Ahad, September 04, 2011

Najib sifatkan Noramfaizul wira Malaysia sebenar!


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, yang maut akibat terkena tembakan curi di Somalia, semalam, sebagai seorang wira Malaysia sebenar “yang mewakili peranan kita untuk membantu di mana sahaja bantuan diperlukan”.

Sambil melahirkan rasa sedih berhubung apa yang berlaku, Najib berkata: “Kita telah kehilangan seorang rakyat Malaysia sangat mulia dan benar-benar berdedikasi.

“Beliau bersedia mengambil risiko untuk memberikan liputan meluas mengenai misi kita membantu orang lain di banyak tempat di dunia.”

Bercakap kepada Bernama hari ini, Najib berkata, lawatannya ke Perth disingkatkan dan akan pulang ke Kuala Lumpur bagi membolehkan beliau berada di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang untuk ketibaan jenazah Noramfaizul dari Mogadishu.


Ini adalah gambar terakhir Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor yang dirakamkan oleh rakan setugasnya ( Minaq Jinggo ) beberapa jam sebelum jurukamera BernamaTV itu terbunuh setelah terkena tembakan curi ketika menyertai misi bantuan di Somalia, kelmarin.

Noramfaizul, 39, meninggal dunia selepas terkena tembakan curi semasa dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan bersama beberapa petugas media Malaysia lain yang mengikuti Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia untuk membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di di Somalia.


Noramfaizul telah mengikuti beberapa misi kemanusiaan Malaysia di seberang laut yang bertujuan untuk menolong mereka yang amat memerlukan bantuan.

“Beliau seorang yang berdedikasi dan individu yang tidak mementingkan diri yang bersedia untuk bertugas di kawasan persekitaran yang mencabar dan ganas seperti di Gaza dan Pakistan,” kata Najib.

Beliau berkata, malahan jurukamera BernamaTV itu bersedia untuk pergi ke Somalia selepas beliau menyedari ia mungkin merupakan misi berbahaya. Sudah tentu beliau mahu berada di tempat itu bagi merekodkan satu misi kemanusiaan. Anda boleh kata bahawa kematiannya akibat kebinasaan lingkungan.

“Bagaimanapun, kita telah kehilangan seorang yang sangat baik, rakyat Malaysia yang sebenar, seorang wira yang mewakili peranan kita untuk membantu di mana sahaja bantuan diperlukan,” katanya.

Kematian Noramfaizul menyentak perasaan rakyat – Muhyiddin

Sementara itu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman pula merakamkan ucapan takziah kepada anggota keluarga jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor yang maut akibat terkena tembakan peluru sesat di Mogadishu, Somalia, semalam.


Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri ketika bertemu dengan keluarga Allahyarham

Timbalan Perdana Menteri berkata, berita menyedihkan itu tentunya menyentak perasaan rakyat Malaysia khususnya fraterniti media tempatan yang tidak pernah menghadapi situasi seperti ini di dalam negara.

“Saya yakin pemergian Noramfaizul bukan sahaja dirasai kaum keluarga Allahyarham, bahkan industri kewartawanan media yang kehilangan seorang rakan yang dedikasi, tekun serta berani menghadapi cabaran dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan,” katanya dalam kenyataan.

Muhyiddin berkata, selain anggota keselamatan, pengamal media juga banyak berkorban demi tugas tanpa mengira hari dan waktu terutamanya ketika musim perayaan, berjauhan daripada kaum keluarga dan orang tersayang.

“Seringkali pengorbanan mereka terbabit dipandang ringan. Sudah tiba masanya kita tunjukkan penghargaan dengan mendoakan keselamatan mereka,” katanya.

Noramfaizul, 39, meninggal dunia selepas terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia bagi membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia.

“Kami berharap anggota keluarga Allahyarham Noramfaizul sabar menghadapi kehilangan insan tersayang. Doa kami semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin,” kata Muhyiddin.

Timbalan Perdana Menteri meminta semua yang terlibat dalam misi kemanusiaan di Somalia lebih berhati-hati memandangkan keadaan yang membahayakan di negara benua Afrika itu.

"Saya reda atas pemergiannya" - Isteri Allahyarham Noramfaizul

Norazrina Jaafar, isteri kepada jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor yang terbunuh di Somalia pula berkata beliau reda dengan pemergian Allahyarham.

"Saya reda terhadap kehilangan Allahyarham, Ia adalah qada dan qadar Allah S.W.T. Saya menerimanya,” katanya di sini.


Norazrina, 37, berkata, suaminya pernah mengikuti beberapa tugasan yang berisiko tinggi sebelum ini dengan Allahyarham menganggap ia adalah sebahagian daripada tugasnya sebagai jurukamera berita.

"Sebelum ini, Allahyarham turut mengikuti penghantaran misi bantuan kemanusiaan di kawasan gempa bumi di New Zealand. Tugasan dianggapnya sebagai arahan yang perlu dipatuhi,” katanya.

Rakan karib Allahyarham, Ahmad Azmai Awang yang juga Ketua Jurukamera BernamaTV berkata, sejurus selepas menerima maklumat mengenai tragedi itu, beliau terus menghubungi isteri Allahyarham semalam.

Beliau berkata, Noramfaizul merupakan jurukamera yang berdedikasi serta berpengalaman luas membuat liputan di beberapa kawasan konflik dan bencana dunia seperti di Gaza, Pakistan dan New Zealand.

"Tahun ini merupakan kali kedua Allahyarham tidak dapat berhari raya bersama keluarganya kerana tahun lepas beliau turut membuat liputan misi kemanusiaan di Pakistan,” katanya.

Ahmad Azmai yang mula mengenali Allahyarham sejak awal 90-an menyifatkan beliau sebagai seorang yang amat ceria dan memiliki komitmen yang tinggi terhadap tugas yang amat diminatinya sebagai jurukamera.

"Beliau adalah seorang yang amat ceria, walaupun ketika menghadapi masalah tetapi beliau akan tetap ceria seolah-olah tiada masalah. Kehilangan Allahyarham amat dirasai oleh rakan setugasnya,” katanya.

Anak Noramfaizul akan diurus kerajaan - Shahrizat

Manakala Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula akan menguruskan perbelanjaan anak-anak Jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, 39, yang maut akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ia akan dibuat menerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu meringankan beban keluarga Noramfaizul.

"Saya difahamkan Allahyarham adalah anak lelaki tunggal serta soleh dan merupakan seorang petugas yang begitu baik sekali di Bernama, bagi pihak kerajaan saya nak maklumkan bahawa kami akan menghulurkan bantuan.

"Buat masa ini kami akan membantu persekolahan anak-anaknya iaitu akan mengambil alih perbelanjaan mereka nanti, dan pihak YKN juga akan memberi sumbangan sebanyak RM5,000 untuk persekolahan anak-anaknya,” katanya kepada pemberita ketika melawat rumah keluarga Noramfaizul di sini, hari ini. Noramfaizul meninggalkan isteri, Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelaki — Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.


Tepat pukul 10.05 pagi tadi jenazah jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, yang maut akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Somalia, selamat tiba di Pengkalan Udara TUDM Subang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib bersama rakyat menyambut jenazah allahyarham sebaik sahaja diturunkan dari pesawat Charlie-130 TUDM sebelum dibawa ke masjid TUDM untuk dimandi, dikapankan dan juga sembahyang jenazah. Selepas itu jenazah telah dibawa ke tanah perkuburan berhampiran UPM untuk dikebumikan disana selepas waktu zohor.







Sungguh syahdu menyayat hati...!! Menitis airmata tanpa disedari....YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bersama Tan Sri Muhyiddin menatap wajah jenazah Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor selepas upacara solat jenazah pagi tadi di Masjid TUDM Subang.


Jenazah Noramfaizul Mohd. Nor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Universiti Putra Malaysia (UPM) petang tadi. Jenazah Noramfaizul juga diberikan penghormatan tertinggi apabila kerandanya diletakkan dengan bendera Jalur Gemilang sebagai tanda penghargaan terhadap keberanian serta kesungguhannya menjalankan tugas untuk negara walaupun sedar risiko yang harus dihadapinya.

Sebelum itu keranda jenazah juga disambut oleh sepasukan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengusungnya sehingga ke dalam van sebelum dibawa ke masjid Pangkalan Udara TUDM untuk disembahyangkan. Semuga Allah swt mencucuri rahmat keatas roh Allahyarham. Al-fatihah.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: