Sabtu, Julai 12, 2014

Contohi kecemerlangan Jerman!

Pemain-pemain pasukan Jerman meraikan kemenangan mereka selepas menewaskan pasukan tuan rumah Brazil dalam aksi separuh akhir Piala Dunia 2014 di Stadium Mineirao, Belo Horizonte, Brazil, kelmarin.

Brazil, Argentina, Belanda dan Jerman adalah empat pasukan terakhir yang layak ke separuh akhir, Piala Dunia 2014. Dua negara dari Amerika Latin, manakala dua lagi dari Eropah. Dua negara yang kurang maju iaitu Brazil dan Argentina berbanding dua negara lain dari benua Eropah iaitu Belanda dan Jerman.

Kontroversi penganjuran Piala Dunia 2014 di Brazil bukan setakat aksi gigitan Luiz Suarez tetapi juga rakyat negara itu dari golongan miskin tidak bersetuju dengan penganjuran Piala Dunia ini. Bagi mereka, ia satu pembaziran.

Antara keempat-empat pasukan ini, hanya Jerman pasukan paling konsisten dalam kejohanan sukan yang diangkat sebagai paling hebat di dunia ini. Empat kali berturut-turut Jerman berjaya memasuki separuh akhir Piala Dunia. Jerman mempunyai pemain-pemain yang hebat-hebat belaka meskipun tidak begitu popular seperti Neymar, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Satu perkara yang tidak boleh dinafikan sama sekali, setiap pemain Jerman memiliki jiwa kental dan bekerjasama sebagai satu pasukan. Inilah sebenarnya kehebatan orang Jerman.

Selama ini kita terlalu taksub dengan Liga Inggeris (English Premier League) tetapi mana perginya pasukan England di pentas Piala Dunia? Mereka setakat hebat di liga tempatan mereka dengan memiliki pemain-pemain import bertaraf dunia. Namun, apabila mengumpulkan pemain-pemain terbaik warganegara England di kejohanan sehebat Piala Dunia, kesudahannya, pasukan kebangsaan England tidak ke mana.

Berbeza dengan pasukan Jerman yang mana liganya tidaklah sebegitu popular sebagaimana Liga Inggeris. Yang menariknya, kelab-kelab Jerman terutamanya seperti Bayern Munich sering kali menguasai pentas Kejohanan Eropah.

Satu perkara yang cukup menarik tentang orang Jerman, mereka sentiasa berdedikasi dalam apa jua lapangan. Ini terbukti apabila ekonomi Jerman berada dalam kalangan kelompok ekonomi terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat, China dan Jepun. Bahkan, tatkala krisis hutang Eropah, Jerman sentiasa menjadi antara kuasa penentu ke atas keputusan-keputusan ekonomi Kesatuan Eropah.

Sistem tadbir urus korporat Jerman juga berbeza berbanding negara-negara yang pernah dijajah British. Syarikat-syarikat korporat Jerman mempunyai keupayaan dan kemampuan di peringkat antarabangsa. Banyak produk Jerman seperti Adidas, BMW, Audi dan Mercedes-Benz menjadi jenama dunia. Salah satu sifat unggul orang Jerman, mereka sentiasa bantu-membantu antara satu sama lain dan mempunyai budaya kerja berkualiti tinggi.

Misalnya, universiti-universiti Jerman tidak terlalu pedulikan dengan ranking tetapi apa yang mereka pedulikan adalah manfaat yang boleh dikembalikan kepada masyarakat setempat. Adakah "permainan" ranking ini menguntungkan kita umat Islam Malaysia?

Kita perlu banyak mengambil iktibar cara kerja orang Jerman. Sebelum ini kita memandang ke arah negara-negara timur seperti Jepun.

Sememangnya cara kerja orang Jepun juga hebat. Sebab itulah kita boleh lihat cara kerja mereka yang berdedikasi berlandaskan Islam meskipun bukan beragama Islam. Sebaliknya di sini kita sukar melihat cara kerja berasaskan tuntutan ajaran Islam meskipun majoriti rakyat Malaysia beragama Islam.

Itu Jepun, manakala Jerman pula sebuah negara yang cukup mementingkan kemajuan masyarakat mereka. Selepas berakhirnya Perang Dingin, Jerman semakin kuat dengan kombinasi Jerman Barat dan Jerman Timur. Perpaduan rakyatnya juga cukup kukuh.

Kalau di negara kita, ada saja pihak yang sengaja mencetuskan isu perkauman yang boleh mengugat perpaduan.

Sewajarnya ketika negara kita menuju ke arah negara maju, perpaduan umat Islam Malaysia semakin kukuh dan maju dalam serba serbi.

Maka tidak ada salahnya, kita mencontohi cara kerja, disiplin dan kerjasama kukuh orang Jepun dan Jerman. Kedua-dua bangsa ini cukup mementingkan kecemerlangan dalam kehidupan mereka meskipun berlainan agama berbanding kita di Malaysia.

Dan jangan lupa mentor ilmu bagi teknologi dan kejuruteraan Jepun adalah Jerman. Itulah hakikatnya! -UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan