Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Rabu, April 03, 2013
Kita tak perlu layan tuntutan Jamalul Kiram III?
Fakhrul Azman Abu Bakar (kiri) menunjukkan buku Tarsilah Brunei: Zaman Kegemilangan dan Kemasyhuran di Kuala Lumpur 27 Mac lalu. Turut kelihatan, Penasihat Biro Antarabangsa IKIAM, Sulaiman Ibrahim.
Akhbar di Filipina pada 25 Mac lalu melaporkan kerajaan Filipina mungkin mengemukakan tuntutan ke atas Sabah. Kemungkinan itu dibayangkan oleh Setiausaha Kehakiman Filipina, Leila de Lima susulan arahan Presiden, Benigno Aquino III untuk meneliti kesahihan tuntutan Jamalul Kiram III terhadap negeri berkenaan.
Yang menjadi persoalan, apakah Filipina berhak menuntut Sabah menerusi Jamalul Kiram III? Soalan itu dicetuskan Pengerusi Biro Antarabangsa, Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), FAKHRUL AZMAN ABU BAKAR dalam pertemuan bersama wartawan Utusan Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini. Penasihat Biro Antarabangsa IKIAM, Datuk Sulaiman Ibrahim turut hadir dalam pertemuan tersebut.
Timbul tanda tanya: Layakkah Fakhrul Azman mempertikaikan tuntutan Filipina atau Jamalul Kiram III terhadap Sabah? Beliau bukan seorang diplomat atau pakar perundangan antarabangsa. Sudah tentu Fakhrul Azman bukan berdarah Sulu. Beliau berasal dari Terengganu.
Pembabitan Fakhrul Azman secara aktif dalam IKIAM telah membawanya menjelajah ke seluruh pelosok dunia termasuk selatan Filipina. Beliau mempunyai ramai kenalan di wilayah berkenaan termasuk tokoh gerakan Islam, Datu Ladjamura Muhammad Muizzudin II dan pemimpin masyarakat Sulu, Habib Mohd. Zakir al-Daie. Persahabatannya dengan tokoh-tokoh berkenaan telah membuka mata Fakhrul Azman untuk melihat tuntutan Jamalul Kiram III itu dari perspektif masyarakat Sulu di selatan Filipina.
UTUSAN: Isu tuntutan Jamalul Kiram III dan kerajaan Filipina masih berlarutan. Pada pandangan saudara, wajarkah tuntutan itu dibuat?
FAKHRUL AZMAN: Saya berpandangan, Filipina tiada asas yang kukuh untuk menuntut Sabah kerana Jamalul Kiram III tidak pernah diiktiraf sebagai Sultan oleh masyarakat Sulu di selatan Filipina. Dalang pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di timur Sabah itu sebenarnya syok sendiri.
Mungkin tidak ramai yang tahu, masyarakat Sulu mempunyai adat istiadat tersendiri berhubung pertabalan seorang Sultan. Dalam hal ini, mereka mempunyai kaedah yang agak unik. Saya difahamkan, kata pemutus tentang siapa yang layak menjadi Sultan terletak pada tangan 500 pembesar adat masyarakat Sulu yang bergelar Datu.
Setelah persetujuan dicapai, istiadat pertabalan Sultan Sulu seterusnya dilangsungkan di Rumah Bichara. Sultan Sulu yang baharu ditabalkan juga dikehendaki bersemayam di dalam wilayah kesultanannya.
Merujuk kepada adat istiadat tersebut, sudah tentu Jamalul Kiram III tidak layak digelar Sultan Sulu. Mengapa saya kata begitu? Jamalul Kiram III tidak dilantik oleh 500 Datu, tidak ditabalkan di Rumah Bichara dan kini beliau bersemayam di Manila.
Secara logiknya, kerajaan Filipina atau mana-mana kerajaan lain di dunia tidak perlu melayan tuntutan Jamalul Kiram III kerana beliau sendiri tidak pernah diperakui oleh masyarakat Sulu sebagai Sultan. Memandangkan Jamalul Kiram III bukan Sultan Sulu yang sah, tuntutannya ke atas Sabah juga tidak sah.
Bagaimana pula dari segi sejarah khususnya yang berkaitan keluarga Kiram sendiri?
FAKHRUL AZMAN: Nama keluarga Kiram boleh dikatakan tidak disenangi oleh masyarakat Sulu khususnya kaum Tausug. Sultan Jamalul Kiram II (1884 - 1936) dianggap sebagai tali barut Amerika Syarikat yang menjajah Filipina semasa era pemerintahannya. Baginda dikatakan merestui pembunuhan beramai-ramai lebih 4,000 orang Islam etnik Tausug di Bud Bagsak dan Bud Dahu pada Mac 1906.
Penyembelihan terhadap keluarga Datu dan Syarif Tausug itu turut meragut nyawa ramai wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa. Mereka dibunuh dengan kejam ekoran enggan membayar cukai kepala kepada kerajaan kolonial Amerika Syarikat. Berikutan insiden berdarah itu, kaum Tausug tidak dapat menerima sesiapa sahaja yang susur galurnya daripada keluarga Kiram sebagai Sultan.
Penolakan masyarakat Tausug terhadap keluarga Kiram itu bukan sesuatu yang ganjil. Sebagai rakyat, kaum Tausug telah memberi kepercayaan kepada Sultan Jamalul Kiram II untuk melindungi mereka daripada sebarang ancaman. Malangnya, kepercayaan itu dibalas dengan pengkhianatan. Insiden Bud Bagsak serta Bud Dahu sentiasa dikenang sebagai detik hitam dalam sejarah kaum Tausug.
Selain itu, Brunei sebenarnya tidak pernah menyerahkan kawasan Borneo Utara yang dikuasainya kepada Sultan Suluk. Fakta itu dinyatakan secara terang dan jelas di dalam buku Tarsilah Brunei: Zaman Kegemilangan dan Kemasyhuran yang ditulis oleh Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Datuk Seri Utama Dr. Haji Mohd. Jamil Al-Sufri.
Apa yang menarik buku itu?
FAHKRUL AZMAN: Menurut buku tersebut, perang saudara tercetus di Brunei pada 1673 di antara Sultan Muhyiddin dan Sultan Abdul Hakkul Mubin. Secara rahsia, Sultan Muhyiddin telah meminta bantuan sepupu baginda, Sultan Suluk dengan menjanjikan negeri-negeri di sebelah utara Borneo sebagai balasan.
Dalam peperangan itu, Sultan Muhyiddin berjaya mengalahkan Sultan Abdul Hakkul Mubin yang bersemayam di Pulau Cermin. Bagaimanapun, tentera Sultan Suluk dikatakan bersembunyi di Pulau Keingaran semasa serangan dilancarkan dan hanya datang ke Pulau Chermin selepas Sultan Abdul Hakkul Mubin ditewaskan.
Walaupun perang saudara telah berakhir, Sultan Muhyiddin terpaksa berhadapan dengan masalah lain iaitu tuntutan Sultan Suluk ke atas wilayah yang merangkumi Paitan, Sugut, Mempayong, Palawan, Balabak dan kepulauan di sekitarnya. Namun, tuntutan Sultan Suluk itu ditolak oleh Sultan Muhyiddin kerana tentera Suluk tidak menjalankan tugas mereka dengan sepenuhnya.
Memandangkan Brunei tidak pernah menyerahkan Borneo Utara kepada Sultan Suluk, tuntutan terhadap Sabah sepatutnya tidak dibangkitkan lagi oleh mana-mana pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu termasuk Jamalul Kiram III.
Jika tiada isu, mengapa media asing khususnya di Filipina dan juga di Indonesia seolah-olah memihak kepada Jamalul Kiram III?
FAKHRUL AZMAN: Semasa mengunjungi Indonesia baru-baru ini, saya hairan apabila mendapati media-media yang berpendirian liberal di negara itu menyifatkan Operasi Daulat yang dilancarkan pasukan keselamatan Malaysia sebagai melanggar hak asasi manusia. Agak pelik apabila tindakan kita mempertahankan kedaulatan negara disamakan dengan pencabulan hak asasi manusia. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena. Tanggapan salah itu jika tidak diperbetulkan segera akan menyebabkan imej negara dipandang serong oleh masyarakat antarabangsa.
Saya amat berharap agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dapat memainkan peranan secara proaktif untuk menyebarkan maklumat yang tepat dan sahih tentang insiden pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di timur Sabah. Tidak adil juga kalau kita salahkan media asing sepenuhnya kerana mereka mungkin tidak mendapat gambaran sebenar tentang Operasi Daulat.
Sebaik-baiknya, kita jangan pinggirkan media asing terutamanya yang beroperasi di rantau Asia Tenggara. Apabila media asing tidak menerima maklumat daripada kerajaan Malaysia, mereka akan beralih kepada pihak-pihak yang bersimpati dengan kumpulan pengganas Kiram. Sudah tentu, laporan yang disampaikan lebih memihak kepada Jamalul Kiram III.
Mungkin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti IKIAM boleh membantu dalam usaha ini.
FAHKRUL AZMAN: Memang ada dalam perancangan kami. Semasa di Jakarta, saya dan Datuk Sulaiman mengunjungi Ketua Umum Dewan Pimpinan Pusat, Front Pembela Islam (FPI), Al Habib Muhammad Rizieq Syihab. Hasil kunjungan itu, kami mengetahui umat Islam di Nusantara memandang tinggi terhadap keikhlasan kerajaan Malaysia dalam usaha rundingan damai di selatan Filipina dan selatan Thailand. Kita tidak mahu rundingan damai tersebut diperkotak-katikkan oleh pembangkang dan gagal di pertengahan jalan.
Bagi memperbetulkan sebarang tanggapan yang salah terhadap kerajaan Malaysia, kami rasa terpanggil untuk menubuhkan sebuah NGO Islam yang dinamakan Jaringan Muafakat Islam Nusantara (Jamin) yang bakal dianggotai lebih 300 NGO Islam dari Malaysia, Indonesia dan Filipina.
Selain mengeratkan kerjasama dalam kalangan NGO Islam serantau, Jamin turut berperanan menyebarkan maklumat yang tepat dan sahih berhubung isu-isu membabitkan umat Islam di Nusantara. Isu tuntutan Jamalul Kiram III terhadap Sabah akan diberi keutamaan selain gerakan membanteras gejala liberalisme di Malaysia dan Indonesia.
Jamin juga akan bergerak mengikut kaedah-kaedah yang pernah digunakan oleh para pendakwah semasa peringkat awal penyebaran Islam di Nusantara. Kita akan berusaha memperteguhkan ekonomi ummah, kegiatan dakwah dan pendidikan. Skop Jamin meliputi aspek jaringan budaya, pendidikan belia, keusahawanan dan warisan Islam.
Sebagai kesimpulan, apakah harapan saudara terhadap rakyat Malaysia dalam isu tuntutan Jamalul Kiram III terhadap Sabah?
FAKHRUL AZMAN: Dalam isu ini, semua rakyat Malaysia hendaklah bersatu hati menyokong apa sahaja tindakan yang diambil kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan negara khususnya di Sabah. Penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa Sabah sebahagian daripada Malaysia selama-lamanya mesti diberi perhatian serius.
Insiden pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di timur Sabah telah memperlihatkan wajah-wajah sebenar beberapa pemimpin pembangkang yang terlalu taksub dengan agenda politik sempit mereka walaupun dalam keadaan kedaulatan negara sedang diancam. Malah, ada antara mereka yang dikatakan menjadi batu api yang menyalakan semula tuntutan Jamalul Kiram III terhadap Sabah.
Saya tidak menuduh sesiapa tetapi saya yakin rakyat boleh menilai sendiri dengan bijak. Apa yang penting, tanggungjawab menjaga kedaulatan negara perlu dipikul bersama oleh seluruh rakyat Malaysia dan kita boleh melakukannya dengan memberi sokongan padu kepada kerajaan.-UMO
Suara Politik
Belantan
Minta wisma Putra/kerajan Malaysia mohon pengesahan daripada kerajaan Brunei berhubung dengan status perlantikan Baron de Overbeck pada 28/12/1897 dan status Sabah dari prespektip Brunei sehingga tahun 1968. URGENT.
BalasPadam