Khamis, November 29, 2012

Isu Selangor : Rakyat tak sanggup tanggung seksa, MB Khalid buat apa?


Kenderaan berat menjadi faktor utama berlaku kerosakan teruk jalan di Perumahan Jalan Ros, Bukit Sentosa, Hulu Selangor sejak lebih tiga tahun lalu.

Penduduk di Bukit Sentosa, Bukit Beruntung resah gara-gara dihantui dengan masalah jalan rosak dan berlubang yang berlarutan sejak sekian lama.

Penduduk mendakwa kerosakan itu disebabkan kenderaan berat milik kilang berhampiran sering keluar masuk melalui jalan itu.

Tinjauan di Jalan Ros di sini mendapati kebimbangan penduduk itu berasas. Sepanjang pemerhatian, kerosakan jalan di situ sangat kritikal dan boleh mengancam keselamatan pengguna.

Lubang sedalam satu kaki dan selebar lebih dua kaki itu cukup membimbangkan lebih-lebih jalan itu merupakan laluan utama penduduk ke pekan berhampiran.

Rata-rata penduduk yang ditemui melahirkan rasa kesal kerana sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil pihak bertanggungjawab bagi mengatasi masalah itu.

Bekas Pengerusi Persatuan Perumahan Penduduk Jalan Ros Dua, Ahmad Daud Alwi, 52, berkata, pihak berkuasa tempatan perlu memikirkan penyelesaian jangka panjang terhadap masalah itu.

Katanya, kerja-kerja penurapan yang dilakukan oleh Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) sebelum ini tidak mampu bertahan lama apabila kenderaan berat kembali menggunakan laluan di situ.

"Jika tidak mahu kerosakan jalan berulang, cara terbaik tidak membenarkan terus kenderaan berat melalui jalan di sini.

"Pemilik kilang di kawasan berhampiran juga sepatutnya bertanggungjawab membantu MDHS melaksanakan kerja-kerja penurapan jalan,"katanya.

Dia turut berharap Ahli Parlimen kawasan berkenaan turun padang bagi melihat sendiri dan menyelesaikan masalah jalan itu dengan segera.

Seorang peniaga, Alim @ Halim Husain, 47, berkata, masalah jalan itu semakin membimbangkan apabila kemalangan banyak berlaku sejak akhir-akhir ini terutama melibatkan penunggang motosikal.

"Apabila hujan, penunggang kerap terbabas gara-gara mahu mengelak lubang," katanya.

Suri rumah, Sarina Hassan, 42, berkata, selain kerosakan jalan, lampu jalan yang tidak berfungsi sejak setahun lalu menambah lagi kesengsaraan penduduk di situ.

Katanya, keadaan itu amat berbahaya terutama kepada penduduk yang mahu pulang ke rumah pada waktu malam.

Suara politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan