Isnin, September 08, 2014

Nampaknya Anwar dan kroni bakal melepaslah lagi...?


Laluan untuk isteri Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai Menteri Besar Selangor semakin sukar. Laluan permaidani merah untuk Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang dirancang begitu rapi oleh PKR dan disokong DAP sejak awal tahun itu bahkan hampir-hampir tertutup.

Mungkin sudah ditakdirkan Wan Azizah yang bukan anak jati Selangor itu tidak menjadi menteri besar negeri terkaya ini. Nasibnya barangkali sama dengan si suami yang asyik maksyuk untuk menjadi Perdana Menteri tetapi bayang pun belum nampak.

Walaupun laluan itu dirancang secara teliti oleh orang paling cerdik dalam PKR tetapi nampaknya ia tidak menjadi. Wan Azizah tetap Wan Azizah, isteri kepada Anwar. Tidak lebih daripada itu.

Inilah akibatnya jika terlalu memaksa-maksa agar sesuatu itu berlaku. Bukan PKR dan DAP tidak sedar bahawa Pas dari awal-awal lagi tidak setuju dengan rancangan untuk mengangkat Wan Azizah sebagai menteri besar.


Sejak dari Langkah Kajang, Pas sudah menegaskan Pilihan Raya Kecil DUN Kajang bukan untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Itu yang disepakati sehingga Pas pun turut menyingsing lengan untuk PRK itu.

Tetapi PKR dan DAP langgar juga Pas yang mereka julang sebagai rakan itu. Yang paling memedihkan Pas ialah apabila dua ADUN parti yang dikenal begitu teguh memegang sumpah taat setia itu 'dicuri' oleh PKR. Pas menganggap tindakan itu sebagai satu pengkhianatan.

Mencuri

Jika PKR sanggup mencuri ADUN Pas hanya kerana memperjuangkan kedudukan seorang isteri pemimpin PKR, apa lagi kejujuran yang tinggal untuk sebuah kesepakatan?

Wajarlah kalau UMNO yang melakukannya kerana sifatnya sebagai parti lawan tetapi ini dilakukan oleh rakan sebantal yang dipeluk setiap kali bertemu.

Seperkara lagi yang lebih utama adalah tentang kelayakan Wan Azizah. Secara jujur, selama Wan Azizah menjadi Ketua Pembangkang bolehkah disenaraikan apa pencapaian beliau?

Beliau dipilih sebagai Ketua Pembangkang kerana Anwar, untuk memberi muka kepada PKR. Lagipun peranan jawatan itu tidak penting, lebih dilihat sebagai simbol.


Begitu juga dalam PKR. Wan Azizah tidak mungkin akan diangkat sebagai Presiden jika beliau bukan isteri Anwar. Kalau hendak dikira latar belakang pendidikan dan karisma, lebih banyak pemimpin wanita PKR yang lebih menonjol.

Dari dulu, Wan Azizah dilihat tidak lebih sebagai bayangan, simbol mahupun boneka Anwar. Peranannya sebagai penarik simpati. Jika benar beliau pemimpin berwibawa yang ada karakter sebagai menteri besar, apakah perkara yang boleh dikagumi yang Wan Azizah lakukan selepas PRK Kajang?

Tidak ada. Selain imej berkipas yang kurang pasti apa maksudnya, tiada peranan signifikan yang ditunjukkan oleh Wan Azizah. Sebagai orang yang digembar-gemburkan calon pengganti Abdul Khalid, beliau seharusnya dilihat dan kelihatan layak mengemudi sebuah kerajaan negeri sebaik-baik diumumkan sebagai pemenang pilihan raya itu.

Yang menonjol ialah kepincangan pemilihan PKR. Apakah perkara songsang yang tidak berlaku semasa pemilihan PKR? Sehingga sekarang, selepas hasil pemilihan diumumkan masih banyak pihak yang tidak berpuas hati.


Sebagai calon menteri besar, apatah lagi bagi menggantikan Abdul Khalid yang dijulang sebagai pemimpin berintegriti dan bersih, Wan Azizah sepatutnya berdiri di tengah-tengah gelanggang permainan mengatasi setiap masalah parti. Ini tidak, orang lain pula yang banyak muncul membayangi peranan Presiden.

Beliau lebih banyak diam, membiarkan masalah terus berlarutan. Beginikah ciri-ciri seorang pemimpin berwibawa yang mahu menjadi menteri besar? Jika parti kecil yang dipimpinnya sendiri berantakan bagaimana mungkin mahu mentadbir Selangor yang lebih kompleks sifatnya?

Wan Azizah sebenarnya telah diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan dan kewibawaannya sebagai pemimpin tetapi rasanya tiada siapa berani memberikan markah lulus kepada beliau.

Rasanya Wan Azizah sendiri maklum tentang kemampuan beliau untuk menjadi menteri besar. Rasanya beliau tahu mengapa Pas khususnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura membatalkan pencalonannya.

Beliau lebih baik dan lebih berwibawa untuk melakukan tugas lain. Yang jelas tugas itu bukan sebagai menteri besar. Tak perlulah dipaksa-paksa lagi.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan