Sabtu, November 27, 2010

Selesaikan isu air secepat mungkin - FOMCA!

Kerajaan Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) perlu berbincang dan mencapai kata sepakat secepat mungkin bagi memastikan negeri itu tidak berdepan dengan krisis air pada masa depan.

Presiden Gabungan Persatuan- Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu berkata, pertikaian demi pertikaian yang berlaku sejak akhir-akhir ini tidak menguntungkan sesiapa, sebaliknya merugikan rakyat.

"Ini bukan isu siapa menang siapa kalah dalam perlawanan melibatkan Menteri Besar dengan Pengerusi Syabas. Ini isu rakyat Selangor sebagai pengguna air di negeri ini.

"Ia juga tentang kepercayaan. Jika kita tidak percaya kepada orang sendiri, kepada siapa kita hendak percaya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berdialog dalam Forum Air Selangor Tiga Penjuru bertajuk Water Demand Management anjuran bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM) dan Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (Swan), di sini hari ini.

Turut hadir sebagai ahli panel, Pengarah Kajian, Pembangunan dan Inovasi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Marzuki Mohamad; Pengarah Sumber Air dan Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran, Ir. Hanapi Mohamad Nor; Ketua Pegawai Operasi Syabas, Datuk Ir. Lee Miang Koi dan wakil dari Malaysian Nature Society, James Cherian.

Marimuthu menambah, cadangan Syabas untuk menaikkan tarif air tidak perlu dipolitikkan kerana ia merupakan satu keperluan yang harus disegerakan.

Kenaikan kadar tarif air ini, jelasnya, perlu dilaksanakan demi menampung kos operasi untuk menjamin pembekalan air yang berkualiti serta berterusan di Selangor.

"Jika benar kerajaan negeri pentingkan rakyat, selesaikan masalah ini secepat mungkin supaya krisis air yang dijangka berlaku pada 2012 tidak akan berlaku," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Syabas, Datuk Ir. Lee Miang Koi turut berkongsi beberapa fakta dengan peserta forum termasuk kadar purata penggunaan air domestik di Malaysia yang meningkat secara drastik sehingga 3.5 peratus setahun.

Jelasnya, penggunaan air per kapita di Malaysia secara relatifnya sangat tinggi berbanding di negara lain.

"Misalnya, pada 2008, seorang rakyat di negara ini secara purata menggunakan 205 liter air sehari, jauh lebih tinggi berbanding kadar purata negara dunia iaitu 180 liter sehari.

"Penggunaan air per kapita ini boleh dikawal melalui penstrukturan semula tarif kerana ia boleh mendidik rakyat yang gemar membazir," katanya.-UM-

Komen : Mengapa kerajaan negeri Selangor masih lagi mahu menangguhkan kelulusan Projek Langat 2! Di lihat industri bekalan air di Selangor dan Lembah Kelang nampaknya semakin kompleks sekarang. Sinarnya semakin suram bukannya terang benderang. Menteri Besar Selangor masih bertegas mahu menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji semula tahap perbekalan air di negeri itu kerana tidak yakin dengan laporan yang dikeluarkan Syabas dan juga laporan menteri yang bertanggungjawab berkaitan air.

Para pengguna air kesemuanya mahukan bekalan air bersih yang berterusan tanpa gangguan. Masalah utama sekarang adalah paip-paip lama yang belum dapat ditukar penyebab banyak paip bocor di sana sini. Lagi lama ia tidak ditukar maka lagi cepat bekalan air habis lebih-lebih lagi jika berlaku kemarau yang berpanjangan.

Penduduk KL dan Selangor yang pernah terbabit dalam kemelut bekalan air kronik 10 tahun dulu seboleh-bolehnya tidak mahu lagi hidup dalam igauan buruk itu sekali lagi. Jadi, janganlah berterusan menjadikan air sebagai alat politik. Cukuplah semasa kempen pilihan raya lalu. Berundinglah dan bertolak-ansur demi kesejahteraan lebih 3 juta penduduk Lembah Klang.

Yang sudah tu sudahlah. Nasihat penulis kepada Tan Sri MB, usahlah terus bertelagah dengan kerajaan Pusat dan anggaplah nasihat TPM, menteri air dan operator bekalan air sebagai peringatan ikhlas yang mahu memastikan kami sebagai pengguna air tidak menjadi mangsa keadaan yang tragis kelak.

Lebih awal kita mempersiapkan diri lebih baik. Dalam hidup ini semuanya jangkaan sahaja, namun ketentuan Allah swt mengatasi segalanya. Cuma satu sahaja pesanan penulis sebagai pengguna air, 'sediakan payung sebelum hujan'!

Suara Politik
Taminsari

1 ulasan:

warisantamar @ KualaLumpur berkata...

http://www.warisantamar.blogspot.com

mohon izin utk link darulehsan today.TQ