Khamis, Jun 25, 2015

SEBAB APA UMNO - PAS PERLU BEKERJASAMA?


British menjajah Semenanjung Tanah Melayu daripada orang Melayu.

Orang Cina dan India datang dengan ramainya, mula-mula untuk mencari kekayaan dan pulang ke negera asal, tetapi akhirnya terus tinggal di Tanah Melayu. Orang Melayu bersatu menentang Malayan Union, ancaman pengganas komunis dan menuntut “kemerdekaan tanah air”.

Orang bukan Melayu menyertai pergerakan menuntut kemerdekaan apabila mereka nampak kemerdekaan akan menjadi kenyataan untuk menjaga kepentingan mereka selepas Merdeka.

Pas ditubuh apabila Haji Ahmad Fuad Hassan kalah dalam pertandingan merebut jawatan Presiden UMNO kepada Tunku Abdul Rahman Putra, mulanya sebagai satu cabang UMNO tetapi kemudiannya bertanding dalam PRU-1955.

Semasa Perlembagaan Persekutuan sedang digubal, Pas menuntut supaya Pulau Pinang dan Melaka dijadikan “Negeri Melayu” (bersultan) untuk menjaga kepentingan orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Parti Komunis Malaya (majoriti orang Cina) mengangkat senjata untuk menubuh sebuah kerajaan Komunis ala-China.

Parti Buruh (majoriti orang Cina) menuntut supaya “Negeri-Negeri Melayu” dihapuskan untuk mengelak “Malaya” yang merdeka menjadi sebuah “Negara Feudal”.

Orang Cina mahukan dua warganegara (dual-citizenship), Malaya dan China dengan warganegara China sebagai warganegara utama. Ada satu kumpulan orang Cina di Pulau Pinang yang tidak mahu Pulau Pinang merdeka dalam Tanah Melayu. Mereka mahu kekal di bawah jajahan British seperti Hong Kong.

Oleh sebab British menjajah Tanah Melayu daripada orang Melayu, logiknya ia dipulangkan kepada orang Melayu (seperti Brunei). Tetapi, orang Melayu sanggup berkongsi kuasa dengan orang bukan Melayu. Hasil tolak ansur persetujuan dicapai. Kandungannya tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan. Antara lain, kerakyatan diberi kepada orang bukan Melayu.

Beberapa perkara yang dituntut oleh orang Melayu seperti, kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, jaminan mengenai “hak keistimewaan orang Melayu” (Perkara 153), Regimen Askar Melayu dan Tanah Simpanan Melayu juga dipersetujui dan diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam PRU 1955, kawasan majoriti pengundi Melayu diberi kepada calon bukan Melayu daripada parti komponen Perikatan untuk bertanding bagi melebihkan bilangan ahli Parlimen bukan Melayu. Amalan ini berterusan untuk memastikan mereka mencapai kemenangan, sebab jika mereka bertanding dalam kawasan majoriti bukan Melayu (Cina), mereka akan kalah.

Sebaliknya, Perikatan atau Barisan Nasional tidak pernah meletak calon Melayu di kawasan majoriti bukan Melayu, sebab pengundi bukan Melayu tidak akan mengundi calon Melayu. Pada 31 Ogos 1957, Tanah Melayu merdeka.

Pada malam itu warganegara bertambah sekali ganda, akibat orang bukan Melayu menjadi warganegara mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Akibatnya, jika dalam Pilihan Raya Umum 1955, pengundi Melayu adalah sebanyak 84.2 peratus, dalam Pilihan Raya Umum 1959, hanya dua tahun selepas merdeka, pengundi Melayu jatuh kepada 57.1 peratus.

Pas menentang penubuhan Malaysia, apatah lagi Singapura, kerana khuatir akan menjejas hak orang Melayu dan kududukan agama Islam. Selama lebih kurang tiga dekad selepas penubuhannya, Pas telah memainkan peranan yang berfaedah kepada bangsa Melayu dan agama Islam di Malaysia.

Pas tidak terlalu besar untuk menjadi ancaman kepada UMNO di peringkat Persekutuan. Pengaruhnya tertumpu di Pantai Timur. Tidak ada perbezaan kepada orang Melayu dan agama Islam sama ada UMNO atau Pas memerintah Kelantan. Lagi pula, adanya Pas menyebabkan UMNO lebih berhati-hati berkenaan isu Melayu dan Islam.

Selama lebih kurang lima dekad semenjak merdeka, kecuali dalam 1969, tidak ada cabaran serius terhadap hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Sebabnya, sebilangan besar orang Melayu menyokong UMNO, kerajaan Persekutuan teguh di bawah Barisan Nasional dan UMNO dapat mengawal parti-parti sekutunya daripada membuat tuntutan-tuntutan yang melampau.

Negara aman dan makmur. Semua orang menikmati taraf kehidupan (standard of living) yang lebih tinggi.Keadaan berubah dalam masa lebih kurang sepuluh tahun kebelakangan ini. Orang Melayu berpecah tiga.

Melihat keadaan itu, orang Cina yang memang pandai membuat perkiraan dan pakatan, bersatu di belakang DAP. PKR dan Pas setuju bekerjsama dengan DAP. Akibatnya, pengundi bukan Melayu menjadi suara penentu dalam pilhan raya.

Merasai mereka telah kuat, orang bukan Melayu, terutama sekali orang Cina, mula membuat tuntutan-tuntutan yang melampau dan mencabar hal-hal mengenai agama Islam, termasuklah khutbah Jumaat.

Mereka tidak puas hati dengan “keistimewaan” yang dinikmati oleh orang Melayu. Mereka mahu semuanya dibahagikan secara “sama rata”. Mereka tahu jika dibuat demikian, merekalah yang akan membolot segala-galanya kerana mereka mengawal ekonomi, kaya dan lebih maju dalam semua bidang. Sebenarnya mereka mahu hak orang Melayu tanpa mengorbankan hak mereka.

Jika Pakatan Rakyat (termasuk Pas) dapat menubuh kerajaan di peringkat Persekutuan, DAP yang akan menjadi parti dominan. PKR tanpa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan dipandang serius oleh DAP.

Pas lagilah tidak akan “didengar” oleh DAP. Kerajaan Pakatan Rakyat semestinya akan menghakis hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Orang Cina bersatu di belakang DAP kerana DAP menjanjikan sesuatu yang lebih dan kerana mereka mahu lebih daripada yang mereka peroleh di bawah pemerintahan Barisan Nasional. Dari mana bahagian “yang lebih” itu akan datang? Semestinya daripada bahagian orang Melayu.

Mungkin mereka tidak akan memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen dan persetujuan Majlis Raja-Raja (di mana diperlukan) untuk meminda Perlembagaan. Sambil itu kita mesti waspada tentang kemungkinan mereka akan melakukan perubahan kepada kawasan Parlimen dengan menambah bilangan kerusi di kawasan Cina yang padat penduduknya.

Namun demikian, perlu diingat bahawa hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam boleh dihakiskan secara pentadbiran sahaja.

Sebagai misalan, peruntukan mengenai kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan hanya memberi manfaat jika dan apabila kerajaan yang memerintah melakukan sesuatu untuk meletakkan agama Islam di tempat yang sesuai dengan kedudukan itu.

Apa yang kita lihat hari ini, baik universiti-universiti, institusi-institusi dan jabatan-jabatan Islam; institusi-institusi kewangan Islam dan pembangunan perbankan dan kewangan Islam; pengajaran mata pelajaran agama Islam dari tadika hingga ke universiti, masjid-masjid, rancangan-rancangan agama di televisyen dan radio dan serta lain-lain adalah hasil daripada apa yang dilakukan oleh kerajaan yang memerintah selama ini. Jika tidak dilakukan, tidak akan ada apa-apa, hanya peruntukan dalam Perlembagaan.

Manfaat

Demikian juga dengan peruntukan mengenai hak-hak orang Melayu. Jika kerajaan yang memerintah tidak berbuat apa-apa, tidak ada apa yang akan dinikmati oleh orang Melayu.

Kita menikmati faedahnya hari ini kerana kerajaan telah mengadakan berbagai-bagai rancangan seperti Dasar Ekonomi Baru dan menubuhkan pelbagai badan seperti Permodalan Nasional Berhad, Skim Amanah Saham Nasional, Bank Bumiputera, Lembaga Urusan dan Tabung Haji, Mara, Felda, RISDA, Felcra, UDA, Pernas, DARA, Jengka, Ketengah, Kesedar dan lain-lain.

Kerajaan juga telah menetap dan melaksanakan dasar mengenai pemberian biasiswa, pengambilan pegawai-pegawai kerajaan dan lain-lain. Tanpa ini semua, peruntukan-peruntukan itu tidak bermakna.

Semenjak merdeka, melalui dasar dan tindakan kerajaan Perikatan dan, kemudiannya Barisan Nasional, orang Melayu/Islam telah menikmati faedah peruntukan-peruntukan itu. Saya tidak fikir kerajaan Pakatan Rakyat akan atau akan dapat melakukan perkara yang sama.

Ertinya, hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam akan terhakis jika kerajaan Barisan Nasional yang diterajui oleh UMNO, tumbang.

Demi mengelak perkara itu berlaku, kerajaan Barisan Nasional di peringkat Persekutuan mestilah dipertahankan. Pada pendapat saya cara yang paling mudah ialah: Jika selepas PRU-14, didapati kerajaan Barisan Nasional di peringkat Persekutuan akan tumbang, Pas hendaklah menyertai kerajaan Barisan Nasional, sekurang-kurangnya di peringkat Persekutuan untuk menyelamatkannya.

Pas mesti sedar bahawa kerjasama dengan DAP dan PKR akan mengorbankan kepentingan orang Melayu dan agama Islam. Pas perlu sedar bahawa, dalam konteks Malaysia, apa yang menguntungkan orang Melayu akan menguntungkan umat Islam dan apa yang merugikan orang Melayu akan merugikan umat Islam. Demikian juga, apa yang menguntungkan umat Islam akan menguntungkan orang Melayu dan apa yang merugikan umat Islam akan merugikan orang Melayu,

Sebenarnya, pada masa ini, antara UMNO dan Pas sudah tidak ada apa-apa perbezaan ideologi lagi untuk menghalang kerjasama itu. Yang menjadi penghalang hanyalah kekhuatiran pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong masing-masing jika kerjasama itu akan menggugat kepentingan diri mereka.

Selain daripada itu adalah isu-isu yang dipolitikkan kerana mudah, murah dan popular untuk membezakan UMNO dengan Pas dan memancing undi, misalnya assabiah dan hudud.

Pas telah memerintah Kelantan selama lebih kurang 40 tahun. Apa bezanya Kelantan dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia? Undang-undang yang dipakai di Mahkkamah Syariah di Kelantan seperti Enakmen Acara Mal, Enakmen Acara Sivil dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam dibuat semasa pemerintahan Barisan Nasional dan saya menjadi Penasihat Undang-Undangnya.

Memang ia telah diganti tetapi, dari segi isi kandungannya, itu hanya pengemaskinian yang dilakukan untuk menyelaraskan dengan undang-undang yang dipakai di negeri-negeri lain yang diperintah oleh Barisan Nasional.

Jika Kelantan “lebih Islam” daripada negeri-negeri lain dan orang Kelantan mahu berada dalam sebuah “negara Islam”, mengapa orang Kelantan yang paling banyak berhijrah ke negeri-negeri lain untuk mencari makan?

UMNO juga perlu menangani masalah persepsi rasuah yang tinggi dalam kalangan pemimpinnya, faktor utama mengapa orang Melayu “bencikan” UMNO, sama ada persepsi itu betul atau tidak.

Maka, pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas yang sama-sama Melayu dan Islam, yang sama-sama untung dan rugi, perlulah menumpukan perhatian kepada ancaman besar yang berada di hadapan mereka, orang Melayu dan umat Islam di Malaysia. Mereka patutlah mengetepikan dahulu perbezaan yang diada-adakan untuk tujuan politik dan menumpukan usaha untuk menyelamatkan hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam.

Dengan cara yang saya cadangkan ini, UMNO dan Pas masing-masing boleh kekal seperti sekarang sebagai parti politik yang berasingan. (Saya tidak nampak kemungkinan Pas menyertai Barisan Nasional dalam masa yang terdekat.) Walau bagaimanapun, pada pandangan saya, Pas patut keluar dari Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat merugikan orang Melayu dan umat Islam. Di peringkat negeri, Pas boleh bertanding bersendirian. Pas boleh memerintah negeri-negeri yang dimenanginya secara bersendirian.

Tetapi, untuk mengelak sesebuah negeri terjatuh kepada DAP dan PKR, misalnya Perak, Pas patut bekerjasama dengan Barisan Nasional untuk menubuh kerajaan campuran. Di peringkat Persekutuan, Pas boleh memilih untuk menyertai Kabinet dan duduk bersama wakil-wakil rakyat Barisan Nasional di Parlimen.

Atau, mereka tidak menyertai Kabinet dan duduk berasingan di Parlimen seperti ahli-ahli “bebas” tetapi, dalam isu yang melibatkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam, mereka akan menyokong kerajaan Barisan Nasional.

TUN ABDUL HAMID MOHAMAD - PENULIS ialah bekas Ketua Hakim Negara

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

Kisah Sukses berkata...

KAMI SEKELUARGA MENGUCAPKAN BANYAK TERIMAH KASIH ATAS BANTUANGNYA AKI,RUSLAN, KARNA NOMOR GHOIB/RITUAL YANG AKI, BERIKAN 4D (8301) BENAR BENAR TEMBUS 100% DAN SAYA MEMENANGKAN 230 RIBU RINGGIT ALHAMDULILLAH, SEKARANG SAYA BISA MEMBELI RUMAH DAN KERETA WALAUPUN SAYA CUMA TKI YANG BEKERJA DI KILANG SELANGOR MALAYSIA, INI ADALAH KISAH NYATA DARI SAYA.JIKA ANDA PENUH KEPERCAYAAN DAN KEYAKINAN SILAHKAN ANDA HUBUNGI LANGSUNG AKI RUSLAN SALEH DI NOMOR (_+_6_2_8_1_2_4_3_4_7_7_4_5_5_)KERANA DIA ADALAH SUHU SPIRITUAL TERKENAL DI INDONESIA ATAU KUNJUNGI WEPSITE KLIK DISINI
JADI TEMAN YANG DALAM KESUSAHAN JANGAN PERNAH PUTUS ASAH, KALAU SUDAH WAKTUNYA TUHAN PASTI KASIH JALAN’TERIMAH KASIH..THANZ ROOMX ZHOBATH



JIKA ANDA BUTUH ANGKA RITUAL 2D 3D 4D 5D 6D DI JAMIN 100% JEBOL ATAU PUNYA MUSTIKA GHAIB INGIN DIPAKAI MENARIK UANG BILAH BERMINAT HUB KI RUSLAN SALEH DI NMR (_+_6_2_8_1_2_4_3_4_7_7_4_5_5_) ATAU KUNJUNGI WEPSITE KLIK DISINI
THNKS ROOMX SOBAT