Khamis, Mac 13, 2014

TERKINI #MH370 : Pekerja pelantar minyak dakwa melihat pesawat terbakar?


Seorang pekerja pelantar minyak mendakwa melihat sebuah pesawat terbakar dan terjunam. Objek tersebut dipercayai adalah pesawat penerbangan Malaysia Airlines, MH370.

Menurut laporan laman web berita Astro Awani, maklumat itu didedahkan wartawan Australia, selepas mendapat surat yang dikirim pekerja pelantar minyak New Zealand, Michael Mckay.

Mckay merupakan pekerja pelantar minyak di Sonha Mercur, Tenggara Vietnam.

Dalam suratnya McKay mendakwa pesawat yang dilihatnya adalah pesawat MH370 yang telah hilang sejak Sabtu lalu.

McKay melaporkan bahawa pesawat itu dilihat dari kawasan pelantar minyak di kedudukan 8.9 darjah utara dan 108 darjah timur.

Seterusnya, laporan itu turut menyatakan bahawa pesawat itu dilaporkan bergerak dari arah barat daya dalam keadaan terbakar pada altitud tinggi.

Selain itu, Mckay menjelaskan bahawa dia telah cuba menghubungi pihak berkuasa Malaysia dan Vietnam beberapa hari lalu.

Selanjutnya sila baca di sini.

Suara Politik
Belantan

Rabu, Mac 12, 2014

Misteri belum terungkai?

Operasi mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan pihak berkuasa Indonesia setelah gagal menemui bangkai pesawat Boeing 737-400 Adam Air yang hilang pada 2007.

Apabila negara dihebohkan dengan kisah pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH370 hilang di perairan Laut China Selatan pada awal pagi Sabtu lalu, yang terlintas di fikiran kita sudah tentulah satu insiden hampir sama yang berlaku di negara jiran kita, Indonesia.

Pada 1 Januari 2007, pesawat Adam Air KI574 jenis Boeing 737-400 yang membawa 102 penumpang dari Bandung ke Manado secara tiba-tiba hilang dari radar tanpa membuat sebarang panggilan kecemasan, dipercayai telah terhempas di Selat Majene, Sulawesi.

Kira-kira sebulan selepas itu, operasi mencari dan menyelamat dihentikan berikutan tiada sebarang petunjuk serpihan bangkai pesawat dan tragedi itu kemudiannya telah dilupakan oleh rakyat republik itu.

Bagaimanapun, tujuh bulan selepas itu, dua kotak hitam pesawat yang merakamkan data penerbangan dan perbualan juruterbang dalam kokpit berjaya ditemui.

Setelah sembilan bulan analisis dibuat oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Indonesia (KNKT) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) Amerika Syarikat (AS), ia merumuskan juruterbang telah mematikan alat pemanduan automatik bagi membaiki Sistem Rujukan Inersia (IRS).

Ketika sibuk membuat pembaikan tiada siapa yang menerbangkan pesawat sehingga menyebabkan ia mengiring ke kanan dan menjunam ke dalam laut.

Walaupun masih awal untuk merumuskan apa yang berlaku pada pesawat Boeing 777-200 milik MAS, sesuatu yang harus diakui bahawa Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah mengikut setiap prosedur operasi standard (SOP) dalam misi menyelamat pesawat tersebut.

Seperti yang disebut oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Azharuddin Abdul Rahman, pihaknya telah menerima laporan berhubung kehilangan isyarat pesawat itu pada 1.30 pagi iaitu 49 minit selepas pesawat itu berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

DCA telah bertindak serta-merta untuk mengesan semula kedudukan pesawat berkenaan dengan bantuan pihak-pihak berkenaan dari Vietnam dan Singapura.

Pihak MAS turut dimaklumkan dengan segera oleh DCA yang kemudiannya telah bertindak pantas memaklumkan kedutaan dan konsulat yang mempunyai rakyat yang menaiki pesawat tersebut.

Syarikat itu turut menubuhkan Pusat Kawalan Respons (RCC) bagi menyediakan maklumat berterusan, kemudahan perjalanan untuk kaum keluarga ke Kuala Lumpur, tempat tinggal, makanan dan sokongan emosi kepada keluarga mangsa.


Segala yang dilakukan oleh syarikat itu seharusnya dihargai oleh semua pihak. Seperti yang telah diluah ayah kepada pegawai di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohd. Sofuan Ibrahim yang turut hilang, Ibrahim Abd. Razak, MAS dan pihak-pihak berkaitan sangat membantu dalam menyediakan kemudahan tempat tinggal yang selesa dan akses maklumat.

"Alhamdulillah, tiada apa yang perlu dirisaukan dan rungutan, cuma hati sendiri yang masih belum tenang selagi perkara ini belum selesai," katanya kepada portal berita, Malaysia Gazette.

Satu lagi yang harus dipuji adalah kerjasama yang ditunjukkan oleh semua negara untuk melaksanakan operasi dan menyelamat termasuk Vietnam, China, Singapura, AS, Thailand, Indonesia dan terbaharu Australia di kawasan lautan yang kini menjadi pertikaian banyak negara.

Untuk mencari pesawat di lautan yang luas adalah cukup payah dan ia terbukti apabila bangkai pesawat Air France 447 jenis Airbus A330 yang terhempas di Lautan Atlantik pada 6 Jun 2009 hanya ditemui enam hari selepas itu dan kotak hitam pula hanya dapat dikeluarkan dari laut dua tahun kemudian.

Sebagai sebuah syarikat yang mempunyai rekod bersih yang tidak pernah mengalami kemalangan udara dahsyat kecuali penerbangan MH653 yang meletup dan terhempas bersama 93 orang di Tanjung Kupang, Johor pada 1977; sebenarnya terdapat banyak faktor di luar kawalan yang mungkin menyebabkan tragedi itu berlaku.

Walaupun pesawat Boeing 777-200 itu dikatakan pernah mengalami patah pada hujung salah satu sayap setelah berlanggar dengan pesawat China Eastern Airline, Airbus A340 di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, China pada 2012, masalah yang akan berlaku hanyalah ketika mendarat atau berlepas.

Sebaliknya, kata bekas jurutera keselamatan Boeing yang juga Pengarah Airsafe.com Foundation, Todd Curtis, tragedi berlaku ketika pesawat sedang dalam penerbangan dengan kelajuan tinggi.

"Satu kemungkinan adalah tragedi berlaku terlalu pantas sehingga juruterbang tidak sempat menghantar isyarat kecemasan," katanya lagi kepada AP.

Dalam pada itu, pensyarah yang pakar dalam kemalangan pesawat daripada Universiti Aeronautik Embry-Riddle, AS, William Waldock turut sependapat dengan Curtis bahawa tragedi yang berlaku adalah secara tiba-tiba dan sangat ganas sehingga alat penentu lokasi pesawat tidak berfungsi.

Menurut beliau, sekiranya berlaku kerosakan mekanikal termasuk kedua-kedua enjin tidak berfungsi, juruterbang masih mempunyai masa untuk membuat panggilan kecemasan.

Untuk rekod, Boeing 777-200 mempunyai rekod keselamatan yang paling selamat selama 18 tahun dengan hanya satu tragedi melibatkan pesawat Penerbangan Asiana yang terhempas dan membunuh tiga orang pada tahun lalu.

Para pakar keselamatan penerbangan kini berpendapat terdapat dua kemungkinan tragedi itu terjadi sama ada angkara pengganas atau juruterbang sendiri sengaja menghempaskan pesawat ke laut.

Perkara sama dinyatakan akhbar United Kingdom, Sunday Mirror yang memetik pakar antipengganas, Kolonel Richard Kemp, bahawa kumpulan militan Islam Uighurs atau mereka yang bersimpati dengan mereka mungkin terbabit dengan kejadian tersebut.

Walaupun terdapat petunjuk ke arah itu, adalah terlalu awal untuk membuat kesimpulan sehingga kotak hitam pesawat terbabit ditemui seperti dalam kes pesawat 737-400 Adam Air.

Tambahan pula, data pemantauan awal yang diperiksa oleh pihak tentera AS, Pentagon hari ini mencadangkan pesawat MAS yang hilang, tidak meletup di Laut China Selatan.-UMO

Suara Politik
Belantan

#MH370 : Telefon penumpang MH370 ada deringan, akaun online aktif, dakwa keluarga?

Ahli keluarga penumpang pesawat MH370 menangis ketika mendengar khabar sedih kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu awal pagi Sabtu.

Saudara kepada penumpang dalam pesawat yang hilang, Malaysian Airlines MH370 mendakwa mereka dapat menghubungi telefon bimbit ahli keluarga yang terbabit dalam kejadian malang itu, menurut laporan media.

Washington Post berkata, keluarga sebahagian daripada 239 penumpang yang menaiki MH370 mendakwa mereka mendengar nada dering ketika membuat panggilan telefon.

“Dalam sebahagian kes lain, ada saudara mendakwa dapat melihat keluarga yang menaiki pesawat itu aktif online menerusi laman jaringan tempatan Cina digelar QQ,” lapor Post.

Perkembangan yang menyeramkan itu timbul dan pihak berkuasa Malaysia juga menggambarkan kehilangan MH370 sebagai misteri.

Seorang lelaki memberitahu Washington Post bahawa akaun QQ abang iparnya menunjukkan bahawa beliau sedang online.

Sangat mengecewakan bagi mereka yang menunggu dengan harapan menggunung untuk sebarang berita atau petanda, apabila mesej tidak berjawab dan panggilan tidak berangkat.

Dalam pada pasukan pencari dan penyelamat dari 10 negara meluaskan lagi kawasan pencarian untuk mengesan pesawat hilang itu, doa masih belum dimakbulkan.

Daily Mail melaporkan misteri panggilan telefon dan kehadiran penumpang MH370 aktif dalam talian menimbulkan suasana tidak keruan di kalangan keluarga dan waris terdekat.

Keluarga dan saudara-mara menghabiskan masa tiga hari berkumpul di Hotel Beijing dengan perasaan kecewa, menanti dengan gelisah untuk sebarang berita mengenai MH370 yang hilang itu.

Pegawai Malaysian Airlines di Beijing sudah diberitahu berulang kali mengenai akaun QQ dan panggilan telefon yang berdering.

Keluarga dan waris terdekat berharap pasukan mencari dan menyelamat (SAR) akan berjaya mendapatkan isyarat GPS daripada telefon berkenaan dan mengesan ahli keluarga mereka.

Bian Liangwei, adik perempuan kepada seorang pesawat MH370, mendakwa dia menelefon abangnya dan mendengar ada nada dering.

“Pagi ini, kira-kira jam 11.40 pagi, saya menghubungi nombor telefon bimbit abang saya dua kali, dan saya mendengar nada dering,” katanya kepada International Business Times.

Pada jam 2 petang, Bian telefon sekali lagi dan mendengar nada dering itu lagi.

“Jika saya boleh menembusi talian itu, polis boleh mengesan kedudukannya, dan ada peluang dia masih hidup,” katanya.

Bagaimanapun, pada sidang media di Beijing, jurucakap MAS, Ignatius Ong, berkata salah satu nombor yang diberikan kepada ibu pejabat syarikat penerbangan itu di Kuala Lumpur tidak berjaya dihubungi.

“Saya sendiri ada membuat panggilan kepada nombor itu sebanyak lima kali sementara pusat kawalan penerbangan juga menghubunginya. Kami tidak mendapat nada jawapan,” Ong berkata.

Selepas tiga hari pencarian tidak berhasil, pasukan SAR meluaskan radius pencarian mereka dan ia termasuk ke kawasan yang sebelum ini tidak diambil kira.

“Pencarian pada mulanya dibuat di laluan pesawat MH370 tetapi kita sudah membuat keputusan untuk meluaskan radius dan memasukkan kawasan lain,” kata Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Pencarian kini beralih ke Selat Melaka, kira-kira 100 batu jauhnya daripada kali terakhir pesawat itu dirakamkan oleh perkakas pemantauan elektronik.

Peralihan dramatik itu mencetuskan kemungkinan pesawat itu terbang tanpa dapat dijejak, merentasi tanah besar Malaysia, sebelum menjunam ke dalam laut.

Malaysian Airlines dalam kenyataannya berkata, fokus pencarian kini ialah di pantai barat negara, berhampiran Selat Melaka, iaitu bahagian bertentangan di semenanjung Malaysia di mana pesawat MH370 dilaporkan hilang.

Azharuddin berkata, kenyataan itu tidak bermakna pihak berkuasa percaya pesawat itu menghala ke pantai barat dan pencarian dilakukan di kedua-dua bahagian.

Boeing 777 membawa 239 penumpang ketika ia hilang daripada radar pada awal pagi Sabtu ketika dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur, menyebabkan usaha pencarian besar-besaran antarabangsa dijalankan.

Pihak berkuasa memulakan pencarian mereka di kawasan di mana pesawat itu kali terakhir diketahui berada, iaitu di satu kawasan di laut antara Malaysia dan Vietnam. Tanpa sebarang serpihan pesawat ditemui, mereka secara sistematik meluaskan pencarian dan memasukkan kawasan di mana pesawat itu mungkin berada, secara teorinya mengikut jumlah minyak yang berada di tangkinya.

Mereka juga berkata, pesawat itu mungkin berpatah balik ke Kuala Lumpur.

Pada Ahad, ketua pasukan tentera udara berkata, ada petanda di radar tentera yang menunjukkan pesawat itu melakukan pusingan U.

Satu Lagi PRK Bakal Diadakan...!!! Karpal Didapati Bersalah Hina Sultan Perak, Denda RM4,000?


Peguam Karpal Singh hari ini didenda RM4,000 kerana didakwa bersalah di bawah Akta Hasutan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Azman Abdullah berkata, pihak pembela gagal mewujudkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwa.

Peguam Gobind Singh memohon agar hukuman dijatuhkan hari ini, supaya pihaknya boleh mempersiapkan mitigasi untuk mendapatkan hukuman yang lebih ringan.

Karpal ketika ditemui wartawan di luar mahkamah memberitahu, beliau akan memfailkan rayuan bagi meringankan hukuman ini.

“Saya akan failkan rayuan,” katanya ringkas.

Pada 21 Februari, Karpal yang berkerusi roda didapati bersalah kerana menghamburkan perkataan hasutan ke arah Sultan Perak berhubung pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar pada 2009.

Karpal, 73, dituduh mengeluarkan kenyataan itu di firma guamannya di Jalan Pudu Lama pada 6 Feb 2009.

Karpal didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Mohammad Nizar sebagai menteri besar dan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir oleh Sultan Perak boleh dipersoal di mahkamah.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Karpal daripada pertuduhan itu pada 11 Jun 2010, bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 20 Jan 2012 memerintahkan peguam berkenaan membela diri selepas membenarkan rayuan pendakwaan!

Suara Politik
Belantan

Selasa, Mac 11, 2014

Apo nak di kato : Majlis Peguam sahkan Anwar meliwat?



Petikan kenyataan rasmi Majlis Peguam adalah seperti berikut:

"Majlis Peguam amat terganggu dengan hukuman penjara lima tahun ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim oleh Mahkamah Rayuan, atas apa yang jelas merupakan hubungan seks suka sama suka antara dua orang dewasa."

Majlis Peguam berhujah bahawa kesalahan di bawah Seksyen 377A yang meletakkan liwat sebagai jenayah hanya terpakai jika liwat tersebut dilakukan atas dasar paksaan. Sedangkan, Anwar melakukannya atas dasar kerelaan mangsa.


Mahukah Anwar nak menafikannya lagi?

Suara politik
Belantan

Isnin, Mac 10, 2014

Kes Sodomi II: Bila hakim bicara salah arah diri?


Bagi kebanyakan orang, andainya seorang itu disabitkan kesalahan yang membawa hukuman penjara, sebaik-baik sahaja tamat prosiding di mahkamah, dia akan terus dibawa ke penjara untuk menjalani hukumannya.

Tapi Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sebarangan orang. Dia mantan Timbalan Perdana Menteri, orang kuat PKR dan Ketua Pembangkang di Parlimen. Mengikut orang kanannya Azmin Ali, Anwar ialah “seorang figura awam terkemuka di peringkat global."

Walaupun Anwar telah disabitkan kesalahan liwat pada Jumaat 7 Februari 2014 lalu oleh Mahkamah Rayuan dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun, pasukan peguamnya telah segera memohon penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu sambil menunggu mendapatkan izin Mahkamah Persekutuan untuk membuat rayuan selanjutnya terhadap sabitan itu.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Rayuan telah mengetepikan keputusan hakim bicara Mohd Zabidin Mohd Diah, yang mendapati Anwar tidak bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd. Saiful Bukhari Azlan. Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 9 Januari 2012.

Walaupun buat sementara waktu Anwar terus bebas dan tak perlu masuk penjara, beberapa persoalan penting terus menjadi tanda tanya. Apakah Anwar terpaksa mengosongkan kerusinya di Permatang Pauh? Apakah dia akan dibenarkan bertanding di Pilihan Raya Kecil Kajang yang akan berlangsung tidak lama lagi? Andainya dia boleh bertanding dan menang, apakah dia akan berjaya mencapai cita-citanya menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim?

Kes Sodomi II

Anwar dituduh melakukan kesalahan meliwat pembantunya (pada masa itu) Saiful Bukhari pada 7 Ogos 2008. Dua tahun berlalu sebelum akhirnya pada 1 Februari 2010 dia tampil di mahkamah untuk dibicarakan di hadapan Hakim Mohd Zabidin Mohd Diah.

Kes ini dipanggil sebagai kes ‘Sodomi II’ kerana sebelum ini Anwar telah pun menghadapi pertuduhan meliwat seorang lain (Azizan Abu Bakar, bekas pemandu isterinya), di mana dia disabitkan oleh Mahkamah bicara tetapi akhirnya dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan atas alasan manfaat keraguan (the benefit of the doubt) mesti diberi kepadanya.


Empat bulan selepas kes Sodomi II ini mula didengar, pada 16 Mei 2010 hakim bicara Mohd Zabidin mendapati pasukan pendakwa telah berjaya mengemukakan kes prima facie terhadap tertuduh. Oleh itu Anwar dipanggil membela diri.

Apa yang menghairankan banyak pihak adalah walaupun di peringkat awal hakim bicara puas hati ada kes prima facie terhadap Anwar, pada 9 Januari 2012 hakim mendapati Anwar tidak bersalah. Hakim memutuskan demikian kerana pada pendapatnya “integriti sampel yang diambil untuk ujian DNA daripada Saiful" tidak 100 peratus jelas dan meyakinkan.

Hakim bicara itu juga telah menyatakan adalah tidak selamat untuk mensabitkan tertuduh selepas mendapati tiada bukti kukuh bagi menyokong keterangan Saiful Bukhari selain tidak selamat untuk mahkamah bergantung kepada bukti DNA.

Prinsip penting ini perlu kita fahami, iaitu Anwar dibebas dan dilepaskan oleh hakim bicara kerana sebagai tertuduh dia berhak diberi the benefit of the doubt tentang kesahihan keputusan ujian sampel DNA berkenaan.

Terkilan dengan keputusan acquittal and discharge hakim bicara inilah pasukan pendakwa telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan. Sekarang, kira-kira dua tahun selepas itu, tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara mendapati hakim bicara telah gagal membuat penilaian sewajarnya terhadap keterangan yang dikemukakan di mahkamah, termasuklah keterangan yang diberi oleh Jude Pereira, salah seorang saksi pasukan pendakwa.

Mengikut Mahkamah Rayuan, tidak ada alasan bagi hakim bicara membuat dapatan yang berbeza di peringkat prosiding yang berbeza. Jika dulu, sewaktu mendapati ada kes prima facie di penghujung kes pendakwaan, hakim bicara ada menyatakan Jude Pereira ialah seorang saksi yang boleh dipercayai, berkelayakan dan berpengalaman dalam keputusannya (an impeccable, qualified and experienced witness), kenapa kemudian (setelah mendengar pasukan pembelaan mengemukakan kesnya) hakim bicara berpendapat sebaliknya pula?

Mengikut Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, yang menyampaikan keputusan bagi pihak panel tiga hakim Mahkamah Rayuan; “Tiada sebab Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur perlu berganjak dengan hasil penemuan yang dibuat di akhir kes pendakwaan yang sempurna, lengkap dan tanpa kecacatan,".

Oleh yang demikian, Mahkamah Rayuan memutuskan - “Kita dapati hakim bicara telah membuat salah arah diri mengenai integriti keterangan. Kita benarkan rayuan dan ketepikan penghakiman Mahkamah Tinggi."


Kes Sodomi II Anwar Ibrahim mengambil masa hampir enam tahun dari peringkat mula hingga peringkat pertengahan ini. Pastinya kini pasukan peguamnya akan merayu ke Mahkamah Persekutuan. Mengikut prosedur, mereka terpaksa mendapatkan izin Mahkamah Persekutuan terlebih dahulu. Ramai menjangka izin akan diberi, seperti yang telah berlaku dalam kes Sodomi I dulu.

Hakim fakta dan hakim undang-undang

Setelah sistem juri dimansuhkan di negara ini, setiap hakim bicara yang mengendalikan kes jenayah itu akan memainkan dua peranan penting - dia ialah hakim undang-undang (judge of law), dan dia juga ialah hakim fakta (judge of fact).

Apabila hakim bicara menerima keterangan di mahkamah (menerusi saksi biasa dan saksi pakar) serta menilai barang bukti (weight of the evidence) seperti sampel DNA dan sebagainya, hakim bicara (sebagai hakim fakta) akan membuat dapatan fakta (finding of fact). Dia akan melihatnya dari sudut soalan: “Apakah sudah cukup fakta untuk mensabitkan tertuduh?"

Selain itu, hakim bicara juga akan mendengar hujah daripada kedua-dua pihak (pasukan pendakwa dan pasukan peguam bela tertuduh) mengenai undang-undang. Setiap isu undang-undang, kecil atau besar, perlu diperhatikan, hujah kedua-dua pihak didengar dan dinilai, dan akhirnya barulah boleh diputuskan sama ada pasukan pendakwa telah dapat membuktikan hingga melampaui keraguan yang munasabah bahawa tertuduh benar-benar bersalah.

Tertuduh tidak boleh disabitkan hanya disebabkan syak sahaja (merely on suspicion). Tertuduh tidak boleh disabitkan jika hakim bicara masih ragu-ragu lagi tentang fakta dan tentang undang-undang.

Dalam kes Sodomi II ini, hakim bicara tidak yakin dengan integriti sampel DNA dan kredibiliti saksi pendakwa bernama Jude Pereira. Oleh itu dia menyatakan “adalah tidak selamat untuk mensabitkan tertuduh".

Semasa kita masih mengamalkan sistem juri dulu, hakim bicara ialah hakim undang-undang manakala juri kita ialah hakim fakta. Persoalan sama ada tertuduh sabit ataupun tidak, keputusan ini akan dibuat oleh juri setelah juri mendengar ‘arahan’ daripada hakim bicara.

Kini bila sistem juri tidak diamalkan lagi, hakim bicara terpaksa memutuskan sendiri tentang fakta dan undang-undang. Dia akan membuat dapatan fakta (finding of fact) dan membuat keputusan tentang undang-undang (ruling on the law).

Di sinilah seorang hakim fakta itu boleh membuat khilaf atau silap, dan kesilapan inilah yang dipanggil ‘salah arah diri’ bila keputusannya itu diperiksa dan diteliti semula oleh mahkamah di peringkat rayuan.

Sekiranya salah arah diri hakim bicara itu didapati mencacatkan atau menjejaskan penghakimannya, keputusan hakim bicara itu terpaksa diketepikan. Inilah yang berlaku dalam kes Sodomi II.

Sumber : UMO

Suara Politik
Belantan

Sudahlah Anwar...!!! Jangan lagi heret rakyat?


Anwar Ibrahim digesa supaya tidak 'melatah' dan menerima keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun setelah didapati bersalah meliwat.

Bekas Setiausaha Sulit kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, Anuar Shaari berkata, Anwar perlu akur dengan keputusan itu dan mengelak daripada melakukan sebarang provokasi yang mungkin akan memburukkan keadaan.

"Anwar masih ada peluang untuk melawan kes beliau sekiranya tidak berpuas hati. Saya cuma mohon kepada beliau dan 'konco-konconya' agar tidak melakukan apa-apa provokasi yang menyusahkan rakyat.

"Tidak perlu melakukan apa-apa demonstrasi yang boleh mendatangkan keadaan huru-hara. Cukuplah insiden 1998 dulu, jangan cuba ulangi lagi. Hormatilah keputusan mahkamah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mahkamah Rayuan Jumaat lalu memutuskan Anwar didapati bersalah oleh atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari pada 2008, sekali gus menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada Ketua Umum PKR itu.


Sementara itu, Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, penyokong PKR diminta menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang telah memutuskan Anwar bersalah atas tuduhan meliwat.

Serentak dengan itu, katanya, seluruh pimpinan PKR perlu mencari calon lain yang lebih berkelayakan untuk menggantikan Anwar yang sudah terpalit dengan kesalahan meliwat itu.

Katanya, tindakan sedemikian hanya dianggap sebagai 'menzalimi' Anwar jika mereka tetap meletakkan Anwar untuk bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang kerana beliau sudah cukup terbeban dengan keputusan mahkamah itu.

"Saya berharap semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Rayuan ini sebagaimana kami menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Anwar.

"Dalam hal ini, kita yakin PKR mempunyai maruah, menjunjung demokrasi dan kedaulatan undang-undang serta tidak akan memaksa rakyat mengadakan demonstrasi.


"Saya juga berharap pihak berkuasa tidak teragak-agak memastikan kesejahteraan negara serta tidak menggadaikan rakyat hanya kerana seorang manusia yang sudah terpalit dengan kesalahan liwat," katanya.

Bekas Ketua Penerangan PKR, Ruslan Kassim pula berkata, Anwar diminta tidak menggunakan taktik lama dengan melemparkan tuduhan bukan-bukan kepada kerajaan bahawa keputusan mahkamah itu merupakan campur tangan daripada Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, kata beliau, penyokong Anwar termasuk parti pembangkang lain diminta akur serta hormat dengan keputusan mahkamah itu dan tidak mudah melatah dengan mengadakan demonstrasi.

"Kita tahu dalam sistem kehakiman Anwar masih ada ruang untuk membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan, namun kita harap penyokong beliau tidak terus melatah dan menghormati keputusan ini.

"Jelas di sini kita ada kebebasan kehakiman yang dijamin, oleh itu, jangan ada orang cuba mentafsirkan berlaku campur tangan politik kerajaan dalam sistem ini," katanya.

Suara Politik
Belantan

Media Statement by DCA-Department of Civil Aviation (Jabatan Penerbangan Awam)?


Jabatan Penerbangan Awam (DCA) hari ini berkata laporan media tentang dua tompokan minyak yang ditemui dalam operasi mencari yang dilakukan oleh pihak berkuasa Vietnam, masih belum disahkan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata pihaknya telah menghubungi pihak berkuasa di Vietnam untuk mengesahkan laporan Akhbar Tuoi Tre itu tetapi tidak lagi menerima sebarang jawapan.

Akhbar itu melaporkan bahawa tompokan minyak itu masing-masing sepanjang 20 kilometer pada jarak 500 meter antara satu sama lain itu ditemui juruterbang pesawat tentera Vietnam yang menyertai misi pencarian tersebut.

Tompokan minyak itu dilaporkan ditemui 140 kilometer ke selatan Pulau Tho Chu di pesisir selatan Vietnam.

Selain tompokan minyak, pasukan pencari Vietnam juga dilaporkan mengesan kepulan asap di permukaan laut berhampiran tempat tompokan minyak ditemui di koordinat 7.25 utara, 103.2320 timur.

Azharuddin turut berkata pihaknya juga telah meneliti rakaman CCTV berkaitan penumpang pesawat terbabit.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian itu ada kaitan dengan keganasan.

"Kami tidak menolak semua kemungkinan," kata Ahmad Jauhari apabila ditanya wartawan samada kejadian itu ada kena mengena dengan keganasan.

Pencarian pesawat MH370 akan diteruskan sepanjang malam ini dan pencarian akan diperluas meliputi semua kawasan perairan di Malaysia termasuk laut China Selatan dan Selat Melaka mengikut prosedur operasi standard DCA dan pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Penerbangan MH370 ke Beijing itu membawa 227 penumpang dari 14 negara selain 12 anak kapal terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi Sabtu.

Pesawat itu berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi.

Ia dilaporkan hilang selepas gagal dikesan pada radar pusat kawalan trafik udara Vietnam yang kemudian melaporkannya kepada pusat kawalan trafik di Subang.

Suara Politik
Belantan

Kehilangan misteri pesawat MAS MH370?


Sedikit penjelasan mengenai isu-isu yang dibangkitkan pihak tertentu berhubung isu penerbangan MH370, untuk difikirkan bersama:

1. Penumpang Pelbagai Negara

Kita perlu ingat bahawa dalam pesawat MH370 tersebut terdapat lebih 15 kewarganegaraan dengan kapasiti sebanyak 227 orang. Hal ini sebenarnya memberikan sedikit sebanyak tekanan kepada pihak MAS untuk memberikan maklumat terkini kepada wakil Kedutaan / Konsulat masing-masing.

Mungkin sesetengah Kedutaan mahukan maklumat segera dan pantas apatah lagi dalam keadaan lebih 17 jam pesawat yang masih belum ditemui, juga menyumbang kepada kelewatan dan kesukaran menyalurkan maklumat terkini. Fahamilah keadaan.

2. Hubungan Diplomatik

MH370 hilang di perairan dan di ruang udara Vietnam, dan dalam konteks ini MAS bertindak dengan berhemah dalam menjaga hubungan diplomatik antara negara.

Kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil pendekatan sendiri walaupun pesawat tersebut adalah milik negara kita. Sebab itulah hubungan bilateral diperlukan, kini pihak Kerajaan Vietnam sudah menggerakkan jentera menyelamatnya (Angkatan Laut Vietnam) ke perairan yang disyaki tempat kehilangan MH370.

Apabila pihak lain menjadi peneraju utama dalam misi, sudah pasti akan wujud beberapa prosedur tertentu yang digunakan oleh pihak berkenaan sebelum menyalurkan maklumat terkini kepada kita. Dalam ertikata lain ; "Lain tempat lainlah cara penyampaian", jadi memang perlu bersabar dalam perkara ini.

3. Misi Melibatkan 5 Negara

Misi mencari dan menyelamat telah pun digerakkan, Malaysia melalui Agensi Maritim dan aset ATM sudah berada di perairan berkenaan.

Terkini dilaporkan oleh Astro Awani, Maritim Malaysia tidak menjumpai sebarang objek pesawat MH370, manakala Vietnam melalui Angkatan Tentera Laut negara itu menafikan sudah menjumpai pesawat malang itu malah mereka dalam situasi mencari dan terus mencari di sekitar Pulau Vung Tau tempat di mana kali terakhir radar negara itu mengesan pergerakan MH370.

Manakala China juga sudah menggerakkan aset pertahanan laut atas arahan Presiden Xi Jinping untuk misi mencari dan menyelamat.

Singapura sudah menghantar pesawat C130 untuk misi bantuan manakala Amerika Syarikat juga menghantar bantuan kapal penyelamat ke pengairan terbabit.

Bayangkan keadaan misi menyelamat apabilan digerakkan dan disepadukan dengan pelbagai negara, sudah tentu penyaluran sebarang maklumat terkini mesti dikoordinasikan agar tidak menjejaskan proses penyiasatan sebab dan musabab "kehilangan" MH370.

Sekecil-kecil bukti sudah boleh menjadi petunjuk utama atas kejadian ini.

4. Tidak Semudah Yang Dijangka

Misi mencari dan menyelamat tidaklah semudah yang disangka memandangkan ia berlaku di kawasan lautan yang luas dan menjadi rebutan antara negara. Jadi, hentikanlah sebarang spekulasi dan tohmahan.

MAS dan pihak penyelamat sedang berusaha sedaya upaya mungkin, saya pasti mereka bekerja keras untuk memastikan MH370 dapat ditemui semula.

5. MAS Tetap Dihati

Kali terakhir MAS mengalami 'major incident' ialah pada tahun 1977 di Tanjung Kupang melibatkan 100 korban nyawa.

Selepas kejadian itu, MAS tidak pernah mengalami 'major incident' dengan korban mangsa yang besar selama 37 tahun, dalam ertikata lain MAS mencapai piawaian keselamatan pesawat yang kompeten dan diiktiraf oleh ICAO di samping pengemudian pesawat oleh juruterbang yang berpengalaman luas.

Bagaimanapun, secanggih mana sesebuah pesawat, sebarang kesilapan kecil pun boleh mengundang padah. Hanya takdir menentukan segala-galanya.

Wallahuallam.

Suara Politik
Belantan

Ahad, Mac 09, 2014

PM : Pencarian diperluaskan!


Selesai sidang akhbar mengenai kehilangan pesawat MH370 di KLIA Sepang sebentar tadi. Saya telah mengumumkan bahawa ops mencari pesawat MH370 masih berterusan pada saat ini.

Dalam peringkat pertama ops mencari, kita memberi tumpuan di mana kawasan isyarat terakhir pesawat tersebut diterima, namun kita tidak dapat mengesan apa-apa setakat ini.

Oleh itu, setelah berbincang bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pengangkutan Dato' Seri Hishammuddin Hussein, Menteri-menteri lain, ketua Tentera dan agensi-agensi kerajaan, kami telah bersetuju untuk memperluaskan kawasan pencarian. Untuk memenuhi tujuan ini, kita telah menambah bilangan aset yang dikerahkan kepada kawasaan mencari pesawat ini.

Sebanyak 15 buah pesawat iaitu 4 unit C130, 2 unit Bombardier, 2 Heli Agusta, 1 unit CN 235, 4 unit EC 725, 1 unit Beachcraft, 1 unit King Air manakala 6 buah kapal dari Tentera Laut DiRaja Malaysia, serta 3 buah kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah dikerah dalam operasi ini.


Demi mendapatkan lebih impak dalam operasi ini, kita berasa kerjasama amat perlu dijalinkan dengan negara-negara lain. Saya telah mendapat persetujuan kerajaan Vietnam dan mereka telah bersetuju untuk melakukan operasi di kawasan pengairan mereka. Saya juga baru sahaja berhubung dengan Perdana Menteri China dan beliau turut menyatakan persetujuan negara China akan membantu operasi mencari dan berharap operasi ini akan diteruskan.

Amerika Syarikat, menerusi Tentera Lautnya juga turut menghantar dua buah pesawat dalam operasi yang kita jalankan.

Saya turut menerima panggilan dari Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Long, dan Singapura telah menghantar sebuah pesawat C130 untuk membantu dalam ops pencarian.

Setakat ini saya tak dapat memberi maklumat tambahan dan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan. Kita turut mengkaji segala kemungkinan. Saya dan para menteri telah berjumpa keluarga-keluarga penumpang dan mereka yang terlibat dalam penerbangan tersebut.

Pihak MAS turut beri tumpuan dalam menghulurkan sokongan emosi kepada keluarga yang terlibat samada di sini atau pun di Beijing. Kakitangan MAS ada yang sedang berada di sana serta dalam perjalanan untuk beri bantuan kepada mangsa di Beijing.

Mari kita bersama sama memberi sokongan moral kita dan berdoa bagi mereka dan keluarga yang terlibat.

Seperti sidang media, laporan admin.

Suara Politik
Belantan

Seperti biasa selepas kalah Anwar cuba raih simpati, dakwa wujud konspirasi?


Anwar Ibrahim terus cuba meraih simpati apabila sekali lagi mendakwa wujud konspirasi sehingga menyebabkan Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya kerana meliwat bekas pembantu peribadi, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 28.

Beliau yang sebelum ini berkali-kali memohon penangguhan kes tersebut turut menuduh barisan hakim yang bersidang membuat keputusan berdasarkan kepentingan politik bukannya mengikut fakta dan undang-undang.

Ketua Pembangkang itu mendakwa, keputusan tersebut telah ditetapkan oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk memastikan dia tidak dapat bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang 23 Mac ini.

"Secara terang-terangan keputusan ini tidak mengambil kira fakta dan undang-undang, namun saya mengucapkan terima kasih kepada pasukan peguam saya atas usaha yang baik.

"Namun malang sekali para hakim tidak mengambil kira fakta dan undang-undang, menunjukkan mereka seperti telah mendapat arahan dan hilang sabar ketika menjatuhkan hukuman," dakwanya.

Beliau memberikan reaksi itu di luar mahkamah terhadap sabitan penjara yang dijatuhkan ke atasnya, di sini hari ini.

Sebelum itu, beberapa bekas rakan Anwar menyifatkan keputusan mengejut Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bagi membolehkan Ketua Pembangkang itu bertanding di kawasan tersebut dipercayai satu sandiwara politik untuk menyelamatkannya daripada hukuman terhadap tuduhan liwat buat kali kedua.


Bekas Setiausaha Sulitnya, Muhammad Rahimi Osman mendakwa, beliau mendapat maklumat itu daripada sumber dalaman PKR bahawa perbalahan antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali adalah perkara biasa yang tidak akan menyebabkan Anwar mengambil langkah drastik itu sehingga membelakangkan pimpinan pakatan pembangkang.

"Tindakan Anwar bertanding di DUN Kajang merupakan langkah politik untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa dalam rayuan kes liwat beliau.

"Melalui pertandingan dalam pilihan raya kecil, populariti Anwar akan meningkat dan jika Anwar diletakkan menjadi Menteri Besar Selangor, maka akan terdapat satu tekanan kepada pihak berkuasa dalam kes liwat beliau," dakwanya.

Ahli Dewan Negara, Ezam Mohd. Noor pula berkata, jawatan Menteri Besar Selangor bukan matlamat utama yang mendorong Anwar untuk bertanding bagi mengisi kekosongan kerusi DUN Kajang.

Beliau yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan tindakan Anwar itu sebagai 'mempolitikkan kes liwat ke tahap maksimum'.

"Saya tidak hairan dengan 'drama' Anwar kali ini kerana Penasihat PKR itu cuma mengulangi episod yang sama dengan Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada 2008," dakwanya.

Sementara itu, peguam Anwar, Karpal Singh berkata, pihaknya akan membayar wang jaminan dan mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan Isnin ini.

Menurut Karpal, keputusan itu juga menyebabkan Anwar hilang kelayakan untuk bertanding pada PRK DUN Kajang.

"Beliau tidak boleh dicalonkan pada penamaan calon 11 Mac ini. Kami akan kemuka rayuan untuk kes ini pada hari Isnin dan Anwar juga akan hadir," katanya ringkas.

Suara Politik
Belantan

Jumaat, Mac 07, 2014

Calon ganti Anwar, Rafizi enggan komen?


Terdapat desas-desus Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli akan mengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PRK Dun Kajang pada 23 Mac ini, jika Ketua Pembangkang itu diisytihar tidak layak bertanding berikutan kes mahkamah, tetapi Rafizi pilih untuk tidak memberi apa-apa komen.

"Saya tak nak komen. Saya tak ada komen mengenai desas-desus itu.

"Tunggu lah hari penamaan calon (pada 11 Mac) nanti," katanya disini hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan PKR mempunyai senarai calon yang bakal mengambil tempat sebagai calon di PRK Dun Kajang jika Anwar tidak layak menjadi calon.

Mahkamah rayuan hari ini sabitkan Anwar bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan enam tahun lalu dan dijatuhi hukuman penjara 5 tahun.

Bagaimanapun Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan hukuman penjara dan mengenakan jaminan RM10,000 sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh pengundian PRK Dun Kajang pada 23 Mac, manakala tarikh penamaan calon pada 11 Mac ini.

Sementara itu, Saiful Bukhari ucap syukur!

Bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memanjatkan kesyukuran sebaik Mahkamah Rayuan Putrajaya mengumumkan keputusan terhadap bekas majikannya itu.


Memetik tulisan Mohd Saiful Bukhari Azlan di blognya sebentar tadi, beliau berkata, keputusan yang dilakukan mahkamah itu menunjukkan kebenaran dan bermakna kepada keluarganya. Baca di sini.

"Berkat doa, istiqamah dan sabar selama enam tahun, saya bersyukur ke hadrat Ilahi dengan keputusan mahkamah hari ini yang memihak pada saya.

"Saya dan keluarga menghormati keputusan mahkamah hari ini.

"Kebenaran ini penting dan amat bermakna buat saya dan seluruh keluarga saya," katanya.

Terbaru, Mahkamah Rayuan telah memutuskan Anwar yang juga Ketua Umum PKR itu didapati bersalah terhadap pertuduhan meliwat Mohd Saiful pada 2008.

Anwar juga dikenakan hukuman penjara selama lima tahun dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000.

Dalam pada itu, Mohd Saiful juga turut mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya terhadap kes liwat itu.

"Yang pasti, saya dan keluarga ke hadapan.. Saya berdoa semoga ALLAH SWT terus memberi perlindungan dan kemudahan dalam segala urusan saya.

"Terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama saya selama ni. ALLAH sahaja mampu membalasnya," katanya lagi.

Suara Politik
Belantan

Terkini : Anwar didapati bersalah liwat Saiful dan dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun?


Anwar Ibrahim hari ini didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun oleh Mahkamah Rayuan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Keputusan itu diumumkan panel tiga hakim selepas mendengar hujahan pendakwa raya dan peguam bela bermula semalam.

Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi telah membebas dan melepaskan Ketua Pembangkang itu daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di Kondominium Desa Damansara antara jam 3.10 petang hingga jam 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pihak pendakwaan kemudiannya memfailkan rayuan berhubung keputusan itu dengan melantik Tan Sri Muhammad Shaefee Abdullah mengetuai pihak pendakwa raya.

Untuk laporan selanjutnya sila baca di sini.

Sebelum itu, 'Bukti terlebih cukup sabitkan Anwar'!

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya disabitkan dengan pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan ekoran bukti-bukti yang dikemukakan mencukupi malah terlebih cukup untuk mendapatinya bersalah.

Peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes terbabit menyatakan, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu walaupun menafikan melakukan perbuatan itu namun tidak pernah menyangkal bahawa beliau berada pada masa, tarikh dan tempat yang dinyatakan dalam tuduhan.

Selain itu, Muhammad Shafee menghujahkan, Anwar tidak pernah sekali pun memanggil saksi alibi bagi menyokong keterangannya di samping tidak berani untuk memberi keterangan secara bersumpah.

Tidak cukup dengan itu, keterangan bela diri Anwar dari kandang tertuduh lebih bersifat jahat kerana sebahagian besar kenyataannya hanyalah menyalahkan orang lain di samping menyatakan bahawa pertuduhan ke atasnya adalah konspirasi politik.

Beliau berkata demikian pada prosiding rayuan pihak pendakwaan di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Anwar, 67, dilepas dan dibebaskan pada 9 Januari 2012 daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.


Prosiding hari ini didengar oleh panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi yang bersidang bersama-sama Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh.

Terdahulu, peguam terbabit menyatakan persoalan utama yang perlu diputuskan ialah sama ada asid deoksiribonukleik (DNA) yang diperoleh telah dikacau ganggu (tempered).

Beliau berkata, Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila tersalah faham bahawa botol-botol berisi spesimen telah dikacau ganggu oleh pegawai penyiasat, Supritendan Judy Blacious Pereira sedangkan saksi pendakwaan ke-25 itu hanya memotong beg plastik yang berisi 11 botol sampel.

Judy dalam keterangannya sebelum ini menyatakan, dia berbuat demikian kerana mematuhi Arahan Tetap Ketua Polis (IGSO) yang menetapkan bahawa setiap sampel perlu dibungkus dan ditanda secara berasingan sebelum dimasukkan di dalam beg plastik besar.

Ahli kimia, Dr. Seah Lay Hong dalam keterangannya juga mengesahkan bahawa botol-botol sampel yang berisi calitan putik kapas yang diambil dari pelbagai bahagian tubuh Mohd. Saiful Bukhari termasuk dubur dan rektum tidak mempunyai sebarang tanda telah dikacau ganggu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah ketika membebaskan Anwar daripada pertuduhan tersebut menyatakan, adalah tidak selamat untuk mensabitkan tertuduh selepas mendapati tiada bukti kukuh bagi menyokong keterangan Mohd. Saiful Bukhari selain tidak selamat untuk mahkamah bergantung kepada bukti DNA.

Menurut beliau, selepas meneliti bahan bukti, mahkamah tidak boleh seratus peratus pasti bahawa integriti sampel DNA yang diambil daripada Mohd. Saiful Bukhari tidak terjejas menyebabkan mahkamah hanya mempunyai keterangan mangsa selaku saksi pendakwaan pertama.

Namun beliau berkata, bagi kesalahan seksual di peringkat kes pembelaan, mahkamah keberatan untuk mensabitkan tertuduh hanya berdasarkan kepada keterangan Mohd. Saiful Bukhari tanpa bukti sokongan lain.

Muhammad Shafee dalam hujahnya turut menyatakan, segala dakwaan konspirasi Anwar adalah tidak berasas.

"Tiada bukti yang menunjukkan bahawa Judy telah bersubahat dengan ahli-ahli kimia untuk mengganggu sampel DNA.

"Sekiranya adapun, dari mana pegawai penyiasat hendak mendapatkan sampel air mani Anwar yang berusia empat hari bagi menunjukkan adanya kesan degredasi.

"Manusia biasa pun akan melindungi atau menjaga air maninya, inikan pula seorang kenamaan yang mendakwa sentiasa terdapatnya konspirasi untuk menjatuhkannya, maka mestilah beliau lebih menjaga dan melindungi air maninya daripada disalahgunakan," katanya.

Tambahnya, kredibiliti saksi-saksi pakar yang dibawa dari luar negara oleh Anwar juga diragui kerana hanya bersandarkan kepada buku teks dan manual sedangkan saksi-saksi pakar pendakwaan terlibat sendiri dalam proses menganalisis DNA.

Sementara itu, peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar menghujahkan bahawa mahkamah hari ini perlu mengambil kira bukan sahaja bukti yang telah dikemukakan tetapi juga pemerhatian yang dibuat oleh hakim yang menjalankan perbicaraan.

Tambahnya, Mahkamah Rayuan tidak seharusnya mendengar hujah pihak pendakwaan yang hanya bertujuan meracuni pemikiran mahkamah.

Seorang lagi peguam Anwar, Ramkarpal Singh pula ketika berhujah menyatakan, mahkamah seharusnya menolak rayuan ini atas alasan saksi pakar dalam keterangannya menyatakan telah berlaku pencemaran dalam sampel-sampel DNA yang diambil.

Pendengaran rayuan bersambung tengahari hari ini dengan Muhammad Shafee akan membalas hujah peguam-peguam Anwar.

Suara Politik
Belantan

Tuduh mahkamah diperalat kerajaan umpama lawak badut - TIBAI?


Skrip lapuk Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang menuduh kononnya mahkamah diperalat kerajaan untuk menjejaskan peluangnya bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang disifatkan umpama lawak yang dibuat oleh seorang badut.

Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, sebagai bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, beliau bersimpati dengan keadaan Anwar yang dilabelkan sebagai terdesak untuk mencari alasan.

Katanya, sebelum ini pun, Anwar menggunakan alasan yang sama untuk menuduh Mahkamah Tinggi dalam usahanya menangguh sebanyak 69 kali perbicaraan kes liwat terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan dan kini skrip serupa dikitar semula.

"Sebagai manusia dan rakyat biasa, saya bersimpati dengan Anwar yang terpaksa berhempas pulas memikirkan alasan untuk mengelakkan rayuan kes liwat didengar dan setakat ini, beliau hanya mampu kitar semula skrip lama menyalahkan mahkamah.



"Sepatutnya, Anwar mengunjungi psikiatri secara rela hati. Jumpa pakar yang boleh beri rawatan kepadanya dan kalau ada pakar yang sanggup memperakui beliau sakit, kes rayuan liwat bukan sahaja tidak perlu ditangguhkan, malah boleh digugurkan," katanya sinis.

Muhammad Zahid berkata demikian dalam satu kenyataan bagi mengulas tuduhan Anwar yang mendakwa mahkamah digunakan bagi menjejas peluangnya di Kajang selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan bantahan membatal notis rayuan Ketua Pembangkang itu.

Pada 12 Februari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Aziah Ali menolak permohonan Anwar memanggil semula Supritendan Judy Blacious Pereira tetapi Ketua Pembangkang itu tetap tidak berpuas hati dan membawanya ke Mahkamah Persekutuan.

Dalam pada itu, Muhammad Zahid berkata, Anwar harus sedar bahawa tidak selamanya rakyat akan tertipu dengan alasan lapuk berkenaan kerana semua pihak sedar bahawa PRK DUN Kajang berlaku akibat kegilaan politik beliau sendiri.

"Siapa yang cipta masalah di Kajang? Siapa paksa Lee Chin Cheh yang sihat melepaskan jawatan bagi membolehkan Anwar bertanding di Kajang? Siapa yang sedang menggilai kerusi Menteri Besar Selangor? Jadi kenapa nak cari alasan salahkan mahkamah," katanya.

Suara Politik
Belantan

Khamis, Mac 06, 2014

Khalid ketepikan tekanan Anwar?


Perbalahan politik antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim semakin ketara.

Terbaharu, kedua-dua pemimpin tersebut dilihat berbalah berhubung isu persetujuan Kerajaan Selangor untuk menandatangani Perjanjian Awal dengan Kerajaan Persekutuan yang mengandungi maklumat lebih menyeluruh dan terperinci tentang penstrukturan semula industri air di negeri tersebut.

Persetujuan itu diumumkan oleh Abdul Khalid pada sidang akhbar di sini, hari ini sebelum Anwar beberapa jam kemudian mengarahkan Menteri Besar Selangor tersebut menangguhkan dahulu perjanjian berkenaan.

Anwar mengeluarkan arahan itu dengan alasan ia tidak boleh dilakukan selagi kepimpinan negeri dan pakatan pembangkang tidak diberi penjelasan sepenuhnya sedangkan Abdul Khalid sebelum ini sudah menyatakan apa yang beliau lakukan adalah demi kepentingan rakyat.

Sebelum ini Anwar juga dilihat tidak berpuas hati dengan tindakan Abdul Khalid yang tidak memaklumkan kepada beliau berhubung Memorandum Persefahaman (MoU) kerajaan Selangor dengan kerajaan persekutuan yang ditandatangani pada Rabu lalu.

MoU penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor itu menyaksikan Kerajaan Selangor akan membenarkan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan akan mengambil alih konsesi air di negeri tersebut.

Dalam sidang akhbarnya, Abdul Khalid berkata, persetujuan untuk menandatangani Perjanjian Awal dicapai ketika beliau menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya, semalam.

Beliau juga menempelak kenyataan beberapa pemimpin PKR yang menyatakan MoU berhubung perkara itu akan menyebabkan tarif air meningkat.

Sebaliknya, beliau menegaskan, dalam Perjanjian Awal yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak semalam, tidak akan ada sebarang kenaikan tarif air dalam tempoh tiga tahun.

"Dalam perjanjian itu telah dinyatakan bahawa tidak akan ada sebarang kenaikan tarif air dalam tempoh tiga tahun," katanya.

Kelmarin, Pengarah Strategi, PKR, Rafizi Ramli mendakwa MoU itu akan menyebabkan kenaikan harga air secara mendadak untuk menampung kos pengambilalihan empat konsesi air di negeri ini.

Mengulas tentang dakwaan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang memintanya tidak berlindung di sebalik Akta Rahsia Rasmi untuk membuat perjanjian, Abdul Khalid berkata, setiap kerajaan mempunyai prosedurnya sendiri untuk membuat perjanjian dan menjaga maklumat kerajaan.

"Sebagai contoh, apabila kita (kerajaan negeri) memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat, kita telah melantik pegawai untuk menjaga maklumat kerajaan dengan prosedur yang ditetapkan dan ini telah lama dilakukan.

"Saya harap, bijak pandai kita mesti mempunyai keupayaan untuk tentukan bahawa tatacara pentadbiran perlu dibuat dengan penuh adab dan tertib supaya rakyat dapat melihat kita lebih profesional dengan apa-apa yang kita lakukan," tegas beliau.

Mengulas pertemuan beliau dengan Perdana Menteri, Abdul Khalid berkata, mereka turut bersetuju supaya Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) mewakili Kerajaan Persekutuan, manakala kerajaan negeri diwakili oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

"KeTTHA dan KDEB akan bekerjasama bagi menghasilkan draf Perjanjian Awal ini yang dijangka ditandatangani dalam tempoh yang terdekat.

"Perkembangan ini membuktikan komitmen berterusan kedua-dua pihak terhadap MoU penstrukturan semula bekalan air di Selangor," katanya.

Addul Khalid dalam pada itu berkata, dokumen MoU tersebut akan didedahkan kepada umum dalam tempoh seminggu.

"Saya telah berbincang dengan menteri berkaitan untuk membenarkan orang ramai mendapatkan salinan MoU itu dan dalam tempoh seminggu kita akan dapat jawapannya.

"Namun, melalui maklum balas yang saya terima hasil perbincangan itu, menteri terbabit turut berpendapat perkara ini boleh dilakukan kerana ia bertujuan pendedahan umum dan tidak menjejaskan keselamatan negeri serta negara," ujarnya.

Suara Politik
Belantan

Tolak Anwar di Kajang?


Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam utama negara hari ini menggesa pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang agar menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada memenangi pilihan raya itu.

Mereka membayangkan masalah besar akan timbul kepada rakyat Selangor dan juga negara ini, sekiranya Anwar menang dalam pilihan raya itu dan seterusnya melantik dirinya untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.

Sehubungan itu, kumpulan itu yang terdiri daripada Jalur Tiga Malaysia (Jati), Yayasan Murni Aqidah, Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (Muslim UPRo) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa pengundi menolak Anwar, sekali gus menghalang hasratnya untuk menerajui Selangor.

NGO-NGO Islam berkenaan turut sepakat akan menggerakkan seluruh kekuatan kolektif yang ada untuk turun padang bagi memberikan penerangan kepada penduduk DUN Kajang mengenai kemungkinan langkah-langkah yang akan diambil Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu jika beliau menang di DUN Kajang.

Jurucakap kumpulan tersebut, Datuk Dr. Hassan Ali berkata, berdasarkan kenyataan-kenyataan Anwar yang dilaporkan sebelum ini, pihaknya bimbang beliau akan menggunakan kuasa Menteri Besar untuk menstruktur semula sistem perundangan dan pentadbiran negeri bagi disesuaikan dengan prinsip liberalisme, pluralisme serta tuntutan sosial yang berselindung di sebalik nama hak asasi manusia.

Selain itu, dakwanya, strategi turun ke jalan raya mungkin sekali lagi digunakan oleh Anwar untuk meruntuhkan sistem sedia ada dan keadaan itu dikhuatiri boleh mewujudkan pergolakan antara rakyat Selangor yang mungkin merebak ke seluruh negara.

"Pengundi DUN Kajang terutamanya umat Islam diminta tidak termakan dengan 'gula-gula' Anwar, sebaliknya menolak beliau atas nama akidah Islamiah," katanya dalam satu sidang akhbar di kediaman beliau di sini hari ini.

Yang turut serta, Pengerusi Yayasan Murni Aqidah, Datuk Aidit Ghazali; Pengerusi Pembela, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin, Pengerusi Muslim UPRo, Azril Mohd. Amin dan Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Perkasa, Kapten (B) Dr. Shamsuddin Moner.

Menurut Hasan, pengkaji politik di kalangan NGO Islam juga mengenal pasti 20 alasan syarie mengapa pengundi perlu menolak Anwar dalam PRK DUN Kajang pada 23 Mac ini.

Katanya, antara alasan tersebut adalah berhubung pandangan Anwar dalam pluralisme agama, pergerakan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT), penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan konsep penyelesaian dua negara bagi menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

"Itu hanya sebahagian sahaja daripada fakta-fakta pokok lain seperti persoalan moral dan akhlak termasuk integriti dan kredibiliti yang akan kami dedahkan menjelang PRK DUN Kajang nanti.

"Fakta-fakta ini jika dicantumkan akan menjadi hujah yang paling kental mengapa pengundi Kajang khasnya dan rakyat Malaysia umumnya mesti menolak hasrat Anwar untuk menerajui Selangor," katanya.

Suara Politik
Belantan

Rabu, Mac 05, 2014

Panas...!!! Benarkah Mat Sabu pembekal pemuas nafsu di Muktamar?


1. Normah wanita yang ditangkap khalwat dengan Mat Sabu pada 31/1/1995 di Hotel Perdana, Kota Baru mengaku telah bertaubat nasuha. Ketika ditangkap beliau langsung tidak rasa bersalah kerana yakin beliau berjuang kerana Allah.

2. Normah mendakwa Mat Sabu dan Mahfuz Omar telah menyakinkan beliau bahawa .."perempuan solehah, mana-mana perempuan baik yang melepaskan keletihan mana-mana pemimpin Islam yang berjuang Fisabilillah maka dia mendapat pahala Fisabilillah dari Allah SWT"

3. Malah suami yang mengzinkan perbuatan isteri tersebut juga mendapat pahala Fisabilillah.

4. Fahaman bahaya ini telah menular di dalam PAS sebagaimana Normah mendakwa Mat Sabu telah menggunakan wanita-wanita pelayan nafsu untuk melayan nafsu serakah perwakilan yang menghadiri Muktamar PAS pada tahun 2011 sebagai habuan untuk mendapatkan undi menjadi Timbalan Presiden PAS, menewaskan Ust Nasharudin Mat Isa.

Cerita selanjutnya di sini:



Sumber :  Minaq Jinggo

Suara Politik
Belantan

Khalid akhirnya akui ada konflik dalaman?


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini secara terbuka mengakui berlaku konflik dalaman antara beliau dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali.

Beliau berkata, pertelingkahan dengan Azmin bagaimanapun tidak akan memberi kesan kepada PKR, pembangkang dan juga peluang kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Katanya, pertelingkahan tersebut tidak mempunyai kaitan langsung dengan jumlah undi.

"Kadang-kadang lebih ramai orang suka buat pilihan (mengundi kita) pula. Jadi, awak kena faham sesuatu pertelingkahan dalaman tidak ada kaitan dengan jumlah undi.

"Kita telah lihat perkara ini tetapi asalkan rakyat jangan anggap perkelahian itu akan merosakkan parti dan (seterusnya) memberi undi tidak percaya, sudahlah," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Perdana Badan Pengurusan Bersama (JMB), Perbadanan Pengurusan (MC) dan Anugerah Komuniti Bestari K-Star Pangsapuri Negeri Selangor 2013 di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dekat sini hari ini.

Pada Jumaat lalu, Abdul Khalid mengumumkan hasrat mahu bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR yang kini disandang oleh Azmin pada kongres parti itu Mei ini.


Hubungan kedua-dua individu ini dilaporkan 'tidak begitu mesra' apabila Azmin sering mengkritik pentadbiran kerajaan negeri melibatkan beberapa isu.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, landskap politik di negara ini sememangnya terdedah banyak siri pertelingkahan dalaman parti dan persengketaannya dengan Azmin adalah salah satu contoh daripadanya.

"Saya rasa sama seperti yang Presiden parti, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail katakan, semua ini adalah penilaian demokrasi dan asas perjuangan parti," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Penasihat DAP, Lim Kit Siang agar tidak bimbang dengan perkembangan tersebut kerana pertelingkahan tersebut adalah satu perkara biasa dalam politik.

"Kita menghargai pengetahuan dan pengamatan kepimpinan DAP. Namun dalam politik, saya tidak tahu negara lain, tetapi itu adalah sesuatu yang biasa di Malaysia. Terdapat juga pergaduhan dalam UMNO," katanya

Kit Siang sebelum ini mengaku wujud masalah dalaman dalam pakatan pembangkang dan PKR serta membayangkan masalah itu sekiranya berterusan boleh membawa kepada kekalahan pakatan pada PRK DUN Kajang.

Suara Politik
Belantan

Selasa, Mac 04, 2014

Isu Hadi kena saman : Tanya Anwar, kenapa?

Bagi kumpulan Anwarinas dalam Pas, Haji Hadi hanya layak jadi nelayan

Orang Pas, sama ada ‘Pas Rumi’ atau ‘Pas Jawi’ sepatutnya boleh angkat kening terhadap Anwar Ibrahim.

Mengapa Anwar selaku Ketua Pembangkang pada tahun lepas tidak menahan atau mengarahkan sahaja bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kawasan DUN Sungai Besi, Terengganu, Mohd. Shamsul Mat Amin supaya menarik balik saman terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang?

Anwar Penasihat PKR, sebagai ketua dia boleh berbuat demikian. Tetapi kenapa dia tak buat?

Meskipun Mohd. Shamsul menyifatkan saman yang difailkannya ke atas pemimpin Pas itu tidak akan mengeruhkan hubungan yang sedia terjalin di antara PKR dan Pas, tetapi secara logik dan hukum-hakam perasaan sebagai manusia, kalau `bapa kita disaman sepupu-sepapat atau saudara terdekat’, bagaimana? Apa perasaan kita?

Inikan pula seorang presiden parti, Presiden Pas yang ada ratusan ribu pengikut, yang kerusi parti itu di Selangor sahaja - yang mana juga terletaknya DUN Kajang - melebihi kerusi PKR dan sama hebat pula bilangan kerusi dengan DAP di negeri itu.

Mohd. Shamsul atau sesiapa sahaja daripada PKR boleh mengungkapkan, tidak ada kesan saman ke atas Abdul Hadi kepada orang Pas. Barangkali RM2 juta boleh dicari, tetapi maruah diri Abdul Hadi nak diletakkan di mana? Disaman pula oleh orang dalam parti sekutu sendiri. Tetapi Anwar berdiam diri, seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku melibatkan orang kuat parti sekutunya.

Dan kalau direnung-renungkan, memang ketika ini sedang berlaku pergolakan yang agak getir dalam pakatan atau pun dalam PKR sendiri.

Peguam Presiden Pas, Asmuni Awi (tengah) memberikan sidang media berhubung permohonan mengetepikan perintah penghakiman ingkar bagi kes saman fitnah RM2 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Mengapa pilihan raya kecil DUN Kajang perlu diadakan sehingga memaksa penyandangnya, Lee Chin Cheh yang muda sihat wal-afiat mengosongkan kerusinya. Kalau difikir-fikirkan jika benarlah Anwar begitu menggilai jawatan Menteri Besar Selangor, elok sahaja dia meminta menteri besar yang ada, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengosongkan kerusi DUN Pelabuhan Klangnya.

Atau setidak-tidaknya orang kepercayaannya, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali meninggalkan kerusi DUN di Bukit Antarabangsa. Abdul Khalid dan Azmin tidak akan rugi apa-apa kerana kedua-duanya turut kekal status wakil rakyat masing-masing di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dan Gombak.

Malah, kalau Abdul Khalid memang akur mahu berundur sebagai Menteri Besar, dia semestinya juga secara sukarela akan memberikan kerusi Pelabuhan Klangnya kepada Anwar. Nampaknya memang sukar berunding atau mempengaruhi Abdul Khalid dan Azmin yang diketahui umum mempunyai hubungan dingin.

Hakikatnya, kalau direnung sekali lagi pun, kepimpinan kerajaan negeri Selangor yang diketuai Abdul Khalid kelihatan jauh dari jangkauan pengaruh Anwar.

Anwar boleh berseloka dan bermain kata-kata ketika berucap di atas pentas beberapa minggu lalu di Kajang, dengan Abdul Khalid kelihatan tersengih-sengih berdiri bersama khalayak mendengar celoteh Ketua Pembangkang itu, tetapi mahukah menteri besar itu berundur?

Kalau diamati kenyataan Abdul Khalid dalam sidang akhbar baru-baru ini, jelas beliau menolak penemuan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya (Umcedel) yang mengatakan kononnya rakyat Kajang bersedia mengangkat Anwar menggantikan beliau sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

"Tak ada, tak ada...itu tak ada isu. Saya ingat kita tak boleh gunakan maklumat itu (kajian Umcedel) untuk putar-belitkan keinginan rakyat (Selangor) sebab ada rakyat yang beri jawapan dan ada yang tidak beri jawapan...tapi itu status akademia yang sihat oleh Universiti Malaya," kata Abdul Khalid.

Tambah Abdul Khalid, pengundi Kajang tahu jasa dan sumbangan beliau kepada Selangor sejak beliau mengambil alih jawatan Menteri Besar.


Bercerita pasal Anwar, mungkin sesiapapun termasuk Menteri Besar Selangor sendiri sukar membaca strategi yang sedang dicongakkannya.

Kalau ditanyakan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar, ini jawapannya kepada penulis baru-baru ini.

"Kalau kita lihat di Selangor banyak isu kontroversi yang timbul. Mula-mula dulu, pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), kemudian pertentangan pandangan istana dengan kerajaan negeri. Isu kalimah Allah contohnya ada pula percanggahan antara keputusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan kerajaan negeri.

"Begitu juga dilihat daripada kenyataan Rafizi dan Anwar yang mendakwa UMNO Selangor agresif memainkan isu perkauman.

"Dilihat pada isu, seolah-olah ada satu agenda besar dengan kelak akan ada yang melihat seolah-olah Istana Selangor campur tangan dengan memberi pandangan berbeza. Di sini, akan ada kemungkinan berlaku pertembungan krisis perlembagaan antara kuasa istana dan `kuasa rakyat’ kalau Anwar dicalonkan jawatan menteri besar oleh DUN Selangor. Adalah pada masa itu nanti sultan yang mempunyai kuasa melantik MB, akan dilihat yang mana satu yang lebih berkuasa. Adakah sultan ada kuasa memilih menteri besar atau baginda pula yang kena akur apa yang diputuskan oleh DUN.

"Saya lihat apabila berlaku ini, pada bila-bila masa sahaja kerajaan pakatan boleh panggil mesyuarat DUN khas. Kalau Abdul Khalid tidak mahu letak jawatan, usul tidak percaya akan diletakkan pada Abdul Khalid," kata Noh.

Baru-baru ini, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan yang turut dilaporkan oleh akhbar ini, percaya tindakan saman terhadap Abdul Hadi oleh Mohd. Shamsul ada kaitan dengan usaha pihak tertentu untuk menjatuhkan maruah dan merosakkan imej Presiden Pas.

"Saya percaya keperibadian beliau kental dan tidak tergugat dengan tekanan seperti ini.

"Namun saya menyarankan agar semua anggota parti mengadakan solat dan munajat memohon dimudahkan urusan agar Pas serta Presidennya terhindar daripada perancangan tidak bertanggungjawab pihak tertentu dan sikap jahat mereka," katanya.

Anwar boleh berbuat sesuatu untuk ‘menyelamatkan’ Abdul Hadi sebelum ini tetapi dia tidak melakukannya.

Peguam Mohd. Shamsul, A. Vasudevan sebelum ini memberitahu, saman malu itu tidak boleh ditarik balik. Namun katanya, peguam defendan boleh memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah penghakiman ingkar tersebut.

Adakah pengikut Pas hanya sekadar melihat dari jauh kemelut yang sedang melanda Presidennya?

Atau parti itu sekadar melukut di tepi gantang dalam pakatan pembangkang yang semakin diragui ‘kesepakatannya’.

Suara Politik
Belantan

Mahkamah tolak permohonan Anwar kali ketiga?


Mahkamah Rayuan menolak permohonan kali ketiga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes liwat membabitkan dirinya dan bekas pembantu peribadinya.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Balia Yusof Wahi memutuskan demikian atas alasan permohonan tersebut merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Suara Politik
Belantan

Isnin, Mac 03, 2014

Tak maklum MoU kepada PKR kerana terikat undang-undang - Khalid?


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakannya tidak memaklumkan Perjanjian Persefahaman (MoU) kerajaan negeri itu dengan kerajaan pusat berkaitan penstrukturan semula industri air di Selangor kepada pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah disebabkan terikat dengan undang-undang.

Beliau berkata, peruntukan undang-undang melarangnya membuat kenyataan berhubung perkara itu, dan jika perlu, hendaklah dilakukan secara tertib bagi mengelak syarikat yang mengendali air di Selangor, terjejas di pasaran saham.

"Syarikat yang mengendalikan air di Selangor tersenarai di pasaran saham dan tidak boleh dibincang secara terbuka kepada umum," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU dengan kerajaan negeri Kelantan hari ini.

Abdul Khalid diminta mengulas dakwaan pemimpin PKR bahawa beliau tidak memaklumkan perkara itu terlebih dahulu sebelum memeterai MoU dengan kerajaan pusat berhubung penstrukturan semula industri air di Selangor.

Pada 26 Feb lepas, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor menandatangani MoU untuk penstrukturan semula industri air di negeri itu yang berlanjutan sejak 2008.

MoU antara Kelantan dan Selangor ialah bagi kerjasama kepakaran membabitkan tujuh perkara iaitu Pendidikan, sistem gadaian Islam Ar Rahn, Pusat Makanan Halal, Perundangan, Pembangunan Siber, Pemasaran Produk dan Air.

Suara Politik
Belantan

Ahad, Mac 02, 2014

PRK Kajang : Musuh sebenar Anwar ialah krisis dalaman PKR, kata Kit Siang?


Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang hari ini buat pertama kalinya mengaku wujud masalah dalaman dalam Pakatan Rakyat dan Parti Keadilan Rakyat dan membayangkan masalah itu sekiranya berterusan boleh membawa kepada kekalahan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang.

“Musuh sebenar Anwar dalam pilihan raya kecil Kajang bukannya calon bebas, MCA atau UMNO tetapi perselisihan dan masalah dalaman PR/PKR,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan media.

Katanya,ada “alasan untuk bimbang berhubung beberapa perkembangan dalam Pakatan Rakyat dan PKR di Selangor kebelakangan ini.”

“Dalam pilihan raya kecil Kajang, kita hanya boleh kalah dan terjejas kerana masalah kita sendiri.”

Kit Siang menyeru sekutu dalam Pakatan Rakyat — dalam PKR, PAS dan DAP — untuk merapatkan barisan dan mengetepikan perbezaan.

Katanya, ini bagi memastikan Pakatan Rakyat tidak melakukan kesilapan sendiri sehingga “menafikan anak cucu peluang yang datang sekali dalam setengah abad untuk perubahan politik di Putrajaya.”

“Marilah kita berdepan dengan realiti yang pahit bahawa kekalahan dalam pilihan raya DUN Kajang iaitu gagal mencapai kemenangan yang bersejarah, tidak boleh diketepikan.

“Kita tidak mesti lupa kata-kata Abraham Lincoln: Rumah yang berpecah belah tidak akan boleh tegak berdiri,” katanya.

Kenyataan Kit Siang ini menyusul desas-desus mengatakan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim sedia mencabar Azmin Ali untuk jawatan timbalan presiden PKR pada pemilihan parti itu tidak lama lagi.

Perkembangan ini dilihat kemuncak pergeseran antara dua pemimpin PKR di Selangor itu yang telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Pilihan raya kecil DUN Kajang ini diadakan susulan perletakan jawatan ADUN Lee Chin Cheh daripada PKR yang dikatakan ada kaitan dengan krisis politik dalaman PKR Selangor itu dan usaha meredakan pergeseran antara Khalid dan Azmin.

Suara Politik
Belantan

KERAJAAN SELANGOR AMBIL ALIH KONSESI AIR, BERMULA SEMALAM?


Kerajaan Selangor dan Kerajaan Persekutuan semalam telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membolehkan Kerajaan Selangor mengambil alih ekuiti empat syarikat konsesi.

Pengambilalihan ini dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan dan keempat-empat syarikat ini akan diletakkan di bawah satu syarikat konsortium air di bawah Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) iaitu syarikat milik penuh kerajaan Selangor.

Empat syarikat konsesi itu ialah Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABBAS Sdn Bhd (ABBAS).

Pengambilalihan ini akan melibatkan pengambilalihan pegangan ekuiti serta tangggungjawab dan tidak melibatkan pemberhentian kakitangan bukan pengurusan.

KDEB akan membayar RM9.65 bilion kepada pemegang saham empat syarikat konsesi terbabit manakala Kerajaan Persekutuan menyuntik RM2 billion untuk membantu Kerajaan Negeri dalam urusan pengambialihan saham.

Sebagai balasan, Kerajaan Selangor akan mengeluarkan kebenaran merancang untuk pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan (LRAL2).

Sementera menunggu Langat 2 disiapkan, Kerajaan Selangor akan melaksanakan tiga tanggungjawab utama untuk memastikan bekalan air bersih mencukupi iaitu:

1. Menjalankan program mitigasi bernilai RM900juta yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan

2. Memulakan projek Horas (Hybrid Off River Augmentation System) di Sungai Selangor yang mampu membekalkan air bersih antara 600 hingga 700 Juta Liter Sehari (MLD) atau 3 bilion liter pada 2050. Majlis pecah tanah projek ini akan diadakan dalam tempoh dua minggu dari sekarang

3. Menurunkan peratusan air tidak berhasil (NRW) dari 33 % kepada tahap yang lebih rendah dalam tempoh enam bulan. Peratusan tinggi NRW yang gagal diturunkan oleh SYABAS adalah punca utama bekalan air bersih tidak mencukupi.

Terimakasih diucapkan kepada Kerajaan Persekutuan dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili di atas kerjasama bagi memuktamadkan penstrukturan semula industri air di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

MoU ini tepat pada masanya ketika rakyat bergelut dengan krisis bekalan air dan ini jelas membuktikan industri air perlu distruktur semula supaya perkhidmatannya lebih cekap dan mampan dengan kadar tariff air yang munasabah.

Seluruh pengundi Kajang diseru agar agar memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional yang selama ini sentiasa membela Rakyat sekali pun masaalah air ini sepatutnya Kerajaan Negeri yang perlu dipertanggungjawabkan untuk mengurusnya dengan lebih baik.

Sekiranya sebelum ini perkara ini dilakukan sudah pasti permasaalahan air ini tidak timbul dan akhirnya mereka akur juga dengan projek Langat yang mereka tentang selama ini dan perlu diingat setiap dasar yang kerajaan Persekutuan rancang sudah diteliti sebaiknya dan amat tidak wajar ditangguhkan sehinggakan kos penangguhan melibatkan keruguan puluhan juta ringgit

FIKIR DAN RENONGKAN LAH...!!!

Suara Politik
Belantan