Selasa, Disember 29, 2015

Dah jadi macam Singapura - 500 penduduk, ahli NGO pertahan Kg. Mutiara?

Kanak-kanak dan warga emas penduduk Kampung Mutiara turut serta bersatu mempertahankan rumah kediaman mereka daripada tindakan rakus pemilik tanah kampung berkenaan yang cuba mengusir mereka tanpa sebarang pembelaan sewajarnya, di Batu Feringghi, Pulau Pinang hari ini.

PULAU PINANG  - Kira-kira 500 orang berkumpul di Kampung Mutiara, Batu Feringghi di sini, bagi mempertahankan kampung itu yang didakwa akan dirobohkan pagi ini.

Mereka terdiri daripada penduduk kampung itu serta ahli beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain penduduk dari seluruh negeri ini.

Bagaimanapun, keadaan setakat ini aman dan terkawal tanpa sebarang kekecohan selain tiada kehadiran jentolak kelihatan memasuki kawasan perkampungan tersebut.

Penduduk kampung itu mula berkumpul sejak tengah malam tadi selepas tersebarnya desas-desus pemilik tanah berkenaan akan bertindak merobohkan kira-kira 50 buah rumah serta menghalau hampir 200 penghuninya pagi ini.

Ini merupakan percubaan kali kedua mengusir penduduk kampung itu selepas usaha pada pertengahan Oktober lalu gagal berikutan penduduk bangkit mempertahankan kampung mereka.

Konflik di kampung itu bermula selepas keputusan mahkamah berpihak kepada tuan tanah yang membeli tanah itu pada 2007.

Berikutan itu, satu writ pemilikan dikeluarkan bagi mengosongkan rumah di kampung tersebut, namun penduduk enggan berpindah kerana mendakwa tidak mendapat pembelaan sewajarnya sedangkan sudah mendiami perkampungan itu sejak 1950-an.

Untuk renungan : Strategi DAPigs dan PAP Singapore



Suara Politik
Belantan

Ahad, Disember 27, 2015

Amanah 'langgar' DAPigs - Sokong tindakan KJ?


Parti Amanah Negara (Amanah) menyambut baik tindakan kerajaan mengenakan beberapa sekatan ke atas peserta luncur angin dari Israel yang dijadualkan mengambil bahagian dalam satu kejohanan di Langkawi, bermula hari ini.

Naib Ketua Pemudanya, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, tindakan itu sangat dialu-alukan sebagai sokongan dan solidariti terhadap rakyat Palestin yang dizalimi oleh kerajaan Israel.

“Selain mengambil kira faktor hubungan diplomatik Malaysia-Israel, sekatan yang dilakukan ini perlu sebagai tanda protes terhadap Israel dan ia perlu diterjemah di setiap perkara, bukan hanya sukan semata-mata.

“Pemuda Amanah juga mengharapkan agar kerajaan konsisten dengan sekatan itu termasuklah penglibatan firma perunding Israel, APCO Worldwide dalam memberikan khidmat rundingan komunikasi terhadap kerajaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan sebuah portal telah menafikan visa dua peserta luncur angin dari Israel, Yoav Omer dan Noy Drihan daripada mengambil bahagian dalam Kejohanan Luncur Angin Belia Dunia anjuran Persekutuan Luncur Angin Antarabangsa (Isaf), di Langkawi, hari ini.

Selain visa, Malaysia turut mengenakan beberapa sekatan ke atas peserta Israel tersebut, termasuklah sekatan ke atas penggunaan bendera Israel atau simbol.

Lagu kebangsaan Israel juga tidak akan dimainkan jika pasukan mereka memenangi pingat emas.

Sementara itu, Mohd Fakhrulrazi juga melahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin yang menyelar tindakan Khairy Jamaluddin kerana menggunakan sentimen politik dan peribadi dalam acara sukan antarabangsa itu.

“Kenyataan tersebut sangat mengguriskan perasaan umat Islam dan pencinta keamanan sejagat yang sangat peduli terhadap nasib Palestin. Sebagai rakan Pakatan Harapan, kami berhak untuk menegur DAP dalam hal ini kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam dalam negara ini.

“Kami sangat mengharapkan agar DAP lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan pandangan khususnya melibatkan sensitiviti umat Islam dan hukum hakam agama,” katanya lagi.

Sebanyak 50 negara dilaporkan mengambil bahagian dalam kejohanan itu termasuk Brazil, Argentina, Mexico, Rusia, Afrika Selatan, Sepanyol, Finland, Ireland, Itali, Belanda, Jerman dan Perancis.

Suara Politik
Belantan

Jumaat, Disember 25, 2015

Mat Sabu kata Pas silap besar 'ceraikan' DAP?


Tindakan Pas ‘menceraikan’ DAP adalah satu kesilapan politik yang cukup besar, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata, untuk memenangi pilihan raya, Pas mesti berkawan dengan semua pihak termasuk parti bukan Melayu.

“Bagi kita (Amanah), untuk sertai pilihan raya mesti bergabung. Tuduhan komunis dan syiah akan kita hadapi.

“Malah tuduhan sebagai ‘barua DAP’ itu juga terlalu kecil pada saya. Itu hak mereka nak tuduh,” katanya kepada media.

Menurutnya, parti Islam serpihan Pas itu juga tidak mempunyai sebarang isu yang bertentangan Islam bersama DAP.

“Kita tiada pertentangan, itu cuma sentimen yang dimainkan oleh pihak tertentu. Macam mereka kata DAP akan perintah Malaysia kalau Umno kalah. Maknanya kalau DAP menang semua, MCA kalah semua.

“Malah gabungan PR juga menambahkan tujuh kerusi Melayu dalam Parlimen yang sepatutnya bukan Melayu yang menang melalui BN sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu membuktikan bahawa gabungan yang disertai DAP dan PKR lebih menguatkan lagi kedudukan Melayu di Parlimen.

Suara Politik
Belantan

Khamis, Disember 24, 2015

Apakah Pas akan hilang undi simpati jika bersama Umno?


Pas akan kehilangan undi simpati daripada masyarakat sekiranya mengambil keputusan untuk bergabung dengan Umno.

Ini kerana menurut penganalisis politik Dr Muhammad Shamshinor Abdul Azzis, persepsi masyarakat terhadap Pas adalah lebih baik berbanding Umno.

“Sekarang, tanggapan masyarakat terhadap Pas sedang meningkat naik ekoran daripada keciciran Pas daripada Pakatan Harapan. Pas dianggap sebagai mangsa.

“Sikap DAP yang berterusan ‘membuli’ Pas (selepas tertubuh Pakatan Harapan) dengan cara menekan PKR untuk menyingkirkan Pas menyebabkan ramai yang kasihan dengan Pas,” katanya ketika dihubungi disini hari ini.

Muhammad Shamsinoor yang juga merupakan Ketua Kluster Politik dan Polisi bagi Institut Kajian Sosial Selangor, Universiti Selangor berkata demikian ketika mengulas mengenai isu penggabungan kedua parti politik berkenaan yang menjadi topik hangat negara pada hari ini.

Sebaliknya, katanya, bagi Umno, penggabungan dengan Pas pula akan memberikan kelebihan besar kepada parti keramat itu.

“Untuk bergabung sepenuhnya dan bukan hanya sekadar kerjasama, itu beri kelebihan pada Umno. Sekarang Umno dianggap lemah kerana kepimpinannya dikritik,” ujarnya.

Beliau berkata, keduanya tidak akan mempunyai sebarang masalah sekiranya meneruskan kerjasama demi kepentingan rakyat.

Suara Politik
Belantan

Isnin, Disember 21, 2015

Warkah terbuka untuk Tun M?


YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad,

Asalamualaikum wbt Tun. Saya mendoakan agar Tun sentiasa diberikan kesihatan dan hidayah oleh Allah SWT. Pada mulanya, saya ingin menulis surat ini di dalam Bahasa Inggeris, tetapi biarlah saya meneruskan tulisan dengan bahasa ibunda kita agar ramai dapat membaca dan memahami surat ini.

YABhg Tun, sejak kebelakangan ini saya lihat Tun sangat aktif berada di pentas politik untuk mendesak DS Najib meletakkan jawatan. Tun menghabiskan banyak masa menghadiri forum, bual bicara, program dan perjumpaan tertutup untuk meluahkan ketidakpuasan hati Tun mengenai pengurusan kerajaan di bawah pimpinan DS Najib. Sudah tentu, topik 1MDB merupakan topik yang paling utama dalam setiap ucapan Tun.

Tetapi di sebalik semua ini, adakah Tun sedar bahawa Tun merupakan pengerusi Proton dan Proton sedang menghadapi masalah yang sangat besar. Saya tidak menulis surat ini berdasarkan kata-kata orang atau cakap-cakap pasar, tetapi sebagai salah seorang vendor Proton.

Kami tahu Proton sedang mengalami masalah yang sangat besar kerana Proton sudah mula tidak membayar kami. Proton sedang cuba membuat satu solusi bodoh dengan menawarkan kereta-kereta yang tidak terjual sebagai ‘contra’ bayaran untuk kami. Adakah Proton sedar bahawa kami ini bukan salesman kereta tetapi kilang komponen kereta.

Selain 6000 pekerja Proton, terdapat beratus vendor Tier 1, 2 dan 3 dan puluhan ribu pekerja yang bekerja dengan syarikat-syarikat vendor ini. Masalah 1MDB (yang dilihat kini mempunyai jalan penyelesaian selepas penjualan Edra) tidak akan membuatkan puluhan ribu rakyat tiba-tiba hilang pekerjaan serta merta. Tetapi masalah Proton akan mengakibatkan jutaan ringgit kerugian pada usahawan bumiputera dan puluhan ribu pekerja hilang punca pendapatan dalam masa 2-3 bulan sahaja lagi. Tun perlu ingat, operator-operator kilang ini datang dari keluarga susah dengan pendapatan RM900 sebulan sahaja!

Saya mohon pada Tun, janganlah dibazirkan masa Tun sendiri dan orang Melayu dengan politik. Pilihanraya lambat lagi, pemilihan UMNO pun lambat lagi, kalau Tun ceramah hari-hari pun DS Najib tak akan letak jawatan. Lebih baik Tun ambil berat masalah Proton yang sedang nazak, lebih nazak daripada 1MDB.

Terlalu banyak kesilapan yang dibuat oleh Proton, sebelum dan selepas Tun jadi Pengerusi. Kami lihat sejak Tun jadi Pengerusi keadaan lebih teruk. Jangan disalahkan kerajaan kerana tidak memberi bantuan RM3billion kepada Proton untuk R&D. Itu adalah alasan bodoh bagi kami, kerana kami tahu setakat mana kemampuan Proton untuk menggunakan wang RM3billion itu sebaiknya untuk R&D setaraf pengeluar kereta asing. Kalau ‘drawing simple part’ pun boleh bertukar-tukar sampai berkali-kali dan akhirnya technician saya yang cuma lulusan SPM pun lebih bijak dari engineer Proton.

Sekarang ini Proton sedang kelam kabut dengan development Persona R, Saga R dan Perdana Baru. Kerja Proton memang kelam kabut, suka buat kerja saat-saat akhir dan suka tukar keputusan. Nak mass production untuk Persona bulan 1, sampai hari ini banyak keputusan belum diselesaikan. Saga R mass production bulan 4 tetapi design part pun belum confirm! Kalau Perodua, tahun depan nak mass production, tahun lepas sudah selesai semuanya.

Bercakap pasal Perdana pula, saya tak tahulah ini ego Tun atau ego Proton nak buat Perdana baru. Adakah Tun atau Proton terlalu naif untuk fikir bahawa Perdana tersebut tidak akan dapat dijual? Sedangkan model Preve dan Suprima yang kononya bakal mencecah jualan ribuan unit sebulan sekarang cuma terjual 100-200 unit sahaja. Bagaimana Perodua boleh menjual Myvi (6000 unit sebulan), Alza (3000 unit sebulan), Axia (12,000 unit sebulan)? Jawapanya mudah, ianya mampu milik! Jika harga Proton sudah cecah hampir RM70-80k, orang Malaysia sudah tentu lebih berminat beli kereta import seperti Honda atau Toyota walaupun 2nd hand.

Padanlah sampai sekarang pun ramai vendor menolak untuk mengambil kontrak Perdana. Berapa juta Proton habiskan untuk beri kepada syarikat Dream Edge untuk reka Perdana baru? Kenapa tidak guna duit itu untuk beri kepada R&D Proton untuk develop kereta yang mampu milik seperti Perodua. Nanti kalau Perdana tak dapat jual, Tun akan paksa kerajaan beli, kalau kerajaan tak beli (sebab baru ganti perdana lama dengan perdana kahwin honda), Tun akan marah DS Najib lagi.

Eloklah Tun luangkan masa untuk Proton. Lihatlah bagaimana pengurusan Perodua baik daripada pihak Malaysia dan juga pihak Daihatsu. 2-3 orang Jepun di Perodua lebih cekap daripada 2-3 ratus pekerja di Proton. Lawatan Tun ke Perodua pun menjadi bahan ketawa kepada mereka semua. Tun tidak harus menyalahkan kerajaan sikit pun atas kegagalan Proton, kerana Perodua juga syarikat Malaysia tetapi mampu bersaing dan mampu maju tanpa bantuan kerajaan.

Lihatlah pada pengurusan Proton, mereka tidak kompeten, tidak cekap dan ada yang tidak amanah. Tun fikirlah bagaimana Perodua boleh memperolehi harga komponen dengan lebih murah, tetapi komponen yang sama bila ke Proton menjadi lebih mahal. Makna, banyak ketirisan terjadi dalam Proton. Saya akan menceritakan ketirisan-ketirisan ini dalam surat saya yang kedua, bagaimana ada beberapa orang dari pihak pengurusan dan pembelian Proton yang tidak amanah.

Kalau bab berlagak dan bodoh sombong bila datang ke tempat vendor, serahlah pada Proton. Memang berlagaknya nombor 1, mengalahkan Perodua, Honda, Volkswagen dan lain-lain OEM yang volumenya jauh lebih tinggi dari Proton dan paling penting, mereka semua bayar supplier!

Jika Proton tidak berubah dalam masa terdekat ini, mungkin vendor-vendor akan sepakat untuk memberhentikan supply kepada Proton. Production line Proton akan terhenti dan Proton tidak akan ada kereta untuk dikeluar dan dijualkan. Jangan salahkan kami, kerana hutang Proton kepada kami vendor-vendor bumiputera ini dah cecah ratusan juta! Banyak lagi cerita buruk Proton yang kami dengar dan kami tahu. Ada yang kata Proton membayar sewa tanah bernilai jutaan ringgit sebulan pada ahli keluarga Tun. Benar atau tidak, itu kami tak kisah jika Proton mampu menjalankan perniagaan dengan baik.

Kami merupakan antara usahawan yang paling cekal di Malaysia. Saya mempuyai beberapa syarikat lain yang menceburi bidang construction, trading, development dan macam-macam lagi. Tetapi bidang automotive manufacturing ini adalah yang paling mencabar kerana memerlukan sistem, kualiti, ketepatan masa dan pengurusan yang sangat cekap seperti syarikat Jepun.

Kepada mereka yang tidak mempercayakan surat ini, boleh pergi mana-mana kilang pembuatan komponen automotif dan tanya, ‘Bagaimana Proton?’. Anda akan dengar caci, maki, kutuk, kisah teraniya, ditipu dan macam-macam lagi. Jika tanya, ‘Bagaimana Perodua?’ anda akan dapat jawapan ‘sangat mencabar, tetapi payment tak pernah lambat, volume sentiasa tinggi’. Walaupun berurusan dengan Perodua lebih memeningkan kepala kerana terpaksa mengikut standard yang tinggi yang diletakkan oleh Jepun dari Daihatsu, ianya lebih berbaloi. Jepun Daihatsu akan datang ‘spot check’ kilang kami secara mengejut pada jam 7.30 pagi untuk memastikan operasi kami sentiasa dalam keadaan yang memuaskan!

Nasihat saya pada Tun, tengoklah Proton. Janganlah buang masa dengan Khairuddin, Anina, Hamidah dan kawan-kawan Tun lain yang asyik nak berpolitik sahaja 24 jam! Buat malu je bangsa Melayu dengan Jepun-jepun dekat Perodua tu. Kalau perlu RM3billion nak bayar hutang, cakap lah terus terang dekat kerajaan, mana tahu mereka boleh bantu beri pinjam. Jangan berselidung disebalik alasan R&D, memang tak munasabah.

Daripada:-

Ariff Abd. Md
Tier 1 and 2 Automotive Supplier,
ISO TS 16949 & MS ISO 9001:2008 Certified Company
Specialise in High Precision Parts

Suara Politik
Belantan

Jumaat, Disember 18, 2015

Neelofa nafi kahwin bekas menteri?


Pelakon dan pengacara terkenal Neelofa menafikan dakwaan bahawa beliau menjadi isteri ketiga kepada bekas menteri seperti yang tersebar di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

Melalui posting yang dimuatnaik dilaman Instagram miliknya semalam, Neelofa menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak masuk akal

" Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, gosip dan dakwaan yang mengatakan saya isteri ketiga kepada seorang bekas menteri sebagai 'sampah'

" Saya ingin anda semua berdoa yang terbaik bagi saya untuk mendapat petunjuk dan dapat membuat keputusan yang lebih baik. Apa yang jelas gosip ini sebagai tidak relevan,' tulisnya.

Tambah Neelofa ini, dia masih bujang dan tidak tergesa-gesa untuk berkahwin malah akan berkongsi berita perkahwinannya dengan semua orang.

"Berkahwin bukan lah suatu isu yang besar untuk saya buat masa ini dan jika saya ingin berkahwin pasti saya akan berkongsi berita gembira ini dengan semua orang.

"Tiada sebab saya ingin menyembunyikan episod kegembiraan dimana ia pasti akan dikongsi dalam majlis yang akan disambut dengan semua orang yang banyak memberi sokongan kepada saya," ujarnya

Neelofa sebelum ini turut pernah dikaitkan mempunyai hubungan dengan kerabat diraja.

Suara Politik
Belantan

Jumaat, Disember 11, 2015

Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor Ke-70


DAULAT TUANKU 

SEMOGA ALLAH LANJUTKAN USIA TUANKU 

DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI ALMARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ D.K.,D.M.N., D.K.( Terengganu ), D.K. Kelantan ), D.K.( Perak ), D.K.( Perlis ), D.K.( Negeri Sembilan ), D.K.( Kedah ), D.K.( Johor ), S.P.M.S., S.S.I.S., S.P.M.J. 

SULTAN DAN YANG DIPERTUAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN SERTA SEGALA DAERAH TAKLUKNYA 

Sembah Tahniah Dan Ucap Selamat 

SEMPENA ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN YANG KE 70 DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SELANGOR PADA 11 DISEMBER 2015 BERSAMAAN 30 SAFAR 1437 H 

SEMBAH TAKZIM DARIPADA 

Suara Politik
belantan.blogspot.com

Masih ada ruang mohon maaf kepada UMNO!


Masih ada ruang untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memohon maaf kepada Umno di atas keterlanjuran sikap mereka, namun ia perlu dilakukan dengan ikhlas.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ia bergantung kepada Timbalan dan Naib Presiden Umno itu untuk memohon maaf bagi merapatkan semula barisan kepimpinan tertinggi Umno seperti yang disarankan anggota parti.

Beliau tidak menafikan bagi pemimpin yang berada "di persimpangan atau kadangkala (dalam keadaan) terlanjur," memerlukan sedikit masa untuk dirapatkan semula ke dalam barisan kepimpinan parti.

Walaupun kedua-dua pemimpin itu mungkin mengemukakan permohonan maaf kepada parti berikutan tindakan mereka, namun siasatan terhadap tindakan mereka sebelum ini akan tetap dijalankan oleh jawatankuasa khas Umno, katanya dalam sidang media bersama Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri pada hari kedua Perhimpunan Agung Umno 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Beliau berkata, demikian apabila ditanya pemberita mengenai saranan perwakilan yang meminta agar barisan kepimpinan tertinggi parti merapatkan barisan, dan mereka yang terbabit memohon maaf.

Hishammuddin berkata, walaupun kedua-duanya mengkritik Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak, mereka tetap hadir ke perhimpunan Umno kali ini dan duduk sebaris dengan pemimpin parti di atas pentas.

"Saya lihat (mereka) tidak kekok langsung seperti yang diramalkan pemberita sebelum ini," katanya.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan berkata, beliau pada solat Jumaat hari ini turut mendoakan moga Muhyiddin dan Shafie terbuka hati untuk memohon maaf di atas tindakan mereka sebelum ini, namun ia bergantung kepada mereka berdua.

Ditanya mengenai harapan perwakilan yang mahu melihat Najib dan Muhyiddin berpeluk di atas pentas di hari terakhir perhimpunan sebagai tanda berdamai, Ahmad Zahid berkata, beliau faham mengenai hasrat perwakilan Umno yang mahu melihat suasana itu.

Namun bukan tindakan fizikal yang menjadi ukuran tetapi juga keikhlasan hati untuk melakukannya, katanya.

"Bagi saya tidak perlu ada paksaan dalam melakukan itu tetapi yang penting ialah tindakan-tindakan yang dilakukan mesti menggambarkan wujud kebersamaan dalam kepimpinan parti," katanya.

Suara Politik
Belantan

Khamis, Disember 10, 2015

UMNO harus cekal hadapi cabaran?


Pergolakan dalam parti politik adalah hal yang lazim berlaku. Ibarat berlayar di lautan, ribut sering datang. Nakhoda harus cekal dan kapal akan sampai ke pelabuhan dengan selamat. UMNO juga sering menghadapi ribut sejak ditubuhkan. Kecekapan nakhoda kapal dan keyakinan anak kapal menyebabkan UMNO terus mampu meneraju negara.

UMNO sering menghadapi krisis. Kemahiran mengurus krisis perlu ada dalam kalangan pemimpin dan pengikut. Pemimpin dan ahli UMNO jangan mudah terjebak dengan perangkap yang dipasang oleh orang lain. Orang UMNO jangan mudah melatah dengan persepsi dan tohmahan orang lain hingga menyebabkan syak wasangka sesama sendiri terjadi.

Sejak merdeka UMNO terus cekal mengurus negara. Kemajuan yang berlaku kini adalah hasil perjuangan UMNO dan Barisan Nasional. Rahsianya taat kepada pemimpin, patuh kepada keputusan yang diambil, akur kepada jalan menyelesaikan masalah dan tunduk kepada hala tuju perjuangan memartabatkan bangsa, agama dan negara.

Pihak di luar UMNO berhempas pulas cuba menumbangkan UMNO dengan pelbagai tohmah dan fitnah. Tapi UMNO masih tegak berdiri. Yang mengalami kegoncangan adalah Pas yang sudah memutuskan tahalluf siyasinya dengan Pakatan Rakyat. Pas kini berpecah dua dan menganggap Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai pengkhianat. Mereka bakal bertarung dalam Pilihan Raya Umum (PRU-14) nanti dan bakal menguntungkan UMNO.


Yang menghadapi keresahan adalah Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana perjuangannya masih lagi ingin memartabatkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Tanpa dukungan Pas di Selangor, kerajaan Selangor akan goncang. Mohamed Azmin Ali perlukan dukungan jentera Pas di Gombak dan Bukit Antarabangsa supaya survival politiknya terjadi.

DAP terus menggunakan Mohamad Sabu sebagai “lembu-laga” untuk menjatuhkan UMNO. Pas juga sedang menghentam Mohamad Sabu kerana menuduh Pas diresapi kumpulan militan Negara Islam (IS). DAP harap Amanah boleh menggantikan Pas kerana cita-cita DAP menggunakan PKR dan Amanah adalah untuk mengambil alih negara.

Orang UMNO di segenap peringkat kena tahu Pas telah berjaya menyingkirkan parasit atau dedalu yang sekian lama menumpang dalam organisasinya dengan cita-cita yang tersendiri dalam muktamar lalu. Kumpulan pro-Anwar tidak pernah sekata dalam fahaman dan ideologi perjuangan kini mengumpul diri dalam Amanah. Percayalah Amanah bakal pecah selepas PRU-14 nanti.

Hal-hal di atas disebutkan kerana UMNO mempunyai ramai musuh. Jangan jadikan diri sendiri memusuhi parti sendiri kerana perpecahan UMNO terhubung langsung dengan nasib negara dan generasi akan datang.


Jangan izinkan diri terjebak dengan permainan persepsi dan tohmah media sosial yang digerakkan oleh pembangkang. Lakukan tabayyun atau kaji selidik atau terima maklumat daripada pihak yang berautoriti supaya sangka buruk tidak terjadi.

Bayangkan sekiranya UMNO tersungkur dalam PRU-14 nanti nasib bangsa, agama dan negara akan tersungkur sama. Bolehkah diharap DAP, PKR dan Amanah membela nasib bangsa, agama dan negara pada masa depan. Nasib orang Melayu di Pulau Pinang menjadi bukti.

Masalah dalaman parti tetap ada kerana UMNO dikendalikan oleh manusia. Manusia adalah lemah dan perlukan kekuatan. Tetapi cari kebijaksanaan supaya ular yang dipukul mati, kayu yang memukul tidak patah dan tanah tempat memukul tidak lembah.

Apa yang sedang berlaku dalam UMNO ibarat lintasan ribut. Ribut akhirnya akan berhenti. Bila berhenti yang rebah, cantas saja. Yang condong cuba ditegakkan dan yang teguh berdiri itulah saf perjuangan yang sudah teruji.

Moga-moga perhimpunan agung UMNO kali ini menjadi gelanggang untuk merapatkan saf kepimpinan dan kepengikutan di samping berbicara dengan matang, telus dan tulus di samping memperkukuh hala tuju perjuangan memenangi PRU-14 untuk bangsa, agama dan negara.

Suara Politik
Belantan

Alasan Muhyiddin tidak hadir Taklimat Presiden?


Susulan ketidakhadirannya pada majlis Taklimat Presiden, Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 malam semalam yang menjadi tumpuan, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini tampil menjawab kepada pemberita.

Menurut Muhyiddin, beliau telah mempunyai temu janji lain yang ditetapkan lebih awal dengan Umno Pagoh di Universiti Malaya (UM), malam semalam.

“Itu bukan merupakan satu perkara besar. Taklimat presiden itu biasa. Saya sudah jangka mungkin apa-apa yang nak dijelaskan itu bukan sesuatu perkara yang baharu. Namun kebiasaannya, taklimat itu diadakan sebelah petang, kali ini dibuat sebelah malam.

“Saya pula sudah ada jadual dengan ahli-ahli parti saya (Pagoh) kira-kira 200 orang dalam majlis makan malam di Kompleks Persatuan Alumni UM. Maka, saya sudah terikat dengan program itu,” katanya.

Semalam, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata beliau menerima maklumat bahawa Muhyiddin telah sampai ke PWTC namun tidak masuk ke Dewan Merdeka di mana majlis taklimat itu berlangsung.

Program yang bermula jam 9 malam itu, menjadi amalan Presiden Umno berucap dan memberikan amanatnya di hadapan 191 pimpinan Umno bahagian dari seluruh Malaysia.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kehadiran dan penyertaannya dalam PAU esok itu sendiri lebih penting.

“Bagi saya, ini (ketidakhadiran) tidak harus digembar-gemburkan. Bukan kerana seolah-olah saya tidak menghormati tetapi yang lebih penting, kehadiran saya dan penyertaan saya dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (malam ini) dan perhimpunan agung, esok,” katanya.

Kira-kira jam 3 petang tadi, Muhyiddin dan isteri dilihat tiba ke PWTC bagi melawat persidangan ketiga-tiga sayap parti, Pemuda, Wanita dan Puteri yang sedang berlangsung.

Suara Politik
Belantan

Rabu, Disember 09, 2015

Kemana Muhyidddin 'menghilang' ketika taklimat Presiden?


Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan tidak menghadiri Taklimat Presiden, Perhimpunan Agung Umno 2015 yang berlangsung malam ini.

Pada program itu yang bermula jam 9 malam ini, menjadi amalan Presiden Umno berucap dan memberikan amanatnya di hadapan 191 pimpinan Umno bahgian dari seluruh Malaysia.

Yang kelihatan adalah Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal antara yang lantang mengkritik pentadbiran Najib.

Shafie kelihatan berada di barisan pimpinan utama parti.

Muhyiddin adalah Ketua Umno Bahagian Pagoh.

Suara Politik
Belantan

Selasa, Disember 08, 2015

Berehatlah, Muhyiddin beritahu Najib?

Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan ucapan pada program "Umno Bersama Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin" di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, malam ini.

Timbalan Presiden Umno, Tan Seri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak berehat daripada jawatannya sebagai Perdana Menteri buat seketika sehingga kemelut yang melanda negara hari ini selesai.

Muhyiddin membuat cadangan itu semasa berucap di hadapan lebih 5, 000 orang yang hadir pada ceramah beliau di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, di sini, malam ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Najib perlu berehat daripada jawatannya bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menyiasat isu yang membelenggu negara terutamanya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion.


"Saya cadangkan Perdana Menteri berehat seketika. Adil? Berehat bukan berhenti, supaya siasatan dapat berjalan bebas, telus, adil tak ada orang syak wasangka.

"Ada pemangku, tak apa lah rehat sebulan dua bulan atau masa yang diperlukan. Ambil cuti sehingga kes selesai. Jika tak terlibat balik semula sambung tugas, saya doa (Najib) tak terlibat.

"Dengan cara ini orang akan yakin bahawa tiada campur tangan. Saya percaya kalau buat begitu nama dan imej Umno dapat dibersihkan," katanya.

Muhyiddin yang berbaju Melayu Merah mendapat tepukan gemuruh apabila isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion itu dibangkitkan.

Suara Politik
Belantan

Isnin, Disember 07, 2015

Istiadat majlis pengebumian Allahyarham Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim - Al Fatihah.



Suasana pilu mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham Tunku Abdul Jalil dari Istana Besar menaiki Pedati Diraja yang ditarik perlahan-lahan kira-kira tiga kilometer menuju ke Makam Diraja Mahmoodiah. Mengiringi Pedati Diraja ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim.


Tunku Mahkota Johor , Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dibantu oleh Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris (empat dari kiri) yang membawa jenazah Allahyarham Tunku Abdul Jalil pada majlis pengebumian di Makam Diraja Mahmoodiah hari ini.


Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah , Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah dan Che Puan Khaleeda Bustamam tiba di Makam Diraja Mahmoodiah untuk upacara pengebumian Allahyarham Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim.



Rakyat hadir beramai-ramai pagi ini untuk memberi penghormatan terakhir kepada anak raja yang disayangi rakyat, Allahyarham Tunku Abdul Jalil Iskandar Sultan Ibrahim.



Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris diselubungi kesedihan semasa bacaan ' talqin ' di pengebumian anakanda baginda berdua, Tunku Abdul Jalil di Makam Diraja Mahmoodiah hari ini.


Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail menggenggam tangan anakanda baginda , Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail di pengebumian Allahyarham Tunku Abdul Jalil di Makam Diraja Mahmoodiah.


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail memeluk anakanda baginda, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah selepas selesai bacaan talqin dibacakan.


Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah diiringi oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menyiram air mawar di pusara anakanda baginda berdua , Allahyarham Tunku Abdul Jalil, di Makam Diraja Mahmoodiah hari ini.

Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga arwah di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.. AlFatihah . ﺑِﺴْﻢِ ﭐﻟﻠَّﻪِ ﭐﻟﺮَّﺣْﻤَـﻦِ ﭐﻟﺮَّﺣِﻴﻢ ﭐﻟْﺤَﻤْﺪُ ﻟِﻠَّﻪِ ﺭَﺏِّ ﭐﻟْﻌَـﻠَﻤِﻴﻦ۞ ﭐﻟﺮَّﺣْﻤَـﻦِ ﭐﻟﺮَّﺣِﻴﻢ۞ ﻣَـﻠِﻚِ ﻳَﻮْﻡِ ﭐﻟﺪِّﻳﻦ۞ﺇِﻳَّﺎﻙَ ﻧَﻌْﺒُﺪُ ﻭَﺇِﻳَّﺎﻙَ ﻧَﺴْﺘَﻌِﻴﻦُ۞ ﭐﻫْﺪِﻧَﺎ ﭐﻟﺼِّﺮَﻁَ ﭐﻟْﻤُﺴْﺘَﻘِﻴﻢَ۞ﺻِﺮَﻁَ ﭐﻟَّﺬِﻳﻦَ ﺃَﻧْﻌَﻤْﺖَ ﻋَﻠَﻴْﻬِﻢْ۞ ﻏَﻴْﺮِ ﭐﻟْﻤَﻐْﻀُﻮﺏِ ﻋَﻠَﻴْﻬِﻢْ ﻭَﻻَ ﭐﻟﻀَّﺎۤﻟِّﻴﻦَ۞ﺍﻣﻴﻦ

Suara Politik
Belantan

Ahad, Disember 06, 2015

Semoga ALLAH merahmatimu adikku, saya sayang kamu.


TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim malam tadi memuatnaik status di Facebook yang begitu menyayat hati di atas pemergian Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil.

Malah, Tunku Ismail mengakui malam tadi begitu sukar untuknya lalui.

"Kepada adikku yang dikasihi... Dalam banyak malam yang berlalu, inilah malam yang paling sukar untuk saya.

"Kita semua amat sayang dan rindukan kamu. Kamu yang sentiasa membuatkan kita tersenyum. Kamu juga kekuatan dan inspirasiku," tulisnya melalui Facebook rasmi, Johor Southern Tigers.

Putera keempat Sultan Johor itu disahkan mangkat kira-kira jam 7.11 malam di Hospital Sultanah Aminah (HSA), semalam.

Melalui tulisan sama, Tunku Ismail menyatakan bahawa Tunku Abdul Jalil tidak akan dilupakan dan namanya bakal dibawa oleh waris Johor kelak.

"Kamu punyai satu sifat yang kita tiada; jiwa yang penyayang dan rendah diri. Saya sayangkan kamu sepenuh hati dan sangat rindukan kamu.

"Kamu takkan dilupakan. Namamu akan dibawa oleh warisku. Senyumanmu adalah kekuatanku.

"Semoga ALLAH merahmatimu, adikku. Saya sentiasa sayangkan kamu," tulis Tunku Ismail lagi atau lebih dikenali dengan panggilan TMJ.

Almarhum didiagnosis menghidap kanser tahun lalu dan menjalani pemindahan hati di Guangzhou, China.

Suara Politik
Belantan

Al-Fatihah, Tunku Laksamana Johor mangkat.


JOHOR BAHRU - Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim disahkan mangkat kira-kira jam 7.11 malam di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, hari ini.

Perkhabaran kemangkatan berkenaan telah disampaikan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli.

Beliau berkata, istiadat pemakaman Almarhum akan dilakukan secara istiadat separuh kemangkatan diraja.

"Jenazah Almarhum akan mula dilakukan istiadat bersiram dan dikafankan bermula jam 7 pagi esok.

"Kemudian jenazah akan disembahyangkan di bilik jenazah sebelah bilik singgahsana oleh kerabat diraja,"katanya.

Abdul Rahim berkata, jenazah Almarhum juga akan diletakkan di dalam keranda yang diselimuti bendera rasmi Tunku Laksamana Johor bersama topi dan pedang Polis Diraja Malaysia memandangkan beliau merupakan seorang anggota polis.

"Orang ramai dan kenamaan juga akan diberi peluang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum bermula jam 9 pagi sehingga 11.30 tengahhari esok.

"Jenazah dijangka akan dimakamkan selepas solat zuhur di Makam Diraja Mahmodiah di sebelah kanan Makam Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail," katanya pada sidang media di Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Difahamkan, perkabungan selama tiga hari kepada orang ramai dan tujuh hari kepada kerabat akan dilakukan selain penurunan semua bendera daerah Johor kecuali bendera Istana diturunkan separuh tiang selama tiga hari bagi menghormati kemangkatan Tunku Abdul Jalil.

Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga arwah di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.. AlFatihah . ﺑِﺴْﻢِ ﭐﻟﻠَّﻪِ ﭐﻟﺮَّﺣْﻤَـﻦِ ﭐﻟﺮَّﺣِﻴﻢ ﭐﻟْﺤَﻤْﺪُ ﻟِﻠَّﻪِ ﺭَﺏِّ ﭐﻟْﻌَـﻠَﻤِﻴﻦ۞ ﭐﻟﺮَّﺣْﻤَـﻦِ ﭐﻟﺮَّﺣِﻴﻢ۞ ﻣَـﻠِﻚِ ﻳَﻮْﻡِ ﭐﻟﺪِّﻳﻦ۞ﺇِﻳَّﺎﻙَ ﻧَﻌْﺒُﺪُ ﻭَﺇِﻳَّﺎﻙَ ﻧَﺴْﺘَﻌِﻴﻦُ۞ ﭐﻫْﺪِﻧَﺎ ﭐﻟﺼِّﺮَﻁَ ﭐﻟْﻤُﺴْﺘَﻘِﻴﻢَ۞ﺻِﺮَﻁَ ﭐﻟَّﺬِﻳﻦَ ﺃَﻧْﻌَﻤْﺖَ ﻋَﻠَﻴْﻬِﻢْ۞ ﻏَﻴْﺮِ ﭐﻟْﻤَﻐْﻀُﻮﺏِ ﻋَﻠَﻴْﻬِﻢْ ﻭَﻻَ ﭐﻟﻀَّﺎۤﻟِّﻴﻦَ۞ﺍﻣﻴﻦ

Suara Politik
Belantan

Jumaat, Disember 04, 2015

Omak Kipas melenting anaknya digelar 'pengkhianat, hipokrit' dalam Dewan?


Pembangkang berang digelar hipokrit oleh Ahli Parlimen BN ketika sesi perbahasan usul untuk merujuk Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan susulan kontroversi gambarnya dengan anak pengganas, Jacel Kiram di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bangkit menuntut agar kenyataan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) itu ditarik balik.

Raime sebelum ini berkata, "jangan kita jadi hipokrit seperti pembangkang yang mendabik dada mengatakan kononnya perjuangan mereka atas prinsip demokrasi."

Suasana menjadi kecoh apabila ahli-ahli Parlimen BN dan pembangkang saling bertingkah mempertahankan pendirian mereka.

Datuk Mujahid Yusof Rawa (Amanah-Parit Buntar) bangkit dan menyifatkan perkataan hipokrit itu terlalu berat.

Namun Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee menyatakan bahawa pembangkang juga sering melemparkan pelbagai tuduhan ke atas kerajaan.

"Semalam YB...biasanya YB hari-hari tuduh kerajaan. Saya tidak memihak. YB Kapar tuduh kerajaan menipu rakyat. Saya diam sahaja. Perkataan-perkataan ini sudah menjadi kebiasaan.

"Semalam menteri minta YB Kapar tarik balik pun Kapar tak tarik balik," katanya.


Sebelum itu, Raime turut mendakwa Nurul Izzah sebagai petualang bangsa dan pengkhianat negara,” katanya.

Katanya, beliau menganggap hanya Nurul Izzah berpura-pura dalam menjelaskan isu tersebut.

“Jelas pembangkang ini tidak patriotik dan tidak cintakan negara. Tanpa segan silu mereka sanggup meletakkan kepentingan politik melebihi kedaulatan negara.

"Maka amat bersesuaian jika saya ibaratkan mereka sebagai petualang bangsa dan pengkhianat negara kita. Adakah begitu penting politik peribadi keluarga bekas ketua pembangkang ini sehingga sanggup YB Lembah Pantai berkawan baik dengan Jacel Kiram dan bersekongkol dengan musuh?," katanya.

Namun Nurul Izzah bangkit membantah dan menyifatkan kenyataan itu satu sangkaan jahat dan dakwaan liar.

Timbalan Speaker kemudiannya meminta Raime menjelaskan dakwaan itu.

"Saya cuma cakap Lembah Pantai bersekongkol dengan musuh negara. Ada juga saya menyatakan beliau tidak mengambil kira bahawa pengganas Sulu ini telah menceroboh Sabah dan membunuh pejuang-pejuang negara kita. Salahkah saya cakap?," katanya.

Sehubungan itu, Timbalan Speaker mengingatkan ahli-ahli dewan tentang nasihat Speaker , Tan Sri Pandikar Amin Mulia agar tidak mengeluarkan perkataan yang menyakitkan hati.

"Cukuplah sekadar kalau kita menyatakan bahawa YB Lembah Pantai telah bergambar dengan anak pengganas Sulu yang telah dianggap sebagai musuh negara. Bermakna tidak merujuk kepada YB Lembah Pantai bersekongkol atau menjadi petualang kepada negara.

"YB kena faham usul ini timbul kerana perasaan sakit hati rakyat negeri Sabah terhadap gambar yang telah dikeluarkan," katanya.

Usul untuk merujuk Nurul Izzah kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan diluluskan Dewan Rakyat hari ini.

Suara Politik
Belantan

Khamis, Disember 03, 2015

'Saya hadir PAU tapi sebagai 'tunggul'"?


Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan hadir pada Perhimpunan Agung Umno bagaimanapun beliau tidak akan berucap dalam himpunan tersebut.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengesahkan perkara tersebut ketika ditemui di Menara Dato Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini.

‪"Insya-ALLAH, saya Timbalan Presiden lagi. Saya nak berucap, tetapi tidak boleh berucap. Malah tidak boleh terlibat dalam penggulungan. Hanya duduk di atas pentas sebagai tunggul.‬

‪"Orang lain boleh bercakap, saya tidak boleh bercakap. Timbalan Presiden tidak boleh bercakap," katanya ketika ditemui pemberita selepas memberi sokongan moral kepada sembilan ketua cawangan Bahagian Telok Kemang Negeri Sembilan yang dihadapkan kepada Lembaga Disiplin Umno hari ini.


Muhyiddin yang disingkirkan dari Kabinet pada Julai lalu turut berkata, apa yang berlaku di dalam Umno ini membuktikan bahawa ruang demokrasi di dalam parti itu semakin terkubur.‬

‪"Akar umbi Umno hari ini nak tunjukkan jika Timbalan Presiden tidak boleh bersuara, bermakna akar umbi juga tidak dibenarkan bersuara," ujarnya lagi.‬

‪Jelas Muhyiddin lagi, beliau sendiri masih sayangkan Umno malah tidak mahu dipecat.

Namun katanya, sekiranya parti sudah memutuskan, beliau akur dengan keputusan itu.‬‎

‪"Walaupun saya tidak mahu diri saya dipecat, tetapi jika mereka nak hukum saya, saya sedia terima," ujarnya lagi.

Suara Politik
Belantan

Selasa, Disember 01, 2015

Guan Eng semakin tertekan...!!! Rakyat tuntut anak negeri jadi KM?


PULAU PINANG - Ketua Menteri, Lim Guan Eng terus menerima tekanan dari­pada ahli parti sendiri yang mencadangkan supaya jawatan Ketua Menteri disandang Pengerusi DAP negeri yang dipilih dalam pro­ses pemilihan parti.

Ahli DAP Kawasan Taman Chai Leng, Shamsher Singh Thind berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dan Jawatankuasa Negeri seharusnya mensyaratkan jawatan Ketua Menteri diberikan kepada Pengerusi DAP negeri.

“Ini adalah penting kerana mandat untuk menerajui kerajaan ne­geri mesti diberikan kepada seorang kepemimpinan yang telah diberi kepercayaan oleh akar umbi,” katanya dalam Konvensyen DAP negeri di sini hari ini.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya sebelum ini menerima tekanan hebat daripada penduduk negeri ini yang mahukan Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow menjadi Ketua Menteri.

Malah sebelum bermulanya Konvensyen DAP negeri pagi ini, sekumpulan 20 penduduk mengadakan demonstrasi aman di hadapan hotel tempat berlangsungnya konvensyen berkenaan yang menuntut Kon Yeow dilantik sebagai Ketua Menteri.

Protes sama juga berlaku di hadapan bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) semalam selepas kira-kira 40 penduduk membawa sepanduk tertera perkataan seperti Guan Eng balik Melaka dan Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Lim Guan Eng cuba mengelakkan diri daripada wartawan selepas Majlis Perasmian Tapak Pembinaan Taman Kejiranan Lengkok Free School, Pulau Pinang, semalam.

Dalam pada itu, Shamsher Singh yang juga peguam turut mengkritik proses lantikan jawatan dalam DAP negeri yang tidak memilih calon dengan undian tertinggi sebagai Pengerusi.

Beliau mengambil contoh pemilihan DAP Selangor yang mana Tony Pua dilantik sebagai Pengerusi DAP negeri itu sedangkan menduduki tangga kelapan berbanding Gobind Singh Deo yang mendapat undi tertinggi.

“Sistem pemilihan ahli-ahli jawatankuasa negeri harus diubah kerana tidak memberi kuasa sepenuhnya kepada akar umbi untuk memilih pemimpin-pemimpin mereka seperti yang dilakukan semasa pemilihan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY),” katanya.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan bagaimana DAP masih boleh bekerjasama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas dalam kerajaan pembangkang di Selangor sedangkan kedua-dua parti sudah tidak lagi mempunyai hubungan.


“Bukan itu sahaja, tiga Exco kerajaan negeri Selangor juga daripada Pas. Kenapa DAP masih mahu meniduri Pas setelah bercerai dengannya?” katanya.

Malah, beliau turut mempersoalkan tindakan DAP negeri mengkritik keputusan ADUN kerajaan negeri menyokong usul tambak laut yang dibawa ADUN Barisan Nasional (BN) dalam sidang DUN lalu.

Menurutnya, adalah menghairankan DAP boleh mengkritik sokongan ADUN kerajaan negeri itu sedangkan dalam masa sama mahu wakil Ahli Parlimen BN menyokong usul tidak percaya kepada Perdana Menteri.

Malah, beliau turut mempersoalkan jika menjadi tugas ADUN pembangkang untuk menolak semua usul BN, mengapa tiada seorang pun Ahli Parlimen pembangkang menolak Rang Undang-Undang Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2014 untuk menaikkan gaji bulanan Ahli Parlimen.

Suara Politik
Belantan