Isnin, Jun 29, 2015

Antara ramadan dan bola?


Entah kenapa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengadakan perlawanan Liga Super dan Liga Perdana pada bulan Ramadan. Sukar hendak faham. Sebab itu, kita setuju dengan pandangan beberapa persatuan bola sepak negeri yang meminta FAM menangguhkannya.

Sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, sepatutnya FAM lebih sensitif dalam hal tersebut. Di negara Islam lain termasuk jiran Indonesia, tiada aktiviti liga bola sepak utama berlangsung pada Ramadan.

Ketika umat Islam dituntut lebih beribadat termasuk solat sunat tarawih, adalah kurang wajar para pemain yang juga kebanyakannya beragama Islam dibiarkan beraksi di stadium. Sudahlah mereka berpuasa pada siang hari, agak keletihan untuk bermain lewat malam selain tidak dapat memberi tumpuan pada ibadat.


Penonton pun tidak ramai. Sedangkan ia sekadar sukan bola sepak yang masih boleh diubah jadual, tidak seperti urusan tanggungjawab sebagaimana tugas tentera, polis dan lain-lain yang mendesak keperluannya termasuk pada Ramadan.

Seandainya, ia melibatkan penganjuran oleh badan bola sepak dunia seperti FIFA, kita boleh faham tetapi ia di bawah kuasa FAM. Lagipun, terimalah realiti sukan bola sepak kita bukan seperti di Brazil, Sepanyol, Jerman, England dan Itali.

Pencapaian skuad negara juga makin merudum dengan penganjuran liga yang ada tidak banyak membantu. Negara-negara Arab termasuk Palestin yang membelasah Malaysia 6-0 baru-baru ini, tetap hebat walaupun tiada liga pada bulan Ramadan.

Kita sebenarnya menyokong pengurusan FAM di sebalik banyak kritikan yang dilemparkan kebelakangan ini tetapi usahlah proaktif ke arah negatif.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan