Isnin, Disember 22, 2014

Tabik rakyat Malaysia!


Walaupun impian Malaysia untuk menjulang Piala AFF 2014 tidak kesampaian ekoran kekalahan kepada Thailand (agregat 4-3 ) semalam, kita tetap berbangga dengan barisan pemain negara. Mereka telah mempamerkan semangat juang yang tinggi sehingga mendahului 3-0 seolah-olah juara sudah milik Malaysia.

Namun nasib tidak menyebelahi selain ternyata hakikatnya - pemain Thailand lebih tangkas pada separuh masa kedua. Dalam perlawanan bola sepak, segalagalanya boleh berlaku. Brazil yang dianggap hebat dalam sukan itu pernah dikejutkan dengan kekalahan memalukan 1-7 di gelanggang sendiri pada Piala Dunia lalu.

Bagi penulis kegagalan pada final Piala AFF kali ini tidak terlalu mengecewakan para pemain. Mereka tidak harus rasa terhukum dan patah hati. Prestasi Harimau Malaya menjadi Naib Juara Piala AFF 2014, adalah lebih baik berbanding musim lepas.


Mereka layak diberikan ucapan tahniah oleh rakyat Malaysia. Menewaskan Vietnam dengan jaringan agak besar di negara itu antara memori manis buat rakyat Malaysia yang bakal menutup tirai 2014.

Kita yakin peluang buat Harimau Malaya untuk bangkit terbuka luas pada masa depan. Semoga semua pihak berkenaan terutama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil pengajaran bernilai bagi melonjakkan prestasi skuad bola sepak kita.

Banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mengembalikan era kegemilangan bola sepak negara di arena antarabangsa sebagaimana dekad 1960-an dan '70-an. Musim Piala AFF kali ini menyerlahkan betapa rakyat Malaysia dahagakan kejayaan dalam sukan paling popular itu.



Biarpun Malaysia tewas semalam, penulis tabik kepada rakyat Malaysia atas sokongan padu kepada Harimau Malaya. Para peminat tegar terutama Ultras Malaya yang sentiasa memenuhi stadium memberikan tahap sokongan yang cukup luar biasa umpama pembawa panji-panji di medan perang.

Perlawanan semalam turut menyaksikan kehadiran peminat bola sepak nombor satu negara, Najib Tun Razak di Stadium Bukit Jalil sebagai tanda sokongan kepada skuad negara. Aktiviti harian rakyat Malaysia terhenti kerana tumpuan kepada siaran secara langsung final tersebut.

Semangat kesukanan telah menyatukan kita semua, yang ngauman Harimau Malaya menjadi pencetusnya. Terima Kasih Harimau Malaya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan