Isnin, April 07, 2014

Tak payah berdolak-dalik, naikkan saja...?


Kisahnya masih berkisar pada isu air. Di Lembah Klang, catuan air berjalan seperti dirancang. Walaupun masih banyak rungutan, bisingnya tak seriuh waktu mula-mula dulu. Suhu kemarahan penduduk terlibat mungkin masih panas tetapi tidaklah sampai ke tahap didih lagi.

Satu yang pasti, warga kota sudah dapat menerima bahawa catuan air adalah satu hakikat. Marah atau tidak, perkara ini sudah dan sedang berlaku. Nampaknya ramai yang mula dapat menyesuaikan diri dengan situasi ini. Dua hari ada air, dua hari lagi tiada..

Walaupun kebelakangan ini hujan turun hampir setiap hari, kadangkala lebih lebat daripada musim hujan, paras air di ­em­­­pa­ngan masih tidak berubah. Sesete­ngahnya menyusut dan terus menyusut. Kerja-kerja pembenihan awan menjadi tetapi tidak mengena di kawasan tadahan hujan.

Di Selangor catuan air hanya akan dihentikan jika kapasiti air empangan mencecah 55 peratus. Setakat ini tidak nampak jalan. Paras air di beberapa empangan utama masih di bawah 40 peratus. Empangan Su­ngai Selangor di Kuala Kubu Baru mencatat 36.67 peratus dengan paras kritikal ialah 30 peratus.

Mengikut ramalan pakar, musim hujan yang sudah bermula awal bulan ini khabar­nya tidak bertahan lama, setakat Mei sahaja. Musim panas yang panjang dijangka datang balik mulai Jun hingga Oktober.


Kalau betul ramalan ini, warga kota nampaknya kena bersedia untuk berhadapan dengan musim kemarau pusingan ke­dua. Pengalaman berhadapan dengan catuan air akan banyak membantu warga Lembah Klang kali ini. Apa yang pasti mereka akan sentiasa menghargai peranan baldi, besen, timba, tong drum, tong sampah dan segala periuk belanga sebagai tempat penyimpanan air.

Ini cerita di Selangor. Di Perak pun ada cerita pasal air. Taiping kawasan paling basah di Malaysia sudah senasib dengan Lembah Klang. Kawasan yang hampir 320 hari setahun menerima hujan lebat itu mula dilanda kemarau. Catuan air di daerah itu bermula semalam. Harapnya tidaklah berlarutan sepertimana yang dialami Selangor.

Di Pulau Pinang pun ada cerita air tetapi berbeza dengan Selangor. Walaupun turut terkena musim kemarau yang panjang, Pulau Pinang tidak akan mencontohi Selangor. Tidak ada catuan air di Pulau Pinang. Dulu pun negeri yang diperintah DAP ini tidak mencontohi langkah Selangor memberikan air percuma kepada penduduknya.

Negeri yang seringkali ‘dipertontonkan’ sebagai negeri hebat itu ada cara tersendiri untuk menangani krisis air.

Sebagai ‘negeri hebat’ Pulau Pinang me­rancang menaikkan kadar tarif air. Kononnya sebagai satu langkah bagi mengelakkan krisis air pada masa hadapan. Juga kononnya antara cara terakhir untuk mendidik rakyat negeri itu supaya berjimat-cermat dalam menggunakan air.

Bagi mewajarkan cadangan ini, rakyat Pulau Pinang dipersalahkan kerana tidak bijak mengurus sumber air. Lantaran tidak bijaknya rakyat Pulau Pinang menguruskan air, banyak berlaku pembaziran air. Penggunaan air juga tertinggi dibandingkan dengan negeri lain.


Menaikkan tarif air sebagai cadangan penyelesaian kepada krisis air adalah satu hukuman kepada rakyat. Mengenakan hukuman yang boleh membebankan hidup rakyat juga bukan satu contoh didikan yang baik. Lebih-lebih lagi ketika rakyat sedang berhadapan dengan peningkatan beban kos sara hidup.

Bagi golongan kaya dan berada, kenaikan ini bukan satu perkara besar. Tetapi tidak bagi golongan berpendapatan rendah dan miskin. Kesannya bukan sedikit.

Jika kenaikan ini berlaku, janji-janji muluk DAP dalam manifesto pilihan raya yang lalu sudah tidak memberi sebarang makna. Tidak ada kenaikan tarif air, kadar sewa dan lesen perniagaan untuk dua tahun ini mengikut manifesto parti itu.

Kalaulah ini berlaku di sebuah negeri yang diperintah Barisan Nasional, nescaya bertubi-tubilah ketumbukan tentera siber kacang merah menyerang. Tengoklah sedikit masa dahulu bukan main hebat mereka menggempur ketika kerajaan ­me­ngumumkan langkah merasionalisasikan subsidi.

Hampir setiap hari menjelang detik 12 tengah malam, akan berlegarlah berita-­berita palsu di ruang siber bahawa harga petrol akan naik, naik dan naik lagi. Setiap hari rakyat dimomokkan dengan cerita-­cerita menakutkan berhubung kenaikan harga barang di sana-sini. Walaupun sebenarnya perkara itu tidak berlaku.

Berbeza dengan mereka, apa yang dilakukan, semuanya diberi gambaran yang baik dan elok-elok sahaja. Sekarang ini pun tentera siber yang khabarnya berjumlah 800 orang dengan gaji bulanan RM3,000 itu sudah mula bertungkus lumus mempertahankan ‘tindakan berhemah’ tersebut.

Kalaulah benar tarif air mahu dinaikkan, naikkan saja. Jangan berdolak-dalik lagi. Jangan memberi alasan yang bukan-bukan. Menyalahkan sikap buruk rakyat Pulau Pinang yang suka membazir air juga sangat tidak patut. Mereka adalah penyokong dan pengundi setia. Kerana merekalah terbentuknya sebuah kerajaan negeri yang ‘hebat’ ini.

Sekurang-kurangnya kenanglah ‘so­kongan padu, tidak berbelah-bahagi dan penuh kasih sayang’ yang mereka berikan dalam dua pilihan raya umum lalu.

Didiklah mereka agar jangan membazir. Tetapi ingat, mendidik adalah satu proses yang panjang dan lama. Bukan memakan masa sehari atau sebulan dua. Proses ini sangat sukar dan cabarannya berliku.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan