepada kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“ Dalam menghadapi perkembangan terbaru ini, Pas perlu bersiap sedia untuk menggantikan tempat UMNO.” ‘‘Saya juga menyeru ahli Parlimen UMNO untuk menyertai Pas kerana dengan demikian bilangan ahli Parlimen Melayu tidak akan berkurangan dalam kerajaan baru jika dapat ditubuhkan dalam waktu terdekat,” ujarnya.

Katanya, tindakan ini juga akan dapat menghapuskan kebimbangan ahli Parlimen UMNO berhubung bilangan wakil rakyat Melayu dalam pakatan pembangkang jika usaha menurunkan Abdullah menjadi kenyataan. Seolah-olah macam bermimpi disiang hari. Sejak bila pulak pandai nak jadi pejuang atau pemimpin orang Melayu. Tidakkah Husam Musa lupa yang beliau pernah mendoakan mana-mana rakyat Kelantan yang balik mengundi dalam PRU ke-12 yang lalu ditimpa musibah kerana menjangkakan yang anak-anak Kelantan yang balik mengundi adalah penyokong-penyokong BN dan UMNO.

Manakala Tok Guru Nik Aziz pula menyifatkan orang UMNO Kelantan macam orang Utan. Tidakkah Husam Musa dan Tok Guru Nik Aziz takut dengan bayang-bayang sendiri sehingga sanggup melakukan perbuatan tersebut? Adakah ini ciri-ciri pemimpin yang hendak menjadi “pemimpin” kepada orang-orang Melayu terutamanya kepada UMNO. Minta maaflah banyak-banyak. Tok Guru Nik Aziz mungkin tak sedar yang selama ini Husam Musa banyak “membelakangkan” Tok Guru dalam membuat keputusan didalam pentadbiran negeri Kelantan. Sebab itu sampai sekarangpun mungkin tergerak dihati Tok Guru Nik Aziz untuk tidak menyerahkan jawatan Menteri Besar kepada Husam Musa sehinggalah beliau sakit atau meninggal dunia. Inilah Husam Musa, orang kepercayaan Tok Guru Nik Aziz yang pandai bermuka-muka.

Tindakan Husam Musa ini sama juga dengan Presiden Pas, Ustaz Abdul Hadi Awang sebelum ini gara-gara bekas mantan Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohammad mengumumkan untuk berundur keluar dari UMNO, seolah-olah ianya memberi satu rahmat kepada Pakatan Rakyat terutamanya Pas. Mereka mula memasang angan-angan untuk menubuhkan kerajaan baru jika Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh UMNO tumbang.

Mereka berharap UMNO akan terus bergolak dengan masalah dalaman mereka. Pas melalui Presidennya, Ustaz Abdul Hadi Awang menyatakan yang Pas bersedia untuk memimpin negara dengan berpegang kukuh kepada prinsip “kontrak sosial” sekiranya mereka dapat mengambil alih tempat BN untuk memerintah negara. Beliau menegaskan pendirian itu berasaskan kepada “kontrak sosial” yang telah dipersetujui semasa negara ini merdeka bahawa kepimpinan kerajaan perlu diketuai oleh orang Melayu Islam.

Tambahnya, kepimpinan kerajaan juga perlu meneruskan prinsip-prinsip yang digunapakai sekarang iaitu bahasa Melayu dan Islam sebagai agama Rasmi. Tetapi tidak berani pula menyebut untuk menubuhkan Negara Islam Pas. Katanya, Pas akan terus mempertahankan kontrak sosial yang diasaskan semasa negara merdeka, Islam serta bahasa Melayu di samping masalah perpaduan rakyat pelbagai kaum mesti diselesaikan dengan adil dan bukan secara perkauman.

Pelik tapi benar. Sejak bila pula Presiden Pas itu pandai berbicara tentang kontrak sosial? Adakah kita masih ingat semasa kempen pilihanraya tahun 2004 yang lalu. Apakah yang dijanjikan oleh Pas yang diketuai oleh Presidennya, Ustaz Abdul Hadi Awang pada masa itu. Pas sedia memansuhkan hak keistimewaan orang Melayu dalam perlembagaan jika mereka berjaya memerintah dan membentuk sebuah negara Islam ala parti pembangkang jika menang di dalam pilihanraya umum 2004.

Menurutnya, ia bagi memastikan keadilan kepada semua pihak tanpa mengira keturunan, kaum dan jantina, sebaliknya mengutamakan amalan meritokrasi. Ia (hak istimewa orang Melayu ) masih boleh dipakai tetapi apabila tiba masanya apabila orang Melayu boleh berdikari, maka pada masa itu tidak perlu lagi. Ianya merupakan usaha berterusan parti Pas untuk mendapatkan sokongan rakyat terutama bukan Islam pada pilihan raya umum pada masa itu.

Ia memberi tumpuan khusus kepada kedudukan bukan Islam dalam konteks pelaksanaan negara Islam. Mengapa pada kali ini nadanya agak berbeza. Kalau hendak berpegang kukuh pada kontrak sosial, mengapa hendak memansuhkan hak keistimewaan orang Melayu. Mursyidul Am Pas, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat pula ada mengatakan yang di dalam Islam tidak ada "hak istimewa sesuatu kaum". Itu bagi Pas dan bagaimana pula dengan rakan sepejuangan dalam Pakatan Rakyat.

Di manakah cita-cita Pas hendak menubuhkan Negara Islam ala-Pas seperti mana yang terkandung didalam manifesto pilihanraya umum 2004. Hanya tinggal kenangan sahaja? Itulah angan-angan “ mat jening “ Presidan dan Naib Presiden. Disuatu ketika Ustaz Abdul Hadi nak menghapuskan hak istimewa orang Melayu, Husam Musa pula cuba nak jadi pemimpin kepada orang-orang Melayu yang mempertahankan hak-hak istimewa orang Melayu.

Tak perlulah Husam Musa buat sibuk-sibuk atau buat menyibuk. Rata-rata ahli-ahli Parlimen BN masih lagi berfikiran waras untuk menilaikan yang mana baik dan yang mana buruk. Bukan macam Pas akibat kemaruk nak berkuasa, sampai tidak tahu membezakan yang mana halal dan yang mana haram.

Semuanya belasah. Janji dapat kuasa. Jika adapun usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dan jika ditakdirkan Pak Lah harus meletakkan jawatan, BN masih ada Timbalannya untuk menggantikan beliau. Tak perlulah Husam Musa risau. Perpaduan UMNO dalam mempertahan ketuanan Melayu, hak-hak istimewa Raja-raja dan orang Melayu tetap utuh dulu, kini dan selamanya.

Tak perlulah susah-susah untuk mengajak ahli-ahli UMNO yang dikatakan “ kafir “ oleh Pas untuk keluar dari UMNO dan masuk menjadi ahli Pas pula. Bukan ke” haram” namanya. DAP dan PKR itu lagi bersih dan sucikan. Bergaul mesralah bersama mereka dan mesti tahu akan batas-batasnya. Nanti haram dan berdosa . Tak masuk syurga pula nanti!. Si luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan, biarkan!

Walaupun di kalangan ahli UMNO ada yang suka dan tidak suka kepada kepimpinan seseorang, tetapi untuk bertindak keluar daripada parti yang berusia 63 tahun itu nampaknya sukar. Masih ramai ahli UMNO yang berada di barisan akar umbi yang tetap melahirkan kemarahan di atas sikap pucuk pimpinan parti atas beberapa isu dan perkara, tetapi mereka masih waras untuk terus bersama UMNO.Yang pasti ahli UMNO tulen dan setia kepada parti tidak mudah untuk dipujuk rayu untuk sama-sama keluar parti. Walaupun sering berbeza pendapat, masih ramai ahli UMNO yang memegang kepada kata-kata keramat Parti orang Melayu iaitu ‘Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat’.

Jadi nasihat untuk Husam Musa lupakanlah buat sementara hasrat untuk mengambil alih kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional buat masa ini. Lebih baik anda bersiap sedia untuk menghadapi kes pecah amanah anda bersama sahabat setia anda iaitu BPR. Mengenai isu Petronas dan kenaikan harga minyak di Malaysia yang dimainkan oleh Husam Musa membuktikan yang beliau memang tak tahu apa-apa tentang Petronas, pentadbirannya serta apa fungsi dan sumbangan Petronas terhadap negara Malaysia. Kalau diri sudah tak berpengetahuan, jangan nak seret orang lain pun jadi bodoh sama. Cakap tak serupa bikin tapi tak habis-habis nak salahkan kerajaan dan cari kesalahan orang lain. Kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak.

Begitulah sikap munafik dan hipokrit Penipu Rakyat yang hanya bersemangat bila bercakap tapi bila nak melaksanakan sesuatu hanya indah khabar dari rupa.Orang UMNO sendiri sudah cukup matang dan sebarang krisis timbul seperti yang pernah berlaku sebelum ini, berjaya diselesaikan dengan ‘cara UMNO’. Tidak payahlah jadi macam “ Bapa saudara anda “ Karpal Singh yang suka menjaga tepi kain orang. Cetaklah banyak-banyak borang keahlian Pas kepada bukan Islam supaya dapat membawa mereka menumpang “ Roket DAP “ untuk pergi kebulan. Dalam perjalanan tu, tunjuk-tunjuklah kepada mereka kalau-kalau ternampak “ Bulan Terbelah Dua “. Jangan lupa sampaikan salam kepada mereka.
Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

8 ulasan:

Senjaliza berkata...

Erdogan Husam al-Turkyie adalah benih yang disemai Al Anwar dalam PAS bagi menentukan PAS berada dalam senaungan dgn DAP dalam PR. Meletakkan anjing dengan kucing sekamar memang sukar. Satu kena langkah mayat, kena kudung tangan dan jumpa Tok Mudim. Satu pihak mau mengajar pihak lain memakai Kupiah dan memasang janggut. PAS juga sudah jawab "I love u2" pada kelab penyokong PAS. Tapi DAP juga sudah bersedia dengan "CASE" untuk menyelongkar agar "Tunjang PAS" tidak tumbuh dalam PR. Ini TV series "who is the boss". Husam sudah sindir NASA agar jangan jadi mediator Kerajaan Peraduan!. Apa pilihan perwkilan PAS? ERDOGAN AL SEKULAR..?

Lord Garam berkata...

PAS BERCITA-CITA BESAR TETAPI MEREKA SEBNARNYA DUNGU DALAM BERPOLITIK..SUDAH HAMPIR 40 TAHUN PAS DITUBUHKAN DENGAN FASAL 3 ADALAH MENUBUHKAN NEGARA ISLAM DAN FASAL 4 ADALAH TAKBIR ALLAHUAKBAR..

NAMUN PAS IBARAT BARU SETAHUN JAGUNG KERANA MEREKA HANYA BIJAK MEMBANGKANG TETAPI DARI SEGI MENTADBIR PAS SEBENAR HANCUR LANGSUNG TIDAK BERKALIBER.

NAFSU BESAR PAS UNTUK MENGAMBIL ALIH KERAJAAN IBARAT ANGAN-ANGAN MAT JENIN YANG TIADA KESUDAHAN. KERANA KETAKSUBAN UNTUK MENJADI NO.1 PAS MENGGADAIKAN SEGALA HAK DAN PEGANGAN YANG DIPERJUANGKAN BEGITU MUDAH MEREKA MEMBUANG ASAS PERJUANGAN NEGARA ISLAM. HUDUD JANGAN DISALAHKAN KERAJAAN PUSAT KERANA PAS TIDAK LEBIH HANYA MENGGUNAKAN DEMI KEPENTINGAN POLITIK.

ADAKAH INI CONTOH KEPIMPINAN KERAJAAN YANG BOLEH MENJAMIN NASIB ORANG MELAYU DAN UMAT ISLAM.?

MUDAH MEMBUANG ASAS PERJUANGAN DEMI SATU UNDI YANG DITAGIH....

oyabun berkata...

Salam Bro..

Siri 1..
Muktamar ke 55, Persediaan PAS untuk menggantikan Umno!!!!!!!
( cita-cita Pas )....

Sesungguhnya Parti Islam Se-Malaysia (PAS), sedang berada di tahap paling baik dalam 58 tahun sejarah jatuh-bangun perjuangan politiknya. Natijah dari pelbagai dinamika politik nasional dan hasil kesediaan kepimpinan memposisi kepentingan perjuangan, PAS kini berada sekali lagi di kedudukan penting yang sekaligus menuntut parti Islam ini terus membuat beberapa pilihan strategik.

Paling kritikal, atas pilihan strategik ini pula akan ditentukan keupayaan dan kelangsungan PAS, samada untuk terus mara menempah kejayaan yang lebih besar atau berpatah balik seumpama yang disaksikan pasca-kejayaan PRU ke-10, yakni keputusan PRU ke-11 April 2004 yang mengembalikan PAS pada garis sokongan tegarnya, tidak lebih dan tidak kurang dari itu.

Maka di ambang Muktamar ke-55 ini, punya cita-cita besar bagi meletakkan seluruh kepimpinan parti, aktivis, pendukung dan pencintanya, supaya sedar dan insaf, bahawa sekali lagi, kita berada di persimpangan kritikal ini.

Umum bahkan dunia, sedang memerhatikan penampilan serta pengolahan 'Risalah Perjuangan Parti Politik Islam' ini, dalam persaingan mendominasi kuasa abad 21 Masihi-15 Hijrah.

Khususnya di persada pertarungan politik sebuah negara-bangsa yang punya demografi cukup plural atau majmuk, di segi pertentangan pelbagai tuntutan agama, etnik dan budaya yang bersifat 60:40 Islam:Bukan-Islamnya. Cabaran inilah yang cuba digarap dalam penulisan ini, bagi menyambung penulisan lalu "Meniti Tuntutan Perjuangan Pasca Muktamar ke-55".

Penulis ingin pertama-tamanya merakamkan perasaan terkilannya, bahawa polemik kepimpinan Ulama-Profesional telah menelan waktu, tenaga dan penumpuan yang agak keterlaluan.

Yang lebih penting dari kesemua itu sewajarnya ialah menekuni serta mentakrifkan tuntutan perjuangan yang bakal dipikul kepimpinan yang akan dipilih.

Dengan kejelasan itu, akan terserlah gandingan pasukan kepimpinan yang diperlukan bagi memantapkan lagi kepemimpinan Presiden memacu dan melonjakkan parti ke garis prestasi ke keluk yang seterusnya.

bersambung....

oyabun berkata...

Siri 2...sambungan

Maka membicarakan pilihan strategik di ketika ini adalah satu yang 'dhoruri' dan paling tidaknya sangat dihajatkan parti dalam rangka tuntutan kebijaksanaan perjuangan.

Menggantikan kepimpinan Umno bagi kelompok Islam-Melayu

Seperti yang ditegaskan kepimpinan tertinggi parti umpama Pengarah JK Pilihanraya PAS Pusat, waktunya telah tiba untuk mengambil alih kedudukan Umno selaku parti politik pilihan nombor satu untuk kelompok demografi pengundi Melayu-Islam di Negara ini.

Meski pun telah acap disebut termasuk salah seorang calon Timbalan Presiden, belum ada satu kejelasan strategi yang pernah dilakarkan kearah itu.

Sementara PAS berada di tahap paling kukuh dan kuat, Umno sebaliknya sedang berada di tahap paling lemah dalam laluan usia politiknya. Sebelum kita dikatakan berkhayal, PAS (dan Pakatan) perlu mengalahkan Umno dalam pertandingan 72 kerusi parlimen yang memiliki 2/3 majoriti Melayu-Islam dan 42 kerusi di mana yang majoriti mudahnya adalah pengundi Islam-Melayu. Selebih 51 kerusi parlimen yang lain adalah kerusi majoriti Bukan-Melayu, di mana 18 adalah kerusi majoriti 2/3 dan 33 adalah kerusi majoriti mudah Bukan-Melayu.

Jumlah kerusi pertarungan di Semenanjung ialah 165. Nah, perhatikan baik-baik apa maksud untuk menumbangkan Umno sebagai parti untuk orang Melayu-Islam.

Penulis, seorang optimis tegar seperti didakwanya, yakin bahawa objektif tersebut mampu dilakukan.

Telahan para 'pundit' politik meramalkan Umno tidak akan dapat memugarkan atau 'reengineer' kembali perjuangan sehingga parti Melayu terbesar itu mengalami kekalahan kuasa di peringkat Pusat dan belajar semula selepas menjadi pembangkang untuk satu jangka waktu.

Menarik tesis tersebut. Tidak mustahil kerana kemenangan disilih gantikan Allah SWT. (al-ayat) .

Pun begitu, di segi perhitungan politiknya PAS perlu mengalahkan Umno dalam pertandingan pilihanraya umum akan datang. Untuk ingatan, PAS bertanding dalam 64 kerusi parlimen di Semenanjung, sementara memenangi 27 kerusi.

bersambung...........

oyabun berkata...

Siri 3...........

Umno sebagai perbandingan, menguasai 78 kerusi di Semenanjung. Sebutan mengambil alih kedudukan Umno sebagai parti pilihan orang Islam-Melayu wajar menyedari tuntutan realitinya.

PAS dalam ukuran politik hari ini sudah melepasi kekangan prestasi tradisinya. Dulu, PAS hanya mampu menang dalam pertandingan kerusi-kerusi yang berada dalam 'Malay Belt' atau Kawasan Melayu di Utara dan Pantai Timur.

PAS telah memecahkan tembok ini dalam pola Politik Baru dan bersedia memenangi kerusi-kerusi campuran 60:40 bahkan lebih �mixed� dari itu seperti kerusi Kota Raja. Tegasnya PAS telah menemui formula dan resepi kejayaannya.

Persoalan buat kepimpinan kini ialah: Apakah yang perlu dilakukan kepimpinan parti untuk seterusnya merealisasikan cita-cita mengambil alih kedudukan Umno? Apakah yang bakal menghalang pencapaian objektif ini?

Bersama menggandingkan kekuatan menjatuhkan Umno-BN

Muktamar ke-55 ini juga membawa erti besar untuk parti Islam yang terbesar di negara ini, sekali lagi mempertegaskan komitmennya untuk menyaksikan tumbang kuasa yang telah memerintah negara selama lebih 5 desawarsa.

Lanjutnya kuasa ini telah menafikan negara dan rakyat mengecapi kesejahteraan hidup sebenar sesuai dengan kedudukan negara yang memilikki sumber per kapita antara tertinggi di dunia kerana pelbagai kebobrokan gelagat segelintir pemerintah yang sarat rasuah, kerakusan dan mementing diri.

Amalan demokrasi rosak sementara institusi kehakiman terus reput dan badan legislatif dicekik kuasa Eksekutif.

bersambung..........

oyabun berkata...

Siri 4 sambungan........

Media Baru memerdekakan rakyat dan pengundi. Tekanan ke arah pertanggungjawaban dan ketelusan menuntut kerajaan mendedahkan segala kecurangan yang dilakukan pihak pemerintah. Terkini skandal besar PKFZ yang bakal menelan RM12.8 bilion, sebagai 'mercu tanda' pengurusan sarat rasuah Umno-BN.

Umno-BN sudah sampai ke penghujung usianya. Mereka wajib di kalahkan dalam PRU ke-13 bagi mengangkat martabat, maruah dan daya saing negara.

Tidak ada kemungkaran yang lebih jelek dan membinasakan watak negara-bangsa ini amnya dan ummat Islam khususnya dari kehidupan yang menjauhkan manusia dari fitrahnya untuk memakmurkan bumi dan mensejahterakan kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

PAS bergandingan dengan komponen parti Pakatan Rakyat, KeADILan dan DAP, berupaya melakukan sesuatu yang ajaib dan bijak dalam Politik Permuafakatan atau Tahaluf Siyasi (Coalition Politics).

Sindrom takut kalah Umno, takut menang PAS

Di persimpangan 'Politik Transisi' yang serba tidak menentu ini, Umno jelas telah dihinggapi 'Sindrom Takut Kalah' atau 'Atichyphobia- Fear of Failures', sehingga sanggup memberi laluan mudah di Penanti. Umno akan terus dihantui ketakutan dahsyat ini sehinggalah dapat menjalani rawatannya.

Namun PAS juga ditanggapi menghadapi satu fenomena yang sama tetapi sedikit berlainan. Apa yang dialami PAS kini ialah 'Sindrom Takut Kejayaan - Fear of Success'.

PAS bukan takut dikalahkan tetapi lebih takut kejayaan akan mengakibatkan parti Islam kehilangan aAl-Asolahnya' atau 'Ketulenan keIslamannya' lantas curiga serta khawatir untuk menempuh 'jalan-jalan' yang ditanggapi bukan lebuhrayanya bahkan didakwa sesetengah pihak berpotensi membawa kelunturan, pelarutan dan penyimpangannya dari cita-cita perjuangannya.

Penulis memerhatikan bahawa di sebaliknya polemik Ulama-Profesional, tersirat secara lebih mendalam tekanan sindrom ini, khususnya kepada golongan tertentu yang tidak dapat mentasawurkan proses dan gelagat perubahan yang wajar di pacu PAS dalam persaingan di gelanggang politik pluralis yang punya matlamat yang saling bertentangan dan bersimpang-siur.

PAS sangat berhajatkan dirawat dengan tekunan ilmu yang lebih mendalam dan keberanian ijtihad para ulama harakinya untuk keluar dari bahana sindrom ini.

Kesimpulan

Di persimpangan kritikal ini juga, PAS perlu tahu bahawa Umno bukan kawan tapi lawannya. PAS wajar menegaskan bahawa Pakatan Rakyat adalah wasilah paling bijak bertepatan dengan tuntutan waqi� dan fiqh siyasi serta berpadanan dengan maslahah perjuangannya.

bersambung.........

oyabun berkata...

siri 5..........

PAS sangat perlu menekuni kebijaksanaan untuk menampilkan terus 'tag-line' - 'PAS Untuk Semua' dan 'Islam Untuk Semua' melalui program-program perjuangan yang lebih 'Inklusif' menggamit serta melebarkan tapak sokongan, sementara memperkukuhkan kemurnian agenda Islam bagi sokongan tegar Melayu-Islam.

Sebagai contoh kecil, sedikit waktu lalu beberapa tokoh muda ulama PAS cukup berani membicarakan tentang zakat yang harus dipanjangkan kepada golongan 'asnaf muallaf' termasuk yang bukan-Islam seperti yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Tegasnya, PAS wajar keluar dari kotak pemikiran terlalu 'fiqhiy' (legalistik) kepada paradigma pemikiran 'Usuliy dan Maqasidiy' (Prinsip dan Maksud) lantas berani memposisi Islam dengan lebih mantap lagi dengan hujjah tekunan ilmu Islam yang lebih 'daqiq' (mendalam) dan intelek yang lebih peka dengan realiti semasa.

Terlalu banyak yang perlu digarap termasuk hiburan, mua'malat kewangan-ekonomi, pembangunan sosial, pendidikan dan pertentangan perundangan itu sendiri.

Inilah antara pengisian agenda "Penampilan Agenda Politik Islam PAS" dalam persaingan era baru. PAS mengongsi Keadilan serta Kesejahteraan sistem Islam kepada semua dan Aqidah Islam kepada yang meyakini.

PAS tidak wajar mengulangi kesilapan pendekatan terlalu 'eksklusif' dan 'centrik' yang meminggir rakyat dan pengundi dan dalam kedudukan yang tidak difahami kecuali penyokong tegarnya di kawasan-kawasan tradisinya.

Kesemua ini adalah agenda kepimpinan yang wajar diperbahaskan dan dicermati dengan lebih mendetail dalam Muktamar yang mempersiapkan parti untuk menempah kejayaan yang sama-sama di ingini dan diperjuangkan.

Memang benar kejayaan bukan segala-galanya, namun segala-galanya menantikan kejayaan bagi melakasanakam cita-cita perjuangan!

Ditulis oleh ....AJK PAS

oyabun berkata...

Salam...Jawapan kepada artikel di atas ( AJK Pas )....

Ucapan balas Ds Nizar di DUN Perak sudah cukup untuk menjelaskan "di mana dalam perlembagaan pas, ada mengatakan hendak menegakkan negara Islam"...?????????

Wallahuallam

Salam perjuangan