Khamis, Mac 14, 2013

Bagai lagu dan irama..!!! Anwar-Nur Misuari akrab, saling memperguna?



Anwar Ibrahim dan bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari didakwa mempunyai hubungan yang begitu akrab ketika Ketua Pembangkang itu menjadi Timbalan Perdana Menteri lagi.

Bekas Setiausaha Sulitnya, Anuar Shaari mendakwa, Anwar banyak membantu Nur Misuari terutama dalam isu-isu yang membabitkan selatan Filipina.

Bagaimanapun katanya, hubungan mereka menjadi persoalan apabila Anwar dan Nur Misuari kerap berjumpa meskipun kedua-duanya tidak mempunyai sebarang jawatan rasmi.

"Pendedahan WikiLeaks itu bukan sesuatu yang luar biasa. Kalaupun ada dakwaan Nur Misuari mahu menakluk Sabah, juga bukan sesuatu yang mengejutkan.

"Bagi saya Anwar dan Nur Misuari kini saling mempergunakan antara satu sama lain untuk mencapai matlamat masing-masing.

"Nur Misuari masih menyimpan dendam kesumat terhadap Malaysia kerana menangkap dan menyerahkannya kepada Filipina pada 2002.

"Anwar pula mahu memporak-perandakan Malaysia supaya rakyat benci kepada kerajaan. Kedua-duanya mempunyai misi tertentu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.



Beliau mengulas tentang pendedahan laman web WikiLeaks pada 2007 bahawa Nur Misuari mempunyai hasrat untuk menakluk Sabah. Pendedahan itu juga mendakwa Malaysia bimbang tentang hubungan Nur Misuari dengan Anwar.

Menurut Anuar, imej Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sekarang sudah cukup tercemar dan beliau tidak ada apa-apa lagi untuk dipertahankan.

"Cuma yang kita kasihankan penyokong-penyokong PKR kerana tindak-tanduk Anwar memberikan implikasi dan persepsi yang buruk kepada imej parti itu.

"Lebih dahsyat lagi apabila Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pula seperti patung yang tidak ada reaksi langsung," ujarnya.

Sementara itu, bekas pengasas PKR, Ng Lum Yong berkata, semua pemimpin parti itu tahu Anwar mempunyai hubungan baik dengan Nur Misuari dan perkara itu bukan baharu.

Lum Yong berkata, memang sudah menjadi sifat semula jadi Anwar yang akan membuat hebahan awal tentang apa perkara yang berlaku untuk mendapat keyakinan rakyat.

Namun, ujar beliau, kali ini Anwar silap percaturan sekiranya dakwaan yang mengaitkan beliau adalah benar.

"Kebangkitan dan kemarahan rakyat semakin memuncak. Kita dapat lihat semangat patriotik rakyat semakin tinggi, tidak kira Melayu, Cina dan India.

"Rakyat bersatu dengan kerajaan tidak mahu negara diancam dan kini melihat Anwar sebagai individu bahaya," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan