Rabu, Jun 18, 2014

PAS makan racunnya sendiri?


Status sebagai 'Serambi Makkah', dakwah gagal bendung jenayah di Kelantan

Pada tahun ke-11 pemerintahan PAS di Kelantan dan tujuh tahun selepas rang undang-undang hukum hudud diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri, Datuk Nik Aziz Nik Mat dengan megah mengisytiharkan bahawa negeri itu sifar rogol dan zina.

Katanya: “Di Kelantan, orang perempuan tidak dirogol, tidak dizina. Kenapa orang Kelantan tak rogol perempuan? Kerana Islam. Dia (orang Kelantan) tahu kalau duk (duduk) kat gelap pun malaikat ada, Tuhan tengok.” (Berita Harian, 28 Ogos 2001)

Ini cara Nik Aziz bercakap walaupun dia sendiri tahu apa yang dia cakap tidak betul. Hakikatnya, kes rogol dan zina banyak berlaku di Kelantan. Mengikut rekod polis, bilangan kes rogol di Kelantan ialah 44 pada tahun 1996, 77 (1997), 61 (1998), 38 (1999) dan 50 (2000).

Kes rogol naik empat kali ganda

Pada tahun 2013, kes rogol di negeri itu meningkat lebih empat kali ganda, iaitu 225 kes. Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaludin Abdul Rahman, sebanyak 91 kes rogol telah dilaporkan antara Januari dan Mei tahun ini, dengan 84 kes melibatkan budak perempuan bawah 17 tahun. Dalam 15 kes, budak perempuan yang dirogol berusia bawah 13 tahun.


Kes terbaharu yang mana dua pelajar belasan tahun dirogol bergilir-gilir oleh 21 lelaki menggemparkan seluruh negara, malah mendapat liputan di luar negara. Semua perogol adalah rakyat Kelantan, ramai berusia di bawah 24 tahun.
Ini bermakna mereka lahir pada atau selepas tahun 1990 dan sepanjang kehidupan mereka adalah di bawah pemerintahan PAS, yang kononnya mengisi akhlak rakyatnya dengan ajaran Islam dan iman yang tebal.

Kenapa jenayah masih banyak berlaku di negeri yang mengaku ‘Serambi Makkah’? Padahal, pemimpin PAS berceramah setiap malam di seluruh pelosok negeri, atau mungkinkah kandungan ceramah lebih banyak soal politik dan mengutuk orang lain sehinggakan dakwah serta ajaran agama tidak sampai kepada rakyat?


PAS boleh mempertahankan tohmahan ini dengan berkata jenayah berlaku di semua negeri, bukan di Kelantan sahaja. Jika ditanya lagi, pasti mereka menyalahkan UMNO, Barisan Nasional, polis, Perlembagaan sekular, sistem persekolahan, pengaruh Barat, malah sesiapa dan apa saja sebagai punca berlakunya jenayah.

Apa sudah jadi dengan semangat ‘Membangun Bersama Islam’ dan pemerintahan yang kononnya mengikut kerajaan Rasulullah? Berdasarkan rekod polis mengenai kes rogol dan zina di Kelantan banyaknya kes dadah dan pil kuda, HIV-AIDS, rompak, samun serta penyeludupan beras, diesel, minyak mahupun pistol, bolehlah dirumuskan bahawa PAS gagal dalam kegiatan dakwahnya dan membendung jenayah di Kelantan.

Pandangan PAS dipertikai DAP

PAS yakin jika dilaksana hukum hudud di Kelantan, dengan sendirinya jenayah akan lenyap (Harakah, 2 Jun 2014). Seperti dijangka, pandangan ini dipertikai banyak pihak terutama DAP seperti ditulis Kolumnis Harakah, Lim Hong Siang, mempersoal pendirian dan pemikiran PAS yang terlalu mudah. Mengambil contoh Pakistan yang melaksanakan hudud tapi banyak berlakunya kes rogol di negara itu, beliau melihat terdapat kecelaruan dan pertikaian yang tidak selesai mengenai sistem perundangan Islam.


Beliau berpendapat New Zealand, Denmark dan Norway adalah lebih Islamik berbanding Pakistan walaupun bukan negara Islam. “Mengapa harus kita berdegil dengan nama Islam, sedangkan apa yang lebih penting adalah menyerlahkan ciri-ciri dan nilai Islam dalam sistem pemerintahan kita?” (Harakah, 9 Mei 2014).

Hong Siang bersimpati kerana kepemimpinan PAS gagal memberi penjelasan mengenai perkara ini. Peguam PAS, Hanipa Maidin, gagal memberi jawapan meyakinkan dan membela pendirian partinya apabila diasak bertalu-talu dalam satu forum mengenai hudud baru-baru ini. Ramai yang hadir tidak berpuas hati, lalu menuntut PAS sedar diri dan jangan berdegil sehingga dihukum pengundi suatu hari nanti kerana gagal menyelesaikan isu ini.



“Misalnya, apabila PAS mendakwa ia adalah hak majoriti penduduk Kelantan untuk menuntut hudud dilaksanakan, PAS dicabar sama ada akan menyokong secara terbuka seandainya majoriti bukan Islam di Sarawak mahu undang-undang mereka dilaksanakan di negeri itu? Bersediakah PAS apabila dicabar menyasarkan institusi monarki ketika ghairah melaksanakan hudud, dan bukannya berkata kepada rakyat jelata bagaimana tangan mereka akan dipotong jikalau mereka mencuri.”

Hong Siang memberi gambaran pelaksanaan hudud di Kelantan bakal bawa kesan buruk terhadap hubungan Islam-bukan Islam dan ke atas pakatan pembangkang. “PAS harus mempertimbangkan sedalam-dalamnya kesannya jikalau langkah ini sebaliknya mendatangkan fitnah terhadap Islam. Emosi Muslim untuk terus menyelar mereka yang membantah lagi menimbulkan keraguan sama ada Malaysia bersedia untuk melaksanakan hukum ini.

Emosi sedemikian mengecewakan komuniti bukan Islam. Apakah slogan “PAS Untuk Semua” masih bergema dalam Pilihan Raya Umum 14?” - BH

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

  1. Tuan admin, mohon saya menambah. Mengikut statistik pdrm dan pihak lain yg berkaitan, kejadian rogol, zina, jenayah bunuh, rompak, seludup, dadah dan lainnya makin meningkat di kelantan. Selain mengkaji faktor yang menjadi punca berlakunya kes tersebut ada faktor lain yang pada saya ada kaitan rapat. Kenapa ada manusia yang SANGGUP melakukan jenayah? Sebab hati dah rosak, gelap dan tiada iman. Kenapa boleh jadi begitu. Bukankah kelantan sohor sebagai serambi mekah? Ia berbalik kepada apa yg kita makan dan bagaimana cara kita dapatkan makanan tersebut. Bukankah kelantan syurga beras seludup dari thailand? Benarlah ramai yang membeli beras tersebut sebelum dimasak. Tetapi membeli makanan yg kita tahu ada unsur subhah dan jenayah penyeludupan pastinya merosakkan hati. Bukan nk cakap bohong tanpa fakta, rakyat kelantan yg bekerja diluarpun akan balik sebulan sekali untuk membeli beras itulah!! Org di pahang dh lali dgn gelagat dan kesibukan org kelantan balik negeri setiap bulan. Tanya org bentong, raub dan lipis. Semua dah masak dan lali. Cuba buka bonet kereta yg menghala ke ibu negara dari kelantan. Paling tidak, 1-2 beg beras akan ada bersama. Tabiat makan benda subhah dah sebati dalam kebanyakkan org kelantan (bukan semua ok), itulah sebab knp kebanyakan org kelantan keras hati, bengkeng dan berani mati! (juga bukan semua ok). Kalau barang subhah dan kotor masuk dalam perut, apa lagi, hati jd hitam la. Jgn la marah org kelantan. Ini fakta yg boleh dikaji dan dibaiki. Saya mohon maaf jika tulisan ini menyinggung terutama org kelantan. Cuba muhasabah dan cari kebenarannya. Saya ada lebih ramai rakan dr kelantan berbanding dr negeri lain.itulah yg diceritakan kpd saya. Sekian.

    BalasPadam