Rabu, Februari 27, 2013

Wahai Khalid...!!! Kalau tak mampu jangan terus salahkan orang lain?




Apakah agenda kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor? Itulah yang bermain dalam fikiran kebanyakan rakyat dengan pengumuman Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa pihaknya telah mengemukakan tawaran terbaru untuk mengambil alih konsesi bekalan air di Selangor.

Tawaran kali keempat melalui anak syarikatnya, Kumpulan Darul Ehsan Bhd. (KDEB) dibuat ketika hampir menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan tamatnya mandat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor April ini.

Kenapa di saat-saat akhir hendak membangkitkan semula isu itu sedangkan kerajaan PKR sudah diberikan tempoh lima tahun untuk menyelesaikannya?

Adakah ia bertujuan menutup kegagalan kerajaan PKR untuk menyelesaikan krisis air di negeri itu dan tawaran terbaru terbabit akan digunakan sebagai modal pilihan raya bagi menyalahkan Kerajaan Persekutuan sebagai punca masalah air berlarutan?

Kepada semua rakyat, sedarlah bahawa Kerajaan Persekutuan tidak bersalah dalam isu ini, malah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri pernah mengumumkan Kerajaan Pusat tidak akan menghalang pengambilalihan tersebut jika mendapat persetujuan syarikat pemegang konsesi.

Tawaran bernilai RM9.65 bilion melibatkan pengambilalihan empat syarikat konsesi iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Puncak Niaga Sdn. Bhd., Konsortium Abass Sdn. Bhd. (Abass) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holding Sdn. Bhd. (Splash).

Syabas dimiliki 70 peratus oleh Puncak Niaga dan 30 peratus oleh kerajaan negeri menerusi anak-anak syarikatnya.

Menurut pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, rakyat tidak sepatutnya hanya tertumpu kepada isu pengambilalihan terbaru sehingga lupa akan hakikat kegagalan kerajaan PKR Selangor untuk menyediakan bekalan air bersih.

"Kerajaan negeri pernah menuduh Syabas sebagai punca krisis air yang melanda 500,000 penduduk di 90 kawasan di Gombak dan Ampang serta mahu menyaman syarikat itu.

"Ini agak melucukan apabila Syabas dituduh sebagai punca krisis air sedangkan kerajaan Selangor sebenarnya memiliki 30 peratus saham dalam Syabas. Apabila memiliki 30 peratus saham, ini kuasa yang besar dalam perniagaan. Ia juga mempunyai dua pengarah dalam lembaga syarikat berkenaan," katanya.

Beliau berkata, satu lagi yang rakyat perlu sedar adalah sikap kerajaan PKR Selangor yang asyik menyalahkan orang lain berhubung krisis air dan hanya mahu menjadikan isu itu sebagai mainan politik.

"Kenapa asyik salahkan orang lain? Kenapa tidak dibincangkan semasa mesyuarat lembaga pengarah, menyatakan ini yang perlu dibetulkan," ujarnya.

Terbaru Abdul Khalid, meminta Pengerusi Syabas, Tan Sri Rozali Ismail tidak prejudis terhadap usaha pihaknya membuat tawaran pengambilalihan kali keempat tersebut kerana nilai yang diberikan adalah cukup tinggi.

Rozali juga adalah Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga yang memiliki saham terbesar Syabas. Dalam reaksi segeranya, Rozali berkata, kenyataan Menteri Besar Selangor itu bermotif politik kerana bukan beliau seorang yang boleh membuat keputusan.

Kata Rozali, beliau perlu mendapatkan pandangan dan kelulusan ahli lembaga pengarah, para pemegang saham minoriti, pihak-pihak yang ada kepentingan dengan dua syarikat terbabit termasuk institusi kewangan dan lain-lain instrumen jaminan serta badan-badan berkuasa.

Dalam pada itu, Ahmad Zaharuddin Sani berkata, tindakan kerajaan PKR Selangor membekukan perbelanjaan modal (Capex) Syabas sejak 2008 telah menyukarkan syarikat itu untuk menggantikan paip-paip lama dalam usaha mengurangkan air yang tidak mendatangkan hasil (NRW).

"Bila berlaku masalah seperti ini, siapa yang rugi? Adakah kerajaan negeri Selangor rugi, adakah Syabas rugi ataupun rakyat yang sengsara disebabkan mainan politik ini?" katanya.

Mengenai tawaran pengambilalihan terbaru itu, beliau berkata, ia bukan penyelesaian krisis air di Selangor. Kita perlu ada air mentah untuk diagihkan dahulu kepada penduduk dan bilangan industri yang semakin meningkat, barulah boleh melihat penstrukturan dan langkah mengambil alih syarikat konsesi.

"Penstrukturan semula itu adalah agihan kerana bagaimana kita nak lakukan pengagihan kalau kita tidak ada bahan mentah untuk diagihkan?" katanya.

Beliau berkata, perkara utama yang sepatutnya dibuat adalah untuk tidak menyekat pembinaan loji rawatan air Langat 2 oleh Kerajaan Persekutuan.

"Loji Langat 2 merupakan satu-satunya alternatif yang boleh menjamin negeri berkenaan mampu menyediakan bekalan air mencukupi memandangkan semua loji rawatan air sedia ada beroperasi melebihi kemampuan pengeluaran masing-masing," katanya.

Turut bersetuju dengan pandangan itu ialah Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Perbadanan Urus Air Selangor Bhd. (KPPPuas), Abdul Aziz Ali yang menegaskan krisis air bukan berpunca dari kelemahan pengurusan syarikat konsesi sehingga perlu diambil alih kerajaan PKR Selangor.

Sebaliknya, kata beliau, masalah itu berpunca daripada kekurangan bekalan air terawat. Penyelesaian masalah ini bukan bermotifkan ambil alih tetapi penyediaan loji Langat 2 untuk menyediakan air terawat.

"Walaupun pengurusan ditukar tetapi jika loji rawatan tidak ada, masalah sama juga akan berlaku," ujarnya.

Seperti yang didedahkan oleh Ahmad Zaharuddin Sani dan Abdul Aziz, tindakan terbaru kerajaan PKR Selangor itu jelas sekali bermotif politik bagi menutup kegagalannya menyelesaikan krisis air sepanjang lima tahun memerintah.

Satu lagi persoalan yang masih gagal dijawab oleh Abdul Khalid adalah daripada manakah KDEB akan memperoleh dana yang begitu besar untuk mengambil alih syarikat konsesi tersebut? Nasihat kepada kerajaan negeri, jangan terus menimbulkan isu-isu kitar semula menjelang pilihan raya dan menyalah orang lain berhubung krisis air di Selangor.

Kepada pengundi, adakah anda akan terus menyokong kerajaan pembangkang yang diibarat pepatah Melayu sebagai 'Gajah di depan mata mereka tak nampak, tetapi kuman di seberang laut mereka nampak'.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan