Rabu, Jun 10, 2009

Masa Untuk Senada!

Wujud tanggapan bahawa perpecahan orang Melayu sehingga menampakkan kelemahan adalah sesuatu yang berlaku secara berkala. Dengan kata lain, ada masanya Melayu dilihat begitu kuat dan ada kalanya pula ikatan kekuatan itu mudah longgar. Dalam situasi yang dihadapi sekarang ramai percaya akan tiba waktunya perpaduan Melayu akan kembali utuh. Kali ini dengan momentum yang lebih besar akibat desakan melampau yang secara jelas mempertikaikan hak keistimewaan Melayu serta melanggar prinsip kontrak sosial yang sudah lama disepakati.

Persoalannya, bilakah masanya Melayu akan bersatu ( dengan kekuatan sebenar ) semula? Bagaimana ia akan berlaku? Kenapa ia perlu menunggu masa yang sesuai? Kenapa tidak Melayu itu sentiasa bersatu sejak dari dulu dan selamanya? Apakah boleh Melayu zaman ini mempunyai harapan untuk kembali bersatu? Apa pula petunjuk yang akan merealisasikan hasrat tersebut? Jawapan kepada semua persoalan ini terletak kepada pembaca tulisan ini.

Persepakatan Melayu mempunyai pengalaman yang berliku. Sejarah perpaduan Melayu menyaksikan persefahaman yang berlaku satu ketika dahulu cukup kuat. Walaupun dalam ruang ru- mah politik yang berlainan tetapi nada yang dilontarkan terhadap perkara yang berhubung dengan kepentingan Melayu cukup jelas, kemas dan sepakat. Langsung tiada rasa was-was atau cuba untuk meraih kepentingan sendiri.

Kesepakatan Melayu secara keseluruhan dapat dilihat sewaktu bersama menuntut kemerdekaan negara. Orang Melayu ketika itu bagaikan hanya memiliki 'satu hati' untuk mencapai matlamat tersebut. Malahan orang Melayu telah membuktikan bahawa mereka sanggup berkorban demi mencapai kemerdekaan dalam bentuk memberikan hak dan peluang kepada kaum yang bukan penduduk asal di dalam negara ini berkongsi negara dengan mereka. Merantaulah ke seluruh pelosok dunia pasti tak tercari bandingannya terhadap nilai 'pemberian' Melayu ini.

Atas dasar ini, maka tidak hairanlah satu ketika dahulu Tun Tan Siew Sin pernah mengatakan toleransi orang Melayu ini merupakan sesuatu yang perlu sentiasa dikenang dan kaum Cina tidak mampu untuk meminta lebih dari itu. Malangnya, terdapat juga suara kecil yang mengkritik 'pemberian' ini dan menganggap pemimpin Melayu bertindak bodoh. Tapi 'kebodohan' inilah yang menjamin mulut yang mengkritik serta keluarga mereka dapat merasai nikmat kemerdekaan dan keamanan hingga ke hari ini. Mereka wajar sedar bahawa tidak ada negara yang tidak merdeka ketika itu mampu mewujudkan kesejahteraan kepada rakyat apatah lagi untuk melaksanakan tugas-tugas kebajikan.

KEUPAYAAN

Namun, falsafah sebenar 'pemberian' Melayu ketika itu amat jarang diperkatakan iaitu sebagai satu bukti bahawa orang Melayu mempunyai keupayaan untuk menjaga kebajikan kaum lain. Inilah syarat utama yang diletakkan British jika Tanah Melayu ingin merdeka lebih 50 tahun yang lalu. Sejarah telah menyaksikan British akhirnya mengakui keupayaan Melayu untuk menjaga kebajikan kaum lain yang menjadi pemastautin di negara ini terutama kaum Cina dan India.

Sejarah juga telah melakarkan kita berjaya mengalahkan British yang pernah menang di dalam perang dunia ke-2. Tiada siapa yang berani melawan British ketika itu tetapi pada tahun 1957 pemimpin Melayu berjaya menewaskan mereka dengan hanya satu kekuatan iaitu kekuatan perpaduan.

Persepakatan Melayu yang kental, sekali lagi dapat dilihat pada tahun 1974. Ini berikutan setelah berlakunya peristiwa konfrantasi dan tragedi 13 Mei. Ke- sepakatan Melayu atas prinsip kerjasama ditonjolkan di dalam pilihan raya umum 1974. Satu kejutan (sebenarnya satu rahmat) apabila di dalam pilihan raya 1974, Pas membuat keputusan untuk menyertai Barisan Nasional (BN).

Hasilnya, UMNO bertanding 61 kerusi dan menang 61 kerusi. Pas pula bertanding 14 kerusi dan menang juga 14 kerusi. Apakah maknanya kemenangan sebegini terhadap penyatuan Melayu? Sekali lagi pembaca budiman perlu menilainya. Dalam hal ini, siapa kata Pas tidak sanggup berkorban untuk Melayu? Bahkan tindakan Pas ketika inilah menjadikan semangat Melayu semakin kental. Walaupun cerita ini cerita 35 tahun yang lalu tetapi pengorbanan Pas di waktu itu wajar dihargai.

Namun alangkah baiknya jika semangat Pas seperti ini terus hidup. Untuk melihat Pas menyertai BN semula mungkin sukar walaupun tidak mustahil berlaku. Tetapi untuk Pas meneruskan perjuangan dan meraih sokongan yang lebih besar wajar diusahakan. Itu lebih baik daripada Pas terikut dengan rentak politik 'merbahaya' Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Malang juga kerana sekarang ini sudah kelihatan seorang dua pemimpin kanan Pas mudah goyah dengan permainan po- litik kotor PKR. Mustahil kepada Pas untuk tidak memahami perjuangan sebenar PKR. Pas bukanlah sebuah parti baru yang masih perlu ditunjuk ajar. Jika Pas mahu mengekalkan pengaruh tradisinya sewajarnya mereka mengenepikan cara politik yang dibawa pemimpin PKR, Anwar Ibrahim. Pas pastinya jelas bahawa menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat melalui jalan belakang adalah saluran yang tidak demokratik. Bahkan satu perbuatan yang tidak bertamadun. Mahukah nanti Pas ingin turut sama digelar 'Bapa Kemusnahan Demokrasi Malaysia'?

Walaupun PAS kini mewakili pembangkang namun alangkah baiknya jika Pas memegang prinsip sendiri serta turut memainkan peranan sebagai 'penjaga' demokrasi negara.
Inilah juga masanya bagi Pas untuk merebut peluang bagi menyakinkan seluruh rakyat bahawa mereka juga mampu mentadbir negara sebagaimana UMNO (BN) lakukan sebelum ini. Pas hanya perlu menunggu masa dan peluang.

BERTINDAK

Kenapa tiba-tiba harapan ini disandarkan kepada Pas? Jawapannya terang lagi bersuluh kerana dalam pada kepentingan Melayu dipertikaikan secara terbuka, UMNO yang selama ini diharapkan tidak mampu untuk bertindak segera. Sebaliknya UMNO dilihat lebih berminat menumpukan usaha untuk merebut jawatan.

Kenyataan ini wajar dibaca secara positif. Tidak mustahil orang Melayu akan sepakat mengharapkan Pas jika UMNO terus leka dengan perebutan dalaman yang tiada penghujung. Jika UMNO ikhlas mereka perlu mengiktiraf pemimpin sedia ada, eratkan persefahaman serta mengenepikan soal pangkat dan jawatan. Kalau ini tidak berlaku, UMNO bakal meniti hari kemusnahan.

Harapan kepada PKR tentulah jauh sekali kerana pendekatan yang dibawa jelas menyimpang daripada prinsip murni demokrasi. Hanya segelintir sahaja yang terpesona. Mahukah kita membenarkan PKR berjaya menanam 'benih songsang' terhadap demokrasi negara?
Perjuangan yang berlandaskan dendam kesumat. Perjuangan seperti ini wajar kita orang Melayu tolak sama sekali tanpa perlu berfikir panjang.

Dalam menghadapi apa yang sedang berlaku maka sewajarnya kita memilih untuk memikirkan yang terbaik. Berfikirlah untuk kemajuan agama, bangsa dan negara. Masa ini bukannya masa untuk menjatuhkan kerajaan yang telah dipilih. Lebih penting, masa ini adalah masa untuk kita senada, seia dan sekata.

Suara politik
Taminsari

5 ulasan:

Unknown berkata...

Kita akan menjadi bangsa yang terkuat apabila kita bersatu dan tiada siapa dapat menggugat kita apabila kita bersatu.

Salam Perjuangan

Pejuang berkata...

Perkataan keramat 'KERAJAAN PERPADUAN' ini sebenarnya sangat2 mengembirakan orang melayu/Islam yang sedar bahawa negara kita ini sudah mula dikuasai oleh kaum kafir.

Sebenarnya orang melayu/Islam tidak pernah berpecah belah. Yang berpecah belah itu cuma fahaman politik nya sahaja. Walaupun ianya dilihat tidak menjejaskan perpaduan melayu/Islam, tetapi ianya sangat merugikan kaum melayu/Islam.

Taminsari berkata...

Salam The Infinity & Pejuang.

Saya amat bersetuju dengan pendapat saudara berdua. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Hidup Melayu.

Salam perjuangan

AntiHero berkata...

hanya org giler,lalok dan pengkhianat saja yg menentang perpaduan melayu.
dan mereka itu adalah anwar,dap,hindraf dan nik ajis and the geng

AntiHero berkata...

hanya org giler,lalok dan pengkhianat saja yg menentang perpaduan melayu.
dan mereka itu adalah anwar,dap,hindraf dan nik ajis and the geng

saudar minta izin link kan blog saudara di antihero2009.blogspot.com