Saga pertikaian dan perebutan pengunaan kalimah Allah dalam penerbitan mingguan Katolik, The Herald sejak tahun 2009 berakhir apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Geraja Katolik untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober tahun lalu yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya, The Herald hari ini.
Dalam penghakiman 7 panel yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria itu empat hakim menolak permohonan rayuan Geraja Katolik sementara tiga lagi menyokong.
Keputusan dibuat selepas mendengar penghujahan pihak Gereja Katolik dan kerajaan serta majlis agama Islam pada 5 Mac lalu.
Empat hakim yang menolak permohonan Gereja Katolik adalah Arifin, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Suriyadi Halim Omar
Sementara hakim yang menyokong rayuan adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zainun Ali dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.
Peguam yang mewakili pihak kerajaan, Datuk Zainol Rijal Abu Bakar berkata, keputusan dibuat selepas panel hakim meneliti 28 persoalan yang dikemukakan kepada Mahkamah Pesekutuan untuk dijawab.
"Selepas penelitian dibuat terhadap 28 persoalan itu, majoriti hakim berpendapat permohonan Gereja Katolik untuk merayu tidak memenuhi Seksyen 96 untuk permohonan mereka didengar," jelas Zainol Rijal yang ditemui selepas prosiding mahkamah selesai.
Keputusan yang diumumkan pada kira-kira 10.15 pagi itu disambut dengan penuh syukur oleh kira-kira lebih 300 muslimin dan muslimat yang berhimpun di perkarangan Istana Kehakiman di sini sejak seawal tujuh pagi tadi.
Kronologi pertikaian penggunaan kalimah Allah bermula pada 16 Februari 2009 apabila pihak Gereja Katolik diketuai Archbishop Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden.
Gereja Katolik menuntut, antara lain satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Januari 2009 berhubung larangan penggunaan kalimah Allah dalam akhbar mingguan Katolik, The Herald adalah tidak sah dan kalimah Allah bukanlah eksklusif kepada agama Islam.
Akhbar mingguan Katolik yang dicetak dalam empat bahasa, menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan untuk God bagi seksyen bahasa Melayu namun pihak kerajaan dan majlis agama Islam berhujah bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh orang Islam sahaja.
Pada 31 Disember 2009, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan memerintahkan bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang penerbitan akhbar mingguan The Herald itu daripada menggunakan kalimah Allah dalam majalah edisi bahasa Melayu, adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.
Pada 5 Januari 2010, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Gereja Katolik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan Herald.
Pada 22 Ogos 2013 Mahkamah Rayuan menolak permohonan berkenaan sekaligus membenarkan pihak majlis agama Islam dan kerajaan meneruskan rayuan.
Pada 14 Oktober 2013 panel hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Mohamad Zawawi Salleh membuat keputusan menghalang The Herald daripada menggunakan kalimah Allah selepas mendengar hujah rayuan pihak kerajaan dan beberapa majlis agama Islam negeri pada 10 September 2013.
Alhamdulillah....Allahuakbar...Allahuakbar...
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan