Rabu, Mei 07, 2014

Bank Kebangsaan Melayu : Polis sedia teliti semula fail siasatan?


Polis sedia menyemak semula fail siasatan berhubung kes pengasas Bank Kebangsaan Melayu, Maarof Zakaria yang diculik dan dibunuh pada Disember 1947.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata beliau akan menyemak semula fail siasatan untuk mengetahui sama ada ia boleh dibuka semula atau sebaliknya.

“Kes ini sudah lebih 60 tahun. Kita akan meneliti dan semak kes ini,” katanya ketika dihubungi disini semalam.

Beliau berkata, polis menghadapi sedikit kesukaran untuk menyemak kes itu memandangkan ia sudah terlalu lama dan berlaku ketika zaman sebelum merdeka.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Shafie Bakri, berkata kes seperti ini boleh dibuka semula jika ada keterangan baharu dan bukti kukuh.

Budi bicara Peguam Negara

Bagaimanapun, keputusan membuka semula siasatan bergantung kepada kebenaran dan budi bicara Peguam Negara.

“Kebiasaannya, jika ada bukti baharu yang kukuh atau penemuan baharu, ia boleh dibuka semula,” katanya.

Akhbar BH semalam melaporkan, Maarof yang ketika itu berusia 43 tahun, diculik pada 4 Disember 1947 ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Baru di sini, menuju ke rumah ibunya di Seremban.

Selepas tiga hari diculik, mayatnya ditemui di Jalan Kuala Lumpur-Bentong dalam keadaan digantung pada sebatang pokok di dalam hutan.

Kes penculikan dan pembunuhan itu sehingga kini menjadi misteri dan dipercayai ada kaitan dengan komplot menggagalkan bank Melayu pertama yang diusahakannya.-BHO

Suara Politik
Belantan


Tiada ulasan:

Catat Ulasan