Khamis, Julai 30, 2009

Antara Maruah dan Kuasa!

Sejak kebelakangan ini seolah-olah terdapat satu gerakan terancang untuk memastikan mana-mana juga pihak yang cuba memperjuang atau mempertahankan institusi Melayu akan diserang habis-habisan. Kelompok berkenaan akan dianggap perkauman dan lebih buruk lagi ada antaranya terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang yang dilihat seolah-olah cuba 'membisukan' mereka.

Akibatnya, bercakap soal kepentingan dan hak istimewa orang Melayu serta agama Islam seolah-olah satu dosa dan mereka yang terlibat perlu dihukum. Tetapi hakikatnya, kita harus sedar apa yang cuba dilakukan oleh pihak-pihak berkenaan adalah satu strategi terancang untuk memastikan institusi-institusi Melayu terus diganggu gugat. Keadaan ini samalah seperti di Singapura yang akhirnya Melayu tidak berupaya mempertahankan hatta adat resam mereka sendiri. Semua itu berlaku kerana orang Melayu telah 'diracuni' dengan pemahaman bahawa seandainya bercakap soal kepentingan mereka ia adalah satu perkauman.

Namun kalau dilihat terdapat puak-puak yang lebih perkauman daripada orang Melayu tetapi tidak pernah dianggap bersikap demikian. Malah kalau kita mengkaji blog-blog pembangkang mereka membangkitkan soal-soal yang lebih sensitif dan berbau perkauman. Tetapi itu tidak pula dianggap perkauman sebaliknya akan disifatkan oleh pihak-pihak yang menyokong mereka termasuk di kalangan sesetengah pemimpin Melayu sendiri bahawa ia kebebasan bersuara. Apa yang paling memualkan ada di kalangan pemimpin yang mewakili parti yang memperjuangkan Islam turut mengikut rentak berkenaan.

Kononnya atas dasar memperjuangkan kesamarataan dan keadilan maka mana-mana pihak tidak harus membangkitkan soal hak-hak orang Melayu dan institusinya. Mengulas perkara ini, Pensyarah Kanan politik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof.Dr.Mohamed Mustafa Ishak berkata, mana-mana pihak yang memperjuangkan identiti dan institusi bangsanya tidak boleh dianggap perkauman.

Katanya, semua kaum mempunyai identiti tersendiri dan mereka akan cuba mempertahankannya sedaya upaya. "Contohnya orang Cina mereka pastikan akan mempertahankan tiga identiti penting kaum tersebut iaitu pertubuhan Cina, pendidikan Cina dan media Cina. "Oleh itu tindakan tersebut tidak boleh dianggap perkauman, begitu juga apabila orang Melayu mempertahankan identiti mereka," katanya ketika dihubungi.

Diakui

Walaupun fakta ini diakui oleh semua pihak terutamanya parti pembangkang namun mereka sengaja melupakannya. Malah mereka cuba memastikan pihak-pihak yang memperjuangkan identiti atau institusi Melayu ini 'tidak hidup selesa', sedikit sahaja suara dilahirkan maka meraunglah mereka menuduh bahawa pihak itu atau pihak ini mengamalkan perkauman.
Apa yang malang, pandangan songsang itu turut disokong oleh pemimpin- pemimpin politik Melayu yang bukan sahaja bersengkongkol dengan puak tersebut malah mereka sendiri bertanggungjawab mengatur strategi bagi menggugat institusi Melayu.

"Orang Melayu perlu faham bahawa apa pun berlaku mereka harus mempertahankan jati diri. Tidak adalah masalah untuk mencapai permodenan tetapi dalam masa yang sama jati diri jangan dilupakan," kata Mohamed Mustafa. Berdasarkan hakikat itu, beliau turut membidas sikap sesetengah pemimpin Melayu yang sanggup mengorbankan sesetengah perkara berkaitan dengan jati diri orang Melayu semata-mata untuk mengejar kemajuan.

"Kita tidak mahu suatu hari kelak orang Melayu menjadi bangsa Creole - satu puak di Afrika yang sudah kehilangan identiti bangsa mereka," katanya. Selain itu, Dr. Mohamed Mustafa berharap masyarakat Malaysia terutama generasi baru perlu memahami bahawa Malaysia bukan bermula pada tahun 1963 atau ketika 1957 tetapi Malaysia sudah bermula ratusan tahun lalu. "Sebab itulah saya hairan kenapa soal tulisan Jawi di papan tanda jalan perlu menjadi isu, ia sebenarnya sudah menjadi identiti negara ini sejak berpuluh- puluh tahun lalu," katanya.
Persoalannya, apakah pemimpin-pemimpin Melayu yang bersengkongkol dengan pihak yang ingin 'memusnahkan' institusi Melayu ini memahami keadaan tersebut? Dan adakah mereka faham bahawa apa yang bakal mereka lakukan mampu menggugat nasib anak cucu kita di masa depan? Berdasarkan hakikat itu, Dr. Mohamed Mustafa turut membidas pihak tertentu yang memboikot mana-mana pihak yang memperjuangkan Melayu termasuk pemulauan ke atas akhbar Utusan Malaysia kerana dianggap rasis.

"Kalau itulah pemahaman mereka, bagaimana dengan akhbar Cina, tidakkah ia juga rasis kerana mereka turut memaparkan kepentingan masyarakat itu," katanya. Malah kata beliau berbanding dengan Utusan Malaysia, akhbar Cina sepatutnya boleh diragui kerana ramai rakyat negara ini tidak boleh membacanya. "Jadi adalah lebih baik jika kita tidak menuduh mana-mana akhbar berbentuk perkauman," katanya.

Ketika berbual politik dengan seorang pemimpin kanan UMNO, di Shah Alam baru-baru ini, beliau melahirkan rasa bimbang dengan kedudukan orang Melayu sekarang.
Katanya, orang Melayu seolah-olah tidak bertaring lagi sehingga ada pihak yang sanggup mempersoalkan hak-hak mereka. Malah kata beliau, dalam keadaan tertentu orang Melayu bagaikan ditekan untuk membuat keputusan demi memuaskan hati pihak lain, jika tidak kuasa politik mereka akan tergugat.

"Dalam situasi itu kita berada di persimpangan iaitu antara kuasa dan maruah, semua ini terjadi kerana ada orang Melayu yang masih belum sedar bahawa mereka kini semakin diperlekehkan," katanya. Atas sebab itu kata beliau, orang Melayu tidak boleh terlalu mudah bersubahat dengan kelompok yang mempunyai hasrat menganggu gugat institusi-institusi Melayu ini. Katanya, puak-puak berkenaan melakukan tindakan secara senyap dan berjaya mempengaruhi orang Melayu menyokong mereka melalui hujah-hujah politik yang disampaikan.

Sedar

Justeru kata beliau, UMNO perlu sedar terhadap ancaman ini bukannya terus berebut jawatan sesama mereka. Malah beliau berkata, dalam menentukan pemimpin dalam pemilihan pada Disember ini, ahli UMNO perlu memastikan mereka memilih pemimpin yang berprinsip dan hipokrit dalam perjuangan. "Kita bimbang kalau pemimpin hipokrit yang dipilih, perjuangan untuk mempertahankan hak-hak orang Melayu termasuklah institusinya tidak akan ke mana," kata beliau.

Namun apa pun keadaannya, tanpa berhasrat mencetuskan sebarang sentimen perkauman, orang Melayu perlu diingatkan tentang bahaya yang sedang menanti mereka. Pemimpin-pemimpin politik Melayu tertentu tidak harus mengorbankan kepentingan dan maruah bangsa semata-mata demi meraih kuasa politik. Mereka tidak harus menganggap orang yang dikenakan tindakan undang- undang kerana cuba menghina dan menganggu gugat institusi orang Melayu dan Islam seolah-olah seperti wira.

Apa pun keadaannya, adalah diharapkan orang Melayu akan memahami situasi yang sedang mereka hadapi. Mereka tidak harus leka dengan mengejar kuasa politik sehingga terlupa ancaman yang sedang menanti. Selain itu mereka juga tidak harus takut mempertahankan apa yang dianggap hak mereka asalkan tindakan berkenaan tidak menggugat kaum-kaum lain.

Ingatlah Malaysia mencapai kemerdekaan dengan perpaduan yang dicapai oleh semua kaum tetapi asas kewujudannya yang bermula dengan Tanah Melayu beratus tahun lalu sebelum kedatangan Portugis tidak harus dilupakan.

Suara Politik
Taminsari

3 ulasan:

keris panjang berkata...

Orang melayu skg masih lg "tidur"..bila tersedar dari tidur, mreka jadi "mamai" maka mulalah bertindak bukan2. Ketika ini mreka tidak mahu menunjukkan kepintaran mereka berhujjah ( TDM tidak termasuk dalam golongan ini). Org melayu tidak mahu mengambil strategi "menyerang" sebaliknya hanya "bertahan". Bila masa kita nak menang berhujjah. Hakikatnyanya kedudukan melayu memang tidak mampu dipertikaikan oleh sesiapa pun yang berfikir waras spt yg tergubal didalam perlembagaan.

malaysia.suarademokrasi berkata...

minta tuan blog follow blog saya :0

Taminsari berkata...

Salam Keris Panjang...itulah yang ditakuti sekarang. Bangsa bukan Melayu " naik tochang " apabila Anwar memainkan peranan melemahkan perpaduan Melayu. Mereka berterima kasih kepada Anwar kerana berjaya menguasai beberapa negeri ketika PRU ke-12...dan apa yang saya lihat, orang Melayu masih leka dan ada diantara mereka bersekongkol dengan bukan Melayu untuk mendapatkan kuasa. Ingat! Melayu hanya tinggal kuasa politik. Jadi bersatu-padulah agar apa yang terjadi kepada Singapore tidak berulang di negara ini. Wallahuallam.