Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Khamis, November 29, 2012
Siapa Islam, siapa tidak?
DI Muktamar Pas ke-58 Nik Aziz Nik Mat berkata UMNO tolak Islam dan UMNO Murtad.
Hairan di mana logiknya?
Sewaktu memperjuangkan penggubalan Perlembagaan Negara, pejuang UMNO berjaya memasukkan perenggan Agama Islam Agama Rasmi Negara. Selepas memerintah, kerajaan pimpinan UMNO luluskan banyak bajet untuk buat masjid dan surau. Hari kebesaran Islam seperti Maal Hijrah diisytihar cuti umum, begitu juga Hari Raya Haji dan Hari Raya Puasa.
Selain itu, kerajaan UMNO biayai penubuhan banyak Sekolah Agama Islam, Kolej Islam dan menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa. Bagi memartabatkan amalan membaca al-Quran, UMNO tidak henti-henti menganjurkan tilawah al-Quran sehingga kini.
Kerajaan pimpinan UMNO antara pendiri yang mengasaskan OIC. Apabila Palestin diserang, kerajaan UMNO tidak pernah gagal mengutuk Israel. Pemimpin UMNO sentiasa lantang kutuk Amerika yang berat sebelah kepada Israel.
Yang UMNO tidak buat ialah perjuangkan hudud kerana UMNO sedar bahawa dalam masyarakat majmuk, hudud belum boleh dilaksanakan. Adakah ini yang dimaksudkan oleh Nik Aziz bahawa UMNO tolak Islam?
Kalau itulah asasnya, bagaimana pula pendirian Pas dalam Muktamar Pas baru-baru ini?
Pas pun nampaknya sudah berlembut dan terima hakikat bahawa hudud tidak dapat dilaksanakan secara total merangkumi muslim dan bukan muslim.
Maka, samalah Pas dengan UMNO. Pas kini mengakui realiti kehidupan masyarakat majmuk dan seperti UMNO, Pas kini sudah faham bahawa Pas seperti juga UMNO perlu berhemah dalam memperjuangkan dan melaksanakan hudud.
Nik Aziz berkata lagi, UMNO tolak ulamak. Persoalannya, berapa ribu guru agama di sekolah digaji oleh kerajaan UMNO? Bukankah mereka ini sudah bertaraf ulama atau akan menjadi ulama? Di setiap sekolah kebangsaan, ada minimum satu guru agama untuk pelajar Islam.
Berapa ramai ulama hari ini yang sudah terima biasiswa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri pimpinan UMNO untuk mereka belajar di Al-Azhar dan Universiti Islam lain di Timur Tengah?
Lihat sahajalah Anugerah Tokoh Maal Hijrah- keterampilan ulama diiktiraf dan diberikan penghargaan.
Dari segi institusi, Lembaga Urusan Tabung Haji, Bank Islam, pusat zakat, Syarikat Takaful untuk Insurans Islam, Hospital Islam PUSRAWI, PERKIM, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam dan Yayasan Dakwah Islamiah - semuanya ditubuhkan oleh kerajaan UMNO.
Terkini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut meneruskan agenda Islam UMNO dengan mengorak langkah mengumumkan penubuhan Yayasan Pembangunan Wakaf dan Skim Wakaf Korporat untuk memperkukuh Institusi Wakaf.
Juga, di peringkat global, Najib sudah memulakan gerakan Global Movement of Moderates yang disasarkan kepada Dunia Islam.
Sebagai perbandingan, Pas dari sejak merdeka hingga kini hanya fokus untuk tegakkan hudud. Setelah perintah Kelantan, Kedah dan Terengganu, kerajaan Pas masih tidak laksanakan hudud di negeri tersebut.
Terkini Pas 'serah kalah' dan akui hudud tidak dapat dilaksanakan terhadap bukan muslim. Dalam erti kata lain, perjuangan hudud hanya lunak dibaca dalam perlembagaan Pas semata-mata.
Agar tidak menolak seratus peratus kata-kata, Nik Aziz dalam Muktamar Pas, satu perkara yang perlu direnungkan, mungkin Nik Aziz merujuk kepada ketiadaan klausa yang jelas dalam perlembagaan UMNO yang menerima kedudukan Islam sebagai agama yang UMNO perjuangkan.
Kalau itu maksudnya, maka ia perlu UMNO renungkan sebab 'Nik Aziz nak tengok pada perlembagaan UMNO' Nik Aziz nampaknya tidak mengiktiraf hakikat action speaks louder than words dalam konteks kejayaan kerajaan pimpinan UMNO melaksanakan kesemua agenda Islam sejak merdeka hingga kini.
Seperkara lagi berkaitan UMNO tolak ulama. Walaupun ia tidak benar, mungkin Nik Aziz mahu gambaran jelas. Mungkin yang dimaksudkan adalah agar sayap ulama yang pernah wujud sebelum Pas ditubuhkan dulu perlu UMNO hidupkan semula.
Mungkin Pas nak tengok, Ketua Sayap Ulama UMNO secara automatik menyandang jawatan Naib Presiden seperti sayap Pemuda dan Wanita UMNO?
Kalau itulah yang Nik Aziz nak tengok, agaknya tidaklah sukar untuk UMNO memikirkan perkara itu serta memberi respons sewajarnya?
Sekadar berjenaka, setelah UMNO laksanakan dua perkara di atas, apakah doa Pas, apakah bertukar kepada UMNO OK, BN OK. UMNO OK OK, BN OK OK?
Akhir kata, kalau kita ukur dan nilai sumbangan dan agenda kerajaan UMNO untuk kemajuan Islam, maka sukar nak setuju dengan Nik Aziz bahawa UMNO sudah murtad dan tolak Islam.
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan