Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Selasa, April 28, 2009
Cadangan kerajaan perpaduan: Nik Aziz setuju dengan syarat!
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersedia untuk menerima kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Presiden parti itu dengan syarat Barisan Nasional (BN) memberikan jawatan-jawatan penting seperti Menteri Kewangan dan Menteri Pelajaran.
Menteri Besar Kelantan itu dipetik sebagai berkata dalam blog anaknya, Nik Abduh: ‘‘Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan-jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya.
‘‘Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelajaran misalnya. Kita nak jadi Perdana Menteri, mesti mereka tidak terima. Jadi, kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.’’
Nik Abduh menjelaskan jawapan tersebut diungkapkan oleh bapanya ketika beliau membangkitkan soal penerimaan kerajaan BN dan pakatan pembangkang yang disifatkan kedua-duanya bukan daripada jenis negara Islam - ketika mereka berdua sedang berbual.
Bagaimanapun, Nik Abduh ketika dihubungi Utusan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tulisannya itu memberitahu, beliau akan hanya menjelaskan semuanya dalam blog tersebut pada masa akan datang.
Dalam blognya itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Kelantan menyifatkan, pembantu-pembantu ayahnya memberikan gambaran salah tentang situasi yang berlaku demi meraih keuntungan politik sehingga menunjukkan seolah-olah budaya kotor mula menular dalam Pas.
“
Justeru, fahami ini bahawa Unity Government yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu-pembantu ayahanda yang ‘berpakaian’ serba tahu. Mereka seronok untuk melaga-lagakan di antara ayahanda saya dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Mereka menyangka, mereka telah melakukan kebaikan, sedangkan telah sesat segala usaha mereka di sisi Tuhan. Semoga Allah membalas mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan!” katanya.
Katanya lagi, ia terbukti apabila bapanya berhenti daripada mengeluarkan kenyataan berhubung isu muzakarah dan kerajaan perpaduan selepas mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi dan 10 ulama Pas.
Menurutnya, sesetengah pembantu bapanya berasa iri dan hasad selepas penghormatan itu gagal menempatkan diri mereka.
‘‘Bagaimana mereka akan memperolehnya, sedang mereka hanya belajar agama sekadar ‘mi celup’, lalu mendakwa mereka pun ulama juga dengan istilah-istilah agama yang dihafal, bukan difaqihi?
“Modus operandinya sama. Selepas pertemuan ayahanda dengan ulama Pas di JKR 10 beberapa bulan lepas, ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya.
“Saya diberitahu daripada sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana ‘keruh’ dan ‘panas’ dengan Abdul Hadi.
‘‘Mereka gagal selepas mereka yakin berjaya. Allah menggagalkan usaha jahat mereka,” jelasnya.
Katanya lagi, ia juga merupakan salah satu usaha para pembantu terbabit untuk mendapatkan restu bagi calon mereka untuk menghadapi pemilihan parti Jun nanti.
“Menghampiri proses pemilihan menjelang Muktamar Pas nanti, anda sedang menyaksikan usaha daripada pelbagai sudut dan penjuru, jauh dan dekat oleh sesetengah yang mungkin saja saya sifatkan sebagai sekumpulan ‘pejuang nafsu’ yang tersusun untuk memisahkan di antara ulama yang disayangi rakyat.
“Ayahanda digunakan. Inilah calon restuan Tuan Guru Nik Abdul Aziz! Inilah calon restuan Kelantan! Bukankah sebelum ayahanda berangkat ke Mekah, beliau secara jelas mengumumkan untuk tidak berpihak dan menyatakan keengganannya bersuara, bimbang ia mengganggu emosi ahli-ahli Pas di dalam kebebasan memilih,” katanya. -UM
KOMEN
Nampak gaya begitu berat sekali permintaan Tok Guru Nik Aziz untuk melihat perpaduan Melayu Islam. Umpama bagai hendak meminang Puteri Gunung Ledang pula? Mungkin boleh dipertimbangkan seperti memberi jawatan Menteri Kewangan ke-3 ataupun Menteri Pelajaran ke-2. Itupun jika mereka mahu menerimanya?
Kadang-kadang terfikir juga apa sebenarnya yang Pas nak perjuangkan? Nak dikatakan memperjuangkan Islam, bekas MB Perak Mohamad Nizar sendiri yang menafikannya semasa perdebatan di Dewan Negeri Perak sehingga meminta Dato Tajul Rosli memberikan nas atau dalil yang mengatakan Pas hendak menegakkan perjuangan atau negara Islam. Apakah Mohd. Nizar pada masa itu mewakili Pas atau DAP?
Bolehkah nasib Melayu diperjudikan di tangan Pas sedangkan parti itu dan para pengikutnya sentiasa dalam keadaan kalut dan cepat hilang kewarasan. Pas terlalu mudah dibuli. Tetapi pada masa yang sama mendakwa mereka sebagai penyelamat. Nasib orang Melayu tidak boleh diberi pada parti yang sentiasa tidak sedar atau dalam keadaan sedar dibuli dengan demikian rupa.
Pas telah dibuli tauke balak haram yang telah menyebabkan Kelantan tidak mendapat hasil kewangan untuk memajukan negeri itu. Pada masa yang sama juga, Kerajaan Kelantan masih berhutang dengan Kerajaan Pusat sejumlah RM600 juta. Rakyat menjadi miskin dan Kelantan terus sepi tanpa pembangunan.
Pas telah dibuli oleh KING Karpal Singh seorang yang jelas menentang pembentukan negara Islam tapi kini menjadi pujaan penyokong pembangkang. Pernah suatu ketika penyokong pembangkang telah bertakbir menyambut kedatangan Karpal Singh. Begitu mudah mereka memaafkan dosa-dosa yang telah dilakukan oleh Karpal Singh dulu. Yang untung Karpal Singh dan DAP. Penyokong Melayu mereka bertambah sedangkan sokongan orang Melayu terhadap parti Melayu berpecah-pecah.
Pas telah dibuli oleh Tien Chua dan beberapa orang lagi yang mendapat lampu hijau untuk mencemarkan masjid tempat suci umat Islam. Kalau Pas benar-benar memperjuangkan Islam, mereka takkan mudah membiarkan sebarangan orang menggunakan masjid pentas untuk mereka berpolitik. Lebih menyedihkan orang kafir ini gunakan rumah Allah untuk mengutuk, mencaci pemimpin negara yang juga orang Islam. Ini baru langkah pertama, langkah seterusnya, pemimpin politik kafir ini akan gunakan khutbah Jumaat pula untuk menyampaikan mesej jahat politik mereka. Jelas maruah orang Islam dan Melayu sekali lagi diperlekehkan.
Pas telah dibuli oleh Lim Kit Siang untuk menonjolkan kembali parti anak beranak cap DAP ini. Setelah gagal beberapa kali dalam PROJEK TANJUNGNYA, kebanyakan ahlinya semakin hilang kepercayaan. Namun denyut nada terakhir DAP kembali dipulihkan hasil bantuan Pas yang jelas semakin lazat menjilat ludah-ludahnya yang dahulu. DAP jelas tak akan rugi apa-apa kerana jumlah kerusinya pun tak banyak. Kalau bertambah, ia satu bonus hasil bantuan Pas. Yang penting, Pas telah memberi rangsangan kepada DAP untuk meneruskan agenda anti-Islam dan Melayu-nya.
KESIMPULANNYA, PAS TAK LAYAK MEMIMPIN KERAJAAN KERANA PARTI ITU MUDAH DIBULI, DIBELI DAN DIPERBODOHKAN. PERSOALANNYA, MAMPUKAH PAS MEMBELA RAKYAT? Tepuk dada tanya selera. Wallahuallam.
Suara Politik
Taminsari
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
11 ulasan:
Salam ziarah..
Pas sepatutnya tidak meletakkan syarat tertentu jika ikhlas mahu merealisasikan kerjasama kerajaan perpaduan dengan Barisan Nasional (BN).
Para pimpinan UMNO dan parti komponen BN berpendapat syarat yang ditetapkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat seolah-olah parti itu mempunyai agenda tersembunyi dalam membantu membangunkan negara ini.
Mereka bagaimanapun pada asasnya mengalu-alukan kesediaan parti pembangkang itu untuk bekerjasama yang secara tidak langsung memperlihatkan kesedaran dan keinsafan untuk menggembeling tenaga memajukan negara bersama-sama dengan BN.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin berkata, pergerakan itu sendiri sedia mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan Pas bagi menjayakan kerjasama tersebut.
"Syarat kita, mereka perlu ikhlas dan jangan letakkan sebarang syarat, Pemuda sedia bertindak proaktif dan berbincang jika mereka jujur dan ikhlas.
''Pemuda juga sebenarnya gembira dengan situasi ini yang menunjukkan Pas telah sedar dan insaf," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kesediaan Nik Abdul Aziz untuk menerima kerajaan perpaduan seperti dicadangkan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan syarat BN memberikan jawatan-jawatan penting seperti Menteri Kewangan dan Menteri Pelajaran.
Kenyataan Menteri Besar Kelantan itu dipetik dalam blog anaknya, Nik Abduh.
Sementara itu, Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim berkata, titik persefahaman di antara Pas dan BN itu perlu diperkembangkan bagi mencapai persamaan yang lebih jitu dan konkrit.
"Bagi saya soal jawatan itu tidak begitu penting tetapi yang paling mustahak ialah duduk bersama dahulu dan berbincang bagi menerokai titik penamat kepada persefahaman itu," katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung MCA, Senator Datuk Wong Foon Meng pula mempertikaikan kejujuran Nik Abdul Aziz yang disifatkan lebih mementingkan jawatan dalam kerajaan daripada membantu rakyat dan negara.
Sepatutnya, kata beliau, apabila Pas sedia bekerjasama dengan BN bermakna mereka telah bersedia menyertai sebuah pasukan yang mana setiap keputusannya perlu diputuskan secara bersama dan bukannya secara individu.
"Inilah yang saya sangsi dengan hasrat Pas itu, ingin sertai kerajaan perpaduan tetapi sejak awal lagi mahukan jawatan-jawatan tertentu, apa agenda mereka sebenarnya," katanya.
Bagi Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam pula, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan BN untuk mengkaji secara mendalam hasrat Menteri Besar Kelantan itu.
"Saya enggan komen lanjut kerana kita tidak tahu apa niat sebenar Nik Abdul Aziz, biarlah pucuk pimpinan kita membuat keputusan terbaik," katanya.
Salam ziarah..
Timbalan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menjelaskan, tulisan beliau dalam blognya mengenai kerajaan perpaduan hanya untuk menyerang para pembantu bapanya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Ini kerana kata beliau, pembantu-pembantu itu memberikan gambaran salah kepada bapanya yang juga Mursyidul Am Pas dan Menteri Besar Kelantan untuk melagakan-lagakan kepimpinan ulama dalam parti itu.
Menurut Nik Abduh, bapanya mempunyai ramai pembantu tetapi apa yang dimaksudkannya ialah di kalangan mereka yang memberi nasihat dalam isu politik.
Nik Abduh menyifatkan pembantu-pembantu politik itu sebagai ‘pejuang nafsu’ yang cuba melaga-lagakan ulama dalam Pas terutama antara bapanya dengan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Mereka (pembantu politik) mungkin berpuluh-puluh, mereka adalah benar dan betul kerana jasa merekalah ayahanda jadi perkasa dalam dunia politik Islam dan tanah air.
“Pekerjaan bodoh hanyalah satu dan atas pekerjaan yang satu inilah saya menyerang dengan panas. Kerja bodoh bukan menolak kerajaan perpaduan, kerja bodoh ialah memahamkan maksudnya dengan maksud tidak benar, dengan tujuan yang tidak benar di sisi agama.
“Mereka ini pejuang nafsu, saya tidak mahu katakan nafsu politik atau wang tetapi apabila disebut nafsu ia bertentangan dengan agama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tulisannya mengenai kesediaan Nik Abdul Aziz menerima kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Abdul Hadi dengan syarat Barisan Nasional (BN) memberi jawatan penting seperti Menteri Kewangan dan Menteri Pelajaran.
Dalam tulisannya, Nik Abduh menyifatkan para pembantu bapanya memberi gambaran salah tentang situasi berlaku demi meraih keuntungan peribadi sehingga menunjukkan seolah-olah budaya kotor mula menular dalam Pas.
Nik Abduh berkata, bapanya yang mengerjakan umrah telah menelefon dari Mekah dan memintanya memberi penjelasan lanjut berhubung tulisannya itu bagi mengelakkan orang ramai terkeliru.
Katanya, biarpun ramai yang marah malah mengecamnya kerana tulisan tersebut, beliau terpaksa melakukannya kerana bimbang ‘pembantu-pembantu’ terbabit mengancam keutuhan parti tersebut yang dipimpin oleh ulama.
“Ulama menyatukan kita sedang sesetengah anda memecahkan antara ulama. Inilah kerja bodoh! Saya maksudkan kerja seperti ini dan tidak memaksudkan kerja mereka yang lain walaupun ada lagi yang lain.
“Saya menulis kerana ia sedang mengancam kesatuan dan ketenangan. Bukan saya, bahkan semua berasa tidak tenteram. Saya menyerang pada puncanya agar anda tahu puncanya. Apabila anda menguasai puncanya, anda akan kembali dengan ketenangan dan kekuatan,” katanya.
Kata beliau, ungkapan perbualannya dengan bapanya mengenai kerajaan perpaduan yang ditulis dalam blog tersebut adalah untuk memberitahu umum jawapan sebenar bapanya mengenai perkara tersebut.
Salam ziarah..
Timbalan Dewan Pemuda Pas Kelantan, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dinasihatkan supaya tidak membuat kenyataan yang menjejaskan kewibawaan bapanya yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Ahli Dewan Harian Pas Kelantan, Abdul Fatah Haron berkata, tulisan Nik Abduh dalam blog bahawa bapanya diberi maklumat tidak tepat oleh para pembantunya mengenai kerajaan perpaduan, memberi gambaran seolah-olah Nik Abdul Aziz tiada pemikiran sendiri dalam membuat keputusan politik.
“Sepatutnya sesiapa (ahli parti) yang menulis dalam blog atau apa saja berhati-hati dalam penulisan mereka. Sehingga hari ini rakyat beri kepercayaan penuh kepada tok guru.
“Jadi jangan buat sampai tok guru hilang kredibiliti. Apabila ditulis sedemikian seumpama tok guru tiada buah fikiran sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Ditanya mengenai siapa yang mungkin dimaksudkan Nik Abduh, Abdul Fatah yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas Negeri Kelantan berkata, semua rakyat dan ahli Pas adalah pembantu Nik Aziz.
“Pembantu ayahnya adalah semua orang. Nik Aziz apabila mendengar pandangan sama ada dalam parti atau kerajaan tidak pernah menerimanya bulat-bulat.
“Sebaliknya beliau akan mendengar semuanya dan akhir sekali melakukan solat istikharah memohon petunjuk daripada Allah sebelum membuat keputusan,” katanya.
Mengenai kenyataan Nik Abduh bahawa bapanya boleh menerima idea kerajaan perpaduan tetapi dengan bersyarat, Abdul Fatah berkata, itu adalah dialog yang berlaku secara peribadi antara kedua-duanya.
Salam ziarah...
Pas mengakui wujud percanggahan dalaman berhubung cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dengan Barisan Nasional (BN) dan isu itu mungkin perlu diputuskan dalam muktamar parti Jun ini.
Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi berkata, terdapat sebahagian pemimpin dan ahli yang bersetuju dengan perkara itu dan sebilangan lagi sebaliknya.
Katanya, isu itu bagaimanapun bukan terletak di tangan kedua-dua pemimpin tertinggi parti iaitu Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menentukan.
Sebaliknya, tambah beliau, isu itu hanya boleh ditentukan oleh para perwakilan dalam muktamar yang diadakan bulan depan, bukan oleh pihak tertentu saja.
"Ada pihak yang hendak masuk campur (menubuhkan kerajaan perpaduan), ada pihak yang tidak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas penulisan blog anak Nik Aziz, Nik Abduh yang menyatakan wujud 'kerja-kerja bodoh' dalam Pas yang mahu melihat bapanya dan Abdul Hadi bergaduh satu sama lain.
Usaha itu dakwa Nik Abduh berhubung kait dengan persoalan menubuhkan kerajaan perpaduan antara Pas dengan BN.
Tindakan itu juga, katanya, didalangi pembantu-pembantu bapanya yang tidak mahu melihat kerajaan perpaduan menjadi kenyataan.
Dalam pada itu, Mohamed menambah, isu kerajaan perpaduan bukan wajib dibincangkan oleh para perwakilan tetapi tiada halangan untuk mereka berbuat demikian.
"Terpulanglah kepada perwakilan nanti," katanya.
Beliau menafikan wujud perpecahan antara Abdul Hadi dan Nik Aziz berhubung mana-mana isu dan kedua-dua pemimpin tidak terpengaruh dengan pihak-pihak lain dengan mudah.
Penulisan Nik Abduh pula kata beliau, adalah bersifat peribadi dan tidak mencerminkan situasi parti.
Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar bagaimanapun mahu Nik Aziz sendiri menjelaskan siapakah pembantu yang dikatakan mempengaruhi beliau dalam membuat keputusan berhubung isu kerajaan perpaduan.
"Minta tuan guru yang boleh perbetulkan (perkara ini)," katanya.
Malah Mahfuz menegur Nik Abduh dengan berkata, jika beliau merasakan pembantu-pembantu Nik Abdul Aziz mempengaruhi bapanya itu, Nik Abduh sepatutnya memberitahu terus kepada bapanya.
"Siapa pembantu-pembantu yang dimaksudkan itu, harus diperjelaskan," katanya.
Salam ziarah..
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mengalu-alukan kesediaan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) yang akan membantu menjayakan gagasan Satu Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presiden GPMS, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, gagasan Satu Malaysia sukar untuk dicapai selagi dua parti utama Melayu, UMNO dan Pas tidak bersatu dan gagal menemui titik persefahaman bersama.
"Inilah sebenarnya yang diinginkan oleh rakyat kerana selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, rakyat tidak dihidangkan dengan juadah perpaduan dan kestabilan, sebaliknya lebih kepada politiking semata-mata," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas itu yang bersedia untuk menerima kerajaan perpaduan seperti dicadangkan oleh Presiden parti itu dengan syarat BN memberikan jawatan-jawatan penting seperti Menteri Kewangan dan Menteri Pelajaran.
Reezal berkata, platform pertemuan dan perbincangan antara dua parti itu perlu dibuka seluas mungkin demi kemakmuran dan kestabilan negara, tanpa perlu dikenakan sebarang prasyarat tertentu.
"Syarat-syarat tertentu akan hanya mengehadkan titik persamaan dan persefahaman kerana ia akan menjadi hambatan utama kepada matlamat asalnya.
"Kerangka perbincangan perlu bersandarkan kepada keikhlasan kerana apabila ia menjadi pertaruhan utama, kami yakin dan pasti hasilnya kelak lebih lumayan daripada apa yang diidamkan pada peringkat awalnya," katanya.
Salam ziarah...
Majlis Veteran UMNO Kelantan (MVUK) berharap Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak terus membiarkan dirinya dipengaruhi mereka yang berkepentingan dalam membuat pertimbangan terbaik demi umat Islam dan negara.
Pengerusinya, Datuk Rozali Isohak berkata, hanya dengan itu Nik Abdul Aziz dapat melihat kebenaran apa yang diusahakan bagi mencari ‘titik pertemuan’ UMNO dan Pas.
Katanya, jika benar Nik Abdul Aziz bersedia berbincang dengan Barisan Nasional (BN) berhubung cadangan kerajaan perpaduan yang dicetuskan oleh Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang, ia suatu permulaan yang baik.
“Jika suatu masa dulu, Nik Aziz pernah setuju bergabung tetapi mendakwa ditipu orang UMNO... sekarang jalan sebaik-baiknya tidak mengungkit kisah lalu. Sebaliknya perbincangan dengan ikhlas ,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Salam ziarah...
Reaksi Pas isu kerajaan perpaduan
Pekerjaan bodoh hanyalah satu dan atas pekerjaan yang satu inilah saya menyerang dengan panas. Kerja bodoh bukan menolak kerajaan perpaduan, kerja bodoh ialah memahamkan maksudnya dengan maksud tidak benar, dengan tujuan tidak benar di sisi agama
– NIK ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Timbalan Ketua Pemuda Pas Kelantan
Ada pihak yang hendak masuk campur (menubuhkan kerajaan perpaduan), ada pihak yang tidak
– DATUK MOHAMED
DAUD IRAQI
Ketua Dewan Ulama Pas
Tidak wujud persengketaan atau konflik kepimpinan antara dua pemimpin tertinggi Pas. Oleh itu ahli parti harus bertenang dan tidak mudah mempercayainya
– ABDUL FATAH HARUN
Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan
Apatak minta bulan dan bintang yang bergemarlapan diatas langit biru?
Aku bimbang yang dimintanya isteri dan ank perempuan para menteri BN untuk dikahwinkan sdengan wakil rakyat DAP. Itu Nyanya.
Adakah Husam Yang DiMaksudkan Nik Abduh?
Wednesday, 29 April 2009 15:40
Datuk Husam Musa berbangga jika ada pihak yang beranggapan Naib Presiden PAS itu sebagai "orang yang rapat" dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Saya bangga jika dikatakan begitu kerana bukan senang nak rapat dengan Tuan Guru (Nik Aziz)," kata Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan itu .
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Salor itu mengulas berhubung kenyataan anak Mursyidul Am itu, Nik Abduh yang percaya pembantu-pembantu bapanya berkonspirasi dengan niat untuk melaga-lagakan bapanya dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam usaha membentuk kerajaan perpaduan bersama Umno.
Baru-baru ini ada desas-desus mengatakan Husam antara orang yang paling rapat dengan Nik Aziz telah mempengaruhi pendirian Menteri Besar Kelantan itu dalam isu tersebut.
Bagaimanapun, Husam menegaskan bahawa beliau tidak pasti mengenai desas-desus yang diperkatakan oleh Nik Abduh kerana bukan mudah untuk mempengaruhi Mursyidul Am PAS itu.
"Yang itu (kenyataan Nik Abduh) saya tidak boleh komen kerana saya tidak baca langsung mengenainya.
"Saya tidak mahu kenyataan saya bercanggah pula nanti," katanya.
Dalam blognya Jumaat lalu, Nik Abduh yang juga ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS pusat, menghentam pembantu-pembantu bapanya yang didakwa bertanggungjawab menyebabkan Nik Aziz menolak cadangan kerajaan perpaduan itu yang dibuat oleh Abdul Hadi.
Semalam, Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun pula berkata, tidak wujud persengketaan atau konflik kepimpinan antara dua pemimpin tertinggi PAS itu.
Beliau berkata, khabar angin kononnya berlaku perpecahan antara Nik Aziz dan presiden parti merupakan satu khabar angin yang digembar-gemburkan tertentu terutamanya media.
Kata beliau, konflik yang digembar-gemburkan itu hanyalah perbezaan pendapat antara kedua-dua pemimpin dan ini adalah lumrah dalam kepimpinan yang mengamalkan demokrasi. - mStar
Husam enggan ulas dakwaan Nik Abduh
'Tok guru masih hidup, jadi biarkan mereka berdua selesaikan."
Demikian reaksi Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berhubung kenyataan Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang menyerang para pembantu politik bapanya kerana dikatakan melakukan 'pekerjaan kotor'.
Husam enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan terbabit atas alasan tidak membaca blog anak Mursyidul Am Pas itu kerana tiada kaitan dengan tugasnya.
"Saya tidak baca blog yang saya fikir tidak ada kaitan banyak dengan kerja-kerja saya, masa tidak cukup untuk saya baca, nak buat kerja pun tidak sempat," katanya kepada pemberita selepas melawat kilang pakaian Nur Abadi Garments Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Turut hadir, Pengurus Besar syarikat tersebut, Ariffin Mahmood.
Nik Abduh dalam dua tulisan di blognya yang bertajuk Kerja-kerja bodoh dalam Pas 'menyerang dengan panas' para pembantu politik bapanya kerana memberikan gambaran salah tentang keadaan semasa.
Para pembantu politik itu disifatkannya sebagai 'pejuang nafsu' yang cuba melaga-lagakan ulama dalam parti itu terutama antara Nik Aziz dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Dalam tulisan tersebut juga, Nik Abduh mendedahkan bapanya berhenti menyerang cadangan untuk membentuk kerajaan perpaduan yang dikemukakan oleh Abdul Hadi selepas mereka mengadakan pertemuan empat mata.
Menurutnya lagi, Nik Abdul Aziz sebelum ini menyerang Presiden parti itu setelah diberikan gambaran salah oleh para pembantu politiknya demi kepentingan peribadi mereka.
Nik Abduh dedah perkara sebenar
APABILA Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan hasrat untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dalam satu temu ramah dengan sebuah portal berita pada Mac lalu, pelbagai reaksi diterimanya.
Usaha Abdul Hadi itu difahamkan mendapat sokongan sepenuhnya daripada golongan ulama dan ahli agama dalam Pas kerana mereka yakin langkah berkenaan mampu membela Islam daripada terus dipermainkan oleh pihak tertentu.
Mereka juga percaya melalui kerajaan perpaduan langkah untuk meletakkan Islam pada kedudukan sebenar akan terlaksana.
Dalam pada itu, cadangan tersebut turut mendapat reaksi positif daripada beberapa pemimpin utama UMNO. Mereka berpendapat, usaha itu akan memberi satu dimensi serta impak baru kepada politik Melayu dan politik Islam di negara ini.
Bagaimanapun, cadangan berkenaan ditolak oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana beliau tidak mahu mengulangi sejarah pembentukan kerajaan campuran antara parti pemerintah, Barisan Nasional (BN) dengan Pas yang tidak dapat bertahan lama.
Rupa-rupanya keputusan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz itu ada kena mengena dengan peranan yang dimainkan oleh pembantu-pembantu yang berada di sekelilingnya.
Pendedahan itu dibuat oleh anak Nik Abdul Aziz sendiri iaitu Nik Abduh di dalam laman blognya bahawa pembantu-pembantu bapanya telah 'salah lapor' mengenai kerajaan perpaduan.
Tujuannya satu iaitu mahu melaga-lagakan antara Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi Awang, dua pemimpin paling berpengaruh dalam Pas.
Apa tujuan sebenar Nik Abduh mendedahkan perkara ini hanya Allah sahaja maha mengetahui. Tetapi banyak pihak yakin hati beliau ikhlas untuk menyelamatkan Pas daripada menjadi mangsa kepada pembantu-pembantu bapanya yang terlalu pentingkan diri sendiri.
Dengan kebijaksanaan Nik Abduh yang membicarakan soal kerajaan perpaduan berdasarkan kisah Nabi Yusuf yang pernah diangkat oleh Raja Mesir menjadi salah seorang menterinya, ia membuka ruang kepada Mursyidul Am Pas itu untuk melihat cadangan tersebut dalam konteks syiar Islam.
Seperti mana, kata Nik Abduh, bapanya merupakan seorang individu yang hidup dengan hujah dan sudah tentu segala tindak-tanduk dalam kehidupan sehariannya berpandukan kepada hujah serta dalil.
Syukur, Nik Abdul Aziz menjawab dengan spontan mengenai kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Abdul Hadi. Tetapi ada syarat iaitu BN memberi jawatan penting seperti Menteri Kewangan dan Menteri Pelajaran.
Walaupun ada syarat untuk mewujudkan kerajaan perpaduan, tetapi penerimaan awal Nik Abdul Aziz itu boleh dianggap positif dan UMNO harus menerima reaksi terbaru Menteri Besar Kelantan itu dengan perasaan terbuka.
Mengenai pembantu yang selama ini mempengaruhi Nik Abdul Aziz, difahamkan mereka terdiri daripada penyokong-penyokong kuat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikenali sebagai kumpulan Erdogan.
Yang menarik perhatian kini ialah, serangan 'berterus-terang dan panas' Nik Abduh ini telah membuka semula perdebatan mengenai perlunya kerajaan perpaduan.
Mungkin dengan 'persetujuan' Nik Abdul Aziz ini, Abdul Hadi akan membuka semula pintu rundingan yang ditutupnya sebelum ini berikutan 'salah pengertian' daripada ahli-ahli Pas.
Selain mendedahkan politiking, lobi melobi kuasa dan pengaruh dalam Pas, tulisan Nik Abduh itu juga memperlihatkan sikap sebenar Nik Abdul Aziz dalam isu tersebut.
Diharapkan seperti impian banyak pihak, kerajaan perpaduan yang dicetuskan oleh Abdul Hadi ini akhirnya akan menjadi kenyataan pada satu hari nanti.
Catat Ulasan