Khamis, Mei 20, 2010

Akibat tumpuan kepada kuasa, parti politik Islam bergolak !

Pergolakan politik dalam dunia Islam masa kini sukar untuk diatasi kerana umat Islam sudah jauh terpesong daripada garis panduan Islam. Politik jika tidak didasarkan kepada prinsip dan konsep perjuangan menegakkan keamanan, keadilan dan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi adalah mudah terpesong kepada perjuangan politik berteraskan kekuasaan dan kebendaan.

Prinsip dan konsep perjuangan yang berteraskan kepentingan rakyat dan negara perlu ditanam dalam jiwa setiap ahli politik dalam negara Islam. Apabila pemikiran dan jiwa pemimpin politik disematkan dengan semangat memperjuangkan nasib bangsa dan agama maka mereka akan bertolak ansur dalam pelbagai aspek berkaitan dengan kepentingan negara dan agama tanpa menghiraukan kepentingan peribadi.

Kesedaran yang tinggi terhadap tanggungjawab dan nasib yang akan menimpa anak bangsa pada masa akan datang boleh membangkitkan semangat wira dalam jiwa setiap ahli politik beragama Islam. Apabila jiwa mereka telah dibangkitkan dengan semangat wira maka mereka akan menumpukan sepenuh perhatian kepada objektif perjuangan mereka dalam arena politik. Kesedaran begini kurang wujud dalam jiwa dan pemikiran kebanyakan pemimpin politik dalam dunia Islam.

Politik dalam dunia Islam semakin hari kian bergolak kerana dalam pertarungan politik konsep 'menang' merupakan matlamat perjuangan. Apabila konsep ini dijadikan sebagai matlamat perjuangan ahli-ahli politik maka mereka akan menggunakan pelbagai cara untuk mendapat kemenangan tanpa melihat kepada kesan dan risiko yang akan mereka hadapi apabila kuasa berada dalam tangan.

Konsep 'menang atau berjaya dalam pertarungan' sepatutnya dilihat dalam perspektif yang boleh menguntungkan bangsa, agama dan negara. Realiti yang jelas kelihatan masa kini ialah kemenangan yang dicapai oleh parti-parti politik Islam lebih menjurus kepada penghakisan kuasa dan kewibawaan umat Islam dan bangsa. Setiap parti politik lebih menumpukan perhatian kepada kemenangan yang hanya dapat bertahan dalam jangka masa singkat.

Ini disebabkan ahli-ahli politik beragama Islam kurang menumpukan perhatian kepada pergolakan dan pertelingkahan sesama umat Islam. Pergolakan dalam politik umat Islam bukan sahaja memusnahkan kewibawaan bangsa dan agama malah ia juga membangkitkan semangat pergaduhan dan dendam kesumat sehingga ke tahap yang boleh memporak-perandakan parti politik mereka sendiri.

Paling memalukan ialah ahli-ahli politik yang memperjuangkan objektif parti yang sama bertarung untuk mendapat kemenangan sehingga ke tahap yang paling serius. Keadaan ini melambangkan bahawa ahli-ahli politik umat Islam kurang peka terhadap akhlak dan budaya berpolitik. Ini merupakan salah satu faktor yang boleh memusnahkan sebuah parti politik yang berwibawa.

Perselisihan ketika berebut jawatan tertentu dalam parti politik boleh diibaratkan seperti orang lapar berebut makanan ketika berada dalam suasana negara ditimpa bencana alam. Apabila suasana begini dipertontonkan kepada rakyat maka timbul persoalan, apakah yang diperjuangkan oleh ahli-ahli politik Islam dalam negara mereka?

Jika sikap dan mentaliti begini dipertontonkan kepada rakyat maka secara spontan mereka boleh menilai dan memahami matlamat perjuangan ahli-ahli politik bukan lagi berjuang untuk bangsa, agama dan negara, tetapi untuk kepentingan diri dan kebendaan. Sikap perjuangan begini menyebabkan umat Islam hilang arus ketika bertarung untuk mendapat kuasa. Mereka tidak menghiraukan tentang hakikat kelemahan diri mereka dalam soal kepimpinan dan pentadbiran negara.

Pemikiran mereka disemat dengan ideologi kekuasaan yang dianggap sebagai satu kenikmatan yang berbentuk syurga dunia dan mampu menyumbang kekayaan dan kemewahan dalam sekelip mata. Ideologi begini menghumban ahli-ahli politik Islam dalam kancah permusuhan yang berkekalan. Perasaan dendam kesumat menjadi sebati dalam pemikiran dan hati nurani mereka.

Kejahilan dan kelemahan diri dalam kepimpinan tidak pernah dijadikan sebagai satu cara untuk menundukkan diri supaya menginsafi bahawa diri mereka tidak layak untuk menjadi pemimpin kerana kewibawaan mereka dalam soal ini adalah terlalu tipis dan tidak berkemampuan.

Apabila perkara ini menjadi lumrah hidup ahli-ahli politik maka kepimpinan dalam negara Islam menjadi semakin pudar dan sistem kepimpinan dan pentadbiran negara menjadi kian lemah. Akhirnya negara boleh dikuasai oleh orang asing akibat kurang matang dalam arena politik.

Oleh itu ahli-ahli politik Islam perlu bermuhasabah dan memperakui kelemahan diri ketika berjuang dalam parti politik. Penilaian dan kehebatan dalam kepimpinan dan pentadbiran hanya dapat dinilai oleh Allah kerana Dia mengetahui isi hati manusia dan keikhlasan mereka dalam memperjuangkan kewibawaan agama, bangsa dan negara. Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

6 ulasan:

kembara putih berkata...

Sejak bila pula UMNO jadi parti islam? Bermati2an pertahankan kelulusan lesen judi bola itu parti islam? UMNO islam apa yang tarik balik royalti minyak di Terengganu bila PAS menang? UMNO islam ke bila bermati2an tidak mahu memberi royalti minyak kpd rakyat kelantan yg 99% islam? UMNO Islam kepala lutut apa bila kempen pilihanraya hanya BN saja yg dibenarkan keluar tv?

Thinkdifferent berkata...

lebih sedih lg ada parti yg mengaku islam,konon nk mengharamkan judi tp tak buat pun..janji lubang puk*..

Shah berkata...

Rakyat dah bijak. Undi PAS undi DAP. PAS menjadi boneka kepada DAP. PAS akan membangun bersama DAP. Kaki bontot PKR akan jadi PM. PAS tidak akan menjadi tunjang pemerintahan negara. PAS tidak akan dapat melaksanakan Islam asas pentabiran negara. PAS tunduk kepada DAP.

paktam berkata...

Kuasa penguni dan pengundi yang bijak.
1. Kalau di perhatikan Islam dan Bumitutra tidak sebodoh seperti mana yang diaur-aurkan. Di Sibu PAS and PKR-bumiputra kalah, kerana kekurangan sokongan. DAP menang kerana faktor Cina.
2. Mengikut perkiraan, kawasan pengudian Melayu dan Bumiputra boleh membina kerajaan lebih dua per tiga tanpa sokongan Cina Dan India.
3. Oleh itu tumpuan perlu diberikan kepada pengundi Melayu dan Bumiputra, dan lupakan aktiviti PAS and PKR. Sebagai contoh: Bumiputra ditarik melalui hukum-hukum dengan hujjah yang sempurna. Bumiputra bukan Islam ditarik dengan perbandingan dasar 'aperthaid' yang dilakukan di Singapura dengan 1Malaysia. Lupakanlah MCA, Gerakan dan MIC yang semakin tidak releven.
BERDAKWAH ITU LEBIH BAIK DARIPADA POLITIK SONGSANG.
PAS ADALAH TRINITI
PKR ADALAH SOSIALIS EXTREME
UMNO ADALAH ISLAM
MCA, GERAKAN MIC DAN LAIN-LAIN SUDAH TIDAK RELEVAN.

Unknown berkata...

Yang semakin nampak jelas, kaum cina dan india sudah hilang kepercayaan nya terhadap BN. Kini UMNO tinggal keseorangan.

Mampukah UMNO bertahan pada PRU13 akan datang, sedangkan melayu sudah berpecahbelah.

Kekuatan DAP sudah tidak boleh dinafikan lagi kerana telah mendapat sokongan padu dari PAS dan PKR.

Perpecahan melayu tidak mungkin akan berakhir selagi PAS tuduh UMNO dan UMNO juga tuduh PAS. Sebenarnya kedua2 nya bodoh!

Abu Faiq berkata...

Salam,

1 Satu pernyataan yg sangat benar tetang wajah murni perjalanan politik atas dasar 'demi kuasa, matlamat menghalakan cara' - dasar yg hanya ada & wajib diambil, persis spt pesanan mahagurunya, Nicollo Machiavelli; "Dengan politik ini dan di atas jalan ini, ambil ketetapan; kamu membunuh atau kamu dibunuh"

2 Bukan sahaja PAS, bahkan mana2 parti yg berjalan di atas landasan pemikiran Machaivelli ini pasti akan berhentaman sesama sendiri - tinggal menunggu saatnya sahaja bila - selagi kuasa masih menjadi matlamatnya; bukan kuasa sebagai bebanan & wahana demi untuk menebarkan rahmat llahi.

3 Umno sudah, Mca sudah, Mic sudah, Dap sudah, Pkr... semuanya sudah melaluinya...dan pasti tidak akan berhenti pada kali yg terakhir dulu, tetapi selama mana jalan itu yg dilalui, selagi mana parti2 tu belum berkubur ...dgn sendirinya.

4 Orang masih belum mahu yakin dgn politik lslam - binaan Rasululullah Muhammad SAW, yang pasti menyatukan & mensejahterakan kerana ia berada di bawah naungan redha Allah SWT.

Hanya dgn Daulah Khilafah politik sedemikan mampu dizahirkan.

Wallahu a'lam.