Rabu, Februari 27, 2013

Peniaga Medan Selera Sungai Serai terus bantah arahan berpindah?



Sekumpulan peniaga Medan Selera Upen Batu 12, Sungai Serai berkumpul bagi membantah arahan berpindah oleh MPKj ke tapak gerai baharu di Taman Perkasa, Hulu Langat, Selangor semalam.

Seramai 16 peniaga gerai Medan Selera Unit Perancang Ekonomi (Upen) Hulu Langat di Batu 12, Sungai Serai di sini mengadakan bantahan aman sebagai menyatakan pendirian untuk tidak berpindah ke tapak gerai baharu di Taman Perkasa.

Mereka memberitahu menerima notis yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bertarikh 29 Januari lalu yang mengarahkan mereka berpindah dengan segera.

Pada Jumaat lalu, pihak MPKj telah mengadakan perbincangan dan perjumpaan dengan peniaga-peniaga terbabit bagi tujuan cabutan undi petak gerai namun para peniaga tersebut bertindak memprotes untuk tidak berpindah ke kawasan baharu yang disifatkan tidak strategik.

Peniaga gerai makanan, Sofiah Kassim, 45, berkata, ketika perjumpaan dengan pihak MPKj, para peniaga tidak bersetuju untuk berpindah dan meminta pihak itu untuk melanjutkan tempoh notis itu dengan menambah kepada sebulan lagi.

"Pihak MPKj menyatakan mereka tetap dengan pendirian dengan mengeluarkan surat tawaran pemindahan untuk kami dalam masa terdekat. Kami meminta pihak tersebut mengkaji semula untuk membawa kami berpindah ke tempat yang kami cadangkan iaitu di Taman Nanding," katanya.

Sofiah merupakan sebahagian peniaga yang menyertai sesi bantahan aman bersama-sama Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) di sini hari ini.

Peniaga, Anuar Talib, 53, meluahkan rasa kecewanya terhadap pihak bertanggungjawab dan mendakwa arahan tersebut mungkin berpunca dengan kewujudan bangunan lot kedai di belakang gerai mereka yang telah siap dibina pada bulan lalu.

"Tapak gerai kami akan dirobohkan bagi memberi laluan ke bangunan tersebut. Sepatutnya pihak bertanggungjawab berunding dengan kami terlebih dahulu sebelum pembinaan bangunan itu tetapi apabila ia telah siap dibina, kami dihalau tanpa ada pampasan," katanya.

Peniaga gerai buah-buahan, Lee Kim Ling, 53, pula berkata, mereka perlu membayar sewa sebanyak RM50 sebulan di gerai sekarang dan pihak MPKj menawarkan sewa percuma selama enam bulan namun bukan itu yang mereka harapkan sebaliknya pendapatan.

"Pengunjung biasanya terdiri daripada orang yang melalui jalan besar berhadapan gerai kami dan peniaga gerai makanan mempunyai pelanggan tetap.

"Sekiranya berpindah, pendapatan kami akan terjejas kerana kawasan baharu itu terdiri daripada kawasan perumahan bagi mereka yang sibuk bekerja pada waktu siang," jelasnya.

Mereka juga berharap agar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dapat turun padang melihat sendiri permasalahan serta membantu mereka sebaliknya sehingga kini hanya pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) yang membantu mereka.

Dalam perkembangan sama, Presiden Ikhlas, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata sekiranya isu ini tidak selesai, satu memorandum akan dihantar kepada Menteri Besar dalam masa terdekat.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan