Rabu, Mac 05, 2014

Khalid akhirnya akui ada konflik dalaman?


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini secara terbuka mengakui berlaku konflik dalaman antara beliau dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali.

Beliau berkata, pertelingkahan dengan Azmin bagaimanapun tidak akan memberi kesan kepada PKR, pembangkang dan juga peluang kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Katanya, pertelingkahan tersebut tidak mempunyai kaitan langsung dengan jumlah undi.

"Kadang-kadang lebih ramai orang suka buat pilihan (mengundi kita) pula. Jadi, awak kena faham sesuatu pertelingkahan dalaman tidak ada kaitan dengan jumlah undi.

"Kita telah lihat perkara ini tetapi asalkan rakyat jangan anggap perkelahian itu akan merosakkan parti dan (seterusnya) memberi undi tidak percaya, sudahlah," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Perdana Badan Pengurusan Bersama (JMB), Perbadanan Pengurusan (MC) dan Anugerah Komuniti Bestari K-Star Pangsapuri Negeri Selangor 2013 di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dekat sini hari ini.

Pada Jumaat lalu, Abdul Khalid mengumumkan hasrat mahu bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR yang kini disandang oleh Azmin pada kongres parti itu Mei ini.


Hubungan kedua-dua individu ini dilaporkan 'tidak begitu mesra' apabila Azmin sering mengkritik pentadbiran kerajaan negeri melibatkan beberapa isu.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, landskap politik di negara ini sememangnya terdedah banyak siri pertelingkahan dalaman parti dan persengketaannya dengan Azmin adalah salah satu contoh daripadanya.

"Saya rasa sama seperti yang Presiden parti, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail katakan, semua ini adalah penilaian demokrasi dan asas perjuangan parti," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Penasihat DAP, Lim Kit Siang agar tidak bimbang dengan perkembangan tersebut kerana pertelingkahan tersebut adalah satu perkara biasa dalam politik.

"Kita menghargai pengetahuan dan pengamatan kepimpinan DAP. Namun dalam politik, saya tidak tahu negara lain, tetapi itu adalah sesuatu yang biasa di Malaysia. Terdapat juga pergaduhan dalam UMNO," katanya

Kit Siang sebelum ini mengaku wujud masalah dalaman dalam pakatan pembangkang dan PKR serta membayangkan masalah itu sekiranya berterusan boleh membawa kepada kekalahan pakatan pada PRK DUN Kajang.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: