Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Khamis, Februari 28, 2013
'Fatwa' dua tok guru?
Petikan (1)
''Apabila seseorang itu memelihara barang yang di antara dua pipinya iaitu lidahnya dan barang yang di antara dua pehanya iaitu kemaluannya daripada melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah nescaya dia masuk syurga. Kedua-dua anggota ini sering kali menjadi sasaran hasutan syaitan sering kali manusia tergelincir dan melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah."
Petikan (2)
''….Tetapi sekiranya Pas, menyatakan bahawa al-Quran menjadi dasarnya sedangkan pada amalannya ia berlainan daripada al-Quran maka tidak (ada) sebab untuk Pas kekal. Pas hanya boleh kekal dengan berkat dan tuah al-Quran, tetapi ia tidak akan kekal kalau hanya pada nama sahaja ia didasarkan kepada al-Quran tetapi ia tidak diamalkan oleh ahli-ahli Pas."
Dua petikan ini terkandung dalam buku Mutiara Tok Guru: Membangun Ummah. Buku ini adalah kompilasi cetusan pemikiran dua pemimpin utama Pas iaitu, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melalui kuliah dan khutbah mereka.
Petikan yang pertama terkandung dalam Bab 27 muka surat 95 bertajuk, 'Memelihara lidah dan kemaluan' yang disampaikan oleh Abdul Hadi manakala petikan kedua pula di bawah tajuk 'Masa depan Gemilang Bersama Islam' yang disampaikan oleh Nik Abdul Aziz.
Sememangnya dua pemimpin ini dianggap ulama utama dalam Pas. Malahan dalam buku itu, penerbit dalam kata pengantar menyatakan, buku itu dinamakan, 'Membangun Ummah' kerana kerangka pemikiran yang dibawa oleh dua tok guru ini mewarisi gagasan Hassan al-Banna yang mahu mengembalikan semula kegemilangan ummah menerusi pembinaan individu, keluarga, masyarakat dan negara berasaskan akhlak Islam mengikut acuan al-Quran dan sunnah.
Namun kajilah apakah tindak-tanduk yang dilakukan oleh kedua-dua pemimpin ini dalam arena politik negara khususnya sejak Pas menjalin kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bersesuaian dengan apa yang mereka katakan seperti mana dipetik dalam buku yang diterbitkan pada Ogos 2008 itu.
Penulis memilih dua petikan tersebut iaitu berkaitan bahayanya lidah dan perjalanan sebenar politik yang seharusnya dilalui Pas. Kedua-duanya bukan sahaja berkaitan rapat dengan tindak-tanduk kedua-dua pemimpin itu tetapi juga Pas itu sendiri.
Ketika ini, dua isu besar melibatkan Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz, kedua-duanya ada kaitan dengan apa yang pernah mereka lafazkan. Abdul Hadi masih terbelenggu dengan isu Amanat Haji Hadi yang dilafazkan oleh beliau pada tahun 1981 dan isu kalimah Allah yang menyaksikan 'kegelojohan' beliau menandatangani persetujuan bersama pemimpin PKR dan DAP bagi membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah suci itu meletakkan Pas dalam dilema.
Nik Abdul Aziz pula semakin digugat kerana menyamakan bantuan wang diberikan Kerajaan Pusat kepada rakyat sebagai 'memberikan hampas kelapa dan padi serta jerami kepada ayam dan lembu.'
Walaupun berhadapan dengan pelbagai kritikan namun Menteri Besar Kelantan itu tetap mempertahankan kenyataannya sekali gus menjadikan usaha pihak tertentu dalam Pas yang cuba menghasilkan rakaman video bagi menunjukkan kononnya Utusan Malaysia tersalah petik ucapan beliau hanya sia-sia.
Abdul Hadi pernah bercakap dan menyeru umat Islam menjaga lidah, Nik Abdul Aziz pernah menegaskan bahawa perjuangan Pas berlandaskan kepada amalan yang termaktub dalam al-Quran tetapi perhatikan kontroversi yang mereka cetuskan.
Apakah semua itu tidak menunjukkan kegagalan mereka untuk menjaga lidah? Tidakkah tindakan mereka dilihat bertentangan dengan apa yang terkandung dalam al-Quran?
Kalau benar Abdul Hadi mahu umat Islam menjaga lidah, bagaimana dengan kenyataan Nik Abdul Aziz yang kalau mahu dicatatkan kata-kata beliau penuh kecaman dan pandangan buruk kepada musuh-musuh politik Pas terutamanya UMNO.
Bagaimana pula dengan 'Amanat Hadi' yang dilafazkan oleh lidah Abdul Hadi sehingga memecah-belahkan umat Islam tetapi sampai sekarang tidak ditarik balik? Kalau benar perjuangan Pas mengikut apa yang terkandung di dalam al-Quran sudah pasti, parti itu menjadi pejuang Islam paling tegar termasuklah berani membuat kenyataan rasmi berhubung pendirian Pas dalam isu kalimah Allah.
Selain itu juga kalau betul Pas berjuang dalam arena politik berlandas al-Quran tentulah mereka tidak akan sewenang-wenangnya bekerjasama dengan DAP yang suatu dahulu Pas juga 'memfatwakan' haram apabila UMNO menjalinkan kerjasama dengan MCA dan MIC.
Apabila perkara itu dipersoalkan, pemimpin-pemimpin Pas berhujah bahawa kerjasama parti itu berbeza dengan kerjasama antara UMNO dan MCA tetapi apa yang kita saksikan ialah cita-cita perjuangan Pas sudah berkubur kerana ia mendapat penentangan DAP.
Tetapi Pas masih dalam pakatan pembangkang dan Abdul Hadi berhujah kalau kerjasama itu merugikan Islam, Pas akan meninggalkan pakatan tetapi semua orang tahu apa terjadi perjuangan Pas yang diuar-uarkan oleh Nik Abdul Aziz harus berlandaskan kepada al-Quran.
Kalau benar Pas mengikut perjuangan berlandaskan al-Quran kenapakah kerja-kerja baik yang dilakukan oleh kerajaan BN termasuklah usaha UMNO meningkatkan martabat umat Islam dan mengembangkan syiar Islam sering sahaja diperlekehkan oleh Pas.
Siapakah yang mengeluarkan kenyataan bahawa Islam yang dibawa oleh UMNO adalah Islam plastik? Siapakah yang memperlekehkan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza?
Siapakah yang mencerca bantuan-bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat?
Semua itu pernah dilakukan oleh Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz yang sepatutnya lebih faham mengenai firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 2 yang bermaksud;
''…Bertolong-tolonglah kamu dalam berbuat kebajikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan berbuat dosa dan aniaya (permusuhan).
Janganlah kerana kepentingan politik atau dipengaruhi fahaman ideologi berbeza, segala perkara baik yang dilakukan oleh UMNO dan BN mahu dinafikan khususnya dalam meningkatkan hidup rakyat dan mensejahterakan negara.
Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz perlu mengamalkan apa yang mereka sampaikan dalam tazkirah, khutbah dan kuliah mereka. Ia bagi mengelakkan orang membuat tafsiran yang tidak baik seperti menganggap kedua-dua pemimpin Pas itu mempunyai dua perwatakan berbeza iaitu sebagai ulama dan ahli politik.
Tetapi apa yang boleh diperhatikan, sejak kebelakangan ini watak ulama sebenar seolah-olah tidak begitu ditonjolkan oleh Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz, kalaupun ditonjolkan ia lebih banyak dilihat atas pertimbangan politik.
Sebab itulah kita menyaksikan kedua-dua pemimpin sering sahaja melakukan tindakan dan membuat kenyataan yang dilihat tidak bersesuaian dengan status mereka sebagai ulama.
Sememangnya, kita sama sekali tidak menghalang mana-mana orang Melayu khususnya pengikut tegar Pas untuk menyanjungi kedua-dua ahli politik bertaraf ulama tersebut, malahan kita menghormati ilmu agama yang mereka miliki tetapi biarlah ia digunakan demi kesejahteraan umat Islam, bukannya semata-mata untuk memburu kuasa politik.
Jangan sampai nanti melalui tindak-tanduk mereka, Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz tidak dihormati lagi dan akan diibaratkan seperti 'hampas kelapa yang perlu dibuang' dan jerami yang perlu dibakar.
Oleh : Zulkiflee Bakar
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan