Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Khamis, Februari 28, 2013
Apabila jeneral bersara berpolitik?
Beberapa minggu lepas ketika menggunakan kemudahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang tersergam indah, penulis berkesempatan berbual dengan sepasang suami isteri baru pulang daripada melawat anak mereka yang masih belajar di sebuah negara di Asia Barat. Pasangan itu bersyukur kerana anak mereka mendapat biasiswa kerajaan persekutuan. Kedua-dua mereka adalah pesara kerajaan. Si suami ialah pesara tentera (lain-lain pangkat) manakala si isteri pesara kakitangan sokongan sebuah jabatan kerajaan bukan beruniform yang terlibat dengan keselamatan dalam negeri.
Kedua-duanya bercerita tentang zaman lampau sewaktu masih bertugas. Menurut mereka tiga perkara penting yang wajib ada pada seorang pekerja kerajaan ialah amanah, ikhlas dan menyimpan rahsia urusan rasmi.
Beliau mengucapkan kesyukuran sekali lagi kerana berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas pelbagai bantuan yang diberikan kepada bekas perajurit khususnya dalam memulakan perniagaan baru. Memulakan perniagaan baru berdepan dengan pelbagai risiko dan tidak semestinya untung dalam jangka masa pendek. Tidak seperti artis yang menjadi penceramah politik yang boleh mendapat bayaran lumayan dengan hanya bercakap tanpa fakta dan bukti yang kukuh, kata pesara tentera itu.
Kini bukan sahaja artis, malah pesara tentera yang berpangkat tinggi juga diguna pakai oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menjaja rahsia negara di pentas-pentas ceramah politik. Adakah itu suatu tindakan yang beretika? Sedangkan bekas perajurit bukan pegawai (lain-lain pangkat) juga tahu tentang perlunya menjaga rahsia negara, apatah lagi seorang bekas pegawai kanan dalam tentera.
Adalah menarik untuk membincangkan strategi-strategi dalam tentera yang ada kaitannya dengan profesionalisme kerjaya badan beruniform tersebut. Memandangkan tokoh-tokoh parti pembangkang dalam negara ini ramai yang condong ke arah Amerika Syarikat (AS), adalah wajar untuk kita melihat bagaimana negara Uncle Sam itu melatih kadet-kadet mereka.
AS mempunyai banyak akademi latihan tentera darat ternama yang menurut mereka telah melahirkan ramai panglima terbilang, walaupun AS tersungkur di Vietnam dan Somalia. Antaranya ialah di West Point. Menurut buku bertajuk Building Leaders The West Point Way: 10 Principles From The Nation's Most Powerful Leaderhip Lab karya Mejar Jeneral (Bersara) Joseph P. Franklin, cogan kata utama kadet di West Point terdiri daripada tiga perkataan iaitu tanggungjawab, maruah dan tanah air. Secara ringkas tanggungjawab termasuklah menyimpan rahsia negara.
Pengalaman penulis menemu ramah beberapa bekas perajurit yang pernah bertempur dengan komunis pada tahun 1970-an menyatakan, apabila telah dimaklumkan mengenai sesuatu operasi dalam hutan, anggota tentera tersebut tidak boleh memberitahu sesiapa walaupun isteri sendiri atau rakan daripada unit lain.
Perkataan kedua ialah maruah. Dalam konteks Malaysia, perajurit bukan sahaja perlu menjaga maruah diri, tetapi juga maruah negara kerana telah bersumpah taat setia sejak sebelum memulakan perkhidmatan lagi. Apabila rahsia negara telah digadaikan, bermaksud maruah empunya diri juga turut digadaikan bersama.
Seterusnya perkataan tanah air. Jika rahsia negara yang terdiri daripada kekuatan dan kelemahan pertahanan negara didedahkan, maka mudahlah anasir asing menceroboh serta menjahanamkan negara. Banyak contoh yang boleh kita lihat di Syria, Iraq dan Afghanistan yang menuju kehancuran apabila pasukan pertahanan sendiri yang menjadi tali barut asing. Tidakkah kita berfikir dan mengambil iktibar?
Dalam bidang strategi ketenteraan, Sun Tzu sangat terkenal dengan strategi perang yang teratur di zamannya dalam "The Art of War" yang terdiri daripada 13 tajuk utama.
Sun Tzu ialah jeneral dari China dan hidup sepanjang pemerintahan maharaja China sebelum masihi. Strategi yang beliau perkenalkan 2,500 tahun dahulu digunakan oleh ramai panglima perang antaranya Napoleon, Patton, MacArthur dan lain-lain lagi.
Menurut Sun Tzu, jika arahan daripada seorang jeneral tidak jelas dan tidak benar-benar difahami oleh anggota tentera, maka jeneral itu harus dipersalahkan. Namun jika arahan jeneral itu jelas tetapi masih tidak dapat dipatuhi oleh anggota tentera, maka pegawai-pegawai di bawah pemerintahan jeneral itu harus dipersalahkan. Apabila berlaku sesuatu musibah atau kegagalan dalam pasukan, maka jeneral itu sendiri dan pegawai-pegawainya yang harus bertanggungjawab.
Kesimpulannya, lebih banyak kelemahan yang didedahkan oleh seorang jeneral dalam bekas pasukannya, maka lebih banyaklah kelemahan diri beliau sendiri yang kelihatan.
Daripada 13 tajuk utama yang dihuraikan oleh Sun Tzu, 3 daripadanya menarik untuk diketahui umum iaitu pertama, peranan perisik, kedua, serangan dengan api dan ketiga, kepentingan 9 situasi. Dalam tajuk peranan perisik, Sun Tzu menekankan tentang 'menggunakan sepenuhnya' pegawai-pegawai tentera dan penjawat awam pihak lawan 'dengan apa cara sekalipun' agar rahsia dan strategi mereka dapat diketahui serta dibocorkan.
Seterusnya tajuk serangan dengan api. Dalam usaha untuk melancarkan serangan, Sun Tzu menyatakan bahawa kita perlu menggunakan kesemua sumber yang ada untuk serangan dengan api terhadap musuh dan sentiasa diletakkan dalam keadaan siap siaga.
Pada zaman moden ini serangan dengan api bermaksud serangan menggunakan meriam, peluru berpandu dan jet pejuang. Teknologi ketenteraan dahulu sehingga kini dikuasai oleh negara-negara Barat serta dijual dengan harga yang sangat mahal. Mereka bebas untuk menaikkan harga senjata serta peralatan berkaitan sesuka hati. Jika kita tidak membeli dengan harga yang mahal, bagaimana untuk memiliki sesuatu senjata yang canggih dan kuat. Kos yang mahal ini juga termasuk operasi, alat ganti dan penyelenggaraan jangka panjang.
Tajuk yang ketiga ialah kepentingan 9 situasi. Adalah menjadi amalan seorang jeneral sepatutnya menjaga mulut dan menyimpan rahsia di samping memastikan arahan yang diberi dilaksanakan oleh pegawai di bawahnya.
Dalam buku Sun Tzu's The Art of War: The Warrior Class 306 Lessons in Strategy tulisan Gary Gagliardi, Sun Tzu menyatakan bahawa pegawai-pegawai dalam pasukan sendiri tidak boleh mengetahui kesemua strategi dalam pasukan kerana bimbang maklumat tersebut tersebar kepada pihak lawan.
Dalam sebuah pasukan tentera terdapat pelbagai unit antaranya logistik, semboyan, infantri, kor agama dan lain-lain lagi. Jika seorang pegawai itu bertugas di kor agama, dia mungkin tidak tahu tentang operasi taktikal, perolehan senjata dan lain-lain perkara strategik. Begitu juga dalam tentera udara dan laut.
Jika pegawai itu bertanggungjawab terhadap logistik, tidak semestinya dia menerbangkan pesawat pejuang atau bertugas dalam kapal perang berteknologi tinggi.
Malaysia mempunyai ruang udara dan kawasan perairan yang luas. Dari Padang Besar, Johor Bharu sampai ke Sungai Golok di Semenanjung, dan di Kuching hingga ke Tawau di Sarawak serta Sabah. Semuanya perlu dijaga dan dikawal agak tidak dicerobohi. Keadaan geografi yang luas serta dipisahkan oleh Laut China Selatan memerlukan kelengkapan pertahanan yang mempunyai keupayaan operasi dalam jarak dan jangka waktu yang panjang.
Dengan adanya keperluan tambahan dan khusus tertentu, maka kos pembelian dan pengoperasian untuk peralatan tersebut juga bertambah. Kita tidak boleh membandingkan kos sesuatu senjata yang dibeli dengan lain-lain negara. Negara-negara lain juga tidak mendedahkan rahsia kelengkapan tentera mereka.
Tidak dinafikan bahawa ada sesetengah penjawat awam yang bercita-cita tinggi untuk memegang jawatan utama atau pangkat yang lebih besar ketika dalam perkhidmatan. Namun disebabkan persaingan dan tempat yang terhad mereka mungkin kecundang serta tidak memperolehi apa yang diidamkan. Sebagai seorang Islam yang percaya kepada qada' dan qadar janganlah kita mudah kecewa lantas melakukan perkara-perkara yang tidak beretika. Bersyukurlah atas apa yang telah kita kecapi sekarang.
Teori-teori dan strategi perang sejak dahulu lagi telah membuktikan bahawa tali barut dan pengkhianat sememangnya wujud serta akan terus merosakkan negara kerana permintaan, cita-cita dan kehendak mereka yang kecewa tidak dapat dipenuhi.
Rahsia negara khususnya berkaitan pertahanan dan keselamatan wajib disimpan agar negara bertuah ini tidak musnah. Menurut Socrates, jika kita tidak belajar daripada sejarah, maka kita berpotensi untuk hancur disebabkan mengulangi kesilapan yang lalu.
Oleh : Abu Bakar Abdul Jalal
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan