Rabu, November 06, 2013

Fitnah Perdana Menteri jalan pintas guling kerajaan?


Meletakkan kesalahan serta menjual nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu kewujudan 40,000 pengundi Bangladesh pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu merupakan usaha terancang oleh pembangkang dalam mencari jalan pintas untuk mengguling kerajaan.

Menurut bekas pembantu peguam bela utama Anwar Ibrahim, Yuktes Vijay, perkara itu tidak pelik kerana jurucakap pembangkang, Datuk S. Ambiga didakwanya sebagai 'proksi' kepada Ketua Pembangkang itu.

Jelasnya, tindakan Ambiga memfitnah dan menuduh Najib yang sengaja mencipta helah ketika ditemubual dalam satu wawancara dengan stesen televisyen CNN menimbulkan persoalan.

Katanya, sebelum ini pembangkang telah mengemukakan petisyen berhubung PRU-13 lalu, namun tidak langsung menyelitkan kewujudan pengundi Bangladesh seperti didakwa mereka sebelum ini.


"Jika benar berlaku undian 40,000 warga Bangladesh, mengapa tiada satu pun petisyen yang dikemukakan pembangkang menyebut perkara-perkara tersebut, malah mustahil dalam kalangan puluhan ribu itu, tiada seorang pun yang ditangkap. Ada pun yang 'ditangkap' sebenarnya merupakan warganegara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas desakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang meminta pembangkang memohon maaf kepada seluruh rakyat dan menarik semula tuduhan tersebut termasuk tindakan Ambiga yang menuduh Najib mencipta helah seperti tersiar dalam laporan beberapa portal.

Tambah Yuktes, kenyataan yang dikeluarkan oleh Najib ketika wawancara tersebut merupakan 'contoh' apabila diaju tentang kebenaran dalam tuduhan penipuan oleh Barisan Nasional (BN) dalam PRU lalu dan diputar belit oleh Ambiga untuk kepentingan sendiri dan rakan sekutunya.

"Najib menggunakan contoh tuduhan tentang kewujudan 40,000 ribu pengundi Bangladesh oleh pihak pembangkang yang kini masih belum dibuktikan untuk memperkukuhkan jawapan beliau," jelasnya.


Katanya, jurucakap pembangkang itu turut menghasut dan memberi idea kepada rakyat untuk membuat demonstrasi Bersih 4.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Perpaduan Melayu Gombak, Mohammad Nazlee Aziz Yeop menuntut Ambiga supaya membuktikan kepada rakyat berhubung dakwaannya itu.

"Inilah sikap pembangkang, apabila sudah gagal, mereka menggunakan pelbagai cara kotor untuk mengelak daripada kesalahan yang dicipta sendiri.

"Mereka perlu tonjolkan kewibawaan sebagai seorang pemimpin. Perlu ada kewibawaan dalam memerintah dan bukannya meletakkan kesalahan di bahu orang lain jika mahu menjadi pemimpin dan dihormati," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan