Rabu, September 01, 2010

Melayu Itu Mulia dan Mesra!

Sejak kebelakangan ini timbul beberapa peristiwa tidak baik dan amat merimaskan melingkari kehidupan masyarakat Malaysia kita. Dari soal perpaduan yang cuba dikeruhkan sehingga kepada masalah sosial yang kian gawat, rakyat Malaysia terus dikejutkan dengan kocakan politik parti pembangkang! Apa sudah jadi! Yang biasa menjadi luarbiasa, yang luarbiasa sudah jadi biasa.

Mengambil contoh kes pembuangan dan pembunuhan bayi yang saban hari sering dilapurkan seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku didalam masyarakat kita sekarang. Suatu ketika kita pernah dimomokkan dengan cerita anjing gigit manusia bukan berita, tetapi kalau manusia gigit anjing barulah berita. Kini berita manusia membuang dan membunuh bayi bukan lagi sesuatu yang mengejutkan. Sesuatu yang dahulu luar biasa tetapi kini sudah menjadi biasa.

Permasalahan sosial kini kelihatan semakin kronik. Ia terus mendominasi keadaan gawat yang melingkari kehidupan masyarakat yang semakin hilang panduan. Statistik terbaru hasil kajian pakar mendapati kelahiran anak luar nikah yang direkodkan amat mengerunkan. Perangkaan dan hasil kajian yang dilakukan oleh Jamaah Islam Malaysia (JIM) dan rekod oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) amat sukar untuk dipercayai bahawa perkara sebegini berlaku di Malaysia!

Begitu juga dengan isu-isu lain seperti dadah, mat rempit, culik, rogol dan tidak ketinggalan soal perpaduan, semuanya ini menyumbang kearah keburukan dan diremehkan. Malah soal keamanan negara juga turut diungkit dan dipersendakan. Pertanyaan yang ingin diajukan ialah jika perpaduan dan keamanan tidak dipertahankan, apakah Malaysia mampu untuk terus menjadi negara yang makmur, sejahtera, lestari dan utuh atau terjerumus menjadi bangsa-bangsa yang lemah dan tunduk kepada kuasa-kuasa besar?

Penulis yakin majoriti rakyat negara ini tidak suka kepada perpecahan dan masa depan yang tidak menentu. Jika boleh suasana yang tidak sihat ini tidak seharusnya ditanam kedalam kotak pemikiran anak-anak, iaitu generasi pewaris negara tercinta ini. Malangnya jika kita lihat pada hari ini, apa yang ingin kita lihat itu sudah mula disemarakkan. Kebelakangan ini ada pihak cuba bermain api perkauman dengan membangkitkan soal ditaktor, cauvinis, komunis dan rasis oleh pihak lain.

Percayalah kerana perpaduan kita dapat hidup aman damai diatas bumi bertuah bernama Malaysia ini. Cuba kita banding-bandingkan keadaan dan keharmonian negara kita dengan negara-negara jiran. Pergolakan dan kegagalan menangani perpaduan merencatkan warna-warni kehidupan. Kita sebagai rakyat di Malaysia semestinya tahu bersyukur dengan apa yang kita kecapi sekarang!

Kepada yang mendukung kuasa, malah untuk generasi pelapis seterusnya, seharunya berfikiran terbuka agar kita dapat terus menikmati agihan kek ekonomi yang sama rata. Janganlah rosakkan hubungan baik yang dibina atas landasan bersama yang sudah mendarah dan membudaya sejak merdeka lagi. Janganlah ada lagi rasa curiga. Melayu itu tolerannya menakjubkan! Sopannya berlebihan.

Pentingnya bertoleran dan sikap menerima. Ia perlu ditekankan. Sekiranya bertoleran boleh ditafsirkan sebagai kita ‘ menerima ‘ ( putting up ) sesuatu, terutamanya perbezaan yang didapati menganggu dan tidak menyenangkan, maka menerima pula bermakna kita selesa dengan orang ( kaum ) lain itu sehinggakan tidak menganggap perbezaan yang ada itu menggangu.

Untuk memperkukuhkan lagi perpaduan yang sememangnya sudah terjalin, bahasa Melayu harus diangkat sebagai bahasa pertuturan massa. Peranan serta pentingnya bahasa Melayu selaku bahasa Negara ( dalam kapasitinya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi ) , dalam membentuk jati diri nasional serta negara-bangsa Malaysia yang bersatu padu mesti diperkukuhkan.

Sebelum ini terdapat dua orang yang berbangsa Cina mengutus surat kepada akhbar Utusan Malaysia dan juga akhbar Sin Chew Jit Poh. Lim Ming Fah menerusi artikelnya yang disiarkan di akhbar Sin Chew Jit Poh pada 16 Februari lalu turut menyentuh soal perpaduan. Teoh Ching Kim atau nama Islamnya Siti Suraya Teoh Abdullah dari Merbok, Kedah yang mengutus surat kepada akhbar Utusan antara lain menyebutkan pesanan dan ingatan ibunya, “ Jangan kacau kaum lain asalkan kita dapat cari rezeki dan tinggal di negara yang aman.”

Tulisnya lagi, terimalah hakikat bahawa kita kaum Cina, India dan kaum-kaum lain, kita cuma menumpang di tanah bangsa Melayu. Adakah anda mahu jadi macam bangsa-bangsa lain dinegara barat yang dianggap sebagai pendatang!

Kesedaran Teoh Ching Kim mengenai perlunya perpaduan turut dipersetujui oleh Lim Ming Fah. Bagi Lim, dua peristiwa yang dilaluinya iaitu melibatkan pertolongan mekanik Melayu terhadap kesusahan seorang Cina yang mengalami kerosakan enjin motosikal, dan kunjungan jiran Melayu semasa sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini seperti ada nyawa baru kepada perpaduan dikalangan rakyat.

Dari peristiwa itu kata penulis ini, perpaduan rakyat adalah satu talian yang seharusnya berpanjangan seperti air yang mengalir. Apa yang ditunjukkan oleh dua jiran Melayu yang dengan terbuka mengunjungi rumah dan membantu jiran Cina mereka, adalah sikap yang lebih baik daripada ahli politik yang membuat kunjungan palsu.

“ Kedua-dua perkara ini adalah contoh teladan terbaik. Ia berbeza dengan cara ahli-ahli politik yang sering mempermainkan isu-isu perkauman yang dahsyat, lantang dan bermuka-muka. Jiwa orang Melayu dalam peristiwa ini sangat mulia dan mesra seperti tiupan angin nyaman yang meresap kedalam jiwa yang membuatkan kita terharu dan gembira,” katanya.

Keharmonian dari segi agama, kumpulan etnik, kebudayaan dan lain-lain adalah disebabkan generasi muda, malahan golongan pertengahan masyarakat kita sudah tidak lagi lahir,membesar dan bekerja dalam masyarakat kaumnya, tetapi dalam masyarakat berbilang kaum. Selain melalui proses pendidikan yang menggunakan kurikulum yang sama, dengan tempat kerja yang disertai oleh semua kaum. Dengan kata lain rakyat Malaysia sudah lebih bebas berinteraksi sehingga sudah dapat merentangi jurang perbezaan etnik, kepercayaan, agama, kebudayaan dan nilai hidup masing-masing.

Kematangan dan keterbukaan bersama itu adalah anak kunci yang membawa kepada saling hormat menghormati dan terima-menerima itulah juga anak kunci yang membuka pintu hati rakyat Malaysia kearah perpaduan yang lebih kukuh disatu pihak, dan menolak rasa sangsi, tidak mempercayai dan musuh multikulturalisme.

Memandangkan perubahan yang berlaku kini semakin lama semakin cepat oleh kerana perkembangan teknologi, maka pemindahan daripada sikap bertoleran kepada sikap menerima adalah proses biasa dalam menuju kesasaran 1 Malaysia, dengan rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.

Sehubungan itu memandangkan dunia ini sudah semakin kecil dengan perkembangan teknologi, tetapi sikap bertoleran dan menerima dikalangan rakyat Malaysia sudah membuat ruang kerjasama antara kaum lebih besar dan luas. Ini bermakna pembangunan negara, kesejahteraan masyarakat dan kebahagiaan keluarga terletak dibahu dan tangan setiap rakyatnya.

Oleh itu kita bukan sahaja mesti mengekalkan tetapi juga meningkatkan sikap bertoleran dan menerima semasa kita sendiri disatu pihak, dan menolak sikap tidak bertoleran dan benci-membenci di satu pihak yang lain. Masa depan sistem demokrasi negara kita juga bergantung kepada keharmonian antara kaum kita.

Kalau sikap bertoleran itu penting kepada kemakmuran dan keharmonian negara, maka kita mesti menerokai jalan baru untuk meningkatkan sikap bertoleran, sikap menerima, selain memupuk kepelbagaian yang ada pada kita selama ini. Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: