Selasa, November 08, 2011

Reaksi dari pelbagai pihak terhadap kenyataan Tony Pua-ka!


Berikut adalah reaksi dari pelbagai pihak terhadap kenyataan Tony Pua yang berhasrat mahu mengurangkan bilangan penjawat awam sekiranya dipilih sebagai pemerintah negara! Antaranya adalah :

Tee Beng - Laksana dulu di Selangor, Pulau Pinang!

Hasrat DAP untuk mengurangkan jumlah penjawat awam sekiranya parti itu dipilih mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti menunjukkan sifat kebencian sebenar parti itu kepada bangsa lain, khususnya orang Melayu.

Menariknya, dakwaan itu bukan dibuat pemimpin Melayu, sebaliknya oleh pemimpin Tionghua sendiri iaitu Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng yang pernah 'tidur sebantal' dengan DAP sewaktu beliau menjadi wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dahulu.

Menurut Tee Beng, DAP melalui Setiausaha Penerangannya, Tony Pua, sedar bahawa orang Melayu menguasai 90 peratus jumlah perjawatan dalam sektor awam dan demi memastikan undi kaum Cina kekal, parti itu sanggup mengeluarkan kenyataan berbaur rasis.

"Memang jelas ini kenyataan rasis yang bermatlamat untuk menyerang sektor awam kerana 90 peratus perjawatan di sektor ini dikuasai orang Melayu. Kalau kakitangan awam ini dikurangkan, kesannya kepada siapa kalau bukan kaum Melayu itu sendiri?

"Saya berkata demikian kerana DAP ataupun Tony Pua tidak memberi pelan alternatif di sebalik idea ini. Apakah dengan sekadar menamatkan separuh daripada jumlah kakitangan awam ini akan menjadi lebih kos efektif dan mampu memberi imej yang lebih baik kepada kerajaan.

"Sebab itu saya kata DAP parti paling rasis. DAP mendakwa UMNO rasis kerana parti itu membela orang Melayu tetapi sebenarnya DAP yang paling rasis kerana perjuangan parti itu hanya untuk satu kaum sahaja," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tony Pua yang disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Cina baru-baru ini bahawa, DAP mahu mengurangkan jumlah penjawat awam dan menamatkan perkhidmatan mereka yang tidak efisien bagi mengurangkan bajet kerajaan.

Dalam pada itu, Tee Beng mencabar DAP dan pembangkang membuktikan perancangan tersebut di Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan terlebih dahulu jika benar mereka yakin langkah berkenaan mampu meningkatkan tahap efisien kakitangan awam.

"DAP perlu laksanakan dahulu hasrat mereka itu di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang dan kita tengok apa reaksi rakyat. Apakah hasilnya nanti benar-benar memberi keputusan yang efisien kepada budaya kerja kakitangan awam mahu pun kepada bajet kerajaan," katanya.

Beberapa kesatuan sekerja juga hari ini bangkit menentang hasrat DAP yang mahu mengurangkan bilangan penjawat awam. Sambil menyifatkan, ia satu tindakan berunsur politik dan mempunyai agenda tersirat, kesatuan-kesatuan juga menyifatkan cadangan itu sebagai tidak rasional serta tidak berasas.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, hasrat tersebut adalah tidak rasional kerana tidak mempunyai alasan yang munasabah.

“Kami di bidang perguruan khususnya menolak 100 peratus hasrat tersebut yang dilihat bukan satu langkah bijak.

“Lebih-lebih lagi peningkatan pelajar sebanyak 500,000 orang setiap tahun manakala banyak guru yang akan bersara menyebabkan keperluan guru meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai hasrat DAP untuk mengurangkan kakitangan awam sekiranya dipilih sebagai pemerintah negara dan mengukuhkan dakwaan bahawa parti itu tidak selesa dengan penguasaan orang Melayu dalam sesuatu bidang.

Manakala, Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri tidak bersetuju dengan hasrat tersebut yang dilihat boleh menyebabkan kualiti perkhidmatan terjejas.

“Contohnya, dalam bidang penguatkuasaan seperti kami, sekiranya tenaga kerja dikurangkan, sudah tentu akan menyukarkan untuk mengawal jumlah kenderaan yang berjuta-juta.

“Tidak mungkin, suatu masa nanti kita mahu menswastakan perkhidmatan awam yang menyebabkan lebih mementingkan keuntungan berbanding untuk berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia (Kesukma), Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, pengurangan itu lebih membawa keburukan daripada kebaikan yang mana meningkatkan lagi pengangguran dan kebergantungan khidmat luar sehingga menyebabkan kos lebih tinggi.

“Hasrat DAP dilihat mempunyai agenda tersirat umpama ada udang di sebalik batu. Dalam perkhidmatan kami, bilangan pelajar semakin lama makin meningkat dan memerlukan penambahan kakitangan mengikut keadaan,” jelasnya.

Bagi Pengerusi Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM) Cawangan Kuala Lumpur, Ja‘apar Mansor berkata, tidak semestinya pengurangan bilangan penjawat awam akan dapat mengurangkan bajet kerajaan malah boleh menyebabkan kesan yang sebaliknya.

Pengerusi Persatuan Pekerja Wanita, Silam Hassan berkata, pengurangan berkenaan adalah agenda DAP untuk mengurangkan hasil ekonomi orang Melayu dan ini membuktikan mereka kurang senang dengan pencapaian bumiputera kini.

“Jika penjawat awam rata-rata bangsa Melayu dikurangkan, mereka juga sukar untuk mendapatkan pekerjaan kerana tidak diberi peluang untuk menjawat jawatan di syarikat milik bukan Melayu,” katanya.

Menurut Presiden Kesatuan Pekerja Pekerja KTMB, Abdul Razak Md. Hassan berkata, hasrat tersebut perlu dibantah keras kerana kewujudan pelbagai sektor awam di negara ini adalah inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat di negara ini agar mempunyai punca pendapatan.

“Adakah dengan berniat mengurangkan jumlah penjawat awam maka ruang kerja akan disediakan oleh mereka yang terlibat. Ini sesuatu yang perlu dipandang serius dan ditentang kerana akan meningkatkan jumlah pengangguran,” katanya.

Presiden Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal, Kementerian Pendidikan Malaysia (KSKM), Hamran Ahmad menyatakan kenyataan yang dibuat Setiausaha Penerangan DAP, Tony Pua itu lebih berat kepada unsur-unsur politik daripada menjaga kepentingan penjawat awam yang lebih 80 peratus terdiri daripada orang Melayu.

“Mengurangkan jumlah kakitangan bermakna ada penjawat yang akan kehilangan kerja. Ini akan membantutkan perkembangan ekonomi negara dan akan memberi impak yang tidak sihat kepada negara,” katanya.

Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia turut membantah cadangan DAP dengan menyifatkan ia sebagai tidak berasas.

Presidennya, Alias Aziz berkata, kerajaan yang baik ialah kerajaan yang dapat menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyatnya bagi menjamin kelangsungan pertumbuhan ekonomi negara.

Dan terbaru kenyataan dari Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan kenyataan pembangkang untuk mengurangkan bilangan penjawat awam jika berjaya mengambil alih kerajaan pusat sebagai idea yang jumud.

Sambil menentang cadangan itu habis-habisan Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, penjawat awam tidak harus dijadikan mangsa kepentingan politik pihak yang ketandusan idea.

"Tak pernah perkara begini dijadikan isu politik. Jadi kita rasa terguris dan kecewa, di mana mereka sepatutnya lebih menghargai kita. Tak sepatutnya pemimpin yang nak meneraju negara menyekat peluang rakyat untuk sama-sama menyumbang untuk kemajuan negara.

"Kalau nak meneraju negara, tetapi tak nak menghadapi beban, tak nak menghadapi risiko jangan jadi pemimpin,” katanya kepada pemberita selepas majlis penjelasan isu semasa penjawat awam di Universiti Putra Malaysia, dekat sini hari ini.

Bagi penulis, nampak sangat kenyataan Tony Pua itu bukan berdasarkan kajian tertentu, malah tiada perbandingan antara sektor awam di negara ini dengan negara maju yang lain. Ini menggambarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab tanpa mengkaji peranan penjawat awam yang telah memberi khidmat kepada negara.

Jika kita membuat perbandingan, tidak semua ekonomi dalam dunia sama, malah sektornya berbeza. Mungkin mengikut peratusan tertentu, nisbah pekerja sektor awam di negara ini lebih tinggi berbanding negara maju lain.

Ini kerana keperluan Malaysia terhadap penjawat awam berbeza dengan negara lain. Jadi kita perlu pandang hal ini secara keseluruhan dan sumbangan yang telah diberikan oleh mereka, baik dari segi perkhidmatan mahupun bidang ekonomi.

Sesebuah syarikat yang mengurangkan kos dengan membuang pekerja belum pasti memberi kesan yang baik terhadap perkembangannya. Kadangkala kesan sampingan syarikat yang membuang pekerja lebih teruk. Jadi perkara ini perlu diambil kira!

Hasrat DAP sebenarnya tidak pernah mempedulikan nasib rakyat dan hanya mementingkan kuasa semata-mata. Ia juga membuktikan bahawa parti berkenaan telah gagal mempamerkan kredibiliti sebagai pemerintah sebelum berjaya menguasai negara ini.

DAP belum pun memerintah negara lagi, mereka hanya memerintah Pulau Pinang sahaja tetapi timbul pula idea bodoh seperti itu yang hanya membebankan rakyat. Apa yang sebenar mereka fikirkan?

Hasrat DAP itu juga membuktikan bahawa parti berkenaan mempunyai motif tertentu terutamanya apabila mengambil kira bilangan orang Melayu yang bertugas dalam sektor awam. Sebagai orang Melayu nilailah sendiri hasrat yang disuarakan DAP itu. Janganlah kita tersilap memilih pemimpin untuk mentadbir negara kerana kelak kita sebagai rakyat yang akan mengalami kerugian.

Adakah kenyataan Tony Pua ini mempunyai muslihat dan agenda tersirat parti rasis itu semata-mata. Fikir-fikirkanlah!

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: