Ahad, Jun 28, 2015

Justo pencetus spekulasi - Apabila maklumat 'diuli' fitnah bertebaran?

Polis Thailand berjaya menangkap dan akan mendakwa warga Switzerland Xavier Andre Justo yang juga bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd.

Penangkapan bekas pegawai PetroSaudi International Ltd. (PetroSaudi), Xavier Andre Justo di Thailand awal minggu ini merungkai di sebalik serangan bertali arus pihak tertentu terhadap syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Justo terang-terangan menceroboh maklumat yang dikategorikan sulit. Perbuatan mendedahkan atau menceroboh pangkalan data bertentangan dengan undang-undang syarikat dan negara.

Tindakan kerajaan Thailand terhadap Justo membuktikan pelanggaran undang-undang telah berlaku.
Sebuah firma keselamatan siber antarabangsa, Protection Group International (PGI) yang dilantik untuk menjalankan siasatan terperinci terhadap sumber data yang disiarkan di internet mengesahkan kesahihannya.

Siasatan itu mendedahkan bukti jelas Justo mencuri secara sistematik data sulit syarikat sebelum meninggalkan PetroSaudi. Ia juga menunjukkan data tersebut diubah setelah dicuri dari PetroSaudi.

Dipercayai, kebanyakan data yang diubah ini kemudian disiarkan di Sarawak Report. Data itu seterusnya bertindak sebagai 'tulang belakang’ kepada portal itu terhadap dakwaan konon wujudnya salah laku 1MDB.

Sarawak Report dikatakan menyiarkan petikan daripada e-mel yang didakwa dihantar oleh pihak terlibat. Namun e-mel itu tidak mempunyai penghantar yang mana menurut 'forensic Wiki’ adalah 'garis metadata dilampirkan pada setiap e-mel yang mengandungi banyak maklumat yang berguna kepada penyiasat forensik’.

Dalam aspek ini, alamat IP penghantar dan penerima e-mel, tanda tangan, kepala surat telah hilang.

Dalam konteks ini, kita wajar melihat penangkapan Justo secara lebih objektif mengenai 1MDB. Iaitu, tentang bagaimana sesuatu maklumat itu harus diperoleh dengan tepat dan betul. Bukannya, separuh benar atau 'separuh masak’ yang kemudian 'digodam’ atau diuli menjadi 'fakta’.

Justo tentu sekali meraih keuntungan peribadi terutama kewangan tanpa sedikit pun memikirkan nama baik 1MDB dan Malaysia.

Di sebalik kelibat Justo, penglibatan Sarawak Report dengan menyiarkan e-mel dan dokumen daripada hasil cubaan peras ugut warga Switzerland ini sehingga mencetuskan pelbagai tuduhan terhadap 1MDB sebenarnya bukan baharu. Apa lagi di Sarawak.

Sarawak Report, yang pengasasnya, Clare Rewcastle Brown sejak sekian lama terlibat mendedahkan agenda 'daripada apa yang dipercayainya tidak betul’ dilakukan kepemimpinan negeri Sarawak semasa era pentadbiran Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud (kini Tun).

Antaranya, dakwaan-dakwaan seperti kekayaan melimpah-ruah Abdul Taib dan anggota keluarganya, salah guna kuasa pemimpin negeri, projek diserahkan kepada kroni, penguasaan tanah dan projek yang diraih.

Laporan portal ini menjejaskan reputasi kepimpinan Sarawak waktu itu. Kuasa melapor pada Sarawak Report dipergunakan sewenang-wenang.

Penganalisis politik Sarawak, Dr. Jeniri Amir turut mengesahkan kepada Mingguan Malaysia bahawa tindak-tanduk keterlaluan Sarawak Report ketara sejak pilihan raya negeri Sarawak 2010 lagi dengan melakukan serangan terhadap Abdul Taib dan keluarganya.

“Syarikat tertentu dikaitkan dengan penguasaan pemimpin dengan matlamat untuk memusnahkan imej pemimpin berkenaan termasuklah 'pembunuhan karakter’. Tidak ada etika penulisan dan laporan yang seimbang dalam Sarawak Report,” katanya.

Namun, tindak balas daripada Abdul Taib ke atas Sarawak Report ketika itu tidak banyak. Tidak kedengaran isu saman kerana mungkin pemimpin itu yang kini Yang Dipertua Negeri sedar sebahagian laporannya tidak tepat.

Seperti mana kredibiliti suspek yang ditangkap di Thailand, Justo sememangnya sedar akan 'pengaruh’ Sarawak Report. Justo percaya sesiapa yang memetik laporan Sarawak Report, pasti 'menjadi viral’, yang kemudian bertali-temalilah dakyah itu.

Mengulas isu ini, Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, inilah masanya untuk semua pihak terbabit menilai sejenak asas kepada pelbagai tuduhan kerana fitnah itu hanya membahayakan negara.

“Pembangkang merujuk laporan Sarawak Report untuk menyerang kerajaan dan Perdana Menteri dalam isu 1MDB. Kini terbukti maklumat itu sudah 'diuli’.

“Ia kemudian diuar-uarkan oleh The Edge, Malaysiakini dan The Malaysian Insider. Akhbar dan portal-portal ini tidak patut tegakkan benang basah sehingga ada sesuatu dapatan baharu oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),” kata Shahrir, dipetik dari portal http://www.bnbbc.my.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan turut membidas Kumpulan Media The Edge berhubung laporan berkaitan 1MDB yang dianggap sebagai satu laporan spekulasi keterlaluan.

“Kenapa The Edge sangat taksub dengan 1MDB, terutamanya dengan mengambil kenyataan daripada Sarawak Report,” kata Ahli Parlimen Kota Belud itu menerusi akaun Twitter miliknya, yang turut mengecam akhbar berbahasa Inggeris, The Star yang membuat liputan penahanan Justo dan serangan berterusan terhadap 1MDB.

Kalau ada wacana dari rentetan penangkapan Justo, elok ditekankan tentang begitu pentingnya keperluan sesuatu maklumat itu mesti bersumberkan data, statistik dan testimoni laporan kewangan ekonomi dunia.

Dalam konteks 1MDB, maklumat yang disalurkan mengenai syarikat itu mesti tepat, jujur dan telus. Bukannya kenyataan tempelan tanpa dalil-dalil yang konkrit.

Selain testimoni, statistik serta kutipan-kutipan pakar berwibawa, teknik penerangan retorik yang efektif juga memainkan peranan utama.

Dalam soal ini, bukan patos (emosi) tetapi logos atau logik serta wibawa etos seseorang yang bercakap mengenai 1MDB itu penting. Etos, menurut ahli falsafah ulung Yunani, Socrates, bererti membangunkan kredibilitinya dalam hal tertentu sehingga membuatkan khalayak percaya.

Dia yang menjelaskan sesuatu isu, mestilah tidak diragui karakternya. Bukan sebarang orang atau individu boleh bercakap, melainkan dengan integriti tinggi yang dimilikinya.

Seterusnya, logos adalah isi yang menyangkut pengumpulan fakta. Hal ini menjadi alasan mengapa tindakan harus dilakukan oleh pendengar.

Logos atau boleh dikatakan juga ilmu, memberikan pemikiran dan pengertian. Dengan begitu, khalayak akan memahami alasan logik (masuk akal) mengapa sesuatu tindakan itu dilakukan.
Akhirnya, khalayak boleh memahami sesuatu tindakan itu, sekali gus menjadikan tindakan itu miliknya.

Logos seharusnya lebih tinggi (daripada patos dan etos) kerana majoriti berkehendakkan maklumat yang dipenuhi hujah-hujah konkrit. Tetapi bukan berdasarkan patos atau retorik kosong.

Apa yang dilakukan kepimpinan kerajaan waktu ini dalam mengendalikan isu 1MDB memang baik.
Cuma, jangan lagi menyerang peribadi lawan. Kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh pemimpin lepas, seandainya ada, tidak perlulah diungkit. Kalau ini berlaku, ia akan menjerat diri.

Dan jika akhirnya laporan 1MDB oleh PAC dan audit betul, mereka yang membuat tuduhan liar tentu akan buka mata.

Sarawak Report dan pihak-pihak yang membidas Perdana Menteri serta pegawai 1MDB tidak akan peduli kepentingan untuk meneliti semula kesahihan dokumen.

Mereka lebih gemar mencemarkan pihak kerajaan walaupun mempunyai ruang untuk menghubungi pihak terlibat.

Mengapa? Siapa di sebalik kempen yang berniat menjatuhkan Perdana Menteri?-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan