Jumaat, Mac 15, 2013

'Jeneral' khianati perjuangan sendiri?



Kapten (B) Sharuddin Omar tidak mahu menuding jari kepada sesiapa. Tetapi hatinya sedikit tersayat apabila beberapa bekas jeneral yang pernah berada dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil pendekatan 'u turn' mengkritik pasukan keselamatan negara.

Antaranya, 'mereka' ini menggunakan platform pakatan pembangkang melontarkan konon mereka ini ada 'cara' untuk menangani pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu.

"Katakanlah saya masih berada dalam pasukan keselamatan dan selaku tentera berpangkat Kapten berada di Lahad Datu pada waktu ini, sudah tentunya saya bertindak antaranya sebagai pegawai operasi dalam unit batalion.

"Cuba bayangkan apabila saya mendengar cerita- cerita begini daripada bekas jeneral ini. Saya dan mungkin ini juga dikongsi oleh askar-askar kita yang kini sedang berjuang memerangi pengganas Sulu akan berkata, "apalah dia (bekas jeneral terbabit) ni...kita ni sedang berdepan dengan maut, tetapi dia pertikaikan pula perjuangan kita," kata Timbalan Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) itu kepada kami di Shah Alam kelmarin.

Bagi Sharuddin: "Komander terbaik adalah komander yang berada di medan perang ketika ini.

"Ayat seperti 'kalau zaman (era) saya dulu, begini...begitu' sudah tidak boleh dipakai. Apa yang dilalui dahulu tidak sama atau boleh dijadikan panduan untuk mengepalai perang ketika ini."

Sharuddin menarik perhatian, apabila penceroboh negara masuk tanpa dikesan, mereka bebas menyelinap ke mana-mana kawasan, cuma melainkan mereka datang dengan satu ketumbukan. Dan apabila perang gerila terjadi, pasukan keselamatan umpama mencari 'jarum' dalam hutan.

Kalau hutan tebal tak mengapa, sebab di bawah payungan pokok-pokok itu kosong. Tetapi di Lahad Datu, medan perangnya di pinggir hutan - dikaburi semak dan belukar. Dengan itu, ini nanti membabitkan soal penyamaran termasuk penceroboh mampu memakai pakaian macam orang awam.

"Jadi, kalau 'mereka' semacam ini mendedahkan strategi ketenteraan secara terbuka atas platform pentas politik, maka tergugatlah keselamatan kita.

"Sebab musuh kita ini ada di mana-mana dari kalangan pengumpul maklumat.

"Ini kelakuan yang tidak matang, apatah lagi kalau yang mendedahkan ini adalah panglima perang sebelum ini," kata beliau.

Sharuddin menemui kami kerana kecewa mendengar kenyataan daripada bekas jeneral ATM, Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab yang kini berada dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), membidas cara kerajaan menangani isu pengganas Sulu.



Kata Abdul Hadi baru-baru ini: "Mengapa (operasi masih) diberi kepada pihak polis sedangkan musuh datang dari pihak luar? Ini tugas tentera.

"Keputusan menentukan strategi (menyerang musuh) juga mengambil masa lama. Lebih buruk, perisikan juga kelihatan gagal mengenal pasti identiti dan keupayaan (persenjataan) musuh.

"Kerajaan sepatutnya memutuskan sama ada menggunakan taktik peperangan konvensional atau kaedah mengawal insurgensi (pemberotakan). Atau strategi bercampur antara kedua-duanya?" katanya.

Abdul Hadi turut membidas Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) ATM kerana lalai melaksanakan tugas hingga gagal memberi amaran awal pencerobohan.

"Kita persoalkan unit perisikan tentera. Apakah mereka ambil mudah semua yang berlaku," katanya.

Sharuddin memberitahu, sememangnya memang mudah bercakap di atas 'pentas politik'.

"Cuma, saya nak kongsi pandangan dengan orang ramai tentang mengapa individu-individu ini semasa dalam ATM dahulu tidak pula menyuarakan hasrat untuk meletak jawatan dan menyertai pembangkang. Mengapa pula datang idea 'gila' ini menjelang pilihan raya umum.

"Ya, ketika itu mereka ini takut kehilangan kedudukan dan kemewahan yang dimiliki...dengan gaji berbelas atau berpuluh ribu (ringgit), kesenangan takut dilepaskan," katanya.

Selain Abdul Hadi, turut kelihatan kelibat pada satu sesi ceramah Anwar Ibrahim baru-baru ini ialah bekas Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid (Darat), bekas Laksamana Pertama (B) Imran Abd. Hamid (Laut) dan bekas Brigedier Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad (Kagat).

Sharuddin menarik perhatian bagaimana terbaharu, bekas Panglima Turus Tentera Darat, Jeneral (B) Tan Sri Md. Hashim Hussein yang mengumumkan menyertai PKR pada 6 Mac lalu pada suatu ketika setelah bersara, dikenang jasanya oleh kerajaan dengan dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan antara tahun 2003 hingga 2006. Selepas itu pula mengetuai Pihak Berkuasa Kebangsaan Konvensyen Senjata Kimia di Kementerian Luar dari 2006 hingga 2010.

"Mereka (bekas-bekas jeneral ini) semuanya menikmati pencen yang besar. Ini yang diberikan kerajaan kepada mereka. Tetapi sayangnya mereka ini tidak memikirkan orang bawahan atau anak buah yang hanya menikmati pencen yang kecil tetapi tetap dibantu oleh kerajaan menerusi Perhebat (Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera).

"Dan yang paling serius sekali ialah mereka mengkhianati hasil perjuangan mereka sendiri yang lepas...mengkhianati perjuangan sendiri," katanya.

Ditanya apa sebabnya individu-individu terbabit kecewa sehingga membawa penyertaan mereka dalam pembangkang, kata beliau: "Mereka ini orang yang kecewa dan ketidakpuasan apa yang mereka rasakan tidak dapat...cuma saya tidak boleh bercerita lanjut punca-puncanya."

Mengulas lanjut, Sharuddin menjelaskan, dakwaan bekas-bekas jeneral terbabit bahawa kebajikan anggota pasukan keselamatan terabai adalah tidak berasas sama sekali.

Ini kerana selama ini kerajaan sentiasa prihatin terhadap perkara itu dengan melakukan pelbagai inisiatif bagi membangunkan kehidupan mereka.

"Golongan tentera menerima pemberian Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) sebanyak RM1,000 di samping memperoleh peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh Perhebat," katanya.

Malah terbaharu Isnin lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan semua pangkat dalam ATM dan PDRM disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Pelarasan tersebut, kata Perdana Menteri, selaras dengan perubahan skim perkhidmatan ATM dan PDRM yang mencakupi skop fungsi tugas, struktur pangkat dan juga kelayakan.

Sharuddin berkata, PBTM yang dianggotai 139,000 orang amat terkejut dengan penentangan terbuka lima bekas jeneral terbabit.

"Bekas-bekas jeneral ini perlu sedar bahawa mereka kini berada dalam keadaan dan trek yang berbeza.

"Kalau hendak berpolitik, berpolitiklah secara matang...jangan perdayakan orang lain," kata beliau.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan