Ahad, Jun 29, 2014

Bekas Ahli Kumpulan Ukays Kini Didakwa Berjihad Di Syria?


Rasanya, nama kumpulan Rock zaman 90-an iaitu Ukays sudah lama sepi di arena muzik tempatan. Tiada lagi berita-berita tentang Ukays terutamanya perkembangan terbaru ahli kumpulan mereka.

Terbaru salah seorang bekas ahli kumpulan Ukays iaitu Ali Ukays antara rakyat Malaysia yang dikenal pasti yang terlibat menyertai pergerakan jihad di Syria seperti dilaporkan The Star kelmarin.

Menurut akhbar tersebut, hasil siasatan mendapati Ali Ukays antara individu yang memuat naik gambar-gambarnya serta klip video ke media sosial secara terbuka.


Nama Ali Ukays turut disebut di dalam blog-blog serta laman web pro-militan dan dikatakan telah dipengaruhi oleh individu yang cukup dikenali untuk memasuki Syria dan berjuang bersama kumpulan Mujahidin di sana.

Ali Ukays antara drummer terawal yang pernah keluardengan dua album Ukays iaitu Mencari (1992) dan Bisa Berbisa (1994) yang turut mengandungi lagu hit seperti Berkat Kasihmu, Seksa, Kau SAtu-satunya dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu.

Suara Politik
Belantan

Adakah Pas bakal tuntut jawatan MB Selangor?


Hasrat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didakwa mahu menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor menerusi ‘Langkah Kajang’ dijangka gagal apabila jawatan tersebut dikatakan akan dituntut oleh Pas.

Menurut sumber dalaman kerajaan nege­ri, keadaan itu mungkin berlaku apabila Pas di negeri ini dikatakan mahu meletakkan wakil rakyat mereka untuk mengisi jawatan Menteri Besar berdasarkan kedudukan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi parti itu berbanding PKR yang hanya menang 14 kerusi DUN.

Malah, sumber terbabit turut difahamkan Abdul Khalid tidak mempunyai sebarang masalah untuk berundur daripada jawatan yang disandangnya sejak 2008 bagi memberi laluan kepada Pas.

"PKR difahamkan mahu menggantikan Abdul Khalid dengan Presiden PKR (Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail) yang juga ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Kajang sebagai Menteri Besar. Namun, hasrat PKR itu mungkin sukar untuk diterima oleh Pas.

"Malah, ada desas-desus kuat bahawa Pas kali ini akan mengambil alih jawatan Menteri Besar dan melantik seorang calon yang berkelayakan daripada ADUN mereka di negeri ini," katanya di sini hari ini.

Isu pertukaran Menteri Besar Selangor sekali lagi dibangkitkan apabila wujud dakwaan bahawa Pas Selangor sebulat suara menolak Abdul Khalid untuk terus kekal sebagai Menteri Besar kerana kononnya ADUN Pelabuhan Klang itu sering membuat keputusan secara bersendirian tanpa merujuk parti dalam pakatan pembangkang.

Dakwaan itu turut disiarkan menerusi sebuah portal berita www.themalaysianinsider.com pada 20 Jun lalu yang memetik kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Jaafar Sulaiman.

Dalam laporan itu, Jaafar menyatakan keputusan itu buat dalam satu mesyuarat Badan Perhubungan Pas Selangor dengan kesemua 22 Yang Dipertua Pas kawasan ne­geri ini bersetuju agar Abdul Khalid ditukar kerana dianggap membawa masalah.

Sebelum ini, Abdul Khalid dilaporkan turut menerima kecaman daripada pemimpin PKR sendiri apabila didesak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Sela­ngor sehingga wujudnya ‘Langkah Kajang’ yang menyaksikan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang diadakan pada 23 Mac lalu.

Sementara itu, sumber berkenaan melihat ADUN Sijangkang, Dr. Ahmad Yunus Hairi calon yang sesuai mengisi jawatan Menteri Besar memandangkan kedudukannya ketika ini sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri.

Difahamkan juga, ADUN Tanjung Sepat, Ir. Mohd. Haslin Hassan turut disebut-sebut sebagai antara pemimpin Pas yang dipertimbangkan.

DAP bagaimana pula! Adakah mereka akan menyanggah hasrat Pas ini. Sama-samalah kita tunggu dan lihat?

Suara Politik
Belantan

Sabtu, Jun 28, 2014

Selamat Menyambut Bulan Ramadan Al-Mubarak.


Bulan Syaaban kini sudah hampir melabuhkan tirainya. Ini bermakna fajar Ramadan kembali menyingsing lagi dan umat Islam di serata pelosok dunia mula bersiap sedia untuk berpuasa di bulan Ramadan.

Justeru segala persiapan bagi menemuinya patut dimulakan bagi merealisasikan nilai puasa tingkatan tinggi seperti yang diharap-harapkan. Adalah tidak molek jika bertahun-tahun dikurniakan nikmat bertemu Ramadan sedangkan kualiti puasanya tetap tidak berbeza. Akhirnya setelah Ramadan sekali lagi berlalu pergi, tiada nilai takwa mahupun ganjaran setimpal berjaya diraih setelah bersusah payah berpuasa selama sebulan.

Justeru , umat Islam diseru melakukan yang terbaik bagi menghargai kesempatan terpilih bertemu Ramadan sekali lagi dengan secukupnya. Mukminin yang merindukan ketibaan bulan al-mubarak ini pasti sangat bersyukur dan bergembira atas nikmat terpilih untuk meraih sebesar-besar anugerah yang hanya diberikan oleh Allah SWT.

Malah setiap individu Muslim perlu merasakan Ramadan kali ini adalah yang terakhir dalam hidup mereka sehingga membangkitkan motivasi untuk beramal dengan seikhlas jiwa dan raga. Sementara itu bagi golongan yang lalai, kedatangan Ramadan pasti meresahkan dan akan disambut dengan pelbagai alasan untuk tidak berpuasa. Mereka ini diingatkan supaya bertaubat dan berusaha untuk melaksanakan kewajipan ini kerana ia akan dipersoalkan pada hari kemudian.

Setiap Muslim juga disarankan agar menyucikan diri daripada kekotoran zahir dan batin. Ini dapat dilakukan dengan mula berazam untuk menghindari diri daripada terlibat melakukan perkara keji dan mungkar selain bertekad dengan untuk mengimarahkan Ramadan dengan segala bentuk amalan kebajikan.

Begitu pula segala penyakit mazmumah yang boleh merosakkan nilai ibadah di sisi Allah SWT hendaklah segera dijauhi. Sifat negatif seperti riak, sombong, takbur dan hasad dengki termasuk dalam kategori penyakit hati yang perlu dijauhi. Selain itu pekerjaan buruk berupa perbuatan dosa dan maksiat juga hendaklah dihindari sebagai persediaan mendidik jiwa dan rohani dengan sifat takwa kepada Allah SWT. Ia juga bertepatan dengan pendidikan Ramadan yang terfokus kepada melawan runtunan hawa nafsu yang sentiasa mengintai peluang untuk merosakkan manusia dengan perlakuan negatif.

Setiap Muslim perlu mengikhlaskan niat semata-mata melaksanakan ibadah puasa kerana Allah SWT. Ini kerana setiap amalan akan dinilai berdasarkan niat melakukannya. Sementara itu niat yang betul kerana Allah SWT berupaya mendorong seseorang berusaha bersungguh-sungguh untuk memperoleh pelbagai ganjaran di bulan Ramadan.

Adalah tidak molek jika matlamat dan tujuan berpuasa yang tiba setahun sekali diarahkan semata-mata untuk menyambut hari raya, sehingga segala persiapan seperti pakaian, kuih muih, mengecat rumah dan lain-lain semuanya untuk hari raya yang masih jauh sedangkan Ramadan di depan mata terabai dan tidak dipedulikan. Malah kecenderungan seperti itu elok diganti dengan membuat persiapan menyambut Ramadan dengan berpakaian serba baharu, menghias rumah dengan langsir baharu dengan niat serta tekad yang baharu. Ini selari dengan perintah Allah SWT supaya syurga dihias dan dicantikkan bagi menyambut Ramadan al Mubarak.

Bagi meraih bonus berlipat kali ganda dan yang tidak ternilai sewaktu Ramadan, persediaan dari sudut fizikal, mental dan material juga perlu diusahakan. Individu Muslim disarankan menjaga kesihatan tubuh badan, bersedia mental untuk melawan nafsu tidur, makan dengan berlebih-lebihan serta keinginan lain yang boleh menjejaskan kesempurnaan berpuasa. Begitu pula seseorang perlu bersedia daripada aspek kewangan dan material untuk memperbanyak amalan bersedekah dan menyediakan juadah berbuka puasa. Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan dalam sebuah hadisnya yang bermaksud; "Sesiapa yang memberi ifttar (jamuan untuk berbuka puasa) nescaya akan diampunkan dosanya dan dibebaskan daripada api neraka".

Seyogianya Ramadan dipenuhi dengan segala kerja-kerja ibadah. Amalan biasa seperti berzikir, tadarus al-Quran, solat tarawih dan qiamullail patut disemarakkan lagi. Umat Islam diseru untuk mengimarahkan surau dan masjid secara berjemaah dan berterusan sepanjang Ramadan agar semua beroleh ganjaran rahmat, pengampunan dosa dan pembebasan daripada api neraka di sepanjang Ramadan. Di samping itu segala kegiatan harian hendaklah dipenuhi dengan perkara-perkara yang baik dan bermanfaat. Elakkan daripada membazirkan masa dengan kerja-kerja yang kurang berfaedah lagi berdosa.

Di sudut pandang yang berbeza, terdapat segelintir umat Islam menyangka bahawa berpuasa terhasil dengan hanya menahan diri daripada makan dan minum bermula daripada terbit fajar hingga terbenam matahari serta tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Namun sebenarnya pengertian puasa yang cukup luas dan menyeluruh itu kurang difahami. Ini kerana selain makan dan minum seluruh anggota dan pancaindera juga selayaknya berpuasa yakni berhenti daripada berbuat kemungkaran. Dalam masa yang sama segala kewajipan lain seperti solat lima waktu dan perintah menutup aurat tetap dikerjakan. Masyarakat Islam juga diseru untuk mengelak daripada mengumpat, mengeji orang lain kerana dikhuatiri bakal mengurangkan pahala berpuasa ketika berpuasa.

Ramadan yang tiba setahun sekali turut menjanjikan kenikmatan bertemu malam lailatulqadar yang didambakan oleh setiap hamba yang beriman. Kesempatan yang sangat berharga ini hendaklah dicari dengan bersungguh-sungguh. Setiap individu Muslim perlu menanam azam dan tekad untuk berjihad mencari malam kemuliaan tersebut seraya beroleh ganjaran yang tidak ternilai harganya. Inilah masa paling sesuai untuk semua yang merasa pernah berbuat dosa memohon keampunan dan bertaubat kepada-Nya.

Individu Muslim disaran untuk meningkatkan kualiti puasa daripada sekadar tingkatan puasa awam kepada puasa tingkatan khusus. Ia boleh dilakukan dengan tidak membatasi puasa hanya dengan menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa. Sebaliknya ditingkatkan dengan menjaga seluruh pancaindera daripada melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Di samping itu perkara-perkara wajib yang lain seperti sembahyang fardu dan menutup aurat turut dilaksanakan. Apalah ertinya seseorang berpuasa jika hanya tak makan dan tak minum tetapi kewajipan agama yang lain diabaikan.

Akhirnya setiap Muslimin perlu menaruh harapan tinggi kepada Allah SWT agar puasanya kali ini akan diterima dengan sempurna. Ini kerana dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW menyatakan;

"Setiap amalan anak Adam dilipatgandakan sebanyak 10 kali hingga 700 kali ganda. Allah SWT berfirman kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk aku dan aku yang akan membalasnya, kerana dia meninggalkan syahwat dan makanan keranaku". (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Suara Politik
Belantan

PKR sebenarnya perlukan reformasi dan bukannya reform-kerusi?


Meneliti kemelut pemilihan semula Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di seluruh negara berlaku insiden yang jarang-jarang sekali terjadi dalam sejarah politik Malaysia.

Sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan reformasi ia sepatutnya menjadi teladan kepada parti-parti politik lain bahawa suasana demokratik dan kematangan berbeza pendapat terjadi.

Kemelut yang melanda pemilihan PKR Cabang Nibong Tebal terus berpanjangan selepas bekas penyandang jawatan Ahli Jawatankuasanya menolak keputusan pemilihan kali kedua yang diadakan Ahad lalu. Mereka mendesak pemilihan kali ketiga diadakan.

Pemilihan semula PKR Cabang Kota Raja dicemari ketegangan dan aksi pergaduhan. Ketegangan bermula apabila dikatakan salah seorang pengundi cuba mensabotaj proses pemilihan dengan merosakkan peti undi.

Pemilihan PKR di Cabang Kuala Langat menjadi pemilihan berdarah Sabtu lalu telah membangkitkan emosi kemarahan ahli PKR yang digantung Badrul Hisham Shahrin atau Chegu Bard kerana dendam antara kumpulan.


Sebanyak 37 Cabang PKR di seluruh negara diminta mengadakan pemilihan semula, demonstrasi terjadi di depan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ibu Pejabat parti di Petaling Jaya, Selangor suatu ketika dulu kerana rasa tidak puas hati yang mendalam.

Pada hemat penulis apa yang berlaku bukanlah gambaran sebuah parti yang demokratik dan matang dalam mengendalikan proses pemilihan kepimpinan Cabang.

Dari sudut kepimpinan di semua peringkat, pengurusan organisasi, muafakat sesama ahli, proses pemantauan yang telus, menerima keputusan dengan dada terbuka seharusnya menjadi inti perjuangan sebuah parti reformasi.

PKR mengharapkan reformasi politik berlaku dalam negara. Malangnya, PKR sendiri mengalami masalah dalaman yang serius. PKR patut muncul sebagai sebuah parti politik contoh sama ada dari segi kepimpinan dan pengikutnya.

Peristiwa baling kerusi, pergaduhan, usaha jatuh-menjatuhkan antara satu dengan yang lain bukanlah gambaran demokratik yang diperlukan oleh politik Malaysia.


Ia belum lagi dilihat fahaman kelompok yang terjadi. Fahaman kelompok bukanlah suatu ciri baik dalam sebuah parti reformasi. Parti reformasi menjadikan ciri demokratik, sikap terbuka dan matang serta pengendalian urusan parti dengan tulus dan telus kerana ia berhasrat memerintah negara.

Sebuah negara seperti Malaysia yang berbilang kaum memerlukan jalan bijaksana menyantuni masyarakatnya dalam politik kerana fahaman kelompok apa lagi rasis boleh membawa kepada krisis.

PKR sepatutnya jauh lebih berdaya maju kerana asas reformasi yang didukung oleh pemimpinnya memerlukan contoh dan teladan. Kalau soal dalam parti kelihatan kecoh dan payah untuk diurus bagaimana situasi negara yang jauh lebih kompleks mampu dikendali.

PKR memerlukan proses transformasi dalaman yang serius. Kepimpinan contoh di semua peringkat harus mampu melakukan perkaderan dan tarbiyyah supaya hala tuju perjuangan difahami dengan baik dan proses memilih pemimpin boleh terjadi dengan semangat muafakat yang tinggi.

Hindarkan politik kelompok yang meletakkan PKR terdedah dalam persaingan kelompok yang lebih mementingkan pengaruh dan kuasa dan menyebabkan persaingan sengit terjadi. Bila ia terjadi rasa berpuak-puak terbina.


Sebagai sebuah parti politik berbilang kaum dan majoritinya adalah Melayu PKR harus mempunyai ideologi atau asas yang jelas mengenai arah tuju perjuangannya dalam realiti Malaysia yang majmuk.

Rakan dalam pakatan, DAP cuba menampilkan sifat berbilang kaum tapi majoriti kepimpinan dan ahlinya terdiri dari orang Cina dan mengambil pendirian menentang negara Islam dan hudud.

Pas hala tuju perjuangannya masih mahukan negara Islam dan hudud. Pas Kelantan secara terang-terangan mahukan hudud dibawa ke Parlimen dan dilaksanakan di Kelantan. Ia ditentang oleh pemimpin DAP dan menjadikan Anwar serba salah.

Reformasi tidak saja harus berlaku dalam PKR tetapi juga dalam Pakatan Rakyat. Secara ideologi Pakatan Rakyat yang ada adalah rapuh kerana ideologi yang diperjuangkan saling bercanggah. Keputusan Pilihan Raya Kecil Teluk Intan semacam memberikan indikator mengenai pakatan pembangkang ini pada masa depan.

Suara politik
Belantan

Jumaat, Jun 27, 2014

'Blackout' sebabkan Khalid kalah Ketua Cabang PKR Kuala Selangor!


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tewas kepada bekas Ahli Parlimen Kapar, S. Manickavasagam dalam merebut jawatan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Selangor dalam pemilihan yang diadakan Sabtu lalu.

Manickavasagam memperoleh 701 undi, menewaskan Abdul Khalid yang mendapat 515 undi.

Keputusan tidak rasmi itu diperoleh selepas proses pengiraan undi yang dimulakan kira-kira pukul 1 pagi dan tamat kira-kira pukul 5 pagi ini di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Bagaimanapun, bagi jawatan Timbalan Presiden, Abdul Khalid mendapat 517 undi, (Timbalan Presiden PKR) Azmin Ali mendapat 440 undi manakala Datuk Saifuddin Nasution Ismail 50 undi.

Difahamkan, undi untuk jawatan Timbalan Presiden PKR dikira terlebih dahulu diikuti dengan jawatan ketua cabang.

Bagaimanapun, selepas Abdul Khalid 'menang' bagi jawatan timbalan presiden, berlaku insiden bekalan elektrik terputus menyebabkan pengiraan undi bagi ketua cabang terpaksa ditangguhkan.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.30 malam dan bekalan elektrik hanya pulih dua jam kemudian sebelum proses pengiraan undi diteruskan.

Dalam pada itu, sumber berkata, kekalahan Abdul Khalid itu dirancang oleh pihak tertentu bagi mengelak Menteri Besar itu memenangi kedua-dua jawatan.

Menurut sumber, ini dapat dilihat apabila berlakunya perkara-perkara yang meragukan semasa proses pengiraan undi malam tadi terutama kejadian terputus bekalan elektrik.

Difahamkan, Abdul Khalid akan membuat bantahan terhadap keputusan pemilihan yang belum diumumkan secara rasmi itu ekoran pelbagai insiden 'mencurigakan' itu.

Suara politik
Belantan

Khamis, Jun 26, 2014

Kabinet baru : Diharap jangan sekadar jadi 'penumpang' sudahlah?


Pelantikan pemimpin MCA dan Gerakan dalam Kabinet mampu memenuhi aspirasi kaum Cina dan memberi kesan positif kepada Barisan Nasional (BN).

Ini khususnya dari segi imej BN yang mengutamakan dasar keterangkuman memberi tempat kepada semua kaum.

Senario ini sesuai dan menepati landskap politik negara masa kini. Kemasukan wakil-wakil daripada dua parti terbesar kaum Cina itu mampu memberi keyakinan kepada kaum Cina. Maknanya, BN ada tempat untuk mereka, sekali gus ‘sekurang-kurangnya’ menitip sedikit-sebanyak keyakinan kaum itu kepada BN. Apatah lagi BN tahu dan sedar implikasinya jika MCA dan Gerakan selamanya dibiarkan berada di luar Kabinet.

Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengenai tambahan dalam Kabinet yang menyaksikan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dilantik Menteri Pengangkutan manakala Gerakan diketuai Datuk Mah Siew Keong dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, diharap dapat memberi suntikan kekuatan kepada dua parti itu untuk memperjuangkan masyarakat Cina.

Ini kelak akan mewujudkan situasi menang-menang untuk kaum Cina dan BN mengorak langkah ke depan untuk kestabilan politik negara.

Cuma, penulis pada masa sama mahu mengingatkan wakil-wakil MCA dan Gerakan bahawa pelantikan mereka ke dalam Kabinet harus dijadikan titik awal dua parti ini untuk membantu mengembalikan sokongan kaum Cina kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Tempoh menjelang pilihan raya umum paling mencabar ini sungguh singkat. Hanya tiga setengah tahun lagi.

Dalam hal ini, MCA dan Gerakan harus dapat mengemukakan dengan berani tetapi beradab tuntutan-tuntutan, aspirasi dan masalah kaum Cina kepada kerajaan. Jangan retorik dan membuta-tuli semata-mata hendak ‘menyaingi’ DAP. Juga, jangan hanya untuk ‘menyedapkan sangkaan’ pucuk pimpinan sahaja.

Ini penting supaya MCA dan Gerakan tidak dilihat sekadar penumpang sahaja dalam Kabinet. Kaum Cina tentunya mahu melihat sumbangan MCA dan Gerakan yang ‘terkesan’ untuk mereka. Kalau Tiong Lai dan Siew Keong berupaya dan berjaya mengemukakan aspirasi kaum Cina dengan ‘berani tetapi beradab’, dan kemudian diterjemahkan kerajaan, nescaya ini akan memberi kesan positif `menang-menang’ dalam penerusan dasar-dasar kerajaan.

MCA dan Gerakan jangan lupa cabaran yang didepani mereka untuk mengembalikan sokongan kaum Cina cukup getir. Mereka dibadai kekalahan teruk dalam PRU-13 tahun lalu.

Dalam PRU itu, MCA hilang lebih banyak kerusi kepada pembangkang, yang turut meranapkan ‘kubunya’ di Johor. Parti itu hanya memenangi tujuh kerusi parlimen dan 11 kerusi negeri, jauh lebih sedikit daripada 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi negeri yang dimenanginya pada PRU 2008. Pada PRU tahun lalu itu, MCA bertanding di 37 kerusi Parlimen dan 90 kerusi negeri.

Gerakan pula hanya menang satu kerusi Parlimen (Simpang Renggam, Johor) daripada 11 kerusi yang ditandingi, manakala untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya memperoleh tiga kerusi iaitu Pemanis di Johor serta Tanjong Papat dan Elopura di Sabah daripada 31 kerusi yang ditandingi.

MCA khususnya kalah kesemua kerusi yang ditandinginya di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, yang menunjukkan kegagalannya menawan kembali hati masyarakat Cina, walaupun pelbagai ikhtiar dilakukan untuk memulihkan kekuatannya 2008.

Malahan, calon DAP terutama di Pulau Pinang mendapat majoriti kemenangan yang cukup besar ke atas calon MCA dan Gerakan. Keputusan sama dapat disaksikan di negeri-negeri lain.

Di Seputeh, calon DAP di situ memperoleh majoriti undi 51,552 berbanding hanya 47,230 dalam pilihan raya umum 2008. Margin kemenangan besar turut dicatat DAP di Kepong dengan perbezaan berbanding saingannya, BN sebanyak 40,307 undi.

DAP turut mendapat majoriti luar biasa Parlimen Bukit Bendera dan Bagan.

Sememangnya cabaran yang dipikul MCA dan Gerakan cukup besar untuk menarik semula minat kaum Cina kepada mereka. Apakah kaedah yang akan digunapakai kedua-dua parti untuk melenyapkan syak wasangka dalam kalangan orang Melayu bahawa kaum Cina ‘tidak berniat’ mahu merampas kuasa dalam PRU-13.

Sentimen ini masih segar dalam fikiran orang Melayu khususnya daripada UMNO. Diuar-uarkan secara meluas motif orang Cina pada Mei 2013 itu hanyalah untuk menjatuhkan UMNO yang telah selama 55 tahun ‘menindas’ mereka dengan memberi pelbagai keistimewaan kepada bumiputera. Kerana itu dilihat kawasan-kawasan majoriti Cina, DAP menang dengan puluhan ribu undi.

Jika parti, calon dan khidmat wakil rakyat dijadikan alasan, tentulah pemimpin MCA seperti Datuk Seri Kong Cho Ha tidak tewas di Lumut. Apakah bentuk perkhidmatan dan pertolongan yang tidak diberikan kepada kaum Cina oleh Cho Ha dan Datuk Seri Zambry Abd. Kadir. Tapi, kerana mahu menjatuhkan UMNO mereka memilih untuk ‘membelasah’ Cho Ha.

Di DUN Sekinchan, Sungai Besar, Selangor pula, apa yang BN tidak bantu mereka selama lima tahun ini? Sekolah Cina? Bot nelayan? Bantuan kebajikan? Malah bila mereka minta Cina tempatan sebagai calon, juga BN berikan.

Akhirnya apa balasan mereka? Mereka beri undi kepada DAP dengan jumlah lebih besar walaupun ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim tidak memberi apa-apa bantuan kepada mereka.

Malahan, Timbalan Pengerusi BN Selangor ketika PRU-13 itu, Datuk Seri Noh Omar pun hairan. Padahal, beliau meramalkan kemenangan BN Selangor di banyak kerusi.

Kata Noh yang masih tergiang-giang di kepala penulis:

"Sebelum ini program-program BN buat untuk masyarakat Cina mendapat kehadiran amat luar dugaan, kita sasarkan kehadiran 5,000 tetapi yang datang sehingga 10,000 orang.

"Waktu berkempen, kehadiran pengundi-pengundi masyarakat Cina pada dasarnya seperti menyokong program BN begitu baik sekali. Bagaimanapun, pada hari pilihan raya semalam, BN Selangor tidak mendapat undi seperti yang diharapkan."

"Contohnya di bahagian saya walaupun majoriti saya meningkat berbanding 2008, begitu juga Parlimen Tanjung Karang, tapi kami kalah teruk di kawasan majoritinya pengundi Cina. Tak ada satu peti undi pun kita menang di kawasan pengundi Cina. Sedangkan tak ada satu pun yang saya tidak tolong masyarakat Cina. Kita terkejut kita kalah banyak terutama di peti-peti undi Cina.

"Kalau benar kita benci orang kerana rasuah, kerana seleweng, kerana zalim tentulah kita tidak akan minta tolong, tidak akan datang majlis dan tidak akan salam dengan orang yang kita benci ini," kata Noh.

Apa-apa pun tahniah khususnya kepada Tiong Lai dan Siew Keong!

Ketika kedua-dua Presiden parti ini harus tabik hormat ke atas kepercayaan yang diberikan Perdana Menteri kepada mereka, mereka harus jujur dan komited membantu perjuangan BN.

Pergi dan nyatakanlah dengan berani, telus dan jujur kepada kaum Cina. BN tidak memperjuangkan satu kaum semata-mata tetapi seluruh rakyat Malaysia. Dan marilah kembali berganding bahu dengan kami.-UMO

Suara Politik
Belantan

Rabu, Jun 25, 2014

Hasutan: Adam Adli diperintah bela diri?


Aktivis propembangkang, Adam Adli Abd. Halim diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan untuk menggulingkan kerajaan di Dewan Perhimpunan Cina, tahun lalu.

Hakim Mat Ghani Abdullah memutuskan demikian setelah berpuas hati, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

"Setelah meneliti pertuduhan secara maksimum, saya mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan intipati pertuduhan dan wujud kes prima facie," katanya.

Mahkamah menetapkan 22 Julai ini untuk tertuduh membela diri.

Berdasarkan pertuduhan Adam Adli, 24, yang merupakan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) didakwa menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan membangkitkan rakyat negara ini supaya diubah kerajaan yang memerintah.


Dia didakwa melakukan perbuatan itu ketika berceramah di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di No. 1, Jalan Maharajalela, di sini antara pukul 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei tahun lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd. Abbas mengemukakan empat saksi terdiri daripada anggota polis termasuk Ketua Polis Balai Dang Wangi sepanjang perbicaraan.

Sementara itu, peguam Eric Paulsen yang mewakili Adam Adli berkata, beliau akan mengemukakan seorang saksi iaitu tertuduh sendiri pada prosiding pembelaan.

Suara Politik
Belantan

Dikatakan 'Projek Langgar Hadi' muncul kembali?


Satu usaha menghidupkan 'Projek Langgar Hadi' iaitu gerakan menjatuhkan kepimpinan ulama dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) didakwa muncul kembali serta didalangi beberapa pemimpin termasuk seorang Ahli Parlimen Pas Selangor, editor dan wartawan daripada sebuah portal propembangkang.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Syarhan Humaizi Abdul Halim berkata, kumpulan tersebut menggunakan portal berita propembangkang sebagai medium memfitnah dan memburukkan Abdul Hadi kononnya peranan Presiden Pas itu menyebabkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim gagal disingkirkan oleh pihak tertentu.

Menurut beliau, cubaan memburukkan kepimpinan ulama itu dilakukan ekoran ketegasan Abdul Hadi dalam menegakkan syariat Islam di Selangor dan seluruh negara.

"Yang lebih memeritkan, sudahlah terdapat beberapa kenyataan dibuat salah seorang ahli Parlimen Pas Selangor yang ternyata membelakangkan keputusan Pas Selangor, kini dengan penuh biadab peluru itu ditujukan pula kepada Presiden Pas.

"Tuan guru difitnah sebagai punca kegagalan menyingkirkan Abdul Khalid selepas kegagalan 'Kajang Move' yang dirancang pihak tertentu. Tidak menghairankan apabila tuan guru dimangsakan sebagai penyebab kegagalan kerana tujuan sasaran utama sebenarnya ialah tuan guru sendiri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Syarhan Humaizi, individu-individu tersebut yang membuat kenyataan melalui media propembangkang adalah pemimpin munafik yang sedang berusaha melaga-lagakan pemimpin Pas sehingga memfitnah Abdul Hadi sebagai punca kegagalan mereka menyingkirkan Menteri Besar Selangor.

Tegasnya, mereka adalah pemimpin sama yang turut mendakwa Abdul Hadi sebagai pemimpin pro-UMNO dan melagakan beliau dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas PRU-12.

"Masih segar lagi dalam ingatan saya usaha melaga-lagakan dua tok guru, Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz oleh individu-individu upahan tadi. Tidak cukup itu, kemudiannya memfitnah tuan guru sebagai punca projek 16 September 2008 (kononnya 30 ahli Parlimen Barisan Nasional akan keluar parti dan menyokong pembangkang) yang gagal.

"Selepas gagal menjatuhkan tuan guru melalui serangan berterusan, kemudiannya tuan guru diserang melalui orang kuatnya seperti melalui menantunya dan melalui bekas Ketua Pemuda Pas. Usaha ini terus berlangsung akibat ketegasan tuan guru yang komited dengan prinsip Pas dalam menegakkan syariat Islam di bumi Malaysia," tegasnya.

Sehubungan itu, Syarhan Humaizi menegaskan, semua pemimpin Pemuda Pas akan sentiasa mempertahankan parti itu daripada sebarang 'parasit liberal' dan mencabar portal berita propembangkang berkaitan supaya menyatakan nama sumber dalaman yang digunakan dalam setiap laporan mereka.


"Ramai musuh Islam dari luar dan dalam yang sedang merangka 'grand design' ini. Ada yang bertaraf Yang Berhormat, editor dan ada wartawan yang bersekongkol untuk menjayakan usaha ini sejak sekian lama.

"Kalimah biadab adalah kalimah yang sesuai ditujukan kepada mereka atas perbuatan ini. Kami, para Pemuda Pas akan sentiasa mempertahankan Pas daripada sebarang 'parasit liberal' yang sedang menjalar ini," ujarnya.

Tambahnya, Pas Selangor tiada kaitan dengan kegagalan menjatuhkan Abdul Khalid tambahan pula ketika ini, semua komponen kerajaan pembangkang sepatutnya meningkatkan komitmen menjaga kebajikan rakyat, bukannya dengan kaedah menyerang agenda itu yang boleh menguntungkan musuh.

"Saya amat bersetuju dengan kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abd. Samad yang menafikan pendirian Pas Selangor berhubung beberapa kenyataan mengelirukan yang mendakwa Pas Selangor ingin menolak Abdul Khalid," katanya.

Suara Politik
Belantan

Selasa, Jun 24, 2014

CIA kawal keselamatan pesawat Boeing, kata Global Flight?


Pengeluar pesawat terkemuka, Boeing sentiasa mengambil langkah proaktif untuk memastikan pengguna yakni penumpang pesawat dalam keadaan selamat semasa berada di udara. Boeing antara pengeluar pesawat termoden dan terbesar dunia dan boleh dikatakan di udara sekarang bersimpang siur dengan pesawat Boeing yang dibeli oleh banyak negara.

Walaupun semua pesawat Boeing yang berterbangan di udara telah dijual tetapi tetap ada perjanjian "khidmat selepas jual". Ini boleh dianalogikan kepada mereka yang membeli kereta mewah, walaupun kereta itu sudah bertukar nama tetapi pembuat kereta itu tetap memberikan khidmat kepakaran apabila berlaku sebarang masalah. Ini kerana hanya pembuatnya sahaja yang mahir tentang selok belok atau "perangai" kereta buatan mereka.

Hal yang sama juga dilakukan oleh Boeing. Syarikat ini mempunyai tanggungjawab terhadap setiap yang berlaku ke atas pesawat Boeing. Tentu sahaja membeli sebuah pesawat Boeing tidak sama dengan kita membeli sebuah lampu picit di kedai Ah Kau yang kalau rosak tidak lagi menjadi tanggungjawab Ah Kau. Sebab itu Boeing sangat prihatin terhadap keselamatan pesawat dan juga penumpang.

Salah satu usaha mempertingkatkan keselamatan pesawat dan penumpang ialah memasang alat Advanced Route Evaluation System (ARES) yang dihubungkan kepada pihak Agensi Perisikan Pusat (CIA). Menurut jurnal penerbangan, Global Flight 1 Disember 2006, dengan menggunakan alat kawalan jauh ini, CIA boleh memantau semua penerbangan pesawat Boeing di seluruh dunia. Ini bertujuan untuk menghalang daripada perampas melencongkan pesawat di luar laluan yang sepatutnya.

Menurut Global Flight, Boeing telah menggunakan alat itu sejak 2006 sebagai langkah proaktif menangani kejadian rampasan pesawat di mana perampas akan memaksa juruterbang melencongkan pesawat ke lokasi yang dikehendaki. Dengan menggunakan ARES, CIA yang memantau penerbangan pesawat Boeing akan mengambil alih tugas juruterbang secara kawalan jauh dan memandu pesawat itu ke lapangan terbang yang berdekatan dan selamat untuk mendarat.

Menerusi ARES, apabila CIA mengesyaki sesebuah pesawat Boeing itu dalam keadaan "luar biasa" sama ada isyarat diberikan oleh juruterbang atau CIA melihat pesawat telah terkeluar laluan, CIA akan mengambil alih sepenuhnya pemanduan pesawat berkenaan dan semua sistem di kokpit sudah tidak berfungsi lagi. Sekiranya dirampas, pesawat itu tidak boleh dilencongkan seperti yang selalu berlaku dalam rampasan pesawat sebelum ini.

Menurut artikel itu, dalam keadaan sekarang (2006) di mana semua pesawat Boeing dipasang dengan alat ARES, pergerakan pesawat adalah dalam tangan CIA dan tidak mungkin pesawat Boeing, apa lagi yang dikelaskan sebagai termoden akan terkeluar dari operasi kawalan jauh CIA. Maknanya pesawat Boeing menjanjikan keselamatan yang maksimum dan sekiranya perampas dalam kalangan teroris yang mahu membalas dendam terhadap Amerika Syarikat (AS), kerja mereka akan sia-sia kerana CIA tahu apa yang berlaku.

Penggunaan peralatan kawalan jauh yang dikendalikan oleh CIA ini memberikan keyakinan kepada penumpang-penumpang yang trauma membaca berita tentang pesawat yang dirampas. Penumpang akan selamat apabila keselamatan mereka dipantau setiap saat oleh CIA. Sekiranya perampas bertindak membunuh penumpang yang dijadikan tebusan, kerja itu adalah sia-sia. Juruterbang sudah tidak ada peranan lagi dan pesawat Boeing bertukar menjadi pesawat tanpa pemandu seperti yang digunakan oleh AS untuk mengintip dan mengebom musuh.

Pada 2006, Boeing dalam satu kenyataannya berkata, "Kami secara berterusan mengkaji dan melaksanakan pelan keselamatan kepada penumpang dan menjadi pesawat yang paling cekap di dunia dalam penerbangan." Selain mematikan sistem yang dikemudikan oleh juruterbang, ARES juga dibekalkan dengan sumber tenaga elektrik sendiri yang tidak boleh diputuskan secara manual.

Menurut jurucakap syarikat Raytheon Corporation telah berjaya mendapat kontrak yang dikeluarkan oleh Federal Avation Administration untuk memasang ARES pada pesawat Boeing, sistem ini bukan sahaja menyediakan pemanduan secara kawalan jauh oleh CIA malah menyediakan analisis pada laluan penerbangan yang selamat kepada CIA ketika pesawat dalam keadaan kecemasan.

Sebenarnya semua ini bukan baharu malah sudah lapan tahun digunakan dan banyak orang tahu tentang teknologi pemantauan yang digunakan oleh pesawat Boeing. Dengan teknologi ini juga memungkinkan tidak ada pesawat Boeing hilang dan tidak dapat dikesan.

Dengan teknologi, dunia menjadi semakin kecil. Semua pergerakan boleh dipantau dan sudah tentu tidak boleh hilang begitu saja.

Antara faktor yang mendorong Boeing menggunakan alat ini ialah kejadian rampasan pesawat untuk melanggar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001. Sekiranya menggunakan alat kawalan jauh ini sudah pasti tidak ada pesawat yang akan melanggar WTC kerana telah dilencongkan oleh CIA. Sebenarnya Boeing melakukan semua ini bukan sahaja kerana tanggungjawab kepada penumpang pesawatnya tetapi untuk menjaga reputasi. Kalau boleh Boeing tidak mahu sebuah pun pesawatnya bermasalah kerana itu akan menghilangkan keyakinan pembeli pada masa akan datang. Salah satu pesawat Boeing yang dilengkapi ARES adalah MH370?

Suara Politik
Belantan

Isnin, Jun 23, 2014

Pertikaian kalimah Allah dalam The Herald selesai, mahkamah tolak permohonan Gereja Katolik!


Saga pertikaian dan perebutan pengunaan kalimah Allah dalam penerbitan mingguan Katolik, The Herald sejak tahun 2009 berakhir apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Geraja Katolik untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober tahun lalu yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya, The Herald hari ini.

Dalam penghakiman 7 panel yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria itu empat hakim menolak permohonan rayuan Geraja Katolik sementara tiga lagi menyokong.

Keputusan dibuat selepas mendengar penghujahan pihak Gereja Katolik dan kerajaan serta majlis agama Islam pada 5 Mac lalu.


Empat hakim yang menolak permohonan Gereja Katolik adalah Arifin, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Suriyadi Halim Omar

Sementara hakim yang menyokong rayuan adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zainun Ali dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.

Peguam yang mewakili pihak kerajaan, Datuk Zainol Rijal Abu Bakar berkata, keputusan dibuat selepas panel hakim meneliti 28 persoalan yang dikemukakan kepada Mahkamah Pesekutuan untuk dijawab.


"Selepas penelitian dibuat terhadap 28 persoalan itu, majoriti hakim berpendapat permohonan Gereja Katolik untuk merayu tidak memenuhi Seksyen 96 untuk permohonan mereka didengar," jelas Zainol Rijal yang ditemui selepas prosiding mahkamah selesai.

Keputusan yang diumumkan pada kira-kira 10.15 pagi itu disambut dengan penuh syukur oleh kira-kira lebih 300 muslimin dan muslimat yang berhimpun di perkarangan Istana Kehakiman di sini sejak seawal tujuh pagi tadi.

Kronologi pertikaian penggunaan kalimah Allah bermula pada 16 Februari 2009 apabila pihak Gereja Katolik diketuai Archbishop Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden.

Gereja Katolik menuntut, antara lain satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Januari 2009 berhubung larangan penggunaan kalimah Allah dalam akhbar mingguan Katolik, The Herald adalah tidak sah dan kalimah Allah bukanlah eksklusif kepada agama Islam.



Akhbar mingguan Katolik yang dicetak dalam empat bahasa, menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan untuk God bagi seksyen bahasa Melayu namun pihak kerajaan dan majlis agama Islam berhujah bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh orang Islam sahaja.

Pada 31 Disember 2009, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan memerintahkan bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang penerbitan akhbar mingguan The Herald itu daripada menggunakan kalimah Allah dalam majalah edisi bahasa Melayu, adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.

Pada 5 Januari 2010, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Gereja Katolik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan Herald.


Pada Julai 2013, Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur memfailkan permohonan bagi membatalkan permohonan rayuan majlis agama Islam dan pihak kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Herald

Pada 22 Ogos 2013 Mahkamah Rayuan menolak permohonan berkenaan sekaligus membenarkan pihak majlis agama Islam dan kerajaan meneruskan rayuan.

Pada 14 Oktober 2013 panel hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Mohamad Zawawi Salleh membuat keputusan menghalang The Herald daripada menggunakan kalimah Allah selepas mendengar hujah rayuan pihak kerajaan dan beberapa majlis agama Islam negeri pada 10 September 2013.

Alhamdulillah....Allahuakbar...Allahuakbar...

Suara Politik
Belantan

Mereka 'bergotong-royong' jatuhkan MB?


Cadangan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad agar kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dihapuskan semakin menyerlahkan kelemahan pentadbiran dua penggal Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Lebih mengesankan, tindakan Khalid yang mendapat sokongan tiga Ahli Parlimen Pas Selangor lain menunjukkan betapa lintang pukangnya hubungan antara pemimpin Pas dan juga antara pemimpin pakatan pembangkang di negeri itu.

Belum pun sempat cadangan itu dicerna, Pesuruhjaya Pas Selangor yang baharu, Iskandar Samad cepat-cepat memutuskan kaitan Khalid dengan Pas. Cadangan itu dianggap pandangan peribadi Khalid, yang pada tahun lalu digugurkan daripada jawatan Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor dalam rombakan baharu kepemimpinan Pas negeri. Tetapi bagaimanakah pula mahu menjelaskan tentang kehadiran sama Hanipa Maidin (Sepang), Siti Mariah Mahmud (Kota Raja) dan Che Rosli Che Mat (Hulu Langat) dalam sidang akhbar Khalid itu?

Dalam banyak isu, kumpulan yang selalu dilabel sebagai Awnarinas dalam Pas ini mahu menonjol tetapi selalu dilihat tidak kena pada tempatnya. Sepatutnya isu antara MAIS dan kerajaan negeri diselesaikan secara bijaksana dalam suasana harmoni.

Negeri lain pun mengamalkan konsep pentadbiran yang hampir sama. Tidak pula kecoh. Tidak pula terlihat ada wakil rakyat sengaja memprovokasi majlis agama Islam dan kerajaan negeri. Ternampak sangat sentimen perseteruan dalam parti dibawa-bawa dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri. Di Selangor, hal-hal mudah menjadi rumit kerana terlalu banyak campur tangan orang politik yang mahu meraih keuntungan sendiri. Jika diperhalusi, merekalah sebenarnya yang mempolitikkan isu agama dan hal sensitif agar kewujudan mereka dapat terus dirasai oleh rakyat.

Tidak ada kepakaran

Mereka tidak ada kepakaran lain walaupun sudah bertukar peranan selaku penyokong dan pendukung kerajaan. Hendak bercakap soal pembangunan, malu kerana tiada langsung track record yang boleh dibanggakan. Hendak membantu menyelesaikan masalah rakyat jauh sekali kerana selama ini hanya tahu menjaja air liur.

Mungkinkah cadangan Khalid ini yang dimaksudkan sebagai 'syor-syor yang tidak munasabah' dalam titah Sultan Selangor pada Khamis lalu? Dalam titahnya, baginda berpendapat isu rampasan Bible oleh JAIS tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana ahli politik sehingga boleh mengeliru dan meresahkan masyarakat.


Cadangan Khalid itu sekali gus boleh digambarkan sebagai cubaan untuk merendah-rendahkan kemampuan Exco yang menjaga potfolio agama, Sallehen Mukhyi yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Selangor. Tetapi apalah peliknya. Inilah corak pentadbiran Kerajaan PKR Selangor. Bertelagah, saling menyerang dan memperlekeh sesama sendiri menjadi amalan yang selalu dipertontonkan kepada rakyat. Tidak pernah kita dengar mereka bercakap soal kualiti kerja apatah lagi untuk menambah baik apa yang ada.

Bilakah agaknya kita dapat melihat pemimpin pakatan pembangkang sepakat dan bersungguh-sungguh berpadu tenaga dan pemikiran untuk melaksanakan program rakyat? Rasanya, kali terakhir ialah semasa pelancaran manifesto pilihan raya dulu. Selepas itu, nihil. Hanya tak sudah-sudah berjanji, cakap berdegar-degar dalam ceramah dan sidang akhbar.

Sejak kebelakangan ini pula serangan ke atas pentadbiran Abdul Khalid semakin intensif. Selepas Langkah Kajang untuk meletakkan Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar gagal, Abdul Khalid terus diletakkan dalam kedudukan tidak senang duduk, dihambat dengan kritikan, kecaman dan tuduhan.

Seperti biasa mereka yang kononnya mewakili penduduk tertindas memutar belit fakta dan hujah. Mereka mendakwa sikap Abdul Khalid berbahaya kerana akan membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri. Mereka sepakat merumuskan bahawa kerajaan pakatan pembangkang bakal kehilangan undi.

Lebih daripada itu, mereka mengecam persetujuan kerajaan negeri membenarkan kutipan tol di lebuh raya Kinrara-Damansara (Kidex) kerana bertentangan dengan manifesto pilihan raya. Pelik bukan, sedangkan wakil rakyat yang sama ini tidak pula bising dengan keputusan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang membenarkan kutipan tol dalam projek kontroversi terowong dasar laut negeri itu.

Mungkinkah siri serangan ke atas pentadbiran Abdul Khalid ini sebagai satu tekanan berterusan supaya beliau digantikan. Selepas PKR sendiri yang beria-ia mahu menggugurkan Abdul Khalid, kini semangat itu telah merasuk pula kumpulan pemimpin Pas dan DAP. Inilah cara politik mereka. Atas kertas, tidak lama lagi Selangor bakal mendapat Menteri Besar baharu. Tetapi ini juga sangat bergantung kepada talian hayat terakhir yang ada pada Abdul Khalid.

Jika beliau dapat menambah kapasiti kuasa dengan memenangi persaingan jawatan Timbalan Presiden PKR yang sedang berlangsung sekarang, apa juga gerakan dan konspirasi menjatuhkan beliau bakal tertutup. Jika tidak, bergembiralah seteru-seteru politik dalam PKR, DAP dan Pas.

Tetapi apakah rakyat gembira dan merestui karut-marut politik yang berlegar di sekitar pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor ini? Jika benar bagai diduga Menteri Besar akan disingkirkan, jelaslah slogan kebanggaan 'Merakyatkan Ekonomi Selangor’ hanya sandiwara sahaja. Bukan sekadar Abdul Khalid gagal tetapi PKR, DAP dan Pas juga gagal dalam mempertahankan sebuah kerajaan negeri yang kononnya direstui rakyat itu.

Oleh : Zulkifly Hamzah

Suara Politik
Belantan

Sabtu, Jun 21, 2014

Jangan keluar lesen judi untuk Berjaya Hills?

Pengunjung sudah cukup terpesona dengan seni bina bangunan ala-Perancis di Berjaya Hills ditambah pula dengan panorama sekitarnya yang menyegarkan.

Seperti diduga, Kumpulan Berjaya - pemilik pusat peranginan yang mereka namakan dengan gah, Berjaya Hills (asalnya, Bukit Tinggi Resort - nama menurut geografi kawasan) di Bukit Tinggi, Bentong, mahu membuat permohonan semula bagi mendapat lesen judi bagi kegunaan resort ini.

Ini dipercayai ada kaitan dengan laporan berita sebelum ini tentang kebarangkalian Resorts World Genting (RWG) - pengendali tunggal bagi pusat perjudian di negara ini setakat ini, memohon menambah lagi 100 meja judi di pusat peranginannya di Genting Highlands dalam usaha naik taraf bernilai RM3,000 juta di sana.

Permohonan semula bagi mendapat lesen judi di Berjaya Hills ini mungkin berasaskan logik; jika RWG memohon dan dipertimbangkan untuk menambah lagi 100 meja judi, mengapa pula permohonan mereka (Kumpulan Berjaya) yang telah ditolak sebelum ini, tidak mendapat layanan sepertimana RWG?

Rancangan untuk memohon semula lesen judi ini disebut oleh pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan sepertimana laporan berita yang disiarkan dalam halaman pertama sisipan Business Times keluaran akhbar New Straits Times pada 17 Jun.

Beliau dilaporkan berkata agar permohonan semula ini - dengan menyuntik pelaburan kira-kira RM3,000 juta (sama nilai sepertimana yang diumumkan oleh RWG untuk menaik taraf resort mereka di Genting Highlands); tidak akan menerima tentangan daripada mana-mana pihak.

"Kami akan memohon semula lesen itu. Malaysia tidak boleh tertumpu kepada satu pengendali. Ia patut dikongsi dengan pengendali-pengendali lain memandangkan pembangunan pelancongan boleh menjana pendapatan yang banyak kepada negara," Tan dilaporkan sebagai berkata.

Beliau juga berkata, "Kami akan memasarkan Berjaya Hills secara global, sebagai destinasi kasino. Saya mempunyai tanah seluas 4,600 hektar di Berjaya Hills dan banyak yang boleh dilakukan dengan pemilikan lesen berkenaan."

Seperti yang kita masih ingat, Kumpulan Berjaya telah pertama kali memohon mendapatkan lesen judi bagi Berjaya Hills pada awal tahun 2000, semasa negara masih di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, permohonan itu menerima tentangan keras terutamanya daripada Kerajaan Negeri Pahang sendiri, yang ketika itu, Datuk Seri Adnan Yaakob berada pada awal tempohnya sebagai Menteri Besar lagi.

Tentangan keras tersebut bukan sahaja dinyatakan dengan jelas dan dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan hingga mendapat reaksi serta sokongan padu daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tetapi turut disampaikan menerusi saluran betul dalam hubungan Kerajaan Negeri ke Kerajaan Persekutuan.

Ketika itu juga, penulis sendiri ada bertanyakan kepada seorang pegawai tinggi Kumpulan Berjaya tentang rasional di sebalik permohonan untuk lesen judi berkenaan yang jawabnya, ialah untuk bersaing dengan RWG.

"Bagaimana kerajaan hendak berharap kami bersaing dengan Genting jika kami tidak diberikan lesen," begitulah lebih kurang alasan yang diberikan, yang dalam hati penulis tertanya pula, "Bila pula kerajaan suruh Berjaya bersaing dengan Genting?"


Seingat penulis, semasa kerajaan negeri didatangi - ketika Tun Mohd. Khalil Yaakob masih Menteri Besar Pahang; bagi permohonan untuk mendapatkan tanah kerajaan di Bukit Tinggi itu, yang dicadangkan - sepertimana idea Dr. Mahathir juga, ialah membangunkannya seperti kawasan peranginan tanah tinggi Alsace di timur Perancis.

Dan jika kita semak kembali apakah tempat-tempat tarikan di wilayah ini - daripada laluan Tour de France menerusi Lembah Munster, bandar Colmar di tengah-tengahnya atau Alsace Ecomuseum yang menempatkan 70 rumah country; tidak satupun yang menjurus kepada penganjuran aktiviti perjudian.

Kalaupun yang negatif adalah tarikan Alsace Wine Route, yang membawa pengunjung menelusuri laluan dan sejarah pembuatan wain, yang dikatakan menghimpunkan kira-kira 1,000 pengeluar bahan minuman tersebut.

Maka kini, jika Kumpulan Berjaya hendak menjadikan kawasan tanah tinggi ini sebagai ‘destinasi kasino antarabangsa’ pula, jelas sekali ia telah menyimpang jauh daripada sasaran asal bagi memajukannya.

Alasan untuk menjana pendapatan negara termasuk kononnya bakal mewujudkan kira-kira 10,000 lagi peluang pekerjaan, tidak boleh diterima.

Kita tidak perlukan ‘gula-gula’ sebegini yang, sungguhpun dijanjikan bulan dan bintang sekalipun, masih kita tidak perlukan yang sudah tentu tidak akan ada barakahnya.

Maka, jika permohonan daripada Kumpulan Berjaya sebelum ini ditolak oleh Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Kewangan, ekoran bantahan keras daripada kerajaan negeri serta pelbagai pihak lain; begitulah juga diharapkan pada kali ini.

Untuk berlaku adil kepada semua termasuk juga kepada kedua-dua Kumpulan Berjaya dan RWG (mengenai permohonan untuk tambahan 100 lagi meja judi itu), elok ditolak sahaja permohonan kedua-duanya serta tegaskan ‘once and for all’, cukuplah dengan apa yang telah diperolehi selama ini.

Suara Politik
Belantan

Pas khianati Islam di Selangor?


Sejarah yang amat memalukan Pas!

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menyelar sekeras-kerasnya tindakan empat Ahli Parlimen Pas dari Selangor yang mendesak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak lagi diberi kuasa dalam menjaga kedudukan agama Islam di negeri itu.

Pengerusi Yayasan Murni Aqidah, Datuk Aidit Ghazali berkata, gesaan meminda enakmen yang selama ini memberi tanggungjawab kepada badan agama berkenaan untuk menjalankan peranan menjaga kedaulatan agama menjadi bukti bahawa keempat-empat wakil rakyat itu meletakkan kepentingan politik melebihi tuntutan agama.

"Jelas mereka keliru dengan kedudukan dan peranan MAIS, isu rampasan Bible kerana tidak memahami Enakmen Kawalan Agama Bukan Islam, keliru kuasa Sultan Selangor berhubung agama Islam dan keliru batasan kuasa Exco kerajaan negeri.

"Saya bersimpati, mereka kena belajar untuk memisahkan diri daripada terkongkong dalam politik sempit. Hanya jika bebas dari kongkongan parti politik sempit, baru mereka tahu isu dan batasan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwandin Hamzah menyifatkan tindakan tersebut merupakan satu penghinaan bagi seluruh umat Islam khususnya di Selangor.

"Ini merupakan satu penghinaan kepada agama Islam dan juga umatnya kerana cuba untuk menghapuskan satu badan yang selama ini berjihad hanya untuk kepentingan agama Islam.

"Sekarang kita boleh nilai bahawa perjuangan parti itu selama ini hanya berselindung di sebalik nama sahaja dan mereka juga menggunakan isu agama untuk meraih kepentingan politik," jelasnya.

Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan pandangan empat Ahli Parlimen Pas Selangor yang mencadangkan supaya kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam menguatkuasakan hal ehwal di negeri itu dihapuskan adalah sesuatu yang amat memalukan parti politik itu.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan Islam, beliau juga hairan bagaimana pandangan itu boleh disuarakan oleh Ahli Parlimen Pas terbabit iaitu Khalid Abdul Samad (Shah Alam), Dr. Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr. Che Rosli Che Mat (Hulu Langat) dan Mohamed Hanipa Maidin (Sepang).

"Bagi saya, ini adalah sejarah yang amat memalukan Pas. Sepatutnya, mereka yang mempertahankan MAIS atau JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor). Ini tidak, mereka pula yang minta agar fungsi agensi seperti MAIS dihapuskan.

"Saya kurang pasti sama ada itu adalah pandangan peribadi mereka ataupun ia datang daripada pucuk pimpinan Pas dan juga Majlis Syura Pas. Saya harap ini bukan suatu keputusan yang dipersetujui oleh para pemimpin Pas sehinggalah ke akar umbinya," katanya dalam sidang akhbar di pejabat Perkasa di sini hari ini.

Ibrahim berkata, beliau kecewa dan memandang serius isu itu kerana ia membabitkan agama Islam yang telah dijamin haknya dalam Perlembagaan negara ini.

Suara Politik
Belantan

Jumaat, Jun 20, 2014

Ikut proses perundangan - Sultan.


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan supaya isu pemulangan atau pelupusan kitab Bible dalam bahasa Melayu yang menggunakan kalimah Allah, dilaksanakan mengikut prosedur perundangan sedia ada dan terpakai.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan memberitahu, Sultan Sharafuddin menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) agar segera merujuk perkara itu kepada pihak pendakwa raya untuk dibawa ke mahkamah selaras dengan arahan yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara agar JAIS mengambil tindakan selanjutnya mengikut undang-undang.

Berikut adalah kenyataan penuh tersebut:

Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa setelah berbincang dengan Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah menitahkan agar isu pemulangan atau pelupusan Bible Al-Kitab dalam Bahasa Malaysia, yang menggunakan kalimah ‘Allah’ hendaklah dilaksanakan mengikut proses dan prosedur perundangan sedia ada dan yang terpakai.

Prosedur undang-undang menetapkan pelupusan barang kes yang dirampas semasa serbuan dan siasatan boleh dirujuk oleh pihak pendakwa raya kepada mahkamah bagi mendapatkan satu perintah sama ada perintah pelupusan atau perintah pemulangan.

Titah ini adalah selaras dengan arahan di dalam minit yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Peguam Negara yang menyatakan "berhubung Bible Al-Kitab yang dirampas, pihak JAIS diminta untuk mengambil tindakan selanjutnya mengikut undang-undang."

Oleh itu, pihak JAIS perlu segera merujuk perkara ini kepada pihak pendakwa raya untuk tujuan rujukan dibuat ke mahkamah. Tindakan ini perlu dilakukan demi menjaga kedaulatan undang-undang dan sensitiviti kedua-dua belah pihak yang terlibat.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor juga berpendapat isu ini tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana ahli politik sehingga boleh mengelirukan dan meresahkan masyarakat dengan mengesyorkan jalan penyelesaian yang tidak berpandukan kepada undang-undang dan ada juga syor-syor yang tidak munasabah.

Di samping itu, baginda berharap ahli-ahli politik tidak menggunakan isu ini untuk kepentingan peribadi, kumpulan atau parti mereka.

Biarlah perkara ini diselesaikan di antara pihak-pihak yang terlibat dan juga pihak yang diberi kuasa untuk menyelesaikannya.

Isu agama adalah merupakan satu isu yang sensitif. Oleh itu baginda meminta supaya semua pihak berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.

Baginda juga menasihatkan kepada mereka yang terlibat secara langsung dengan isu tersebut supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan dilarang untuk masuk campur dalam isu ini sehingga boleh mengelirukan lagi keadaan.

Baginda juga membuat penegasan bahawa setiap tindakan dan titah baginda dalam apa jua isu sama ada berkaitan dengan agama atau negeri, tidak pernah membelakangkan undang-undang dan tidak pernah cuba bertindak mengatasi undang-undang above the law.

Suara Politik
Belantan

Khamis, Jun 19, 2014

Video Ahli Parlimen PAS Kena Tazkirah Dengan Shahidan Kassim Dalam Parlimen!



Muslimah Pas yang juga Ahli Parlimen Pas Rantau Panjang kelihatan begitu riak dan busuk hati terhadap isteri Perdana Menteri yang telah banyak berkorban melakukan kerja-kerja amal untuk rakyat. Sebenarnya banyak masalah sosial di Kelantan yang perlu beliau tangani dan bukannya menunjukkan keegoan dan kebodohan beliau! Lihat dan nilaikan lah sendiri...!!!

Suara Politik
Belantan

MB Khalid dayus, tetap mahu Bible dipulangkan?


Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor kekal dengan keputusan supaya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memulangkan 351 buah Bible yang dirampas daripada Persatuan Bible Malaysia (BSM) pada Januari lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pemulangan kitab itu bagaimanapun perlu mengikut ketetapan yang dipersetujui oleh pihak-pihak terlibat dalam perbincangan tentang isu tersebut.

"Isu ini sudah dibincangkan dan jika ada ketetapan yang dicapai, saya akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memberikan pilihan yang telah dipersetujui sebelum membuat pengumuman.

"Salah satu daripada pilihannya sudah tentu memulangkan Bible itu tetapi prosesnya perlu dibuat dengan betul," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Satu mesyuarat khas untuk membincangkan status Bible yang dirampas oleh JAIS pada 2 Januari lalu diadakan semalam.


Mesyuarat itu turut melibatkan Mufti Negeri, Datuk Seri Mohd. Tamyes Abd. Wahid; Exco Agama, Sallehen Mukhyi; Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman serta wakil Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS.

Abdul Khalid dalam pada itu berkata, beliau bercadang untuk menghadap Sultan Selangor esok. Daripada apa yang berlaku, Khalid dilihat tunduk dan takut kepada rakan komponen dalam Pakatan Rakyat (PR).

Nampaknya Khalid sekali lagi membenarkan dirinya tunduk kepada tekanan DAP selain terbawa-bawa pendekatan liberal PKR. Antara menjaga kesucian Islam dan kepentingan politik, beliau memilih yang kedua!

Sikap Khalid yang tidak tegas dalam cubaan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor yang mahu meminda Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam).Keputusan Mahkamah Rayuan dalam isu tersebut juga sudah jelas. Menteri besar jenis apakah beliau?

Sepatutnya Khalid lantang menyanggah cubaan berbahaya tiga wakil rakyat DAP yang mahu Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 dipinda.


Khalid dayus kerana bersubahat dengan pemimpin bukan Islam dalam Pakatan melibatkan isu kalimah Allah. Khalid tidak boleh menjadi dayus dan kelihatan bersubahat dengan pemimpin DAP memudaratkan kepentingan Islam!

Isu kalimah Allah boleh disifatkan sebagai cabaran pada masa depan yang bakal dihadapi oleh umat Islam. Inilah ujian kepada masa depan umat Islam. Berserah begitu sahaja dalam isu kalimah Allah atau bangkit mempertahankannya habis-habisan ketika pihak lain jauh lebih berani dan ke hadapan.

Awal bulan ini, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) dan merampas lebih 300 AlKitab dan Bup Kudus (Bible Iban), manakala Presiden PBM dan pengurus pejabat ditahan untuk disoal siasat.

Kejadian berlaku sewaktu pekerja sedang membawa masuk barangan dan pejabat mereka didatangi 20 pegawai Jais bersama dua anggota polis kira-kira jam 2 petang.

Pegawai PBM dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 4 petang hari yang sama namun tidak diberitahu sebarang pertuduhan yang akan dikemukakan kepadanya.

Suara Politik
Belantan

Rabu, Jun 18, 2014

PAS makan racunnya sendiri?


Status sebagai 'Serambi Makkah', dakwah gagal bendung jenayah di Kelantan

Pada tahun ke-11 pemerintahan PAS di Kelantan dan tujuh tahun selepas rang undang-undang hukum hudud diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri, Datuk Nik Aziz Nik Mat dengan megah mengisytiharkan bahawa negeri itu sifar rogol dan zina.

Katanya: “Di Kelantan, orang perempuan tidak dirogol, tidak dizina. Kenapa orang Kelantan tak rogol perempuan? Kerana Islam. Dia (orang Kelantan) tahu kalau duk (duduk) kat gelap pun malaikat ada, Tuhan tengok.” (Berita Harian, 28 Ogos 2001)

Ini cara Nik Aziz bercakap walaupun dia sendiri tahu apa yang dia cakap tidak betul. Hakikatnya, kes rogol dan zina banyak berlaku di Kelantan. Mengikut rekod polis, bilangan kes rogol di Kelantan ialah 44 pada tahun 1996, 77 (1997), 61 (1998), 38 (1999) dan 50 (2000).

Kes rogol naik empat kali ganda

Pada tahun 2013, kes rogol di negeri itu meningkat lebih empat kali ganda, iaitu 225 kes. Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaludin Abdul Rahman, sebanyak 91 kes rogol telah dilaporkan antara Januari dan Mei tahun ini, dengan 84 kes melibatkan budak perempuan bawah 17 tahun. Dalam 15 kes, budak perempuan yang dirogol berusia bawah 13 tahun.


Kes terbaharu yang mana dua pelajar belasan tahun dirogol bergilir-gilir oleh 21 lelaki menggemparkan seluruh negara, malah mendapat liputan di luar negara. Semua perogol adalah rakyat Kelantan, ramai berusia di bawah 24 tahun.
Ini bermakna mereka lahir pada atau selepas tahun 1990 dan sepanjang kehidupan mereka adalah di bawah pemerintahan PAS, yang kononnya mengisi akhlak rakyatnya dengan ajaran Islam dan iman yang tebal.

Kenapa jenayah masih banyak berlaku di negeri yang mengaku ‘Serambi Makkah’? Padahal, pemimpin PAS berceramah setiap malam di seluruh pelosok negeri, atau mungkinkah kandungan ceramah lebih banyak soal politik dan mengutuk orang lain sehinggakan dakwah serta ajaran agama tidak sampai kepada rakyat?


PAS boleh mempertahankan tohmahan ini dengan berkata jenayah berlaku di semua negeri, bukan di Kelantan sahaja. Jika ditanya lagi, pasti mereka menyalahkan UMNO, Barisan Nasional, polis, Perlembagaan sekular, sistem persekolahan, pengaruh Barat, malah sesiapa dan apa saja sebagai punca berlakunya jenayah.

Apa sudah jadi dengan semangat ‘Membangun Bersama Islam’ dan pemerintahan yang kononnya mengikut kerajaan Rasulullah? Berdasarkan rekod polis mengenai kes rogol dan zina di Kelantan banyaknya kes dadah dan pil kuda, HIV-AIDS, rompak, samun serta penyeludupan beras, diesel, minyak mahupun pistol, bolehlah dirumuskan bahawa PAS gagal dalam kegiatan dakwahnya dan membendung jenayah di Kelantan.

Pandangan PAS dipertikai DAP

PAS yakin jika dilaksana hukum hudud di Kelantan, dengan sendirinya jenayah akan lenyap (Harakah, 2 Jun 2014). Seperti dijangka, pandangan ini dipertikai banyak pihak terutama DAP seperti ditulis Kolumnis Harakah, Lim Hong Siang, mempersoal pendirian dan pemikiran PAS yang terlalu mudah. Mengambil contoh Pakistan yang melaksanakan hudud tapi banyak berlakunya kes rogol di negara itu, beliau melihat terdapat kecelaruan dan pertikaian yang tidak selesai mengenai sistem perundangan Islam.


Beliau berpendapat New Zealand, Denmark dan Norway adalah lebih Islamik berbanding Pakistan walaupun bukan negara Islam. “Mengapa harus kita berdegil dengan nama Islam, sedangkan apa yang lebih penting adalah menyerlahkan ciri-ciri dan nilai Islam dalam sistem pemerintahan kita?” (Harakah, 9 Mei 2014).

Hong Siang bersimpati kerana kepemimpinan PAS gagal memberi penjelasan mengenai perkara ini. Peguam PAS, Hanipa Maidin, gagal memberi jawapan meyakinkan dan membela pendirian partinya apabila diasak bertalu-talu dalam satu forum mengenai hudud baru-baru ini. Ramai yang hadir tidak berpuas hati, lalu menuntut PAS sedar diri dan jangan berdegil sehingga dihukum pengundi suatu hari nanti kerana gagal menyelesaikan isu ini.



“Misalnya, apabila PAS mendakwa ia adalah hak majoriti penduduk Kelantan untuk menuntut hudud dilaksanakan, PAS dicabar sama ada akan menyokong secara terbuka seandainya majoriti bukan Islam di Sarawak mahu undang-undang mereka dilaksanakan di negeri itu? Bersediakah PAS apabila dicabar menyasarkan institusi monarki ketika ghairah melaksanakan hudud, dan bukannya berkata kepada rakyat jelata bagaimana tangan mereka akan dipotong jikalau mereka mencuri.”

Hong Siang memberi gambaran pelaksanaan hudud di Kelantan bakal bawa kesan buruk terhadap hubungan Islam-bukan Islam dan ke atas pakatan pembangkang. “PAS harus mempertimbangkan sedalam-dalamnya kesannya jikalau langkah ini sebaliknya mendatangkan fitnah terhadap Islam. Emosi Muslim untuk terus menyelar mereka yang membantah lagi menimbulkan keraguan sama ada Malaysia bersedia untuk melaksanakan hukum ini.

Emosi sedemikian mengecewakan komuniti bukan Islam. Apakah slogan “PAS Untuk Semua” masih bergema dalam Pilihan Raya Umum 14?” - BH

Suara Politik
Belantan

Selasa, Jun 17, 2014

Pas gesa Selangor kurangkan kuasa eksekutif MAIS?


PAS meminta kerajaan negeri Selangor meminda peruntukan enakmen yang berkaitan bagi mengurangkan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), berhubung tindakan badan itu tidak memulangkan Bible dalam bahasa Malaysia yang dirampas pada Januari lepas.

Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad berkata, tindakan MAIS, melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), yang enggan memulangkan semula kitab itu, boleh mengakibatkan imej Islam tercemar dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

Bercakap dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen, di sini hari ini, Khalid yang merupakan Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, turut menyatakan bahawa tindakan MAIS dan JAIS tidak ada kena mengena dengan parti itu dan kerajaan negeri kerana kedua-dua badan itu tidak terletak di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

Baru-baru ini, Peguam Negara Abdul Gani Patail memutuskan untuk menutup kes rampasan Bible versi bahasa Malaysia dan Iban itu kerana ia bukan tulisan yang diterbitkan mengikut Seksyen (9)(1)(a) Enakmen Bukan Kawalan Islam (Kawalan dan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam (1998).

Suara Politik
Belantan

BBC News pertikai Anwar?


Wartawan BBC News, Stephen Sackur mempertikaikan jawapan yang diberikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi temu bual yang dikendalikannya di stesen penyiaran tersebut di London, United Kingdom (UK), baru-baru ini.

Sebaik sahaja temu bual dimulakan, Anwar cuba meraih simpati dengan menjaja kisahnya berdepan dengan kerajaan Malaysia yang didakwa bersifat autoritarian.



Walau bagaimanapun, Sackur mengingatkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bahawa mahkamah merupakan institusi yang mengadili kes liwatnya.

Sackur seterusnya mempersoalkan ke­nyataan Anwar yang mendakwa mahkamah dan media di Malaysia tidak bebas.

“Anda telah me­nyampaikan mesej itu kepada rakyat Malaysia sejak bertahun-tahun lalu tetapi nampaknya mereka tidak menerimanya. Maksud saya, pihak pembangkang telah mela­ku­kan segala-galanya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) namun anda masih tidak boleh menang," katanya.

Sackur kelihatan hairan apabila Anwar menyatakan pihak pembangkang mengatasi Barisan Nasional (BN) dari segi undi popular sambil mengi­ngatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu BN memenangi lebih banyak kerusi Parlimen.

Beliau turut berpandangan, tiada tanda yang menunjukkan rak­yat Malaysia akan berdemonstrasi di jalanan sekiranya Anwar gagal dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu yang menjatuhi hukuman penjara lima tahun ke atasnya kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Dalam nada sinis, Sackur menyifatkan tindakan Anwar mengalihkan topik perbincangan dari isu politik Malaysia kepada insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sebagai ‘menarik’.

“Kerajaan Malaysia mendakwa anda mempolitikkan isu tersebut yang secara jelas mengecewakan keluarga para penumpang dan anak kapal yang masih hilang.

“Juga sangat sensitif dan anda berterusan mempolemikkannya serta menimbulkan masalah dalam satu isu yang agak serius untuk dipolitikkan," ujarnya.

Beliau sekali lagi terpaksa menegur Anwar apabila Ketua Pembangkang itu menuduh kerajaan tidak mendedahkan maklumat tentang kargo yang dibawa pesawat MH370.

“Mereka (kerajaan Malaysia) telah mendedahkan dokumen yang mengandungi maklumat kargo," jelasnya.

Sedutan rakaman rancangan temu bual tersebut dimuat naik ke YouTube minggu lalu dan boleh diakses di https://www.youtube.com/watch?v=V88dj0njYT8.

Suara Politik
Belantan

Isnin, Jun 16, 2014

MH370: Adakah kita mencari di tempat yang betul?



Kehilangan penerbangan MH370 Malaysia Airlines telah menjangkau lebih 100 hari sekarang ini dengan nasib yang menimpa pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 krew masih menjadi tanda tanya.

Tanggal Ahad, Jun 15, menandakan genap 100 hari sejak pesawat itu hilang dengan sebahagian besar daripada operasi mencari dan menyelamat yang diketuai oleh Australia kekal bertumpu pada koridor Selatan Lautan Hindi.

Bahagian lautan itu menyaksikan aktiviti rancak di laut dan udara khasnya semasa kemuncak operasi mencari, dengan berpuluh kapal dan kapalterbang mencari pesawat Boeing 777-200ER itu, selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa penerbangan pesawat itu berakhir di bahagian lautan itu.

Setiap serpihan terapung, yang membawa harapan awal yang pesawat itu akan ditemui, dianalisis dan ditentusahkan. Malangnya, kesemua serpihan itu dikatakan tidak mempunyai kaitan dengan pesawat itu.

Kehilangan pesawat itu terus kekal misteri selepas Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) pada 29 Mei lepas menolak kesemua empat kedudukan di mana isyarat akoustik dirakamkan oleh Bluefin-21 sebagai kawasan di mana kemungkinan pesawat itu berada.

Isyarat akoustik yang direkodkan pada 5 dan 8 April pada awalnya dikatakan datang daripada kotak hitam pesawat itu dan memberikan sedikit harapan untuk merungkai apa yang telah berlaku dalam pesawat malang itu. Penerbangan MH370 ke Beijing, China, pada 8 Mac lepas, putus hubungan dengan menara kawalan sejam setelah berlepas.

PENEMUAN DARIPADA DATA MENTAH INMARSAT

Mencari pesawat itu di lautan ketiga terbesar di dunia bukan satu yang mudah. Apa lagi, timbul persoalan sama ada pihak berkuasa mencari di tempat yang betul? Oleh itu, adakah wajar untuk meneruskan dengan pencarian di Selatan Lautan Hindi berdasarkan pada data yang disediakan oleh pemilik dan pengendali satelit, Inmarsat?



Penganalisis CNN bagi Bidang Penerbangan Jeff Wise, yang juga seorang wartawan sains, dalam satu temubual dengan Bernama melalui e-mel memberikan sedikit sebanyak penjelasan akan data yang disediakan oleh Inmarsat berdasarkan pada 'ping' yang dirakam oleh satelit.

Wartawan dari New York, AS, itu membuka bicara dengan berkata, ping elektronik yang diterima satelit, tidak seperti yang sepatutnya, tetapi Inmarsat mengetahui segala-gala mengenai sistem itu.

"Mereka dapat menghuraikan percanggahan yang berlaku kerana orbit satelit itu berubah. Orbit satelit yang berubah ini turut mengubah frekuensi penghantaran isyarat yang menunjukkan pesawat itu berada di hemisfera selatan, dan bukan di hemisfera utara," katanya.

Beliau merujuk kepada artikel beliau, "Where the Missing Plane Went" (Ke Mana Perginya Pesawat Yang Hilang Itu), yang disiarkan pada 'Slate', sebuah majalah online hal-ehwal semasa dan budaya, di mana beliau berkata, dalam kes MH370 peralatan komunikasi satelit diaturcara untuk menganggap satelit Inmarsat mengelilingi bumi pada satu kedudukan kekal di Khatulistiwa.

Bagaimanapun, sebenarnya, berlaku perubahan dalam kedudukan orbit itu. Dalam tempoh pesawat itu hilang, satelit itu berada di Khatulistiwa, pada awalnya bergerak ke utara, dan kemudian ke selatan dengan kelajuannya terus meningkat. Ralat dalam menghitung kedudukan satelit itu menunjukkan sistem elektronik pada kapalterbang itu gagal memperbetulkan kedudukan berdasarkan kepada kelajuannya sendiri," katanya.

MEMAHAMI DATA INMARSAT

Wise berkata, cara mudah untuk memahami ciri data Inmarsat adalah menggunakan analogi seorang lelaki mabuk memandu motobot mengelilingi sebuah kolam and dalam keadaan diselubungi kabus tebal.

Anda berdiri di tepi kolam dan ingin tahu di mana beliau berada. Anda mempunyai sebuah hon kabus, dan setiap kali anda membunyikannya, beliau membalas balik dengan segera menggunakan hon kabus beliau.



Bunyi hon kabus itu menunjukkan dua perkara. Pertamanya, dengan mengetahui kelajuan bunyi dan tempoh masa reaksi lelaki itu, kedudukan beliau boleh ditentukan berdasarkan kepada tempoh yang diambil untuk anda mendengar bunyi hon kabus.

"Anda tidak akan tahu lokasi tepat beliau, tetapi akan tahu dalam lingkungan mana beliau berada. Dalam kes data satelit Inmarsat, ini serupa dengan isyarat ping yang diterima, dengan ping terakir iaitu lingkungan utara dan selatan," jelas beliau.

Menurut Wise lagi, petunjuk kedua daripada hon kabus lelaki itu adalah frekuensi bunyi, yang akan menunjukkan sama ada beliau bergerak menjauhi tebing atau mendekati tebing.

Ini, katanya, adalah apa yang dikenali sebagai Kesan Doppler, fenomena sama yang menyebabkan bunyi semboyan keretapi kedengaran kuat semasa keretapi menghampiri pemerhati tetapi berkurang setelah melepasi pemerhati.

"Jika anda tahu frekuensi asal hon kabus lelaki itu, perbezaan antara frekuensi hon kabus itu dan frekuensi bunyi yang anda dengar akan membolehkan anda menentukan kelajuan bot beliau, dan sama ada beliau bergerak menghampiri atau menjauhi anda, tetapi bukan kelajuan totalnya. Dalam kes MH370, data yang sama dikenali sebagai 'burst frequency offset' (BFO)," jelas beliau.

MENGAPA AKHIRNYA DI SELATAN LAUTAN HINDI?

"Dengan memahami kesemua ini, kita sekarang ini boleh memahami carta BFO, yang pihak berkuasa tidak menyatakan BFO atau pemasaan ping apabila mereka pertama kali mengemukakan laporan data satelit itu pada 25 Mac.

"Pada dasarnya, jika kita menghitung jarak daripada 'timing offset', dan kelajuan segera daripada 'frequency offset', kita mempunyai dua petunjuk yang boleh dipercayai bagaimana pesawat itu bergerak," jelas beliau.



Menurut Wise, selepas sahaja pesawat hilang daripada radar, ralat mengenai kedudukan pesawat akan menyebabkan frekuensi penghantaran isyarat sebuah pesawat yang menghala ke utara menjadi terlalu tinggi, dan selepas itu ralat kelajuan satelit akan menjadikannya terlalu rendah.

Di sebaliknya, kata beliau, dalam tempoh selepas sahaja kapal terbang itu hilang daripada radar, ralat kedudukan (position error) ini akan menyebabkan frekuensi pesawat yang menghala ke selatan menurun terlalu rendah, tetapi ralat kelajuan satelit akan meningkat secara berperingkat.

"Oleh kerana ralat kelajuan satelit terlalu dominan di akhir penerbangan itu, dan oleh kerana ralat itu berubah dengan ketara mengikut ketinggian pesawat itu berada, nilai BFO pada dasarnya menunjukkan di mana pesawat itu berada di sepanjang "lingkungan ping" terakhir apabila penerbangan itu berakhir.

"Dan atas sebab inilah pihak berkuasa menjalankan kerja-kerja mencari di bahagian lautan itu," tambah beliau.

Oleh itu, dengan data yang sedia ada, dan untuk sementara waktu, koridor Selatan Luatan Hindi merupakan tempat pencarian yang wajar. - BERNAMA

Suara Politik
Belantan