Isnin, November 10, 2008

Usah campur hak umat Islam

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta semua pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam supaya tidak mencampuri urusan pelaksanaan syariat Islam di negara ini, khususnya mempertikaikan kuasa Majlis Fatwa Kebangsaan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata tindakan Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa sebagai panduan kepada umat Islam bagi menyelamatkan generasi muda melakukan perkara dilarang agama.

"Kita minta pihak yang tidak berkenaan tidak mencampuri hak orang Islam dalam menganuti agama Islam, apatah lagi mempertikai pihak berkuasa agama negara ini dalam menegakkan syiar Islam.

"Tindakan segelintir mereka mempersoalkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dengan menuduh fatwa yang dikeluarkan sebagai tidak adil dan menindas juga melanggar hak asasi manusia kerana mempertikaikan hak orang Islam beragama," katanya, semalam.

Beliau mengulas laporan portal berita Jumaat lalu, mengenai tindakan NGO bukan Islam; Katagender dan Food-not-Bombs mengadakan demonstrasi membantah keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini, yang mengeluarkan mengharamkan perlakuan 'pengkid' atau wanita yang menyamai lelaki.

Portal berita itu turut menyiarkan temubual eksklusif dengan Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Ivy Josiah yang mempertikaikan fatwa itu dan menyifatkannya tindakan lelaki yang mahu mengongkong kebebasan wanita negara ini di samping menjadikan negara dipandang serong serta ditertawakan negara luar.

Minggu lalu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dilaporkan berkata, tindakan pelbagai pihak lantang mencemuh serta memperlekehkan fatwa sebagai usaha menjatuhkan wibawa Majlis Fatwa walaupun Mahkamah Persekutuan sudah membuat penghakiman institusi fatwa sah di sisi Perlembagaan.

Wan Mohamad berkata, apa yang penting fatwa yang dikeluarkan itu mengambil kira kepentingan majoriti masyarakat Islam negara ini dan bukan mempertahankan kepentingan peribadi sesetengah golongan.

"Kita nasihatkan bukan Islam khususnya yang membantah fatwa merujuk tokoh agama masing-masing mengenai isu 'pengkid' atau isu lain dan tidak memperlekehkan ketetapan dibuat badan agama yang tidak dianuti mereka," katanya.

1 ulasan:

Taminsari berkata...

Cabar Majlis Fatwa

Saya mungkin tersilap tetapi seingat saya tidak pernah dalam sejarah negara ini mana-mana pihak, samada masyarakat Islam, lebih-lebih lagi yang bukan Islam berani secara terbuka menentang apa-apa fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa tempatan. Dalam posting saya sebelum ini saya telah menegaskan bahawa fatwa-fatwa yang dikeluarkan ini adalah untuk makluman, rujukan dan tindakan umat Islam, ianya tidak ada kena mengena dengan penganut agama lain.

Kalau ada orang Islam yang tidak dapat menerima atau menolak satu-satu fatwa sekalipun, biasanya ia akan hanya berdiam diri kerana isu agama adalah sensitif, yang jahil sekalipun tidak mahu dilihat menolak apalagi menentang ketetapan yang dibuat oleh pihak berkuasa agama.

Tetapi semalam satu sejarah telah tercipta dalam negara ini. Semalam menurut laporan akhbar, dan liputan oleh Malaysiakini, satu perhimpunan telah diadakan untuk menentang keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini yang mengharamkan perempuan yang membuat penampilan seperti lelaki dan minat kepada kaum sejenis, istilah semasa yang digunakan adalah "pengkid".


Menurut keputusan yang dibuat oleh Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa yang ke 83 pada 23 Oktober lalu, perbuatan seumpama ini melanggar tabii serta fitrah oleh itu jelas bertentangan dengan Islam.

Jadi apakah mesej yang mahu dibawa oleh himpunan semalam? Menurut Malaysiakini himpunan yang disertai kira-kira sedozen peserta itu terdiri dari wakil-wakil dua kumpulan iaitu "Katagender" (yang mempromosi kesaksamaan gender) dan satu lagi kumpulan yang dikenali "Food-not-bombs". Dan menurut Malaysiakini jurucakap ini adalah seorang bukan Islam bernama Lee Wei San.

Menurut akhbar The Star jurucakap ini mempersoalkan mengapa tubuh wanita selalu dijadikan bahan pertikaian bagi menetapkan nilai moral masyarakat? Salah satu kain rentang yang dibawa oleh kumpulan inis emalam berbunyi:

"Lawan semua fatwa menindas perempuan"

Apa sudah jadi dengan masyarakat kita? Apakah yang telah kita lakukan sehingga apa pun isu dalam negara ini dipolitkkan sehinggalah keputusan Majlis Fatwa yang hanya melibatkan orang Islam pun mahu dipolitikkan dan dijadikan bahan cabar-mencabar?

Bagi saya kumpulan ini jelas telah masuk ke lembah larangan, mereka tidak sedar yang mereka membakar api kemarahan umat Islam dan cuba mencetuskan ketidakpuasana hati serta mengadu-domba dalam hal-hal yang tidfak pernah dipertikaikans ecara terbuka sebelum ini.

Saya berharap pimpinan kita samada dari mana parti sekalipun akan menasihatkan kumpulan ini agar jangan menjolok sarang tebuan. Negara kita kini berhadapan dengan masalah yang lebih besar yang perlu kita tangani bersama, umpamanya krisis ekonomi dunia yang sedang memberi kesan kepada negara, jangan cetuskan masalah baru! Jangan sampai majoriti masyarakat Islam pula nanti bangkit mencabar tindakan kumpulan kecil yang tidak bertanggungjwab ini.