Isnin, Mei 12, 2014

Indah khabar dari rupa, macam ini nak perintah negara...!!! Pemilihan 12 cabang PKR Selangor batal?


Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor yang berlangsung hari ini menyaksikan 12 daripada 22 cabang parti itu terpaksa dibatalkan ekoran bantahan daripada ahli-ahli yang mendakwa prosesnya tidak telus dan wujud unsur-unsur penipuan.

Proses pemilihan Cabang Kuala Selangor memperlihatkan insiden memalukan apabila kawasan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu terpaksa dibatalkan.

Pembatalan tersebut diumumkan oleh wakil petugas pemilihan PKR cabang berkenaan pada kira-kira pukul 2.30 petang selepas kira-kira 30 pengundi dipercayai penyokong calon ketua cabang, S. Manikavasagam tidak berpuas hati dengan proses pemilihan yang didakwa tidak telus selain wujud­nya unsur-unsur penipuan.

Mereka yang meluru masuk ke pusat pengundian di Dewan Orang Ramai Bestari Jaya di sini sebelum itu mempertikaikan cara Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) menguruskan proses pemilihan.

Selain campur tangan wakil calon, mereka juga tidak berpuas hati dengan kertas undi bagi Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang nama seorang calon Naib Ketua AMK Cabang Kuala Selangor, V. Bobi Nath dikatakan tidak disenaraikan sebagai calon.

Bobi Nath ketika ditemui berkata, dia terkejut dengan perkara itu kerana ketika pencalonan namanya disenaraikan sebagai calon bertanding jawatan Naib Ketua AMK PKR Cabang Kuala Selangor.

“Sekarang apabila lihat senarai calon pemilihan hari ini, nama saya tiada, nama saya dipadamkan. Saya ahli PKR, nama saya ada ketika pencalonan. Ini semua tipu, batalkan sahaja pemilihan ini," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Khalid menerusi akuan Twitternya hari ini turut mengulas pembatalan pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor dan beliau meminta maaf kepada ahli-ahli selain menyatakan PKR benar-benar memerlukan reformasi yang menyeluruh.

Di Kota Raja, situasi sama turut berlaku di PKR Cabang Kota Raja apabila pemilihannya terpaksa dibatalkan meskipun proses pengundian hampir berakhir pada kira-kira pukul 5 petang berikutan sekumpulan lelaki bertindak merampas peti undi dan melempar ke lantai dewan pusat pengundian di Dewan Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Tindakan sekumpulan lelaki itu berikutan tidak berpuas hati dengan proses pemilihan parti di cabang ber­kenaan dan mereka sebelum itu cuba merempuh masuk ke dalam dewan pengundian terbabit di Kompleks Sukan MPK, Taman Sri Andalas namun dihalang oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas.

Pembatalan pemilihan PKR Cabang Kota Raja itu diumumkan oleh wakil JPP, Nadarajan K. Raju pada kira-kira pukul 4.30 petang atas alasan peti undi dipecahkan.

Bagaimanapun, akibat tidak berpuas hati dihalang masuk, kumpulan lelaki berkenaan kemudiannya bertindak memanjat pagar setinggi dua meter dan masuk ke dalam dewan selain bertindak merampas peti undi dan melempar ke lantai.

Di Klang, pemilihan PKR Cabang Klang turut dibatalkan apabila tiga calon jawatan ketua cabang berkenaan masing-masing P. Krishnasamy, Zudin Asrmad dan Arahyah Ibrahim sepakat memboikot kerana mendakwa tidak telus.

Mereka mendakwa wujud pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mensabotaj proses pemilihan parti itu di Cabang Klang dengan menukarkan senarai calon yang diberikan kepada para pengundi.

Ekoran dakwaan penukaran senarai calon itu, ketiga-tiga calon terbabit menggesa pemilihan dibatalkan sebelum diumumkan secara rasmi oleh wakil JPP pada kira-kira pukul 2.10 petang.

Di Sabak Bernam, pemilihan PKR Cabang Sabak Bernam dan Sungai Besar turut dibatalkan masing-masing pada pukul 1 petang dan 3 petang kerana ekoran ahli-ahli membantah dan tidak berpuas hati dengan proses pemilihan yang didakwa tidak telus dan mempunyai unsur penipuan.

Pada masa sama, pemilihan PKR bagi Cabang Subang, Sepang, Hulu La­ngat, Hulu Selangor, Kapar dan Sela­yang turut dibatalkan atas alasan sama.

Proses pemilihan PKR Cabang Shah Alam turut dibatalkan pada kira-kira pukul 6 petang apabila wujudnya bantahan terhadap proses pengundian yang dikatakan lemah dan tidak telus.

Pembatalan itu dibuat setelah wujudnya rasa tidak puas hati ahli-ahli parti yang mendakwa wujudnya pengundi yang membuang undi melebihi satu kali termasuklah calon Ketua Cabang yang berkempen di kawasan larangan serta kertas undi yang dipinda.

Di Shah Alam, calon Ketua Cabang PKR Shah Alam, Rodziah Ismail dilaporkan mencetuskan rasa tidak puas hati para penyokong lawannya, Yaakop Sapari apabila Exco tersebut didakwa berkempen di kawasan larangan serta meraih undi ketika proses pemilihan sedang berlangsung.

Di Kuala Langat, kekecohan turut berlaku ketika proses pemilihan PKR Cabang Kuala Langat pada kira-kira pukul 4.55 petang apabila sekumpulan lelaki dipercayai ahli parti menyerbu masuk serta melakukan provokasi ke atas pusat pengundian di Dewan Wawasan Batu 9, Teluk Panglima Garang selain memecahkan peti undi dipercayai tidak berpuas hati dengan perjalanan pemilihan.

Bagaimanapun, pemilihan cabang berkenaan tidak dibatalkan sebaliknya kesemua peti undi dihantar ke Ibu Pejabat PKR di Tropicana, Peta­ling Jaya untuk proses pengiraan.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan