Khamis, Mei 26, 2011

Biasiswa JPA: Perlukah Ka Siong dan Soi Lek berlagak jadi 'hero'?



















Apa yang 'dok menangis' sangat?

Tidak menerima biasiswa bagi Program Ijazah Luar Negara (PILN), adakah bermakna berakhirnya hidup?

Adakah dengan merasakan telah memperoleh kesemua A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), maka sepatutnya mendapat hak keistimewaan belajar ke luar negara.

Inilah yang peliknya apabila Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek cuba untuk menjadi 'hero' dengan mendakwa wujud salah guna kuasa di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam soal pengagihan biasiswa PILN ini.

Ka Siong mahukan kesemua 363 pelajar yang memperoleh kesemua A+ mendapat biasiswa tersebut manakala bosnya, Soi Lek pula mendesak dibatalkan sahaja amalan sesi temu duga pelajar sebelum mereka ditawarkan biasiswa luar negara itu.

Realitinya, dalam soal pemberian biasiswa ini, mestilah ada syarat-syarat dan kuota yang perlu dipenuhi.

Temu duga pelajar jika untuk jurusan perubatan, misalnya harus dikendalikan oleh barisan panel profesional berwibawa. Ini termasuk diadili oleh doktor-doktor.

Ia perlu dilepasi pelajar. Bukannya suka-suka diadakan. Dalam temu duga yang markahnya cuma lima peratus itu, pelajar akan dinilai dari segi perawakan, cara bercakap selain latar belakang keluarga dan pengetahuan am tentang jurusan yang diambil.

Katakan bidang kejuruteraan, sudah tentu dalam SPM tidak diajar jurusan itu. Tetapi sekurang-kurangnya dia faham tentang bidang yang akan diikutinya nanti.

Kerajaan sebenarnya telah banyak berkorban dalam mengusahakan biasiswa untuk pelajar ke luar negara. Pada 3 Mei lalu, sejumlah 30 pelajar dengan kuota seimbang masing-masing 15 pelajar bumiputera dan 15 lagi bukan bumiputera yang memperoleh A+ bagi semua mata pelajaran dalam SPM 2010 ditawarkan Biasiswa Nasional 2011.

Takkanlah mahu dituntut pula - atas pertimbangan mungkin tamak - biasiswa untuk hampir 400 pelajar lagi ke luar negara. Apakah dengan belajar di universiti-universiti luar negara akan lebih terhormat dan dipandang tinggi daripada belajar dalam negara?

Adakah dengan memiliki kesemua A+ dalam SPM, bermakna inilah upah yang perlu dibayar oleh kerajaan hasil penat jerih pelajar memperoleh keputusan terbaik itu.

Sepatutnya dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 20 Mei lepas tentang pembukaan institusi pengajian dan penyelidikan perubatan Universiti Johns Hopkins di negara ini pada September ini 'membuka mata' semua pihak khususnya pelajar SPM untuk belajar dalam negara.

Tetapi ini tidak direnung sebaik-baiknya oleh Ka Siong dan Soi Lek. Johns Hopkins terkenal kerana merintis pelbagai hasil bidang perubatan.

Program perubatan Johns Hopkins itu adalah hasil kerjasama dengan Universiti Perdana yang menawarkan hospital pengajian swasta yang mempunyai kemudahan perubatan kelas pertama. Ia akan dibina di Serdang oleh kumpulan Chase Perdana.

Ketika sibuk pelajar terbaik kita mencari tempat di luar negara dengan kos mengikuti jurusan perubatan di United Kingdom dan Amerika Syarikat sahaja mencecah RM1.5 juta untuk seorang pelajar, tiba-tiba orang luar pula mengisi tempat di Universiti Johns Hopkins, Serdang itu nanti.

Dikatakan universiti itu menjadi tarikan pelajar dari Timur Tengah dan India yang mungkin bijak menilai akan kos dan suasana kondusif di Malaysia. Kerana itu, baik Ka Siong mahupun Soi Lek dan MCA khususnya harus memberi pertimbangan wajar dalam isu ini. Bukan dengan cuba berlagak jaguh politik.

Dengan majoriti 'brain drain' daripada kaum Cina, sepatutnya MCA berbuat sesuatu untuk membawa mereka pulang berkhidmat ke tanah air.

Sokonglah usaha pentadbiran Perdana Menteri yang kini sedang bekerja keras merangka pelan untuk mencari dan menggalakkan rakyat Malaysia yang bekerja di seberang laut untuk pulang berkhidmat di Malaysia. Ketepikan sementara elemen atau motif politik dalam isu biasiswa luar negara ini.

Komen : Pada pendapat penulis tuntutan dari kedua-dua pemimpin MCA ini memang sudah melampau. Ibarat menikam rakan sendiri dari belakang. Mereka nampaknya cuba menjadi 'hero'kepada kaum mereka! Adakah mereka sedari bahawa dikalangan anak-anak yang mendapat 10A+ itu ada juga diantara orang tua mereka yang kuat menghentam kerajaan!

Malah ada juga di antara anak-anak mereka yang sudah mendapat tawaran biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di universiti-universiti tempatan, tapi masih mempertikaikan kenapa anak mereka tidak ditawarkan ke universiti luar negara! Sudah diberi betis, tapi nakkan peha pula! Memang dasar manusia yang tak tahu mengenang budi!

Soi Lek juga pada tahun lalu pernah mempertikaikan peruntukan dari kementerian Pelajaran kepada sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina yang dikatakan tidak mencukupi malah meminta peruntukan tambahan yang lebih besar dari tahun-tahun yang lepas! Apa sebenar tujuan beliau. Berapa ramai orang Cina yang fasih berbahasa Melayu? Atau adakah ianya semata-mata untuk memenangi hati orang Cina?

Nasihat penulis kepada Soi Lek, janganlah cuba nak menjadi juara kepada kaum anda dengan 'menikam belakang' rakan-rakan anda sendiri. Malah penulis berani menyatakan Soi Lek adalah suara DAP dalam BN. Banyak kenyataan yang keluar dari mulut Soi Lek sebelum ini telah mengguris hati dan perasaan orang Melayu. Tepuk dada tanya selera. Hayatilah sejarah negara dan bersyukurlah dengan "jus soli" yang anda semua dapat! Berapa banyak lagi tuntutan yang anda semua mahu? Tidak cukupkah dengan apa yang anda semua dapat sekarang! Fikir-fikirkanlah.

Suara Politik
Taminsari.

Tiada ulasan: