Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Selasa, Mei 13, 2014
Siapa 'dalang' disebalik krisis politik Terengganu?
Baru sahaja dua hari lepas, Umno menyambut ulang tahunnya yang ke-68. Meriah suasananya dengan potongan kek dan semangat untuk terus kuat.
Waktu itu, Umno menafikan akan ada pertukaran Menteri Besar (MB). Tiba-tiba semalam MB Terengganu meletakkan jawatan dan digantikan dengan MB baharu.
Macam ada yang tak kena dengan kata-kata pemimpin Umno, menafikan hal yang betul-betul akan berlaku. Mengapa tidak belajar dari pengalaman tahun 2008 dahulu semasa PM ketika itu menafikan Dewan Rakyat akan dibubarkan, tiba-tiba esoknya dibubarkan? Dan hasilnya berlaku tsunami politik.
Semoga selepas ini, kita sama-sama belajar untuk berkata jujur dalam politik. Akibat pertukaran MB semalam, maka bekas MBnya mengisytiharkan keluar parti untuk menjadi Adun Bebas.
Alasan bekas MB keluar parti pun remeh, kecewa dipaksa meletakkan jawatan kerana dekat dengan majlis perkahwinan anaknya. Tindakan beliau ini diikuti oleh dua Adun lain.
Maka, jadilah kedudukan kerusi di DUN Terengganu sekarang BN 14, PR 15 dan Bebas 3. Keadaan ini boleh menyebabkan kerajaan negeri bertukar tangan.
Penulis fikir tidak sesuai hanya dengan tindakan beberapa Adun keluar parti, maka kerajaan Terengganu bertukar tangan. Jika bertukar tangan, biarlah ‘rakyat’ yang menjadi penentunya.
Bubarkan Dun dan serahkan pada rakyat untuk membuat pemilihan semula. Itu yang terbaik untuk menjunjung demokrasi.
Jadikan pengalaman di Perak pada Februari 2009 dahulu sebagai pengajaran. Serahkan kembali kuasa kepada rakyat atau jika tidak mahu mengadakan pilihan raya atas alasan untuk menjimatkan kos, buatlah undi tidak percaya di lantai Dewan.
Pas dan PKR pula tidak perlulah pula kelam-kabut mengambil kesempatan dari krisis ini untuk mempengaruhi lagi Adun atau ahli Parlimen dari Umno keluar parti.
Jika masih ada Adun atau Ahli Parlimen Umno yang mahu keluar parti, biarlah mereka melakukannya sendiri tanpa pujukan dan sogokan.
Yang jelas, kapal Umno di Terengganu semakin bocor. Bolehkah diselamatkan dari tenggelam?
Terkini : Adun Bukit Besi tarik balik surat keluar Umno!
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Besi Roslee Daud menarik balik surat keluar daripada Umno dan kembali menjadi wakil rakyat Barisan Nasional (BN).
Perkara itu disahkan Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee.
Mohd Jidin, yang juga Adun Permaisuri, berkata Roslee telah menarik kembali keputusan beliau untuk keluar daripada Umno dan menjadi wakil rakyat Bebas selepas dinasihati rakan-rakan seperjuangan beliau.
"Kenapa beliau membuat keputusan tersebut awal pagi tadi tak perlu kita sebut lagi. Tetapi, yang penting kita dalam parti perlu bersatu padu," katanya ketika dihubungi Bernama.
Mohd Jidin berharap situasi politik yang berlaku di negeri itu dapat ditangani dengan baik.
Sebelum ini, Roslee mengisytiharkan bahawa beliau telah keluar daripada Umno dan menjadi wakil rakyat Bebas selepas bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, yang juga Adun Kijal, dan Adun Ajil Ghazali Taib berbuat demikian.
Mereka bertindak demikian selepas Adun Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah malam semalam bagi menggantikan Ahmad yang meletak jawatan sebagai Menteri besar.
Dengan perkembangan terbaharu itu, BN kini memegang 16 kerusi Dun termasuk satu kerusi Speaker manakala Pas (14), PKR (1) dan Bebas (2).
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan