Isnin, Disember 22, 2014

Jangan mengalah perangi sindiket pengemis!


Setiap kali anda makan di luar, tidak kiralah di gerai tepi jalan, kafe kaki lima, kedai mamak dan restoran atau singgah di hentian rehat dan rawat, ada satu pengalaman dan pemandangan yang semua orang akan lihat dan lalui. Pengalaman didekati pengemis yang datang dalam pelbagai ragam.

Situasi yang biasa ditemukan adalah kanak-kanak yang mendakwa dari rumah anak yatim, sekolah tahfiz atau sekolah agama. Kategori ini mudah dilihat di kawasan rehat dan rawat. Itu dahulu. Sekarang ini boleh dilihat di mana-mana sahaja.

Mereka tidak meminta `sedekah’ tetapi `menjual’ poster, kalendar, buku, komik atau cakera padat berunsurkan agama. Jualan ini adalah untuk jualan amal dakwa kanak-kanak ini, bagi membantu mendirikan madrasah, sekolah agama, rumah anak yatim.

Sehari suntuk mereka ditinggalkan di situ. Mereka akan menghampiri setiap meja makan pengunjung. Dengan laju dan pantas disebutnya satu skrip standard yang sudah dihafal dan tidak jelas biji butirnya, sebelum menawarkan produk yang dijual. Jangan tanya lebih-lebih, mereka tidak selesa dan gelisah untuk menjawab. Dipelawa makan sekali pun mereka tidak mahu.

Pengemis dewasa pula boleh dilihat di mana-mana, sepanjang masa. Perempuan berpakaian lusuh mengendong anak kecil dengan kole plastik atau seorang lelaki tua bersongkok haji menjaja satu dokumen bersalut plastik yang tulisan di dalamnya sudah lusuh dan tidak boleh dibaca dan difahami. Ada juga lelaki kudung, bertongkat merayu bantuan kewangan untuk membeli kaki palsu. Bertahun-tahun dia menjaja cerita yang sama, jumlah wang seribu dua yang diperlukan masih juga belum mencukupi!

Apabila ditanya kenapa mengemis, kisah yang diceritakan lazimnya penuh kesedihan. Bagi yang pertama kali mendengar memang timbul belas kasihan. Siapa yang tidak tersentuh hari mendengar kisah seorang ayah disingkirkan ahli keluarga, dihalau oleh anak-anak, berkelana ke kota besar dan hidup sebatang kara sebagai pengemis.

Hati mana yang tidak meruntun melihat seorang wanita tua bercerita sedang bertarung dengan penyakit kronik bayi yang dikendongnya itu. Dia memerlukan wang bagi membiayai kos rawatan. Ada juga bercerita ditinggalkan suami. Pendek kata, ceritanya lebih kurang sama sahaja.

Satu lagi golongan yang paling biasa kita tengok ialah golongan orang kurang upaya (OKU). Mereka yang cacat penglihatan dipimpin oleh seorang lelaki atau wanita yang sihat walafiat. Tidak pasti sama ada itu suami atau isteri OKU terlibat. Sambil membawa tisu, mereka singgah dari satu meja ke satu meja. Mereka jarang bersuara atau berkata-kata kecuali ucapan `Assalamualaikum’ sahaja.

Mereka menjelajah dari satu kawasan tumpuan ke satu kawasan lain. Mereka mengulangi laluan yang sama, beberapa jam selepas itu. Kalau anda tidak percaya, cuba lepak lama-lama sikit di satu-satu restoran di Bangsar atau tempat-tempat tumpuan lain. Pengemis pertama yang menghampiri meja makan anda pada pukul 8.30 malam akan muncul semula di tempat anda dua jam kemudian dan muncul sekali lagi selepas pukul 12 tengah malam!

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini muncul satu lagi kategori pengemis, dipercayai warga asing. Berdasarkan susuk badan dan wajah serta cara berpakaian, mereka bukan warga tempatan. Juga bukan orang kurang upaya. Kumpulan ini tidak mengacau restoran atau kedai makan. Mereka memilih persimpangan bertingkat, simpang berlampu isyarat serta jalan-jalan yang sibuk dengan kenderaan sebagai lokasi sasaran.

Cara mereka beroperasi tidak ubah seperti pengemis di beberapa buah negara jiran dan negara Asia Barat. Ketika kenderaan berhenti pada lampu isyarat merah, pengemis ini mula menghampiri setiap kenderaan yang ada sambil menghulurkan tangan meminta sedekah atau menjual tisu atau barang permainan kanak-kanak.

Mengemis adalah salah satu cara paling mudah mendapatkan wang dan lumayan. Aktiviti mengemis yang sedang berleluasa dengan sebebas-bebasnya sudah pasti didalangi sindiket. Ini berdasarkan kepada beberapa serbuan pihak berkuasa sebelum ini. Modus operandi mereka sangat sistematik, meliputi hampir semua bandar besar dan licik. Mereka memperalatkan orang kurang upaya, orang tua, kanak-kanak dan bayi.

Dalam satu malam sindiket menjelajah banyak kawasan, hampir seluruh ibu kota. Selagi premis kedai makan atau restoran dibuka selagi itulah mereka bergerak. Bayangkanlah kalau seorang pelanggan menghulurkan satu ringgit bagi setiap meja, berapa agaknya dapat dikumpulkan dalam satu malam. Oleh kerana pelanggan bersilih ganti di sesebuah restoran atau kedai makan, sindiket yang sama berupaya membuat kutipan pada pusingan kedua, ketiga, keempat, kelima sehingga kedai menutup perniagaan.

Pengemis warga asing yang beroperasi di tepi-tepi jalan dan simpang lampu isyarat juga dipercayai didalangi sindiket. Manalah mereka tahu hendak ke Sierramas, Meru, Klang kalau tidak dihantar sindiket. Sejak awal pagi lagi mereka sudah berada di situ.

Aktiviti mengemis kelihatan bebas beroperasi dan tidak ada halangan langsung. Lebih rancak kerana rakyat Malaysia terlalu pemurah dan baik hati. Masyarakat negara ini cepat merasa simpati tatkala didekati oleh mereka yang `kurang bernasib baik.’ Mereka berasa serba salah jika tidak menghulur seringgit dua. Lebih terasa malu bila memikirkan makan beratus ringgit, seringgit pun hendak berkira.

Adakah segala wang yang diderma itu dapat kepada si pengemis atau sindiket yang mengawal mereka yang kenyang? Melihat kepada kepesatan aktiviti ini, pihak berkuasa tidak boleh berdiam diri lagi. Pemandangan pengemis berkeliaran di setiap ceruk kedai, restoran serta tempat tumpuan ramai menyakitkan pandangan. Pelanggan yang menikmati makan tengah hari, malam dan tengah malam pun tidak selesa. Dari satu segi, ia memberi imej yang tidak elok kepada negara.

Sindiket ini perlu dibanteras. Pihak berkuasa yang terlibat jangan sesekali mengalah dan kelihatan tewas dalam memeranginya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan