Jumaat, Disember 09, 2011

Sejauh mana sokongan pengundi Cina?


Bahang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) kian terasa dan pelbagai andaian dan teori mengenai tarikh pilihan raya kini begitu hebat diperkatakan.

Ada yang mengatakan Mac 2012 dan ada yang mengatakan Jun 2012. Spekulasi mengenai tarikh-tarikh tersebut kesemuanya jatuh pada musim cuti persekolahan.

Semuanya nampak berkemungkinan dengan berdasarkan teori-teori masing-masing tetapi untuk tarikh sebenar hanya Allah SWT dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sahaja mengetahuinya.

Sungguhpun begitu dalam menentukan tarikh sebenar pilihan raya sudah pasti Najib seperti mana lima Perdana Menteri sebelum ini mempunyai pertimbangannya sendiri berasaskan kepada beberapa faktor tertentu. Antaranya kestabilan politik, ekonomi dan negara - sebelum keputusan membubarkan Parlimen dilakukan.

Di peringkat ini juga parti yang bertanding seperti UMNO serta parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain seperti MCA, MIC serta parti-parti di Sabah dan Sarawak termasuk pihak pembangkang sibuk memasang strategi bagi mendapatkan sokongan pengundi. Cuma apa yang masih dibincangkan ialah sejauh mana sokongan pengundi Cina terhadap Barisan Nasional (BN) setakat hari ini.

Pada PRU 12, tanpa diduga kaum Cina di beberapa kawasan pilihan raya yang sebelum ini berpihak terhadap BN telah memberi sokongan mereka kepada pihak pembangkang, khususnya di kawasan pinggir-pinggir bandar serta pedalaman.

Keadaan itu terus berlaku dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan paling ketara selepas PRU 12 seperti PRK Kuala Terengganu, PRK Bukit Gantang, PRK Bukit Selambau dan PRK Penanti.

Ringkasnya, sebelum Najib dilantik sebagai Perdana Menteri pada 3 April 2009 serta pada awal proses peralihan pucuk pimpinan kerajaan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, pola pengundi Cina terhadap pihak pembangkang dikatakan cukup ketara.

Bagaimanapun bermula daripada PRK Bagan Pinang iaitu selepas lima bulan Najib menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri sehingga PRK Kerdau Mac lalu, peratusan masyarakat Cina mengundi BN difahamkan menunjukkan peningkatan walaupun tidak begitu tinggi.

Adakah perkara ini benar? Adakah masyarakat Cina di pinggir-pinggir bandar serta pedalaman sudah kembali memberi sokongan kepada BN meskipun jumlahnya tidak sebanyak seperti mana yang diterima oleh parti pemerintah itu khususnya ketika era pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mengapa tumpuan hanya berkisar kepada pengundi Cina di pinggir bandar dan pedalaman? Realitinya, sejak dahulu lagi kaum Cina di kawasan bandar besar akan memberi undi mereka kepada pembangkang. Lihatlah kawasan Parlimen Bukit Bintang, Seputeh, Kepong, Ipoh Timur, Ipoh Barat, Seremban, Kota Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching kesemuanya dimenangi oleh DAP.

Sentimen pengundi Cina terhadap BN dijelaskan lagi oleh penganalisis politik berketurunan Cina. Beliau menyatakan: ''Walaupun MCA dan Gerakan berusaha memulihkan parti masing-masing namun ia tidak mampu meyakinkan masyarakat Cina untuk bersama mereka lebih-lebih lagi apabila pemimpin utama kedua-dua parti sukar diterima oleh mereka.''

Antara faktornya mungkin kerana Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek pernah terbabit dengan skandal seks hingga menggemparkan dunia politik negara, manakala Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon secara terang-terangan kepimpinannya ditolak oleh masyarakat Cina khususnya di Pulau Pinang.

Apa yang pasti, MCA dan Gerakan menurut penganalisis politik itu dilihat masih gagal membela nasib masyarakat Cina secara holistik. Sebaliknya berdasarkan laporan di akhbar-akhbar tempatan, Soi Lek terutamanya lebih sibuk membuat kenyataan-kenyataan kontroversi hingga mengguris hati rakan-rakan di dalam UMNO serta pemimpin NGO Melayu.

Walau apa yang pemimpin MCA itu cuba buktikan, pemimpin-pemimpin DAP kini semakin mendapat tempat di kalangan pengundi Cina. DAP dikatakan telah memberi alternatif terbaik kepada masyarakat Cina ekoran ketidakupayaan MCA dan Gerakan membela nasib kaum itu. Perkara itu diakui sendiri oleh seorang tokoh sejarah dan juga penganalisis politik tanah air, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim.

Katanya, MCA sepatutnya mengorak langkah dengan lebih drastik membela nasib kaum Cina secara keseluruhan dan bukannya bermain api dengan mana-mana pihak semata-mata mahu menunjukkan parti itu 'hero' bagi masyarakat tersebut.

''Saya fikir adalah lebih baik MCA menumpukan perhatian mereka terhadap nasib dan masa depan orang Cina khususnya yang tinggal di pinggir-pinggir bandar dan pedalaman.

''Masih ramai lagi di antara mereka hidup dalam keadaan miskin. Mereka sememangnya amat memerlukan bantuan,'' kata Kay Kim.

Beliau berkata, MCA harus bekerja dengan lebih kuat jika mereka mahu kaum Cina kembali kepada BN.

''Secara peribadi saya melihat kaum Cina begitu kecewa dengan MCA, dan DAP datang sebagai parti alternatif kepada mereka. Sama ada DAP akan tunaikan janji atau tidak, itu tidak penting. Apa yang penting, DAP kini berjaya mendapat tempat di hati masyarakat Cina. DAP berjaya menyentuh hati mereka dengan kejayaannya mengambil kesempatan yang ada,'' ujarnya.

Terbaru penulis difahamkan MCA kurang membuat pendaftaran bagi pengundi-pengundi baru berbangsa Cina jika dibandingkan dengan DAP. Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), DAP berada pada kedudukan kedua selepas UMNO dari segi keaktifan parti-parti di negara ini yang berjaya mendaftarkan pengundi-pengundi baru. Apakah mesej daripada penemuan itu. Fikir-fikirkanlah.

Dalam pada itu, penulis tidak hairan apabila seorang pemandu teksi berbangsa Cina di ibu negara secara terang-terangan mengaku akan mengundi roket (DAP) pada PRU13. Pengakuan terbuka pemandu teksi ini merupakan satu contoh bagaimana seorang berbangsa Cina yang tidak mungkin memberi undi kepada BN.

Inilah kedudukan tidak rasmi pengundi-pengundi Cina di Malaysia. Tidak dinafikan undi mereka cukup penting bagi memastikan kelangsungan BN untuk memenangi PRU 13 akan datang.

BN harus menerima hakikat sebenar mengenai perkembangan ini dan bagi pemimpin-pemimpin UMNO sudah pasti mereka terpaksa meningkatkan usaha menarik lebih ramai pengundi-pengundi Melayu.

Cuma perubahan boleh berlaku jika MCA dan tidak ketinggalan parti Gerakan berusaha keras yang mungkin pada tahap empat kali ganda untuk menarik semula sokongan pengundi Cina.

Dalam tempoh PRU 13 yang semakin dekat mahu tidak mahu perubahan drastik perlu dilakukan oleh kedua-dua parti tersebut agar sokongan pengundi Cina kepada BN dapat segera dipulihkan.

Pada 17 November lalu, Gerakan dilihat mula mengorak langkah untuk melakukan perubahan pada parti selepas Tsu Koon mengumumkan pengundurannya sebagai calon PRU 13. Bagaimana pula dengan usaha MCA untuk menarik semula sokongan pengundi Cina?-UM.

Suara Politik
Taminsari

1 ulasan:

hitch berkata...

Hujah saya simple jea...

Cina nak kuasa bukan bantuan atau sokongan.....!

Dibagi berbillion sekalipun xkan mengubah pandangan cina tk mengundi BN..!MCA dan Gerakan x ubah melukut ditepi gantang....tggu masa nak rebah....

Hanya full support dari melayu dan sedikit dari kaum India sahaja dpt meyelamatkan UMNO...