Isnin, Mei 12, 2014

UMNO depani cabaran politik nilai!


Semalam genap 68 tahun usia Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO. Parti keramat yang lahir daripada ketentuan tujuan dan matlamat iaitu atas perjuangan ABATA; agama, bangsa, tanah air dan bukannya kepentingan peribadi atau kelompok tertentu. UMNO juga parti yang mempunyai keabsahan untuk dijenamakan sebagai ‘parti rakyat yang tulen’ kerana terbina atas aspirasi dan dokongan rakyat, bukannya kehendak individu yang mempergunakan pentas rakyat.

Selama hampir tujuh dekad, UMNO konsisten dan masih tetap sama - berorientasikan rakyat dan berpaksikan asas perjuangan yang tidak pernah berubah. Hakikatnya, pegangan dan istiqamah kita kepada keluhuran perjuangan inilah yang telah menjadi asas kekuatan dan pemangkin sokongan majoriti rakyat kepada UMNO.

Sebagaimana yang diungkapkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menyempurnakan perasmian Rumah UMNO Taiping pada 8 Mei lalu, sekiranya diterjemahkan usia 68 tahun ini kepada manusia, kekuatannya mungkin tidak segagah ketika muda tetapi berbeza dengan UMNO yang semakin kukuh dan kuat.

Sungguhpun kerusi Parlimen yang dimenangi Barisan Nasional (BN) berkurangan daripada 140 pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 kepada 133 pada PRU Ke-13 yang lalu, namun kerusi dimenangi UMNO meningkat daripada 79 kepada 88 kerusi.

Pada masa sama, Najib juga mengingatkan bahawa UMNO perlu sedar akan cabaran yang dihadapi supaya proses muhasabah diri, menambah baik dan melaksanakan transformasi sepanjang masa bagi menentukan parti itu terus relevan. Inilah tuntutan penting dan keutamaan yang perlu dilaksanakan oleh jentera UMNO di setiap peringkat.


Perubahan besar landskap dunia dari pelbagai aspek termasuk iklim politik membawa bersama pelbagai fenomena yang menuntut adaptasi dan transformasi. Sebagai sebuah organisasi yang terlibat dalam proses demokrasi yang kejayaannya bersandar kepada jumlah sokongan undi rakyat, UMNO perlu memastikan parti berupaya untuk bertindak proaktif, inovatif dan kreatif dalam strategi dan pendekatannya mendepani tuntutan semasa rakyat.

Bila menyentuh perihal rakyat, sudah pasti ia berkait langsung dengan prestasi Kerajaan BN dan UMNO adalah tunjang kerajaan sekian lama.

Realitinya, pembangunan dan kemajuan yang dibawa oleh Kerajaan BN mungkin dapat dilihat dan dirasai, tetapi tidak dijiwai dan kurang menyentuh hati rakyat, kalau tidakpun semua, sebahagian rakyat. Ini hakikat yang perlu diakui dan apa yang dirujuk sebahagian itu sebenarnya satu jumlah yang signifikan mengambil kira undi popular BN hanya 48 peratus dalam PRU-13.

Sehubungan itu, cara dan kaedah kerajaan bergerak pada hari ini perlu diteliti dan ditambah baik. Kita gembira apabila kepimpinan kerajaan dilihat mengakui hakikat ini apabila Perdana Menteri sendiri pernah mengeluarkan kenyataan bahawa masa dan ketika kerajaan merasakan tahu semua perkara telah berlalu. Kenyataan ini memperlihatkan komitmen ketua kerajaan sendiri yang mengiktiraf peranan penting rakyat dalam proses pembangunan negara.

Di sinilah pentingnya pendekatan politik nilai dan makna diintegrasikan dalam gerak kerja kerajaan pada masa ini. Pendekatan politik ini akan memastikan elemen nilai dan makna menjadi sebahagian hasil sesuatu dasar, program dan projek kerajaan.


Pendekatan ini juga menjadikan keterangkuman (inclusivity) sebagai strategi penting untuk memastikan rakyat menghargai peranan kerajaan yang telah membawa nilai dan makna kepada kehidupan mereka.

Kerajaan dan parti perlu menakhodai zaman, tetapi kegagalan kita untuk menyuntik kefahaman rakyat berhubung sesuatu agenda ke hadapan yang kita gagaskan akan mengundang bahaya apabila pertalian di antara kerajaan dan parti dengan rakyat terungkai.

Kita sudah tidak boleh menjadikan rakyat sebagai pemegang taruh atau pihak berkepentingan (stakeholders) yang pasif, tetapi jentera kerajaan perlu melibatkan rakyat secara aktif dalam gerak kerja kerajaan.

Rakyat tidak boleh dibiarkan sekadar menjadi pendengar dan penonton, tetapi mereka perlu dilibatkan untuk mengetahui, memahami dan menjiwai kepentingan sesuatu dasar, program dan projek kerajaan. Impaknya khidmat kerajaan akan dapat menyentuh hati dan memberi kesan mendalam kepada rakyat.

Begitu juga halnya dalam hubungan di antara kerajaan dan parti. Mungkin kerana faktor UMNO dan BN telah sekian lama mengemudi tampuk pemerintahan, kita tidak sedar yang kita meninggalkan parti jauh di belakang sehinggakan rakyat tidak dapat melihat, merasai dan menjiwai peranan parti.

Situasi inilah yang telah membentuk sentimen sesetengah rakyat yang melihat semua pembangunan dan kesejahteraan yang dibawa oleh kerajaan adalah tanggungjawab Kerajaan, tanpa mengira siapa tunjangnya. Lebih malang lagi ada yang berpendapat jika parti lain memerintah kelak, perkara yang sama akan dilakukan.

Peranan penting UMNO dan BN tidak dianggap faktor utama yang membawa nikmat kemakmuran pada hari ini.


Atas sebab itu, peranan parti dalam kerajaan perlu diperkasa. PRU-13 menzahirkan kepada kita formula mengguna pakai kaedah penonjolan individu sebagaimana pemilihan Presiden Amerika Syarikat bukanlah pendekatan yang sesuai di negara kita.

Sebahagian besar rakyat akan mengundi berdasarkan parti; sama ada mengundi ‘BN/UMNO’ atau ‘Asal Bukan BN/UMNO’.

Sudah tiba masanya peranan parti ditonjolkan dalam kerajaan, namun ini tidak bermakna parti menguasai kerajaan. Apa yang penting rakyat dapat menjiwai nilai dan makna perjuangan UMNO dan BN dalam penggubalan dasar dan program kerajaan yang membawa nikmat kemajuan, keamanan dan kemakmuran, sekali gus memberi mandat berterusan kepada UMNO dan BN.

Sebagaimana kerajaan, jentera UMNO di semua peringkat juga perlu mengamalkan pendekatan politik nilai dan makna dengan strategi keterangkuman yang menyeluruh meliputi semua segmen masyarakat.

Tidak dinafikan gerak kerja dan program UMNO sedia ada di akar umbi adalah baik dan perlu diteruskan kerana inilah antara faktor yang telah menyebabkan UMNO bertahan sekian lama. Namun ini tidak bermakna tidak ada ruang yang perlu ditambah baik.

Sebagai contoh, pendekatan UMNO untuk mendekati dan membawa generasi muda kepada parti perlu digerakkan dengan lebih agresif.

Perlu diingat demografi pemilih di negara ini sudah menunjukkan pola perubahan dengan peningkatan amat ketara jumlah pemilih di bawah 40 tahun dan dijangka mencecah hampir 70 peratus menjelang PRU-14.

Dalam konteks ini, keterangkuman parti untuk membawa orang muda menyokong UMNO dan BN perlu dilaksanakan dengan pendekatan yang bernilai dan bermakna.


Usaha ini pula perlu digerakkan dan didokong oleh kepimpinan parti di semua peringkat kerana kita tidak mahu sikap tidak peduli dan tidak terbuka sesetengah pihak dalam parti akhirnya membawa generasi baru ini lebih jauh dari parti dan mereka beralih memilih alternatif yang lain.

Masa depan UMNO tidak akan sentiasa cerah jika kepimpinan dan ahli parti tidak mengambil peduli akan cabaran yang perlu kita hadapi hari ini.

Saiz kelas menengah yang besar, lonjakan jumlah golongan berpendidikan, proses urbanisasi, peningkatan taraf hidup, kemajuan prasarana fizikal dan akses kepada lebuh raya maklumat merupakan sebahagian faktor yang monumental kepada rekod prestasi cemerlang UMNO sebagai pemerintah selama ini dan juga suatu cabaran baru dalam konteks gerakan politik kita.

Kita tidak mampu untuk bersikap menafikan atau lebih bahaya lagi bermusuh dengan realiti yang ada dan perubahan yang akan terus berlaku.

Kita wajib menyediakan parti dengan sebaik mungkin untuk meluaskan jaringan pengaruh di semua kumpulan sasar yang telah terhasil daripada kemajuan yang kita bina. Jika tidak maka kita akan menghadapi hentaman ribut yang terhasil daripada semaian kita sendiri.

Dengan pendekatan politik nilai dan makna, cabaran semasa yang kita hadapi dengan landskap politik dan demografik yang baru hari ini adalah hasil kejayaan kita yang boleh dijadikan sumber kekuatan baru.-UMO

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

  1. X Mb terengganu memebri sebuah hadiah paling bernilai dalam sejarah umno apabila keluar dari umno setelah beberapa jam menyambut ulang tahun ke 68 tertubuhnya UMNO.

    Tidak perlu cari mana silap mana salah , yang penting setiap peimipin perlu mempunyai sikap bertanmggung ajwap seperti pak lah , yang dikatakan lemah , maka beliau diminta meletakkan jawatan , sekarang sempena ulang tahun umno bernai kah majlis tertinggi menyuarakan pandangan yang sama ketika paklah menjadi presiden um,no.

    Kita lebih suka beri pandangan bahawa Najib patut ambil tanggung jawap turun dari takhta kerajaan kerana jatuh dan tumbang sebuah negeri ketangan pembangkang (jika berlaku)

    BalasPadam