Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Isnin, November 16, 2015
Hadi cabar Husam bersumpah?
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mencabar bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Husam Musa untuk bersumpah bagi membuktikan dakwaannya bahawa wujud usaha penyatuan antara PAS dan juga UMNO.
"Kalau dia beranggapan apa yang dia katakan itu betul dan apa yang kami (PAS) katakan adalah bohong, maka silakan bersumpah," katanya pada program Dewan Muslimat PAS di sini, hari ini.
Beliau berkata, PAS Pusat juga sedang menunggu laporan daripada PAS Kelantan berhubung kenyataan Husam yang mengkritik kepemimpinan beliau.
"Sebarang tindakan yang diambil ke atas Husam perlu dibuat mengikut prosedur Jawatankuasa Disiplin yang perlu bertindak berdasarkan laporan terlebih dulu.
"Kita tidak boleh mengambil tindakan berdasarkan apa yang tertulis di laman media sosial atau sumber yang tidak diyakini namun buat masa ini, kita belum lagi menerima laporan berhubung tindakan Husam," katanya.
Husam sebelum ini menegaskan sanggup bersumpah talak isteri bagi membuktikan kenyataannya itu adalah benar.
Suara Politik
Belantan
Ahad, November 15, 2015
Tiada lagi air percuma selepas 2016?
Kerajaan PKR Selangor hari ini tidak memberi jaminan pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu yang diterima rakyat sejak 2008 akan diteruskan selepas 2016 apabila memutuskan untuk menaikkan tarif air sebaik sahaja proses pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash) selesai.
Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, skim itu tidak semestinya boleh diteruskan untuk tahun-tahun seterusnya kerana pemberian berkenaan bergantung pada kedudukan kewangan kerajaan negeri.
“Air percuma bagi 2016 akan diteruskan tetapi bagi tahun-tahun berikutnya, kita akan lihat kemampuan kewangan kerajaan negeri.
“Pada masa sama, kita (kerajaan negeri) telah bincangkan baru-baru ini bagaimana skim air percuma yang menelan kos begitu besar sebanyak RM170 juta setahun dapat dimanfaatkan oleh kumpulan sasar yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Mohamed Azmin (PKR-Bukit Antarabangsa) berkata demikian ketika menjawab pertanyaan tambahan Tiew Way Kang (DAP-Teratai) sama ada kerajaan negeri akan meneruskan skim air percuma sebanyak 20 meter padu untuk tempoh lima tahun akan datang.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut mengulas mengenai penstrukturan industri air di Selangor yang mana kepentingan ekuiti syarikat konsesi seperti Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas); Puncak Niaga Holdings Berhad dan Konsortium Abbas Sdn. Bhd. (Abbas) ditanggung oleh Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) menerusi pemindahan aset air dan tanah bernilai RM2 bilion kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
Bagaimanapun, mengenai rundingan pengambilalihan Splash, beliau menyatakan, syarikat itu telah diberikan tempoh sehingga September tahun depan untuk memuktamadkan perjanjian mengenai perkara itu dengan kerajaan negeri.
Suara Politik
Belantan
Sabtu, November 14, 2015
Langat 2: Azmin cuba salahkan Pusat?
Kerajaan PKR Selangor cuba menyalahkan Kerajaan Persekutuan berhubung kelewatan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) sehingga menyebabkan negeri ini bakal berdepan dengan kekurangan bekalan air menjelang 2017 hingga 2019.
Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan negeri juga terpaksa membina dua loji rawatan air baharu iaitu Loji Rawatan Air Semenyih 2 di Hulu Langat dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang di Kuala Langat yang menelan belanja sebanyak RM800 juta sementara menanti siapnya projek Langat 2.
“Kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan bajet yang besar untuk menyelamatkan keadaan bagi kepentingan rakyat kerana Kerajaan Persekutuan gagal menyiapkan Langat 2 mengikut tempoh ditetapkan.
“Kedua-dua projek itu adalah penyelesaian segera bagi mengurangkan segala kemungkinan kekurangan air antara 2017 hingga 2019 berikutan kelewatan projek Langat 2,” katanya ketika sesi penggulungan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, kerajaan negeri boleh menjimatkan wang rakyat sebanyak RM800 juta sekiranya tidak melengah-lengahkan pembinaan Langat 2 yang dirancang khusus bagi menangani masalah bekalan air bersih untuk rakyat.
Tambah Noh, meskipun kerajaan negeri menyatakan telah memberi kelulusan terhadap beberapa permohonan dan dokumentasi Langat 2 pada Julai lalu, pembinaan projek itu sepatutnya sudah siap dan mula beroperasi tahun lalu sekiranya mereka memberi kerjasama kepada Kerajaan Pusat lebih awal lagi.
Suara Politik
Belantan
Rabu, November 11, 2015
Tarif air di Selangor naik selepas pengambilalihan syarikat konsesi air...!!! Adakah rakyat sedang diperbodohkan?
Kerajaan Selangor tetap akan menaikkan tarif air setelah proses pengambilalihan keempat-empat syarikat konsesi air di negeri ini selesai, kata Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata, sehingga kini hanya Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) masih dalam proses rundingan pengambilalihan, manakala proses bagi tiga lagi konsesi iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Konsortium ABBAS Sdn Bhd (ABBAS) dan Puncak Niaga Holding Berhad (PNHB) berjaya diselesaikan.
"Pasti akan ada kenaikan tarif air ini kerana kos bagi proses pengambilalihan itu adalah untuk memastikan perkhidmatan air berkualiti dan efektif.
"Bagaimanapun kita jamin kenaikan tarif ini tidak akan membebankan rakyat negeri Selangor," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mat Nadzari Ahmad Dahlan (BN-Batang Kali) berkaitan kenaikan tarif air di Selangor.
Katanya, sebelum ini, kerajaan negeri telah menawarkan RM250 juta kepada SPLASH namun jumlah tersebut ditolak syarikat berkenaan.
"Tempoh rundingan untuk pengambilalihan SPLASH akan berakhir September 2016 dan kerajaan negeri akan pastikan proses tersebut selesai dalam tempoh tersebut.
"Berhubung perkara itu, kerajaan negeri telah melantik penilai bebas untuk melihat apa nilai yang adil untuk mengambil alih syarikat konsesi air berkenaan," katanya.
Mohamed Azmin berkata kos pengambilalihan tiga syarikat konsesi lain adalah berjumlah RM1.68 bilion yang mana Puncak Niaga Holding Berhad (PNHB) sebanyak RM1.07 bilion, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) (RM0.52 bilion) dan Konsortium ABBAS Sdn Berhad (ABBAS) (RM0.09 bilion).
Suara Politik
Belantan
Selasa, November 10, 2015
Pas dahulu bukanlah yang sekarang?
Penganalisis politik berpandangan Pas bakal menjadi parti pembangkang yang memainkan peranan lebih besar berbanding parti lain di negara ini meskipun sekarang parti Islam itu dilihat agak berkecamuk.
Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamat berkata, apa yang dilalui Pas hari ini hanya sementara sebagai proses peralihan.
"Apa yang berlaku sekarang dalam Pakatan Harapan meletakkan Pas di luar kerjasama itu. Situasi ini dinamakan sebagai peralihan dan ia memang seolah-olah menampakkan peranan yang berkecamuk tetapi Pas itu sendiri mempunyai dasar parti dan hala tuju yang jelas, jadi, tidak menjadi masalah kepada proses sementara ini.
"Kerana pada masa akan datang itu, kita dapat lihat Pas yang 'moderate' ini akan dapat memainkan peranan yang lebih besar kepada negara.
"Ketika peralihan ini, kita akan nampak tindakan Pas itu kadang-kadang bercelaru namun masih jelas dasar partinya," katanya disini hari ini.
Menurutnya lagi, Pas hari ini dilihat lebih bersederhana dan jauh berbeza dengan sejarah parti itu.
"Kita lihat perkembangan Pas hari ini yang bergerak ke arah lebih 'moderate'... lebih bersederhana. Ini berbeza dengan sejarah Pas yang terdahulu.
"Ini satu proses evolusi parti yang baik untuk Pas itu sendiri dan juga perkembangan politik negara," katanya.
Sementara, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat, Pas kini dilihat lebih melihat isu berbanding hala tuju parti.
"Jika Pas mahu berperanan begitu (seperti pembangkang di luar negara), saya tak tahu sama ada boleh dikatakan Pas itu sudah matang ataupun tidak tapi nampak sekarang ini Pas lebih melihat kepada isu berbanding dengan parti itu ke arah mana dia nak bawa.
"Mungkin itu dasar yang Pas ambil tapi realistik atau tidak keputusan Pas itu, kita belum nampak lagi. Jadi kita nak tengoklah apa yang Pas nak buat seterusnya," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, konsep kerajaan dan pembangkang di negara ini perlu diubah segera bagi memastikan kita mampu mencapai kematangan berpolitik.
"Pembangkang ini tidak sepatutnya membangkang semua perkara. Kena lihat isu atau dasar yang dibawa kerajaan yang difikirkan elok, tiada masalah sekiranya dia menyokong. Jika mengkritik pun, mengkritik secara konstruktif untuk menambah baik dasar tersebut.
"Tapi di Malaysia, nampak banyak isu yang dibawa kerajaan itu dikritik, dibantah oleh pembangkang tanpa hujah yang rasional tapi kadang-kadang ada juga yan rasional cuma banyak yang tak rasional lah.
"Jadi, konsep kerajaan dan pembangkang di Malaysia kena ubah bagi menunjukkan kematangan yang perlu ada dalam membincangkan isu-isu tertentu. Jika tidak, sampai bila pun kita tidak sampai ke tahap kematangan berpolitik dalam negara," katanya.
Menyebut tentang konsep pembangkang di luar negara termasuk Amerik Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), Azizuddin berkata, ahli parti kerajaan tidak semestinya menyokong semua dasar kerajaan manakala pembangkang juga tidak membangkang semua perkara.
"Seperti di AS, ahli parti kerajaan pun ada yang tidak bersetuju dengan dasar-dasar kerajaan. Walaupun berjuang duduk dalam parti politik, tapi mereka tengok isu. Kemungkinan juga ahli dalam parti pemerintah boleh menyerang, tidak semestinya pembangkang yang menyerang.
"Di UK pun begitu juga. Bergantung kepada isu, dasar yang nak dibentuk. Dalam konteks demokrasi matang, ia tidak melihat kesetiaan buta (blind loyalty) kepada parti. Mereka boleh menyerang dan mempertahankan dasar-dasar yang dibuat. Kadang-kadang pembangkang pula yang bersetuju dengan dasar kerajaan. Pendekatan itu berbeza dengan negara kita," katanya.
Tambahnya, di Malaysia, konsepnya lebih kepada 'party oriented' berbanding 'issue oriented'.
Suara Politik
Belantan
Ahad, November 08, 2015
Apa motif Husam dedah niat Abdul Hadi?
Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa sekali lagi 'menyerang' partinya apabila mendakwa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengaku pernah merancang untuk bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor.
Pendedahan itu dibuat melalui sedutan video rakaman ceramah di Pasar Kedai Mulong, Kota Bharu yang dikongsi di Facebooknya, hari ini.
"Presiden kita mengaku bahawa dia pernah menawarkan kepada dua, tiga orang Adun PKR masuk Pas nak buat kerajaan dengan Umno di Selangor.
"(Penonton) Ada yang tak pernah dengar tentang ini. Saya cakap terus terang malam ini, Presiden nak marah, marahlah," katanya.
Malah beliau mendakwa pengakuan itu dibuat bukan kepada dirinya sahaja sebaliknya ada pemimpin lain.
"Presiden mengaku. Dia sendiri mengaku ketika ditanya ramai-ramai. Bukan saya seorang tapi ramai-ramai. Maksudnya apa? Niat di hati sudah ada tapi oleh kerana rakyat jelata tak boleh nak terima lagi...Bila campak (idea) penasihat, bagaimana? (reaksi rakyat).
"Kalau presiden kata tidak (berlaku), sila nafi. Kalau presiden tanya, kenapa (saya) beritahu, saya tanya balik, kenapa buat? Kalau presiden tak buat, saya tak tanya," katanya yang berucap dalam dialek Kelantan.
Beliau dipercayai merujuk kepada kenyataan Abdul Hadi baru-baru ini yang dilaporkan menyatakan kesediaan parti itu menjadi penasihat dan pembantu sekiranya Umno mengubah dasar pemerintahan.
"Kita bukan gilakan kuasa atau mahu menguasai Putrajaya. Sekiranya mereka enggan terima nasihat atau pandangan, barulah kita akan ambil pendekatan lain iaitu ‘ambil alih’ pemerintahan.
“Kita sekarang mahu perbetulkan kerajaan, bukan mahu ikut kerajaan atau berebut jawatan. Kita sekarang bukan mahu jatuhkan Perdana Menteri tetapi mahu perbetulkan dasar yang dibawa,” kata Abdul Hadi.
Suara Politik
Belantan
Anwar berpesan dari dalam penjara - Henti 'ganggu' Dr M kerana kritik PM?
Bekas Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menegaskan, 'gangguan' perlu dihentikan segera terhadap Tun Dr Mahathir Mohamed dan beberapa individu lain hanya kerana mengkritik kelemahan pentadbiran kerajaan BN.
Dalam satu perutusan melalui peguamnya pada Jumaat, Anwar menyuarakan kebimbangannya apabila bekas 'bosnya' itu telah disoal siasat serta diambil keterangan oleh polis.
"Beliau tidak melakukan sebarang jenayah apabila bertanyakan soalan dan menyuarakan kritikannya terhadap Perdana Menteri mengenai krisis 1MDB.
"Daripada menyiasat Dr Mahathir, kerajaan seharusnya menjawab soalan yang diajukan itu, yang turut menjadi tanda tanya oleh rakyat biasa," kata Anwar dalam kenyataan itu.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melambaikan tangan kepada petugas media selepas diambil keterangan oleh polis di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur, 6 November 2015.
Semalam, polis dipercayai merakam keterangan bekas Perdana Menteri itu berhubung kenyataan yang dibuat di Pasar Seni pada perhimpunan Bersih 4.0, Ogos lalu.
Menurut laporan akhbar tempatan, polis menjalankan rakaman kenyataan Dr Mahathir di pejabat beliau di Yayasan Albukhary, di ibu negara, pada jam 11 pagi semalam.
Menurut Anwar juga, tindakan menyoal siasat mana-mana individu yang mengkritik kerajaan membuktikan hak demokrasi rakyat kian terancam.
"Jika beginilah caranya layanan terhadap Dr Mahathir, hak demokrasi rakyat Malaysia berada di tahap yang sangat terancam.
"Saya telah menyaksikan ketegangan kuasa autoritarianisme yang berada di tahap buruk dan sangat membimbangkan," ujar Anwar.
Anwar berkata lagi, usaha 'menutup mulut' pengkritik kerajaan hanya akan memburukkan lagi krisis keyakinan rakyat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
Suara Politik
Belantan
Sabtu, November 07, 2015
Benarkah kecederaan bersifat kronik, maka Anwar perlu dibedah?
Ketika perbicaraan kes liwat, Anwar begitu gumbira sekali berlari di hadapan mahkamah
Panel yang merawat Anwar Ibrahim sedang menunggu keputusan sama ada bekas ketua pembangkang itu perlu menjalani pembedahan bagi merawat kecederaan kronik pada bahu kanannya.
Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Kesihatan berkata, Anwar mengalami kecederaan di bahu kanan beberapa tahun lepas akibat koyakan otot bahu.
Kecederaan itu dialaminya lama sebelum beliau dijatuhi hukuman.
Kementerian itu berkata, seperti yang diperuntukkan Akta Penjara 1995 (Akta 537), satu panel perunding kanan kerajaan dilantik untuk memeriksa dan merawat Anwar ketika beliau berada di penjara.
Berdasarkan dapatan panel itu, kecederaan pada bahu kanan Anwar bersifat kronik dan ini disahkan melalui pengimejan, kata kenyataan itu.
Ketika negara dilanda banjir besar, Anwar pergi bercuti bersama keluarga
Mengenai syor panel berkenaan, kementerian itu berkata ahli fisioterapi mengajar Anwar beberapa senaman untuk dilakukannya setiap hari di penjara.
"Beliau diperiksa dalam jarak kekerapan tertentu bagi menilai kekekuatan ototnya dan berdasarkan dapatan itu, Anwar telah beralih kepada set senaman seterusnya. Ini adalah kaedah standard dalam terapi bagi seseorang yang mengalami keadaan serupa," menurut kenyataan itu.
Kementerian tersebut berkata, panel perunding berkenaan menjemput tiga lagi perunding ortopaedik, yang merupakan pemimpin pendapat dalam bidang itu, untuk memberi pendapat kedua serta mengundang seorang pakar bedah ortopedik pilihan Anwar untuk memberi pendapat ketiga.
Laporan yang dikemukakan kepada panel itu menyebut bahawa ketiga-tiga pendapat memberi opsyen rawatan yang sama, tetapi tidak satu pun mengesyorkan fisioterapi intensif.
"Oleh kerana satu daripada opsyen dalam ketiga-tiga pendapat itu ialah pembedahan, maka prosedur ini dijelaskan secara terperinci kepada Anwar dan keluarganya," tambah kenyataan itu.
Ketika kempen PRU 13, nampak kuat pula tangan Anwar menghayun penumbuk
Menurut kementerian berkenaan, pembedahan jenis berkenaan bagi merawat keadaan serupa, dilakukan secara berkala di hospital utama kerajaan di Malaysia.
"Opsyen itu ditawarkan kepada Anwar lebih kurang empat minggu lepas dan panel berkenaan kini menunggu keputusan Datuk Seri Anwar mengenainya," menurut kenyataan itu.
Menurut kementerian itu, panel berkenaan merawat Anwar secara profesional dan memberi penjagan sewajarnya kepada beliau, sejajar dengan keadaan klinikal.
"Keadaan beliau dikaji secara berkala oleh doktor di Penjara Sungai Buloh dan panel itu," katanya.
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh setelah Mahkamah Persekutuan pada 10 Febuari lepas mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008.
Suara Politik
Belantan
Khamis, November 05, 2015
Rakyat tolak kerakusan DAP?
Kerakusan DAP dalam usaha menawan Putrajaya sehingga membelakangkan faktor keharmonian masyarakat dan kestabilan politik akan menyebabkan parti itu ditolak oleh rakyat.
Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, hakikat itu lambat-laun akan disedari oleh rakyat termasuk kaum Cina sekali gus menyebabkan mereka menolak DAP pada pilihan raya umum akan datang.
Menurut beliau, sikap rakus DAP kebelakangan ini semakin terserlah dengan tindakan mereka ‘menunggangi’ parti-parti lain dalam pakatan pembangkang baharu serta beberapa aktivis Melayu yang menyertai DAP.
“Tindakan DAP mengisytiharkan keputusan mereka untuk bertanding di kerusi-kerusi yang dimenangi Pas di Selangor jelas membelakangkan Parti Amanah Negara (Amanah) yang diyakini mempunyai keinginan bertanding di kerusi yang sama.
“Selain itu, DAP terus mendesak Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali untuk menyingkirkan Exco Pas dan jelas sekali DAP kini cuba memperbudak-budakkan parti-parti lain dalam pakatan pembangkang baharu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam Konvensyen DAP Selangor di Petaling Jaya semalam, Pengerusi DAP Kajang Baru, Chiong Yoke Kong dilaporkan menggesa kepemimpinan tertinggi parti itu memberi kata dua kepada Mohamed Azmin supaya memecat wakil rakyat Pas dalam pentadbiran negeri.
Konvensyen sama turut menyaksikan bekas Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Abdul Aziz Bari serta dua aktivis Melayu DAP, Syefura Othman dan Edry Faizal Eddy Yusof dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP Selangor.
Di samping itu, DAP Selangor juga dikatakan sedang membuat persiapan untuk meletakkan calon-calonnya bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili Pas di Selangor.
Mohd. Zuhdi menambah, Pusat Penyelidikan Pas telah mengkaji strategi dan unjuran DAP untuk menguasai negara ini melalui pakatan pembangkang iaitu dengan memaksimumkan kemenangan calon-calon bukan Islam serta meminimumkan kemenangan calon-calon Islam.
Beliau memberitahu, pemerhatian yang dilakukan semasa Pas masih menjalinkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan DAP mendapati, parti itu mengambil pendekatan memainkan isu-isu sensitif berkaitan sentimen agama dan kaum termasuk isu kalimah Allah serta menolak dasar-dasar afirmatif seperti Dasar Ekonomi Baharu (DEB).
“Ketika itu, Pas sentiasa menjadi halangan utama disebabkan manipulasi isu seperti ini akan merugikan pakatan pembangkang secara keseluruhan,” jelasnya.
Mohd. Zuhdi berkata, DAP kini dilihat mengamalkan pendekatan tersebut dengan menyerang kepentingan umat Islam, tidak menghormati institusi Melayu, memperlekehkan kepemimpinan Islam dan menyebarkan sentimen anti-Melayu.
Beliau berpandangan, DAP sepatutnya menerima realiti akar umbi sejarah, latar belakang budaya dan susur-galur nilai yang membentuk struktur sosial serta tata cara politik di negara ini.
Suara Politik
Belantan
Isnin, November 02, 2015
Kata dua DAPig Selangor - Mahu Azmin pecat Pas atau DAP keluar?
Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menerima tamparan apabila DAP Selangor memberi kata dua untuk memecat wakil rakyat Pas dari pentadbirannya.
Ini berikutan seorang perwakilan pimpinan tertinggi parti itu memberi tempoh memecat wakil rakyat Pas daripada Kerajaan Selangor atau DAP sendiri akan keluar dari pentadbiran kerajaan negeri itu.
Pengerusi DAP Kajang Baru, Chiong Yoke Kong berkata, Pas sudah memungkiri janji dalam Pakatan Harapan dan mahu pimpinan tertinggi DAP memberi tempoh kepada Mohamed Azmin untuk pecat wakil rakyat Pas atau DAP keluar dari pentadbiran kerajaan negeri.
"Sekiranya Azmin gagal memecat wakil rakyat Pas Selangor, pimpinan DAP harus tidak teragak-agak keluar daripada Kerajaan Selangor.
"Bagaimanapun terpulang kepada pimpinan tertinggi DAP menetapkan tempoh masa kepada Azmin, tetapi ia harus dilaksanakan dengan segera," katanya semasa sesi bahas dalam Konvensyen Tahunan Negeri Selangor 2015 di Petaling Jaya, hari ini.
Dalam pada itu, DAP Selangor mendapat sokongan penuh daripada Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berhubung keputusan parti itu yang mahu bertanding merebut kerusi Pas pada PRU14.
Keputusan berkenaan diambil setelah mengambil kira kedudukan DAP yang masih bersama dalam pentadbiran Kerajaan Selangor untuk meneruskan perjuangan Pakatan harapan
Guan Eng berkata, tanpa DAP, Pakatan Harapan tidak boleh dilaksanakan, sebab itu DAP kena ada dalam Selangor.
"Kita kena pastikan beberapa dasar yang dibuat memihak kepada rakyat Selangor,” katanya
Kelmarin media melaporkan, Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua mengumumkan persiapan meletakkan calon dan bertanding di lapan kerusi Dun di Selangor yang kini dipegang oleh wakil rakyat Pas.
Lapan kawasan itu Dun itu adalah Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Sri Serdang, Meru, Chempaka, Dusun Tua dan Tanjung Sepat.
Suara Politik
Belantan
Kotak hitam pesawat Rusia ditemui!
Bangkai pesawat Rusia yang terhempas
KAHERAH – MESIR. Pasukan penyelamat berjaya menemui kotak hitam pesawat Rusia, Kogalymavia 9268 (KGL-9268) yang terhempas di kawasan pergunungan terpencil Mesir di Semenanjung Sinai, semalam.
Memetik laporan The Telegraph, kotak hitam tersebut yang mana kedudukannya terletak di bahagian ekor pesawat telah ditemui sebelum dihantar kepada pakar untuk dianalisa.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri Mesir, sehingga kini, pasukan penyelamat berjaya memindahkan 129 mayat dari lokasi nahas untuk dibawa ke rumah mayat di Kaherah.
Difahamkan, pesawat tersebut membawa 217 penumpang dan tujuh anak kapal.
Ia terhempas 20 minit sesudah berlepas dari pusat peranginan terkenal di Laut Merah, Sharm el-Sheikh, Mesir ke St Petersburg, Rusia.
Sebelum terhempas, pesawat tersebut dilaporkan hilang dari radar di ruang udara Cyprus.
Dalam pada itu Perdana Menteri Mesir, Sherif Ismail yang melawat tempat kejadian memaklumkan, peluang pasukan penyelamat menemui mangsa yang terselamat adalah tipis.
Pihak berkuasa ketika ini masih menyiasat punca sebenar nahas.
Sebelum ini,kumpulan militan IS mendakwa bahawa pihaknya bertanggungjawab menembak jatuh pesawat berkenaan.
Bagaimanapun kenyataan tersebut disanggah perdana menteri Mesir dengan mengatakan bahawa pesawat tersebut tidak boleh dijatuhkan dalam mana-mana ketinggian.
Manakala Menteri Penerbangan Awam, Mesir Hossam Kamal berkata, pihaknya tidak menolak berlaku sebarang masalah dalam penerbangan terbabit.
Suara Politik
Belantan
Ahad, November 01, 2015
Pesawat terhempas - Rusia umum berkabung, Mesir nafi angkara militan?
MOSCOW - RUSIA. Presiden Rusia, Vladimir Putin mengisytiharkan esok (Ahad) sebagai hari berkabung selepas pesawat penerbangan Kogalymavia 9268 terhempas di Sinai, Mesir hari ini.
Kedutaan Rusia di Mesir memberitahu, proses mencari dan menyelamat termasuk mencari mayat mangsa penerbangan tersebut masih berjalan.
Seramai 224 penumpang termasuk anak kapal dan 17 kanak-kanak dikhuatiri terbunuh.
Kementerian Penerbangan Awam juga menghantar satu pasukan penyiasat ke kawasan pesawat tersebut ditemui terhempas, hari ini.
Walaupun terdapat dakwaan aktiviti militan IS di Sinai, Mesir menafikan kemungkinan pesawat tersebut diserang oleh militan.
Sementara itu, media Rusia mendedahkan juruterbang pesawat Airbus 321 berkenaan cuba mendapatkan kebenaran mendarat kecemasan di sebuah lapangan terbang di Sinar sebelum terputus hubungan.
Jabatan Kesihatan Sinai juga menisytiharkan darurat selain menghantar lebih 50 ambulans ke tempat kejadian.
Suara Politik
Belantan
Sabtu, Oktober 31, 2015
Panass...!!! AirAsia runding jual syarikat?
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dilaporkan sudah mula mengadakan perbincangan bersama pihak bank bagi mengambil alih syarikat penerbangan tambang murah itu pada nilai AS$200 juta (RM859.82 juta).
Menurut laporan Reuters, perkara berkenaan ekoran harga saham syarikat penerbangan berkenaan yang dikatakan telah jatuh merudum.
Selain itu, usahawan dan rakan kongsi perniagaan beliau, Datuk Kamarudin Meranun yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X Berhad (AirAsia X), turut dilaporkan meminjam wang ke atas 19 peratus pegangan tidak langsung mereka dalam AirAsia daripada Credit Suisse dan CIMB Bank (CIMB) untuk membantu dana usaha niaga swasta terbabit.
Jelas laporan itu, kejatuhan dalam harga saham AirAsia telah membawa kepada pelanggaran syarat-syarat cagaran pinjaman dan menurut dua sumber, ia adalah salah satu sebab mengapa kedua-dua ahli perniagaan tersebut memulakan rundingan kepada pembelian kuasa pengurusan.
Dalam pada itu, ketika dihubungi, jurucakap AirAsia menolak untuk memberi sebarang komen berkaitan hal itu malah menurut Reuters, Fernandes dan Kamarudin pula tidak membalas emel yang dihantar bagi mendapatkan penjelasan.
Kewujudan pinjaman berkenaan yang tidak pernah didedahkan kepada umum adalah disebabkan transaksi yang bersifat peribadi mula menunjukkan sedikit sebanyak hala tuju serta masa depan syarikat penerbangan berkenaan yang juga merupakan pelanggan utama kepada Airbus di Asia kini terikat kepada pelaburan lain daripada pengasasnya, jelas laporan itu.
Malah mengikut dua sumber yang mempunyai pengetahuan berkaitan situasi itu, pinjaman telah dilakukan bagi membantu membiayai pembelian pada tahun 2011 oleh syarikat induk Fernandes iaitu Tune Group.
Untuk pinjaman saham yang disokong ia merupakan perkara biasa yang berlaku dalam kalangan hartawan di rantau ini, memerlukan sejumlah besar cagaran kerana mereka tertakluk kepada turun naik pasaran saham dan ia adalah situasi yang kurang jelas sekiranya Fernandes dan rakan perniagaannya telah meminta untuk pinjaman yang segera secara rasmi.
Namun begitu, tiada bukti mengatakan sama ada Fernandes atau Kamarudin yang telah memulakan empayar perniagaan yang dianggarkan bernilai melebihi nilai pinjaman saham yang disokong itu dan tidak berkemampuan untuk membayar kembali wang pinjaman itu.
Sementara itu, jurucakap Credit Suisse yang berpangkalan di Hong Kong serta CIMB turut menolak untuk memberikan maklum balas ataupun komen.
Suara Politik
Belantan
Jumaat, Oktober 30, 2015
Justo akan saman tiga pihak terima datanya di Singapura?
Warga Switzerland, Xavier Andre Justo, yang kini menjalani hukuman penjara tiga tahun di Thailand kerana cuba memeras bekas majikannya PetroSaudi International, akan menyaman pemilik kumpulan media The Edge dan eksekutif tertingginya serta editor Sarawak Report di Mahkamah Tinggi di Singapura.
Justo mahu Toong Kooi Ong dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Penerbit The Edge Communications Sdn. Bhd., Ho Kay Tat, serta pengasas-editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown memulangkan data yang telah diserahkannya kepada mereka, menurut sumber yang berkaitan dengan kes itu.
Sumber itu memberitahu Bernama bahawa saman itu dijadual didengar di Mahkamah Tinggi di Singapura pada 4 November ini.
Saman itu akan difailkan di Singapura kerana data berkenaan, yang dicuri Justo daripada PetroSaudi, telah diserahkan kepada ketiga-tiga pihak itu di republik berkenaan.
Justo mengaku mencuri data berjumlah 90 gigabyte termasuk e-mel dan dokumen daripada PetroSaudi sebagai sebahagian daripada percubaan untuk memeras bekas majikannya itu.
Apabila percubaan pemerasan itu gagal, dia menyerahkan data berkenaan kepada Toong dan Brown, yang dikatakan telah menawarkan kira-kira AS$2 juta kepadanya, tetapi dia ditangkap pada 22 Jun lalu di pulau Koh Samui di selatan Thailand sebelum menerima bayaran itu.
Pada Isnin, Justo memohon ikat jamin tetapi permohonannya ditolak oleh mahkamah. Justo dijangka memfailkan permohonan baharu untuk ikat jamin pada minggu depan.
Suara Politik
Belantan
Khamis, Oktober 29, 2015
Pembangkang perlu dedah penyumbang dana politik?
Demi kepentingan politik, parti pembangkang sanggup merahsiakan penyumbang dana politik mereka walaupun mengetahui ada antaranya didakwa terdiri dalam kalangan penyokong kerajaan.
Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mustapa Kamal Mohd. Yusoff mendakwa, sekiranya sumber dana tersebut didedahkan, perkara itu dikhuatiri akan memberi kesan kepada kepentingan peribadi penyumbang dan agenda politik parti pembangkang.
“Sampai sekarang, pembangkang tidak pernah dedahkan siapa penyumbang dana politimereka. Boleh jadi sumber tersebut datang daripada individu atau pihak yang sebenarnya menyokong kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang.
“Mungkin penyumbang dana dan parti pembangkang sudah bersetuju untuk saling membantu dan merahsiakan perkara sebenar demi menjaga kepentingan masing-masing,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim semalam mengenai parti pembangkang terutama DAP dan PKR yang tidak pernah telus dalam perjuangan apabila terus menyembunyikan identiti penyumbang dana politik mereka.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Wilayah Persekutuan, Faizan Mohd. Nor berkata, parti pembangkang disifatkan seperti baling batu sorok tangan apabila berterusan tidak mahu bekerjasama memberitahu sumber dana politik mereka.
Menurut beliau, sikap degil pembangkang itu seperti tidak menghiraukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) bagi merangka satu pelan pembiayaan politik berintegriti yang komprehensif dan inklusif.
“Adakah parti pembangkang takut jika rakyat mengetahui sumber dana politik yang diterima? dan kenapa perlu takut sekiranya yakin mereka adalah pemimpin rakyat?
“Sudah tiba masanya pembangkang bersikap telus kepada rakyat dan jangan membiarkan isu sumber dana politik mereka disembunyikan,” ujarnya.
Suara Politik
Belantan
Selasa, Oktober 27, 2015
Pakatan Pembangkang Bagaikan Ayam Jantan Berkokok?
Pakatan pembangkang sentiasa sahaja menganggap merekalah paling hebat, mereka sering menguar-uarkan paling layak memerintah negara dan mereka juga sentiasa mendabik dada sebagai penentang rasuah serta telus dalam apa juga tindakan.
Dalam bahasa mudah apa yang ingin ditunjukkan oleh pembangkang sejak dulu lagi kepada rakyat ialah mereka kelompok manusia yang hebat dari segi politik, telus dalam segala perbuatan, bersih dalam apa juga tindakan dan wira dalam memperjuangkan kebenaran.
Justeru sepanjang masa, apa pun yang dilakukan oleh kerajaan demi rakyat tidak pernah mendapat pujian. Buatlah apa sahaja kebaikan, bentangkan apa juga jasa Barisan Nasional (BN), ia sudah pasti tidak akan mendapat secebispun penghargaan daripada mereka.
Parti-parti pembangkang seperti DAP, PKR dan kini sekutu terbaru mereka yang wujud hasil perpecahan dalam Pas iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) sentiasa sahaja akan membangkang, siang dan malam, pagi petang, subuh mahupun dinihari kerja mereka hanya membangkang. Itulah kehebatan pembangkang di negara ini.
Pakatan pembangkang juga ‘bijak’ dalam seni politik khususnya memanipulasikan sesuatu isu, ‘pandai’ mengambil kesempatan, ‘berani’ dalam tindakan, ‘telus’ dalam berkata-kata dan ‘hebat’ apabila berada dalam gelanggang pilihan raya.
Tetapi ‘kebijaksanaan’, ‘kepandaian’, ‘keberanian’, ‘ketelusan’ dan ‘kehebatan’ itu tidak ke mana apabila sehingga hari ini mereka tidak menyahut cabaran untuk mendedahkan daripada sumber mana dan berapa jumlah dana politik yang mereka peroleh.
Mereka hanya bijak mencerca dan mengkritik habis-habisan dalam isu dana politik yang diperoleh oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga sanggup berperangai seperti budak-budak tadika di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu sejurus sahaja Perdana Menteri selesai membentangkan Bajet 2016.
Walaupun Perdana Menteri dan beberapa menteri sudah menjelaskan RM2.6 bilion adalah dana politik manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri sudah mengesahkan ia adalah hasil wang derma namun pakatan pembangkang sengaja memekakkan telinga, menutup mata dan hati untuk menerima penjelasan itu.
Bagi mereka, ia adalah satu-satunya modal politik mereka yang miliki dalam usaha untuk memburuk-burukkan kerajaan BN dan sekali gus meraih sokongan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.
Tambahan pula Bajet 2016 mendapat reaksi positif daripada rakyat, ini menyebabkan pembangkang bagai ‘cacing kepanasan’, mereka buntu mencari jalan untuk memburuk-burukkan bajet tersebut, apatah lagi ia jauh lebih baik daripada Bajet Bayangan mereka yang boleh dianggap sekadar bahan bacaan bagi meletihkan mata jika tidak boleh lena.
Justeru itulah mereka cuba mengalih tumpuan rakyat kepada Bajet 2016 dengan menganggap bajet tersebut bagi menutup penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan BN.
Tetapi malangnya, pembangkang sendiri tidak bersikap profesional (walaupun kita tahu mereka tidak memilikinya) apabila membangkitkan isu 1MDB yang masih dalam siasatan dan dana politik yang sudah banyak kali dijelaskan oleh kerajaan.
Kalaulah pembangkang benar bijak, pandai, hebat, telus dan berani sokonglah undang-undang dan peraturan berkaitan dana politik.
Namun malangnya pembangkang diam seribu bahasa, kalaupun ada yang suara seperti biasa BN juga yang diburuk-burukkan. Sepatutnya pembangkang khususnya PKR dan DAP tidak takut atau bimbang untuk mendedahkan sumber dan dana politik masing-masing jika benar mereka bersikap telus dan bertanggungjawab.
Apa yang hendak dibimbangkan kalau dana itu diperoleh daripada sumber yang tidak menyalahi undang-undang, apa yang hendak ditakutkan kalau dana itu disumbangkan oleh mereka yang tiada kepentingan serta apa yang hendak dikhuatirkan kalau dana itu datangnya daripada insan-insan yang ikhlas dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan?
Kenapa hanya mendesak kerajaan berbuat demikian? Kenapa atas dasar kononnya memperjuangkan keadilan, kebenaran dan ketelusan pembangkang tidak mahu menyokong undang-undang mengenai dana politik atau secara sukarela menyahut cabaran agar dana politik diisytiharkan? Apa yang hendak disembunyikan? Apa yang hendak dirahsiakan?
Ini memandangkan pembangkang menyatakan mereka sentiasa telus dalam apa juga perkara dengan rakyat. Oleh itu bersikap terbukalah untuk mengisytiharkan dana politik yang diperoleh bukannya hanya mendesak BN sahaja berbuat demikian.
Melalui cara itu juga ia akan mampu mengelakkan sebarang tuduhan atau tafsiran buruk terhadap perolehan dana oleh parti-parti pembangkang.
Jika pembangkang tidak mahu melakukan apa yang diperkatakan dalam soal dana politik ini maka usahlah bersikap retorik dan hipokrit kononnya mereka kelompok paling bersih di muka bumi Allah ini. Soal ketelusan yang sering mereka laungkan hakikatnya hanyalah mainan lidah tidak bertulang dan sekadar mahu meraih sokongan politik.
Lebih buruk daripada itu rakyat akan menganggap pembangkang negara kita bertaraf ‘ayam jantan berkokok kuat tapi ekor sendiri berlumuran najis’, mengata orang lain berkudis, mereka sendiri sudah berkurap! - Mahukah pembangkang dianggap sedemikian?
Suara Politik
Belantan
Isnin, Oktober 26, 2015
‘Tidak perlu bernostalgia sesuatu pernah berlaku’?
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya berhenti mengungkit kisah lama tentang kesetiaannya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, apa yang perlu dilakukan sekarang adalah fokus terhadap realiti yang akan berlaku.
“Saya hormati apa yang dilontarkan dan hormati perasaan beliau. Namun saya fikir, realiti yang harus dihadapi, kita tidak perlu bernostalgia terhadap sesuatu yang pernah berlaku tapi tak jadi realiti,” katanya disini hari ini.
Semalam, Muhyiddin mengimbau kesetiaannya sehingga memberi laluan kepada Najib menggantikan Abdullah walaupun mendapat sokongan Mahathir.
Muhyiddin berkata beliau terus membantu Najib sebagai orang nombor dua sebelum krisis 1MDB bermula.
Suara Politik
Belantan
Ahad, Oktober 25, 2015
Guan Eng perlu tunai 'janji manis' mansuh tol?
Ketua Menteri, Lim Guan Eng digesa menunaikan janji yang dibuatnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 untuk memansuhkan tol di Sungai Nyior di sini.
Selepas memenangi kerusi Parlimen Bagan, Guan Eng didakwa berjanji memohon kepada Kerajaan Pusat untuk menghapuskan tol itu yang menghubungkan Seberang Jaya ke Butterworth dalam tempoh lima tahun selepas 2008.
Namun sehingga kini, tol yang diuruskan pemegang konsesi Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth itu masih beroperasi, malah kadar tolnya dinaikkan dari 50 sen untuk kereta kepada RM1.20 sejak minggu lalu.
Naib Ketua Pemuda Gerakan Bahagian Bagan, Tan Gia Wei berkata, Guan Eng seolah-olah melupakan janjinya apabila masih berdiam diri mengenai isu tol itu.
KHAW TEE YONG menunjukkan keratan akhbar mengenai janji Lim Guan Eng pada Pilihan Raya Umum Ke-12 mahu memansuhkan tol di Sungai Nyior di Butterworth, Pulau Pinang, semalam.
“Selepas PRU 2008, Guan Eng janji untuk hapuskan tol ini, tapi sehingga sekarang iaitu selepas tujuh tahun, tol ini masih beroperasi dan kadarnya turut dinaikkan.
“Tol ini amat membebankan rakyat kerana jarak antara Seberang Jaya ke Butterworth hanya tiga kilometer tapi terpaksa bayar tol yang mahal,” katanya kepada pemberita di plaza tol itu hari ini.
Perkara sama diakui Ketua Komunikasi MCA Bagan, Khaw Tee Yong yang mahu Guan Eng tidak bersikap lepas tangan dengan janji yang dibuatnya.
Jelasnya, Guan Eng perlu kotakan janji menghapuskan kutipan tol itu serta tidak berdolak-dalik.
“Mana janjinya untuk bentangkan perkara itu di Parlimen? Kami kecewa dengan sikap Guan Eng yang tidak hiraukan masalah rakyat.
“Jika beliau ikhlas mahu membela rakyat, sila bentangkan cadangan penghapusan tol itu di Parlimen dalam sidang kali ini,” ujarnya.
Suara Politik
Belantan
Sabtu, Oktober 24, 2015
Intipati Rumusan Pembentangan Bajet 2016 Malaysia
Bajet 2016 memperuntukkan RM 167.2 Billion dan Bajet 2016 kali ini bertemakan “Mensejahtera Kehidupan Rakyat” bertunjangkan 5 keutamaan utama.
* Kelajuan intenet luar bandar akan ditambah kelajuan 5 kali ganda daripada 5 Mbps kepada 20 Mbps.
* Projek LRT3 dari Bandar Utama, Damansara-Johan Setia, Klang dengan anggaran kos pembinaan RM10b mula dibina 2016, siap pada 2020.
* RM 200 juta menaiktarafkan jalan di kawasan FELDA. Manakala RM1.4b bagi membina serta naik taraf jalan luar bandar sepanjang 700km di seluruh negara.
* Pengecualian duti setem sebanyak 20% ke atas surat cara pembiayaan patuh syariah untuk pembelian rumah.
* Projek Bus Rapid Transit KL-Klang pada kos melebihi RM1.5b dan Bus Rapid Transit Kota Kinabalu pada kos hampir RM1b akan dilaksanakan.
* Kerajaan akan bina tambahan lagi 30 Sekolah Rendah, 27 Sekolah Menengah, 4 MRSM dan 5 SBP.
* Bantuan Persekolahan RM100 akan diberikan kepada Pelajar Sekolah Rendah dan Menengah.
* Bantuan Persekolahan RM100 akan dibayar pada Januari 2016 namun dikhususkan kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 dan kebawah.
* Program Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) kepada pelajar IPT sebanyak RM250 diteruskan pada Bajet 2016.
* Bantuan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) hanya boleh ditebus di Kedai Buku yang diiktiraf Sahaja dan tidak boleh ditebus dikedai yang tidak berdaftar.
* Lebuhraya pertama iaitu Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak akan bebas daripada bayaran tol.
* Program e-Rezeki dan e-Usahawan akan diperluaskan ke seluruh negara untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan.
* Program Rumah Mampu Milik diperluaskan seperti PR1MA, Rumah Mesra Rakyat, Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Program Rumah Pertama dan Program Perumahan Rakyat.
* Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama bagi individu yang belum memiliki rumah. Melalui skim ini, kerajaan akan membantu individu yang belum pernah memiliki rumah untuk mendapatkan bantuan deposit perumahan.
* Gaji kakitangan awam naik kepada 1 Gred.
* Gaji permulaan terendah dalam Perkhidmatan Awam kepada RM1200 sebulan.
* Kadar pencen minimum bagi golongan pesara kerajan dinaikkan kepada RM950 sebulan.
* Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2016 diteruskan dan dinaikkan.
* BR1M Bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3k ke bawah, BR1M ditingkatkan daripada RM950 kepada RM1000.
* BR1M Kategori baru diperkenalkan bagi penerima dalam senarai e-Kasih yg berpendapatan bulanan bawah RM1k akan terima BR1M sbyk RM1050.
* BR1M Bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3k ke bawah, BR1M ditingkatkan daripada RM950 kepada RM1000.
* BR1M Bagi isi rumah berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4k, pemberian BR1M ditingkatkan daripada RM750 kepada RM800.
* BR1M Bagi individu bujang 21 tahun ke atas, pendapatan tidak melebihi RM2k sebulan, bantuan ditingkatkan drp RM350 kpd RM400.
* BR1M Bagi Skim Khairat Kematian pula, pemberian sebanyak RM1000 akan diteruskan.
* Berkuatkuasa 1 Julai 2016, gaji minimum negara dinaikkan daripada RM900 kpd RM1,000 sebulan bagi Semenanjung.
* Gaji minimum Sabah, Sarawak dan WP Labuan dinaikkan RM920 sebulan daripada RM800 bagi semua sektor kecuali perkhidmatan domestik/pembantu rumah.
* Bayaran khas bonus RM500 bagi kakitangan awam akan dibayar pada Januari 2016.
* Pesara Kerajaan akan menerima bayaran bantuan khas atau bonus sebanyak RM250 dan dibayar pada Januari 2016.
Suara Politik
Belantan
Khamis, Oktober 22, 2015
Soksek-soksek akhbar berbahasa Cina..!!! Bantah kenaikan Tol?
KERATAN akhbar China Press bertarikh 16 Oktober 2015
AKHBAR China Press bertarikh 16 Oktober 2015 menyiarkan artikel mengulas kenaikan kadar tol di 18 lebuh raya baru-baru ini setelah Kerajaan Pusat memutuskan untuk menghentikan bayaran pampasan kepada syarikat konsesi.
Artikel bertajuk ‘Si pencekik darah bantah pencekik darah’ yang ditulis oleh Lai Shao Kwang disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C9.
Ada pihak mendakwa kenaikan kadar tol itu dilakukan secara mengejut, tiada sebarang perbincangan dan dilaksanakan pada waktu tidak sesuai ketika berlaku peningkatan kos sara hidup.
Benarkah langkah ini dibuat secara mengejut? Jawapannya sudah tentu tidak, kerana semua pihak mengetahui bahawa kadar tol rendah yang dinikmati rakyat sekarang kerana kerajaan telah membayar pampasan kepada syarikat konsesi. Kadar tol akan naik pada bila-bila masa sahaja jika bayaran ganti rugi berkenaan dihentikan.
Misalnya, Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP). Kenaikan kadar tol sepatutnya dibuat pada 2007, tetapi kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) ingin meraih undi pada pilihan raya umum yang dijangka diadakan pada waktu terdekat maka peningkatan itu ditangguhkan.
Dalam tempoh tujuh tahun penangguhan itu, Kerajaan Pusat telah membayar ganti rugi sebanyak RM89 juta kepada syarikat pengendali LDP.
Lebuh raya lain juga beroperasi menurut model yang sama, jadi tidak benar dakwaan kenaikan kadar tol baru-baru ini berlaku secara mendadak.
Dua tahun lepas, diberitakan PKNS mahu menjual saham dalam Kesas dengan nilai jualan RM375 juta tetapi wakil rakyat daripada DAP membantah kerana berpendapat pemilikan saham berkenaan akan membolehkan kerajaan PKR Selangor bersuara dan menolak sebarang cadangan menaikkan kadar tol pada masa depan.
Bagaimanapun, setelah tol dinaikkan, barulah Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mahu bertanyakan kepada syarikat konsesi berkenaan rasional peningkatan kadar tol. Langkah itu ibarat air banjir sudah masuk ke dalam rumah baru nak berbincang. Adakah ini sikap sebuah kerajaan negeri yang dikatakan sayangkan rakyat seperti anak sendiri.
Kerajaan Pusat yang diterajui BN pula mempunyai alasan tersendiri kenapa kenaikan kadar tol tidak dapat dielakkan kerana syarikat konsesi boleh menyaman kerajaan jika langkah itu dihalang dan jika ganti rugi terus dibayar kerajaan akan muflis.
Dalam pada itu, kita tidak dapat menerima alasan Menteri Kerja Raya, yang seolah-oleh mahu melepas diri daripada bertanggungjawab apabila menyatakan persetujuan kenaikan kadar tol itu telah dibuat oleh pemimpin kerajaan yang lepas.
Adakah bertukar Perdana Menteri itu bermakna telah tukar kerajaan sedangkan pemerintah sekarang juga daripada BN?
Apapun alasan yang diberikan Kerajaan Pusat dan kerajaan PKR Selangor, satu hakikat yang harus difahami ialah rakyat perlu memastikan kenaikan kadar tol tidak menguntungkan pemegang saham syarikat konsesi dan ‘kroni’ pihak tertentu semata-mata sehingga mereka menjadi gemuk.
Perjanjian dengan syarikat konsesi yang ibarat ‘perjanjian dengan lanun’ yang dibuat oleh kerajaan terdahulu juga perlu disemak semula. Pastikan juga sebahagian besar tol yang dikutip dapat diagihkan kembali kepada rakyat.
Suara Politik
Belantan
Langgan:
Catatan (Atom)




























