Khamis, Oktober 24, 2013

#PRK SG LIMAU : Mat Sabu sekarang, bukan yang dulu?


"Aku yang dulu bukanlah yang sekarang..." itu antara bait lirik lagu popular dendangan penyanyi cilik dari Indonesia, Tegar yang sering berkumandang di corong-corong radio pada masa ini.

Lagu itu menceritakan bagaimana seorang anak kecil berhijrah ke kota mencari kehidupan yang lebih baik. Walaupun tanpa pendidikan kerana kemiskinan tetapi akhirnya dia menjadi artis popular.

Bagaimanapun situasi berbeza menimpa pemimpin Pas, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu. Satu ketika dahulu beliau memang cukup popular puluhan ribu orang akan hadir ceramah beliau, tetapi semalam hanya dihadiri tidak sampai 100 orang.

Slot awal buat Timbalan Presiden Pas itu juga menjadi sesuatu yang agak janggal, kerana sebelum ini beliau akan diberi slot terakhir kerana kehadiran beliau memang ditunggu-tunggu.

Ketika Mat Sabu berceramah pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Limau malam tadi, orang ramai kelihatan seolah-olah acuh tidak acuh dan sibuk berbual-bual di kedai kopi berdekatan. Mereka kelihatan rancak berbual sesama rakan sambil menghirup kopi pekat dan bihun sup yang cukup popular di Kedah.


Nampaknya menghirup kopi pekat dan bihun sup lebih enak daripada mendengar ceramah Mat Sabu yang sebelum ini mengesahkan akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Pas yang disandang pada Muktamar Pas bulan hadapan.

Dahulu bukan sahaja ceramah Mat Sabu menjadi kegilaan orang ramai, bahkan kaset-kaset rakaman ceramah beliau laris seperti goreng pisang panas.

Ceramah Mat Sabu biasanya cukup sinis dan berbisa serta sering diselitkan dengan jenaka yang menyebabkan para hadirin tidak kering gusi ketawa.

Mungkin Mat Sabu sudah kehilangan modal. Suatu ketika dahulu modal beliau ialah Anwar Ibrahim yang ketika itu berada di dalam kerajaan. Pelbagai gelaran diberikan kepada pemimpin itu. Bagaimanapun kini mereka berada di dalam kem yang sama menyebabkan Mat Sabu ketandusan idea.

Hendak bercakap tentang pembangunan negara, apalah sangat pembangunan yang telah dilakukan oleh Pas ketika memerintah Kedah selama satu penggal. Kelantan yang diperintah berpenggal-penggal pun masih ketinggalan seperti Malaysia di tahun 70-an.


Hendak bercakap tentang ekonomi, itu bukan bidang beliau. Malam ini tinggallah golongan tua yang mendengar ceramah Mat Sabu kerana golongan muda tidak menunjukkan minat.

Hendak mengutuk berlebihan pemimpin UMNO, mungkin Mat Sabu sedar penduduk di Sungai Limau yang terkenal dengan pegangan agama yang kuat memang tidak gemar dengan politik adu domba, memaki serta mencerca lawan.

Mat Sabu juga seorang pelupa kerana menuduh Kerajaan Negeri Kedah yang diperintah Barisan Nasional (BN) gagal menyediakan kemudahan asas yang baik di Sungai Limau, sedangkan BN baru beberapa bulan sahaja merampas kembali negeri Jelapang Padi itu daripada Pas yang memerintah selama satu penggal, bahkan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Limau, Tan Sri Azizan Razak adalah wakil rakyat kawasan berkenaan dan pilihan raya kecil diadakan kerana kematian Azizan.

Jalan-jalan yang baru diturap dituduh sengaja diturap kerana pilihan raya kecil. Persoalannya mengapa Pas tidak pernah berbuat apa-apa setelah menguasai Sungai Limau selama lima penggal berturut-turut dan memerintah Kedah?

Selama ini juga jalan-jalan yang dibina di Sungai Limau sehingga ke hadapan tangga rumah memang dilakukan oleh kerajaan BN, walaupun penduduk kawasan berkenaan tidak pernah menghargai atau berterima kasih.


Bayangkan jika mereka memilih BN kali ini. Tentunya pelbagai projek infrastruktur mencurah-curah datang kerana mereka diwakili oleh pemimpin yang datang daripada parti yang memerintah di negeri dan Persekutuan.

Tidak salah penduduk Sungai Limau melakukan eksperimen dengan memberi peluang kepada BN kali ini, apatah lagi penggal ini hanya tinggal kira-kira empat tahun lagi dan jika pilihan raya diadakan lebih awal penggal kali ini mungkin tinggal hanya tiga tahun.

Jika terbukti BN tidak menepati janji, penduduk Sungai Limau boleh memberi kembali kerusi berkenaan kepada Pas. Tempoh tiga tahun sangat singkat, pejam celik, pejam celik sudah tamat penggal.

Jika Penduduk Sungai Limau tidak berani melakukan perubahan mereka akan terus berada ditakuk lama. Orang-orang tua mungkin berasa selesa dengan keadaan sekarang.

Bagaimana pula dengan nasib orang muda yang terpaksa berhijrah ke bandar yang terdekat iaitu Alor Setar dan Sungai Petani, hingga ke Pulau Pinang untuk mencari pekerjaan kerana kerja di sawah dan sebagai nelayan tidak menjanjikan kehidupan yang lebih baik memandang saiz sawah padi yang kecil dan tangkapan yang sedikit sebagai nelayan pesisiran pantai.


Ada anak muda yang terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur untuk memperbaiki taraf hidup keluarga. Sedangkan Sungai Limau yang terletak tidak jauh dari kaki Gunung Jerai dan berdekatan dengan pantai mempunyai potensi besar untuk dibangunkan.

Pembangunan bermakna peluang pekerjaan diwujudkan bertambah. Pembangunan juga bermakna pendapatan yang lebih tinggi.

Dalam tempoh tujuh tahun lagi negara kita akan menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi. Inilah peluang penduduk Sungai Limau untuk bersama-sama dengan kerajaan yang mempunyai wawasan jelas untuk kesejahteraan rakyat.

Penceramah terakhir malam ini ialah Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub. Orang ramai mulai berpusu-pusu sehingga petugas terpaksa menambah kerusi.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan