Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Selasa, April 02, 2013
Masanya sudah tiba, tolak pemimpin ini?
Masanya hampir tiba untuk rakyat Malaysia membuat keputusan penting. Demikian juga masanya sudah tiba bagi kita, rakyat Malaysia berterus-terang mengatakan tidak untuk dipimpin oleh pemimpin ini. Cukup-cukuplah.
Pemimpin ini secara tersurat dan tersirat, secara halus dan sinis sebenarnya telah lama ditolak. Begitu ramai tokoh yang meninggalkan beliau. Kini gerakan-gerakan untuk meminggirkan Anwar Ibrahim semakin ketara. Gerakan dari dalam ini berjalan secara senyap.
Jentera pemikir dan gerak saraf beliau pun sudah menyedarinya. Mungkin sebab itu dalam akhbar PKR edisi minggu ini, Anwar dipamerkan untuk dijual sebagai 'Bakal Perdana Menteri'.
Aneh bukan, sudah sejauh ini mereka berjalan tetapi jentera propagandanya sendiri tidak yakin beliau mampu memimpin negara? Terpaksa dibuat pula satu promosi - bakal Perdana Menteri yang menceritakan sejarah kegemilangan beliau sejak zaman mahasiswa lagi.
Kalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang. Siapakah gerangan yang mahu menggoyang Anwar? Yang sudah nyata adalah pemimpin dan golongan akar umbi Pas.
Reaksi Pas Perak terhadap desas-desus Anwar mahu bertanding di Parlimen Ipoh Timur bukan sahaja menimbulkan banyak tanda tanya tetapi juga mengejutkan. Dalam nada antara memuji dan mencemik, mereka mencadangkan Anwar lebih baik bertanding di kawasan majoriti Melayu.
Pas Perak malah menamakan Pengerusi DAP, Karpal Singh untuk bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina itu bagi menggantikan Lim Kit Siang yang akan bertukar gelanggang ke Gelang Patah di Johor iaitu kawasan milik PKR.
Tersirat
Kit Siang menjadi wakil rakyat Ipoh Timur sejak 2004 dan menang dengan majoriti 22,043 undi pada PRU-12. Ipoh Timur adalah kerusi tradisi DAP dan dianggap kawasan paling selamat pakatan pembangkang.
Banyak yang boleh ditakrif dengan pendirian Dewan Pemuda Pas Perak ini. Nadanya tidak seperti selalu. Apakah yang tersirat apabila mereka mencadangkan agar Anwar bertanding di kerusi Parlimen Lumut atau Bagan Datoh dan bukannya Ipoh Timur? Pas Bahagian Bagan Serai pula mengesyorkan supaya Ketua Pembangkang itu bertanding di Parlimen Tambun.
Kerusi Parlimen Bagan Datoh kini disandang Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Kerusi Parlimen Tambun yang juga antara kubu kuat BN, disandang Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Parlimen Lumut pula disandang Setiausaha Agung MCA yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha manakala kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor dalam kawasan itu kini dipegang oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Beranikah Anwar bertanding di kawasan yang dicadangkan oleh Pas itu, sedangkan beliau dikatakan tidak lagi menerima sokongan seperti dahulu di kawasannya sendiri yang majoriti pengundi Melayu di Permatang Pauh?
Cadangan itu tidak lebih sebagai simbolik penolakan ahli-ahli akar umbi Pas terhadap kepimpinan Anwar. Cuma, mereka tidak boleh berterus-terang. Jadi terpaksa berbasa-basi dan disampaikanlah rasa tidak suka itu dengan cara sebegini.
Penolakan terhadap Anwar yang kehidupannya banyak dikaitkan dengan maksiat dan salah laku moral, kini semakin membuak-buak. Penolakan terhadap kepimpinan beliau oleh ahli-ahli parti sekutunya diterjemahkan dalam bentuk lain.
Tidak seperti dahulu, kata-kata Anwar kini bukan lagi mewakili suara pakatan pembangkang. Suaranya tidak lagi keramat. Semakin jelas sekarang, menjelang detik-detik akhir ini, Anwar semakin menampakkan diri sebagai bukan calon Perdana Menteri. Daripada kaca mata banyak pihak, beliau tidak layak.
Tetapi Anwar dan kepimpinan utama pakatan pembangkang selalu sahaja pandai bermuka-muka. Konflik dan kekalutan mereka sorokkan. Di atas pentas, di depan khalayak mereka boleh berpeluk. Ada sahaja helah jika berlaku perkembangan yang tidak memihak mereka.
Begitu juga apabila Kit Siang berura-ura untuk menggunakan lambang Pas jika Pendaftar Pertubuhan membatalkan pendaftaran DAP kelak. PKR yang nampak beria-ia dan begitu berbangga, bukannya Pas.
"Kalau pilih (lambang) PKR, ini biasa sebab PKR parti berbilang kaum tapi pemilihan guna lambang Pas pasti beri kesan luar biasa," kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam satu ceramah di Johor Bahru.
Mungkinkah PKR awal-awal lagi mahu menutup malu kerana Kit Siang lebih selesa menggunakan lambang Pas? Bukankah mereka selalu berkata pakatan adalah gabungan yang terbaik? Jadi, apa istimewanya jika calon-calon DAP kelak menumpang lambang Pas?
Hal ini telah lama dilakukan oleh Barisan Nasional (BN). Sejak sekian lama semua parti yang bergabung dengan BN menggunakan satu lambang. Semua calon BN - calon Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazandusun bertanding menggunakan lambang yang sama.
Ini mereka baru nak rancang. itupun kerana terpaksa akibat salah DAP sendiri yang takbur dan selalu mengaku parti serba sempurna. Seperti itulah perangai puak-puak ini melonjak-lonjak bangga konon kemenangan sudah berpihak kepada mereka sedangkan orang lain telah lama melakukannya.
Begitulah juga ketua mereka itu yang melonjak-lonjak mahu menjadi Perdana Menteri. Impian itu sekarang ibarat cita-cita peribadi, tidak lagi disokong oleh ahli-ahli parti sekutunya.
Mungkin benar seperti dikata orang, masa untuk Anwar sudah berlalu. Beliau sudah mencapai tarikh luput. Tetapi berhati-hatilah kerana beliau pandai menggunakan helah sebagaimana kegemparan yang pernah dilakukannya pada peristiwa hitam 16 September.-UMO
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan