Sabtu, Ogos 24, 2013

Tunku Aziz : DAP Adakan Pemilihan Semula Dengan Agenda Tersirat?


Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata meskipun DAP nampak seperti akur dengan arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC), namun ia dilakukan dengan agenda tersirat.

Menurutnya, perubahan keputusan DAP itu bukan disebabkan rasa takut parti itu akan dibatalkan, tetapi untuk meletakkan parti itu sebagai mangsa ROS yang dituduh diarahkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Meletakkan DAP menjadi mangsa ‘kekejaman’ ROS dan BN, katanya akan dapat mengalihkan kesalahan sebenar yang dilakukan pimpinan parti itu dalam pemilihan CEC DAP Disember tahun lalu.

“DAP memberikan jawapan yang tidak lengkap dan menyembunyikan maklumat penting yang boleh membantu ROS dalam menjalankan penyiasatan terhadap tuduhan (salah laku pemilihan CEC), ” kata Tunku Aziz dalam sidang media semalam.



Tunku Abdul Aziz dilaporkan Utusan Malaysia berkata, DAP perlu sedar kemelut CEC itu timbul kerana ramai akar umbi parti tidak berpuas hati dengan proses pemilihan tahun lalu yang penuh kepincangan.

Menurutnya, Pengerusi DAP, Karpal Singh menyatakan senarai calon untuk pemilihan semula CEC itu akan kekal sama seperti pemilihan tahun 2012 dan begitu juga senarai ahli delegasi yang akan mengundi.

“Bagi saya, DAP tidak sewajarnya menyekat hak ahli yang mahu bertanding kali ini dan mereka harus bersetuju dengan kehadiran pemerhati bebas.

“Selain itu, mereka juga perlu memastikan semua perwakilan menerima notis mesyuarat serta melantik juruaudit bebas untuk memantau perjalanan pemilihan CEC yang baharu,” katanya.

Sabtu lalu, Karpal menyatakan pemilihan semula CEC parti itu pada November depan akan mengekalkan senarai calon CEC serta perwakilan yang sama seperti pemilihan Disember tahun lalu.


Pada 15 Ogos lalu, DAP akhirnya akur untuk mengadakan pemilihan semula CEC selepas pemilihan tahun lalu itu didakwa wujud penyelewengan kerana parti itu dikatakan gagal memberi notis kepada 753 perwakilan yang merupakan ahli sah untuk mengundi.

Keputusan mengadakan pemilihan semula itu dibuat tujuh bulan selepas pemilihan CEC 15 Disember lepas, yang diikuti siasatan ROS kemudiannya membuat ketetapan tidak memberi pengiktirafan kepada para pemegang jawatan CEC parti itu melalui notis yang dikeluarkan pada 17 April lalu.

Menurut Tunku Abdul Aziz, DAP tidak sewajarnya menudingkan jari kepada mana-mana pihak individu atau organisasi terhadap kelemahan parti itu serta segala kontroversi yang timbul.

“Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak seharusnya menuding jari mencari kesalahan pihak lain sekiranya kegagalan itu berpunca daripada beliau sendiri,” katanya.

Jelasnya, DAP tidak sepatutnya mengelirukan masyarakat tentang arahan diberikan ROS terutama pemilihan semula CEC parti itu dan membuat pelbagai provokasi sehingga mahu mengheret Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan