Jumaat, November 23, 2012

Isu Selangor : Lagi desak PKNS ambil alih hutang?


Penduduk Bandar Baru Bangi berkumpul di hadapan pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor di Laman Seri, Seksyen 13 untuk mengadakan demonstrasi aman dan menyerahkan tuntutan mengambil alih hutang kediaman mereka.

Para pembeli rumah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak berputus asa apabila terus mendesak perbadanan itu mengambil alih hutang perumahan mereka.

Dengan tuntutan yang sama seperti ribuan pembeli rumah PKNS lain sebelum ini, sekumpulan 70 pembeli rumah yang rata-ratanya rakyat kurang berkemampuan mengadakan demonstrasi aman di hadapan pejabat anak syarikat kerajaan negeri itu hari ini.

Mereka mendesak supaya perbadanan tersebut membantu mengambil alih hutang perumahan mereka selain mahu kerajaan negeri membantu mengelakkan kediaman mereka dilelong pihak bank.

Penduduk terlibat yang hadir menaiki dua buah bas mengadakan demonstrasi aman selama 20 minit di hadapan pejabat PKNS di Laman Seri, Seksyen 13 turut menyerahkan tuntutan mengambil alih hutang kediaman mereka kepada Pengurus Komunikasi dan Korporat PKNS, Ishak Hashim kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini.

Salah seorang wakil penduduk, Hadijah Mohd, 62, berkata, pihaknya akan tetap hadir dan menyerahkan tuntutan mengambil alih hutang kepada PKNS sehingga perbadanan itu bersetuju membantu menyelamatkan rumah mereka daripada dilelong.

"Kami mohon kepada PKNS supaya segera mengambil alih hutang kediaman kami. Jika PKNS boleh melangsaikan hutang Talam Corporation yang berjumlah RM392 juta, maka tidak timbul isu jika perbadanan tersebut membantu pembeli rumah yang majoritinya berasal dari keluarga susah.

"Kami meminta supaya PKNS dapat menyerahkan tuntutan hutang ini kepada kerajaan negeri Selangor dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengotakan janjinya untuk membantu rakyat miskin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hadijah yang tinggal di kawasan perumahan PKNS Council Home, Bandar Baru Bangi sejak 12 tahun lalu berkata, penduduk sentiasa menunggu kerajaan negeri dan PKNS tampil menyelesaikan masalah yang menimpa mereka semua.

Sementara itu, Ishak ketika ditemui pemberita bagi mengulas mengenai demonstrasi tersebut berkata, selain membuat laporan polis pada 17 Oktober lepas, PKNS mengedarkan risalah mengenai perkara tersebut kepada pembeli rumah terlibat sejak dua minggu lalu.

"Kita telah mengedarkan sebanyak 5,000 risalah kepada setiap kediaman yang mengadakan demonstrasi dan antara kandungan risalah tersebut ialah penerangan mengenai isu Talam.

"Risalah ini menjelaskan bahawa PKNS langsung tidak terlibat dengan pengambil alihan hutang Talam seperti yang didakwa oleh mereka," katanya.

Tambah Ishak, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menghalang para pembeli rumah PKNS jika mereka tetap mahu mengadakan demonstrasi aman menuntut perbadanan itu mengambil alih hutang kediaman mereka.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan