Isnin, Mei 27, 2013

Guan Eng didesak minta maaf kepada masyarakat India?


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng didesak supaya memohon maaf kepada masyarakat India ekoran tindakannya mengetepikan lebih 700 perwakilan DAP yang majoritinya keturunan India daripada mengundi pada pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Disember tahun lalu.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Masyarakat dan Perpaduan Rakyat Malaysia (Perkemas), N. Gobalakrishnan berkata, tindakan menafikan hak kesemua perwakilan tersebut amat dikesali dan seharusnya tidak berlaku.

"Guan Eng jelas menghina masyarakat India kerana lebih 700 perwakilan itu juga berhak untuk mengundi pada CEC tersebut sama seperti beliau juga," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Isu pemilihan CEC DAP menimbulkan keraguan kerana didakwa wujud penyelewengan oleh ahlinya sendiri apabila DAP dikatakan gagal memberi notis kepada 753 perwakilan yang majoritinya masyarakat India untuk mengundi pada pemilihan tahun lalu, selain timbul kemusykilan berhubung proses pengiraan undi.

Pendaftar Pertubuhan (ROS) masih menjalankan siasatan berhubung dakwaan tersebut dan beberapa pemimpin DAP termasuk Guan Eng telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Gobalakrishnan turut mendesak supaya Guan Eng memberikan jawapan sama ada Ketua Menteri Pulau Pinang itu ingin mengadakan semula pemilihan CEC atau membiarkan ROS membatalkan pendaftaran DAP.

"Ini kerana ada ura-ura yang mengatakan Guan Eng lebih rela supaya pendaftaran DAP dibatalkan kerana dia tidak perlu membawa masuk kembali kumpulan yang menentangnya yang majoriti merupakan berketurunan India," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan