Sabtu, November 26, 2011

Demonstrasi satu 'jenaka' - Noh!


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim disifatkan sebagai wakil rakyat yang 'tidak cukup akal' apabila mengadakan demonstrasi kononnya wujud ketirisan dalam pengagihan insentif hasil padi kepada petani sebanyak RM110 juta baru-baru ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, tindakan wakil rakyat DAP itu sebenarnya tidak lebih hanya satu bentuk 'jenaka' pakatan pembangkang yang tidak memahami apa yang terkandung di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 mengenai kedudukan insentif tersebut.

Ini kerana katanya, apa yang dinyatakan dalam laporan tersebut mengenai peruntukan sebanyak RM110 juta sebenarnya adalah tunggakan pembayaran insentif peningkatan hasil padi yang masih belum dibayar kepada para petani dan bukannya satu ketirisan seperti yang didakwa oleh Suee Lim.

''Bagaimana pula pembangkang (Suee Lim) boleh mendakwa berlaku ketirisan dalam pembayaran insentif peningkatan hasil padi ini sedangkan tiada pembayaran dilakukan dalam tempoh itu.

''Jumlah itu sebenarnya adalah tunggakan yang masih belum dibayar kepada petani dan kementerian juga menjangkakan sebanyak RM117 juta akan ditambah kepada tahun ini untuk insentif tersebut yang kita akan laksanakan pembayarannya.

''Saya fikir, beliau (Suee Lim) tidak faham mengenai perkara ini tetapi kemudian menghasut orang ramai mengadakan demonstrasi untuk mencari populariti politik dengan memburuk-burukkan kerajaan. Ini menunjukkan wakil rakyat DAP tersebut tidak cukup akal, tidak mahu berfikir," katanya.

Noh berkata, pada tahun depan, kementeriannya juga akan menambah peruntukan sebanyak RM80 juta untuk pembayaran tunggakan insentif peningkatan hasil padi berikutan pertambahan hasil pengeluaran tanaman itu yang dijangka positif pada tahun depan.

Pada 22 November lalu, Suee Lim dilaporkan mengadakan perhimpunan bersama-sama sekumpulan pesawah di sekitar Sekinchan, Sungai Burung dan Sungai Panjang dan menuntut Noh meletak jawatan sebagai menteri.

Tuntutan itu dibuat kononnya Noh gagal membela nasib kaum petani dan pesawah di daerah tersebut serta tidak mengendahkan nasib para pesawah untuk menambah subsidi padi.

Suee Lim turut mendakwa berlaku ketirisan wang RM110 juta di bawah skim peningkatan hasil padi oleh kementerian berkenaan.

Sikap atau perangai sebenar ADUN Sekinchan ini boleh dibaca disini : Masihkah-kita-ingat-adun-dap-langgar.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: