Sabtu, April 05, 2014

Media Malaysia perlu bersifat melindungi?

Tajuk muka depan akhbar tabloid Britain yang mempersendakan kehilangan MH370

Barangkali tajuk artikel ini dilihat seperti mengkritik peranan media di Malaysia khususnya media arus perdana. Namun, percayalah bahawa catatan ini adalah satu perkongsian rasa kebanyakan rakyat Malaysia apabila melihat laporan dan liputan media mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH370.

Kita telah menjadi perhatian seluruh dunia. Media asing memberikan liputan meluas tentang perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat tersebut. Malangnya atas nama kebebasan media yang dilaung-laungkan Barat, laporan media asing berdasarkan perspektif ‘kebebasan media' tanpa memikirkan sensitiviti pihak yang terlibat dalam krisis ini. Mereka cenderung mencipta tanggapan negatif, berat sebelah dan berniat jahat. Malah, mereka dilihat sengaja cuba mengaibnegara kita.

Jika kita teliti laporan televisyen mahupun akhbar dari Barat, antaranya, mereka mengaitkan punca tragedi malang yang menimpa pesawat ini disebabkan juruterbang dan pembantu juruterbang beragama Islam. Apakah masalahnya dengan penganut agama Islam?

Media Barat masih lagi bermain dengan sentimen Islamophobia, yang rakus memberi gambaran negatif terhadap agama Islam dengan mengaitkannya dengan keganasan dan ekstremisme. Walhal masyarakat dunia sebenarnya lebih matang untuk membuat penilaian mengenai sesuatu isu dan bukannya membiarkan diri termakan hasutan dan propaganda media.

Lebih malang, wujud laporan akhbar yang menyerang peribadi pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid, sebagai playboy pilot. Gambar Fariq bersama beberapa wanita disiarkan di dada akhbar untuk menggambarkan bahawa beliau sering menyalahi etika kerja dengan membenarkan penumpang masuk ke dalam kokpit pesawat dan gemar berfoya-foya.

Ini merupakan suatu perbuatan biadab dan tidak boleh diterima khususnya kita sebagai masyarakat Timur dan beragama Islam. Di kala pesawat belum ditemui dan kita amat bimbang dengan nasib yang menimpa mangsa, media Barat mengaibkan Fariq - rakyat Malaysia beragama Islam, dengan berita berunsurkan gosip dan skandal.

Selain memainkan sentimen agama dan menyerang peribadi, sebuah akhbar tabloid Britain melaporkan berita dengan tajuk "Missing plane found on the moon". Dijumpai di bulan? Tidak pasti adakah ini merupakan sindiran, gurauan atau apakah motif sebenar laporan sebegini?

Yang pasti, pada pengamatan kita secara rasional, ia satu laporan yang tidak serius, tidak masuk akal dan menafikan keupayaan fikiran logik manusia. Ini satu kebebalan yang ditunjukkan oleh media Barat dalam membuat liputan kehilangan MH370.

Ya, mungkin budaya troll dan sarkastik sudah menjadi viral di laman sosial masa kini, namun ini bukan masa yang sesuai untuk bergurau senda.

Laporan akhbar sedemikian boleh dianggap mempermainkan dan meremehkan usaha pasukan SAR yang bertarung nyawa untuk mengesan pesawat tersebut. Misi pencarian belum berakhir tetapi media Barat telah menyiarkan ‘penemuan yang lucu' dan mengarut! Pastinya kita boleh menilai dan mempersoalkan tahap kredibiliti media berkenaan.

Tidak terkecuali, MAS dan kepimpinan kerajaan yang bertanggungjawab mengendalikan krisis ini dilabel tidak cekap, menyembunyikan fakta dan pelbagai lagi lemparan tuduhan negatif. Nyata, etika, sensitiviti dan ketepatan maklumat bukan keutamaan media Barat. Tidak ada rasa empati, malahan spekulasi dan berita picisan dijadikan modal untuk mensensasikan misteri kehilangan pesawat ini.

Setelah kita lihat sendiri permainan media Barat yang banyak menyerang dan memprovokasi Malaysia, maka kita harus mencari jalan untuk mematahkan laporan dan berita dangkal mereka.

Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Datuk Dr. Agus Yusoff, yang juga penganalisis politik, dalam catatan di laman Facebooknya berkata, beliau kagum dengan cara Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman memberikan sidang media walaupun pada awalnya jadual dan suasana sidang media agak kelam kabut.

Antara petikan daripada catatan beliau, "...Tapi keesokan harinya, hati saya lega. Saya mengkagumi semua usaha yang dibuat oleh negara. Sidang media menepati masa, kenyataan oleh tiga ‘hero' cukup tenang dan menyakinkan. Biarpun didesak oleh wartawan untuk mengesahkan maklumat khabar angin dan cakap dengar, ‘hero' kita tetap tidak mengesahkannya sehinggalah berita yang sahih dari agensi yang berkaitan diperolehi. Inilah kenyataan yang bertanggungjawab."

Agus telah membela usaha yang diambil oleh MAS, DCA dan kerajaan Malaysia di sebalik kritikan media Barat yang mengatakan "Malaysian officials the worst i've seen" ketika mengendalikan krisis kehilangan pesawat MAS MH370.

Ini merupakan satu pendekatan yang perlu kita lakukan setiap masa dalam menyeimbangkan laporan berat sebelah media Barat.

Pelbagai tohmahan dilemparkan kepada rakyat, agama, kerajaan dan negara kita, lalu kita perlu mempunyai media yang bersifat membela dan melindungi (protective) dalam menangani tohmahan tersebut.

Ketika kita berasa duka dan berkongsi sentimen yang sama, kita diserang dengan pelbagai berita mengaibkan seperti yang telah dinyatakan di atas. Menariknya, melalui komen-komen di media sosial kita dapat lihat kebanyakan rakyat Malaysia bersatu mempertahankan negara kita daripada laporan media yang tidak adil.

Malahan ada di antara mereka yang menyerang balas dengan fakta-fakta mengenai ketidakadilan media Barat dalam menyi­arkan isu-isu keganasan, perkauman dan keagamaan.

Demikian juga media arus perdana, satu pendekatan tegas dengan membela dan melindungi perlu diambil dengan menyiarkan laporan balas yang mempertahankan imej dan kepentingan negara selagi misteri kehilangan pesawat ini belum terurai. Sikap ini amat diperlukan sebagai langkah counter-attack terhadap laporan-laporan bongkak dan mengarut media Barat.

Namun, malang sekali kerana segelintir rakyat Malaysia di media sosial terikut-ikut rentak alunan media Barat yang menyebabkan mereka bersikap sinis terhadap kerajaan. Ini bukan masanya untuk berpegang kepada fahaman politik. Walau berbeza ideologi politik, tunjukkan kesatuan kita apabila berhadapan dengan media seluruh dunia.

Kita sedang melalui detik-detik yang sukar dengan menghadapi tekanan antarabangsa dan emosional rakyat yang tidak menentu. Kita telah melakukan yang terbaik dan tidak mungkin kita mengambil mudah atau sambil lewa untuk menyelesaikan krisis sebesar ini.

Media tempatan adalah pihak yang bertanggungjawab untuk membetulkan persepsi salah yang dicipta media asing dan segelintir pihak tertentu di negara ini.

Ironinya, dalam keghairahan media Barat bermain provokasi, dalam satu lintas langsung Cable News Network (CNN), media ini menyiarkan lokasi laporan wartawannya dari "Kuala Lumpur, Indonesia". Sementara itu laman Twitternya pula telah tersilap menamakan Perdana Menteri Malaysia sebagai "Najib Rahman". Kita hanya mampu tersenyum. Ini merupakan satu lagi kebebalan yang dipamerkan secara tidak sengaja.

Memang benar ia cuma kesilapan kecil, mungkin ada yang berpendapat ia tidak perlu diperbesarkan. Jika kesilapan itu dianggap sebagai ‘dosa kecil', adakah ia perlu dibiarkan dengan alasan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan? Bagaimana pula dengan ‘dosa besar' mereka yang memutarbelit, memecahbelahkan dan mencipta persepsi negatif terhadap pihak lain secara sengaja dan terancang? Semoga Allah SWT tunjukkan kebenaran.


Oleh : ABD AZIZ A'ZMI

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan