Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Jumaat, November 23, 2012
Nurul Izzah: Insafi apa yang diucap, jangan ulas luar konteks?
Reaksi khalayak terhadap pendapat Nurul Izzah Anwar sebagai panel forum di sebuah gereja amat luar biasa sekali.
Yang masih bercelaru dan enggan menyatakan kebenaran ialah Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib dan sekutunya lantaran politik menjaga hati Anwar Ibrahim. Yang Pas perjuangkan kini bukan sangat Islamnya tetapi kerusi dan kuasa.
Ucapan Nurul Izzah harus dilihat dalam konteksnya, bukan penjelasan di luar konteks. Rakaman ucapannya, skrip ucapannya yang disiarkan oleh Malaysiakini, I Christians blog-spot dan media utama yang lain, penjelasan ahli Majlis Peguam, Siti Zabedah Kasim amat jelas bukan dimanipulasi oleh mana-mana pihak.
Nurul Izzah seperti juga ayahnya cuba mencari madah berhelah (defence mechanism) untuk memberi justifikasi bahawa ia tidak bermaksud demikian bagi mengawal kerosakan (damage control). Isu akidah dan murtad pada hemat penulis tidak boleh dipolitikkan.
Kalau politik mengatasi isu akidah dan murtad, ia sesuatu yang amat malang. Pas umumnya menganggap kenyataan Nurul Izzah itu sesuatu yang remeh. Yang lebih utama ialah Pilihan Raya Umum Ke-13 kerana mahu segera ke Putrajaya. Apakah isu murtad dan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) remeh?
Kalaulah isu akidah dan murtad dianggap remeh, penulis tidak tahu apa lagi yang patut diperjuangkan oleh Pas sebagai sebuah organisasi politik Islam terhadap Islam dan umat manusia khususnya yang menyangkut isu yang amat asas dalam Islam.
Nurul Izzah harus menginsafi, dia tahu apa yang diucapkannya itu. Kalau tidak masakan hadirin di forum itu bertepuk tangan seperti yang terlihat dalam rakaman video. Sudah tentu ada perkara yang menggembirakan mereka kerana kenyataan Nurul Izzah itu adalah secocok dengan kehendak mereka.
Nurul Izzah tahu dia bukan ulama. Tidak pula pernah mengikuti pusat pengajian Islam di mana-mana. Pengetahuan mengenai al-Quran dan As Sunnahnya sudah tentu terbatas. Dia patut insaf implikasi kenyataan yang kontroversial itu.
Khalayak sedang menunggu saman Nurul Izzah terhadap Utusan Malaysia supaya cerita sebenar akan terbongkar. Khalayak juga sedang menunggu penafian beliau terhadap dakwaan Siti Zabedah.
Siti Zabedah patut disaman kerana menempelak Nurul Izzah berputar 180 darjah. Ia boleh menjadi saksi utama sekiranya Utusan Malaysia disaman.
Nurul Izzah tidak sebut pun kenyataannya itu dalam konteks Perlembagaan Malaysia. Anwar Ibrahim, ayahnya dalam kempen politiknya di Terengganu mengatakan kenyataan anaknya itu telah disalahtafsirkan kerana dimanipulasi oleh pihak lain.
Siapakah yang sebenarnya memanipulasi isu ini. Kita bercakap dalam konteks selepas melihat bukti-bukti. Nurul Izzah melakukan justifikasi di luar konteks untuk menyedapkan hati penyokongnya.
Hatta kalau ditafsirkan dalam konteks Perlembagaan Malaysia pun, tafsirnya salah apalagi kalau dirujuk maksud sebenar Surah al-Baqarah ayat 256, jumhur ulama tafsir memberikan tafsir yang serupa dan bercanggah dengan ucapan Nurul Izzah itu.
Kesilapan demi kesilapan yang telah dilakukan oleh Anwar Ibrahim dan sekarang anaknya pula. Apakah ini petanda "Anugerah Tuhan" kepada hambanya supaya semakin terserlah perbuatannya. Allah Maha Mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Seperti yang selalu disebut oleh Anwar, "Manusia melakukan tipu daya tetapi Allah mengatasi tipu daya mereka" (al-Quran).
Kenyataan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menyiasat terus kenyataan Nurul Izzah itu adalah amat tepat sekali. Pada hemat penulis JAIS harus bertindak segera dengan adil, profesional dan berasaskan hukum syarak supaya isu ini dapat ditangani dengan berkesan.
Dulu dalam isu 3 Ogos 2011 di DUMC tidak ada keputusan yang konkrit dapat diambil. Kini peristiwa 3 November 2012 di Gereja Subang Jaya sesuatu patut ditentukan supaya suatu keputusan yang berwibawa diambil untuk memberi pengajaran kepada yang lain.
Hal ini sangat penting kerana isu akidah dan murtad jangan jadi wabak yang sukar diatasi nanti. Fahaman liberalisme yang berkembang di mana cara berfikir tercabut daripada akar agama dan pluralisme agama yang semakin menjadi-jadi untuk menyamakan Islam setara dengan agama yang lain dari sudut akidah dapat dibendung.
Jangan sampai kata pepatah " nasi sudah menjadi bubur," "sudah terhantuk baru hendak tengadah," "sesal dulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna" akibat kecuaian kita semua dan bersikap apologetik terhadap isu yang amat utama. Wallahuallam.
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan